Sunday, May 9, 2010

Cili Padi


Cili Padi (Capsicum frutescens L) atau merupakan sejenis tanaman yang kurang dikomersilkan tetapi sangat penting didalam masakan orang Malaysia, Indonesia, Thailand dan banyak negara lain. Cili Padi adalah daripada keluarga Solanaceae yang kebanyakan ditanam secara kecil-kecilan tetapi berterusan untuk pasaran domestik dan eksopot kenegara jiran. Didalam saya membuat rujukkan mengenai ststistik keluasan penanaman cili padi di Malaysia, amat sukar untuk mendapatkan maklumat kerana ia jarang dilaporkan secara khusus. Penulis menganggarkan sekitar 250 - 300 hektar. Cili Padi juga dikenali sebagai nama Cabe atau Lombok Rawit (Indonesia), Phrik Kheenuu (Thailand), Siling Labuyo (Filipina), Hot Paper (English) dan banyak nama lagi. Ia merupakan satu tumbuhan yang mempunyai ciri rasa sangat pedas apabila dimakan mentah atau dimasak. Rasa pedas dalam cili kerana kandungan bahan Capsaicin yang akan terus bertindakbalas dengan cecair dalam mulut. Saya dapati pelbagai nama lain digunakan di Malaysia seperti Cili Api, Cili Burung dan juga Cili Api Kampung. Tanaman ini dari keluarga Solanaceae dipercayai berasal dari Asia Tenggara dimana digunakan sebagai bahan utama untuk bahan masakkan tempatan, Di Negeri Sembilan "Masak Lemak Cili Api" merupakan satu kebanggaan dan resepi yang sangat popular. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai cili padi berdasarkan pengalaman, pemerhatian, kajian kea dan membuat rujukkan dari banyak buku ilmiah.


Komponen cili api sangat penting dalam masakan ini selain daripada bahan ramuan2 lain.  Penulis mempunyai pengalaman dalam kerja-kerja pengembangan dalam aktiviti penanaman cili padi. Sebenarnya susahkah hendak menanam cili padi? Adakah pakej teknologi menanam cili besar Kulai (Vareti MC 10) sama atau/ dan sesuai digunakan untuk teknologi tanaman cili padi?. Telah timbul persoalan iaitu kenapa pokok cili api atau cili padi liar yang tumbuh dari najis burung tumbuh begitu lama dalam kebun dan memberikan hasil tinggi bertahun-tahun? Kenapa pokok ini tidak diserang penyakit layu atau lain-lain masaalah? Penulis pernah berjumpa dengan petani (En Azman) di Mersing yang menanam cili besar komersil dan juga cili api secara komersil. Menurutnya masaalah utama tanaman cili api yang diusahakan ialah layu , serangan penyakit kerekot dan pokok yang hidup tidak tahan lama (Purata cuma 8 bulan hingga 1 tahun sahaja). Menurutnya penggunaan benih cili padi terpilih, tanah bakar, tahi ayam proses, larutan mikroorganisma dan 'tangkal khas' dapat membantu tetapi didapati masih kurang praktikal.


Pokok cili api merupakan pokok renek yang mempunyai ketinggian lingkungan 1-2 meter mempunyai dahan yang banyak. Bentuk pokok (dari segi saiz) berbeza sedikit antara pokok ditanam dalam pasu atau polibeg dengan yang ditanam atas tanah atau dalam kebun. Bunga cili padi (Foto sebelah) terbentuk dibahagian hujung pucuk berwarna putih. Bunga cili padi di debungakan oleh agen pendebungaan terutamanya semut. Buah cili padi berwarna hijau ketika muda dan bertukar warna merah apabila matang (Kadang2 kuning, putih dan lain2 mengikut varieti). Saiz, warna, bentuk, darjah kepedasan bergantung kepada varieti. Belum ada pendaftaran varieti cili padi dibuat secara saintifiknya di Malaysia masa ini walaupun ada sedikit maklumat mengenainya.  Penanaman cili api sesuai di atas tanah kebun atau ditanam dalam pasu/ beg plastik atau secara fertigasi. Kajian mendapati pada masa ini blum banyak benih cili padi dijual cuma ada benih Cili Padi jenis CENTIL dipasaran yang dijual secara komersil tidak seperti benih cili besar (Capsicum annum) seperti MC 10, MC11 dan MC12 (Jenis Kulai). Petani boleh mendapatkan benih dari cili padi dari buah cili padi yang matang /segar di kebun atau pasar. 

Benih cili lazimnya dibeli daripada pembekal benih tempatan bagi mereka yang baru menceburi bidang penanaman cili padi. Kaedah terbaik menyediakan benih cili padi adalah dengan mengambil sendiri cili padi yang masak dipokok yang mempunyai buah yang lebat, tahan penyakit dan mempunyai saiz yang sederhana. Keluarkan biji dari cili tersebut dan ia perlu di jemur untuk pastikan 'Break Dormancy Period' dan semai di tapak semaian. Anak benih cili padi boleh di alih ke ladang atau ditanam dalam pasu atau secara sistem fertigasi. Saya sering beri nasehat kepada penanam cili padi pentingnya menyemai benih cili didalam struktur kalis serangga (Sila baca artikel berkaitan - Sila klik disini). Struktur Tapak semaian disediakan di kawasan sesuai dengan jaring kalis serangga sekurang-kurangnya saiz 32 mesh agar serangga perosak tidak dapat masuk. Gunakan media cocoa peat untuk menyemai benih cili atau tray semaian. Penyediaan anak benih cilii dalan struktur berjaring dapat mengurangkan kejadian pokok diserang layu bakteria dan kerinting.

Jarak tanaman di kebun 0.5 meter x 0.75 meter dan sebaik-baiknya ditanam atas batas atau kawasan tidak terendam. Pembajaan asas gunakan CIRP dan elakkan daripada menggunakan tahi ayam seperti sayuran lain kerana pemerhatian mendapati tahi ayam mempengerohi kejadian layu bakteria. Penggunaan baja kompos dan tanah bakar didakwa mengelakan serangan penyakit. Ada petani mendakwa penggunaan baja 15:15:15 dan 12:12:17;2 yang tidak sempurna juga perlu dibuat penelitian kerana belum ada kajian saintifik dilaksanakan.  Serangan penyakit dan perosak tanaman cili padi memang banyak. Antara penyakit yang mudah menyerang tanaman cili padi adalah Penyakit Kerinting Daun yang disebabkan oleh virus (mungkin virus Triteza). Serangan dibahagian daun yang membentuk kerinting , berkerekot dan kurang pembentukkan tunas muda baru. Akibatnya tiada bunga baru terbentuk dan pokok terencat pertumbuhannya. Buah yang terbentuk juga bersaiz sangat kecil dan pokok tidak produktif lagi. Ada petani yang memotong bahagian dahan yang diserang penyekit kerekot pada peringkat awal dapat melambatkan serangan. Biasanya disyorkan untuk dicabut dan dimusnahkan dengan dibakar ditempat yang jauh dari kawasan penanaman. Penyakit Layu pada tanaman cili padi juga sering berlaku terutama pada kawasan pernah bertanam cili yang disebabkan oleh bakteria Fusarium spp atau Phytium spp. Pokok akan menjadi layu dan kering seterusnya mati dan kawalan menggunakan kaedah Amalan Kultura dan APB. Penyakit Bintik Berpusar (Antracnose) disebabkan oleh Collectotricum spp kadang-kadang menyerang cili padi. Antara musuh tanaman cili padi ialah Koya, Aphid, Mites dan juga burung.


Pasaran cili padi memang besar. Pada masa ini kebanyakan cili padi dipasaran hampir 85% adalah dari jenis Cili Padi Siam yang diimpot dari Thailand walau pun rasanya kurang pedas berbanding dengan cili padi tempatan. FAMA pernah melaporkan hampir 5 treller cili padi siam ini di bawa masuk setiap hari melalui Kompleks Kastam Bukit Kayu Hitam Kedah untuk dipasarkan Malaysia. Bayangkan berapa banyak cili api siam diimpot sebulan atau setahun dari Thailand?. Lawatan penulis ke Thailand beberapa kali sukar untuk menemui kebun cili api siam yang diusahakan secara meluas seperti tanaman cili besar di Malaysia. Bagaimana sistem pemasaran yang sangat cekap di Thailand dapat mengeluarkan begitu banyak cili api siam? Berapa harga yang petani terima di sana? Pernah penulis kaji dimana harga sekotak cili api siam (10 kg) di jual dengan harga RM 5.00 - RM 10.00 sekotak bermakna cuma RM0.50-RM1.00 sekilogram.  Kajian penulis di Mersing dan Muar mendapati harga cili api tempatan di peringkat ladang tidak kurang RM 8.00 - RM 10.00 sekilogram. Harga ini hampir 10 kali ganda dari cili api siam. Bagaimana kita dapat mengatasi masaalah ini?. Penulis pernah membuat kajian bersama petani Tn Hj Sharudin di Kg Paya Serakek Segamat Johor pada 2004 yang menanam cili api siam secara komersil seluas 1.2 hektar. Beliau menggunakan benih dari pasar dan mendapati pokok cuma bertahan 4-5 bulan sahaja kemudian siserang penyakit kerinting daun. Selain itu kos memetik hasil juga leceh kerana seorang pekerja cuma dapat lingkungan 7-10 kg sehari berbanding kerja-kerja tanaman sayuran lain.


Analisa ekonomi penanaman cili api tempatan perlu di laksanakan secara saintifik. Pihak penyelidik perlu menjalankan kajian mengenai varieti cili api tempatan yang boleh dikomersilkan dari segi Pakej Teknologi Penanaman, citarasa pengguna, potensi pasaran, adaptabiliti dengan kawasan lokaliti , analisa lepas tuai serta potensi untuk di proses. Terdapat satu projek oleh PPK di Negeri Sembilan yang membuat projek sos cili padi yang maju dan boleh dibanggakan. Bagi tujuan proses cili padi tempatan boleh di buat jeruk, dikeringkan (ada di buat di Thailand), di buat serbuk, di buat pes dan sebagainya. Teknologi penanaman cili padi secara komersil perlu dicari dan usahawan cili padi perlu dikenalpasti bagi memajukan tanaman ini.


YANG SANGAT PEDAS ...CILI PADI...
TANAM BESAR2AN ... SELALU TAK JADI...
HASIL SEDIKIT ... SELALU HARGA TINGGI...
TANAM BANYAK...MACAM MAIN JUDI....
KADANG2 UNTUNG....KADANG2 RUGI....

Related articles you can read:
1. Chili (Klik disini)
2. Cili Api CENTIL (Klik disini)
3. Capsaicin yang Pedas (Klik disini)
4. Cashflow Cili (Klik disini)
5. Cili dalam pot (Klik disini)
6. Cili Kulai Fertigasi (Klik disini)
6. Benih Sayuran (Klik disini)
8. Harga Benih Sayuran (Klik disini)
9. Cili Benggala - Bell pepper (Klik disini)
10. Baja organik TAHI AYAM (Klik disini)

By
M Anem
Senior Agronomist,
Jalan Kamariah,
Muar, Johor.
Malaysia
(Kemaskini pada 11 Ogos 2013)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.