Friday, April 10, 2020

CENDAWAN KUKUR - DIKOMERSILKAN

CENDAWAN KUKUR (Schizophyllum commune) adalah sejenis cendawan yang selalu tumbuh pada kayu reput dari keluarga Schizophylaceae. Keluarga cendawan daripada kumpulan Schizophylaceae mempunyai banyak spesis yang Tumbuh pada batang kayu untuk proses pereputan. Di Malaysia cendawan kukur dari pokok kayu getah merupakan jenis yang paling popular di kutip untuk dijadikan bahan makanan yang sangat enak dan berkhasiat. Banyak gelaran diberikan kepada jenis cendawan ini mengikut lokaliti seperti Jamur Gerigit (Jawa Muar), Cendawan Tapak Tiung (Negeri Sembilan), Kulat Sisir, Kulat Sisik dan banyak lagi. Saya mengenali akan cendawan ini dari zaman kanak-kanak lagi kerana sering mengutip sendiri di kawasan kebun getah keliling kampung di Muar dahulu terutama selepas musim hujan. Memang seronok mengutip cendawan ini dengan tangan dan mengumpulkannya dalam bekas sebelum dimasak segar. Cendawan Kukur ini tumbuh dibanyak jenis batang kayu yang dalam proses pereputan. Cendawan ini berbentuk kulit kerang dimana ia mempunyai pangkal (batang) yang melekat pada batang kayu dengan kuat. Warna cendawan kukur adalah kelabu coklat keputihan bergantung kepada jenis kayu dan keadaan habitat kelilingnya. Saiz cendawan kukur diantara 1 - 4 cm dan tumbuh beberapa hari sebelum ianya akan menjadi kering dan mati jika dibiarkan diatas batang kayu. Cendawan kukur mempunyai aroma yang khusus dan enak kepada mereka yang suka akan baunya. Banyak laporan ada menyatakan cendawan ini mempunyai banyak khasiat termasuk bahan 'Schizophyllan' iaitu bahan Anti-tumor dan anti kanser. Bahan ini juga meningkatkan tahap immune badan serta anti radangan, anti-bakteria, anti-parasit dan membantu dalam melindungi hati. Artikel subuh Ahad ini sempena arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19 saya menulis dalam 'Anim Agro Technology' mengenai teknologi dan informasi cendawan kukur untuk dijadikan bahan bacaan.

Dalam akhbar HM dengan artikel bertajuk 'Cendawan sisir tumbuh sepanjang masa' Cendawan kukur atau dikenali cendawan sisir lazimnya hanya ditemui pada batang pokok kayu mati atau hidup. bagaimana pun secara amnya, cendawan kukur tumbuh meliar dan mula hidup selepas hujan. Tidak hairan, cendawan berkenaan hanya boleh ditemui mengikut musim tertentu hingga ada ketikanya ia sangat sukar untuk diperolehi.  Bagaimanapun hasil penyelidikan yang dijalankan Institut Sains Biologi (ISB) Universiti Malaya (UM), cendawan kukur kini boleh didapati sepanjang masa dan tidak lagi perlu bersusah payah mencarinya. Ketua Projek Produk dan Cendawan Inovasi UM, Prof Dr Noorlidah Abdullah berkata, pihaknya menjalankan kajian dan penyelidikan bermula dari 2011 selepas mendapati cendawan berkenaan sukar diperoleh kerana ia tumbuh mengikut keadaan cuaca selain bergantung kepada spora cendawan. Cendawan berkenaan banyak terdapat di Mexico, India dan Nigeria selain negara di Asia Tenggara. Namun di kebanyakan negara, ia tidak popular sebagai makanan seperti di Malaysia. Penyelidikan bertujuan membolehkan cendawan berkenaan boleh didapati setiap masa. Kami menjalankan pembiakan baka pada 2014 bagi membolehkan cendawan kukur ini diusahakan secara komersial. Ini sekali gus memberi peluang kepada mereka yang berminat mengusahakan perniagaan cendawan kukur apatah lagi harga pasaran mencecah RM50 sekilogram,” katanya yang ditemui di Pusat Penyelidikan Bioteknologi Glami Lemi, UM, Jelebu, Negeri Sembilan.

Dakwa Dr Noorlidah dimana pihaknya serius menjalankan penyelidikan kepada cendawan atau nama saintifiknya Schizophyllum commune berikutan iaitu sentiasa mendapat permintaan. Beliau dakwa lagi cendawan kukur yang boleh diusahakan sendiri ini mampu mengelak risiko keracunan jika ia dikutip tanpa diketahui keadaan persekitaran ketika itu (Sila lihat foto disebelah). Dari hasil penyelidikan dijalankan, cendawan kukur mempunyai khasiat nutrisi dan perubatan yang tinggi berbanding cendawan lain antaranya cendawan butang, enoki dan tiram. Cendawan kukur dilaporkan mengandungi schizophyllan iaitu sejenis ramuan di dalam ubat antibarah khususnya barah serviks. Ia bertindak meningkatkan sel imun bagi membunuh sel barah, virus atau kuman yang menyerang badan. Ia juga mengandungi sebatian antioksidan yang kuat seperti selenium, asid protocatechuic, ergotheionene dan sebatian fenolik yang diperlukan bagi menyingkir toksik dalam badan selain kaya dengan protein, karbohidrat, magnesium dan vitamin D. Pada masa ini terdapat 20 pengusaha cendawan yang mengusahakan projek ini dengan memperoleh bongkah daripada mereka. Biasanya habuk kayu dan dedak ayam antara ramuan utama yang digunakan. Setiap bongkah seberat 800 gram (g) perlu direbus sekurang-kurangnya tujuh jam sebelum disuntik dengan benih cendawan kukur. Berbanding bongkah bagi cendawan tiram yang boleh diguna hingga empat atau lima kali pengeluaran, bongkah cendawan kukur ini pula mampu membuat dua pusingan pengeluaran saja. Setiap bongkah mampu menghasilkan antara 80 hingga 120 gram cendawan kukur dengan pengeluaran hasil pertama kira-kira empat minggu selepas suntikan anak benih ke dalam bongkah.

Dalam artikel lain bertajuk ''Cendawan sisir 100% organik'' dilaporkan dimana cendawan kukur atau dipanggil kulat sisir (Schizophyllum commune) sememangnya tidak asing dalam kalangan penduduk negara ini yang dijadikan sebagai juadah enak. Ia tumbuh liar pada batang pokok kayu yang sedang menjalani proses pereputan selepas hujan. Di Malaysia biasanya cendawan sisir dari pokok kayu getah paling popular dikutip untuk dijadikan masakan enak. Di daerah Perak Tengah, Perak cendawan itu lebih dikenali dengan nama ‘cendawan syisyor’ yang dimasak rendang pedas selain lemak cili api. Bukan saja enak dijadikan masakan, malah ia antara tanaman yang mudah biar pun pengurusan tanamannya agak rumit.  Malahan tanaman itu mendapat sambutan menggalakkan hingga tidak dapat menampung permintaan pelanggan dan memberikan pulangan lumayan yang kini diusahakan secara komersial. Menyedari faktor itu seorang usahawan dikenali dengan nama Nor Arif Mat Nasid berumur 39 tahun dan isteri Norizan  telah menjadikan tanaman cendawan itu sebagai salah satu komponen utama perniagaannya selain cendawan tiram sejak Oktober tahun lalu (Sila lihat foto disebelah). Dia terbabit dalam tanaman cendawan sejak 2006 dengan cara menjadikan cendawan tiram sebagai produk utama. Sebelum ini dia berniaga di pasar dan jiran sebelah tapak gerai menjual cendawan sisir dan ramai yang suka malah semua jualannya habis cepat.

Sebenarnya idea menanam cendawan sisir mula timbul dan seterusnya berasam untuk memperluaskan tanaman. Usaha ini dijalankan di tapak projeknya di Kampung Parit 11, Titi Gantong di Bota (Sila lihat foto disebelah)Usaha itu mendorongnya menawarkan cendawan sisir yang lebih bersih tanpa ada kulit kayu yang melekat, 100 peratus organik dan bebas daripada sebarang racun.  Anak benih pula diambil dari seorang pengusaha di Negeri Sembilan dan pihak Universiti Putra Malaysia (UPM). Proses yang dijalankan untuk cendawan sisir sama dengan tanaman cendawan tiram cuma pengeluaran hasilnya saja yang berbeza. Cendawan tiram boleh mengeluarkan hasil hingga lapan kali, namun cendawan sisir hanya dua kali saja, malah pengurusan tanamannya juga agak rumit. Dua tanaman ini tidak boleh berada dalam satu ‘rumah bongkah’ yang sama. Ini kerana spora cendawan sisir kuat dan akan mematikan cendawan tiram. Sebelum ini pernah pembenihan dua cendawan dilakukan di tempat sama, biarpun dalam jarak masa seminggu dan sudah dibersihkan, namun cendawan tiram tidak hidup. Biasanya untuk bancuhan beg media juga biarpun menggunakan bahan asas yang sama namun nisbahnya berbeza dan nisbah bahan makanan cendawan sisir lebih daripada tiram. Sehingga kini dia sudah mempunyai 2,000 bongkah dimana setiap 1,000 bongkah mengeluarkan 15 kilogram (kg) untuk tuaian pertama sementara tuaian kedua 10kg.

Biasanya selepas sebulan diperam beg media akan ditoreh dan dalam masa seminggu sudah boleh dikutip hasilnya namun cendawan ini hanya mengeluarkan hasil sebanyak dua kali saja. Hasil kedua dikeluarkan selepas lebih kurang seminggu hasil pertama, namun ia agak kecil berbanding hasil keluaran pertama. Beliau bermula dengan 1,000 bongkah dan dia berhasrat mahu meluaskan usahanya itu dan bercadang untuk berpindah ke lokasi lain bagi tanaman cendawan sisir kerana ia mempunyai potensi yang tinggi selain pulangan lumayan. Hasil cariannya mendapati tanaman itu mempunyai pelbagai khasiat seperti dakwaan ia mengandungi ‘schizophyllan’ iaitu antibarah. Cendawan ini juga dapat meningkatkan tahap imun badan dan sebagai antibakteria dan parasit selain berupaya melindungi hati. Ketika ini pasaran mereka hanya di Perak Tengah dengan hasil itu dijual sendiri dan kini giat memperkenalkannya kerana segelintir orang ramai tidak tahu cendawan itu boleh ditanam secara komersial. Ketika mula-mula jual cendawan ini saya biarkan seketul-seketul kerana mahukan kelainan namun bentuknya yang unik itu menjadikan orang ramai takut untuk beli, malah ada menyangkakan ia adalah bunga atau ulat. Kemudian selepas dileraikan tidak sampai setengah jam habis semua cendawan yang dibawa dan biarpun ia bukan cendawan liar yang tumbuh pada batang pokok namun rasanya tetap sama. Beliau menjual cendawan sisir dengan harga RM50 untuk sekilogram manakala RM5 untuk 100 gram dalam satu pek. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
 CENDAWAN KUKUR.... DILAPOR MEDIA...
MUDAH DI TANAM... KENA BERUSAHA...
RAMAU USAHAWAN...SUDAH BERJAYA...
BERKHASIAT...MAKANAN ISTIMEWA...

By,
M Anem,
Senior Agronomsit Expert,
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysi.
(12 Syaban 1441H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.