Saturday, August 31, 2024

MAKAN UBI KAYU DAN FAKTA

MAKAN UBI KAYU
di Malaysia sudah menjadi berita viral setelah ia di nyatakan di persidangan Parlimen Malaysia. Ubi Kayu (Manihot esculenta) merupakan salah satu tanaman umbisi yang di tanam oleh petani tempatan selain daripada tanaman keledek, ubi keladi dan sebagainya di kategorikan sebagai tanaman kontan. Merujuk kepada maklumat rasmi dimana seluas 2,815 hektar tanaman ubikayu telah di tanam di Malaysia dengan pengeluaran hasil sebanyak 48,156 metrik tan pada tahun 2023 (Sumber: Booklet Keluasan Tanaman Makanan, Jabatan Pertanian Malaysia 2023). Kawasan utama tanaman ubi kayu berada di Negeri Johor seluas 987 hektar dengan jumlah pengeluaran hasil sebanyak 18,086 metrik tan diikuti dengan Negeri Sarawak seluas 594 ha (hasil sebanyak 8,216 mt) dan Negeri Selangor seluas 292 ha (hasil sebanyak 5,562 mt). Kebanyakan ubi kayu ini adalah untuk di proses bagi menjadi makanan ringan seperti Kerepek Ubi Kayu dan juga di proses menjadi tepong dan pelbagai produk lain dimana dilaporkan hanya sebahagian kecil sahaja di makan segar seperti direbus atau di goreng. Penulis blog pula paling suka sarapan ubikayu rebus yang di cicah dengan sambal tumis ikan bilis (Sila lihat foto diatas). Isu kenaikan harga beras dipasaran Malaysia sekali ganda dimana daripada sekitar RM2.30 sekilogram kepada lebih RM4.00 sekilogram (sudah dilabel setanding sebagai beras import) a amat meresahkan rakyat dan selalu menjadi perdebatan. Dilaporkan oleh beberapa media dimana rakyat di negara ini perlu berani bagi melakukan perubahan untuk tidak terus bergantung kepada nasi sahaja sebagai sumber karbohidrat dan sebaliknya menggantikannya dengan sumber lain seperti ubi kayu. Dilaporkan terkini Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul ada berkata langkah menjadikan ubi kayu sebagai satu daripada sumber bagi karbohidrat dilihat mampu menjadi alternatif terbaik sementara menunggu isu bekalan beras putih tempatan (BPT) selesai. Dakwanya dalam portal berita bernama.com dimana kalau beras menjadi isu dan apa tujuan kita makan beras adalah hanya untuk dapatkan karbohidrat. Dia merasa ada pilihan alternatif lain sementara kerajaan dapat selesaikan isu beras iaitu makan ubi kayu. Seterusnya dinyatakan di mana di Sarawak dimana ubi kayu digunakan sebagai makanan tambahan kerana ada khasiat ubi kayu hebat dibandingkan gula yang ada dalam beras. Bernama kutip dakwaan jika usha memerkenalkan makanan ubi kayu ini menggantikan beras dimana ia boleh dibuat ubi kayu dalam bentuk makanan yang tersedia. Dilaporkan dimana langkah itu juga boleh menjadi antara cara jalan keluar iaitu daripada kepompong sedia ada termasuk tidak membiarkan isu beras mengawal keadaan rakyat di negara ini. Kini dilaporkan  rakyat Malaysia mempunyai potensi sangat besar untuk para petani menghasilkan sumber makanan sendiri bagi tujuan mengurangkan kebergantungan kepada bekalan makanan import.  Dakwanya jika jumlah  penawaran semakin banyak sudah tentu harga barang makanan akan turun dimana ini kurangkan apa yang dikatakan sebagai kebergantungan kita kepada makanan import yang mencecah hampir RM60 bilion. Artikel subuh ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya menulis mengenai makan ubi kayu dan fakta sesuai untuk dijadika bahan rujukkan pembaca semua.


Tanaman Ubi Kayu merupakan tumbuhan tropika dan subtropika daripada keluarga Euphorbiaceae yang tinggi karbohidrat. Bukan sahaja ubinya sahaja yang selalu dimakan akan tetapi bahagian daun pucuknya juga antara makanan sayuran yang enak. Siapa tidak pernah makan sayur lemak pucuk ubi atau ia di jadikan urap daun ubi. Bagi penulis blog pecel sayur daun ubi dengan pelbagai bahan lain sudah menjadi kegemaran yang merupakan sejenis makanan kaum Jawa yang popular di Muar, Johor. Makanan ini juga dikategorikan sebagai makanan sihat berasaskan daun-daun dan ulam sayuran dengan memberikan rasa pedas, manis, lemak, masin, pahit dan semua rasa ada didalamnya. Lebih menarik lagi kini sudah ada dijual sambal pecel yang siapguna dijual dengan harga RM15 - RM18 sebungkus untuk beberapa kali hidangan. Cara menyajikan pecel ini dengan mencampurkan kesemua bahan daun-daun dan lain-lainnya kedalam pinggan dan tuangkan kuah pecel sehingga sesuai dan digaul rata. Jika suka kuah pekat maka ia perlu ditambah air dan penulis blog suka makan bersama nasi putih. Kulit daripada ubi kayu mempunyai asid hidroklorik dan potasium sianida atau sodium sianida (hydrocyanic). Oleh itu dilaporkan dimana ubi kayu perlu dibuang kulit sebelum dimasak dan tidak boleh dimakan secara mentah begitu saja kerana boleh memberikan kesan kesihatan. Sebut sahaja ubi kayu pada penulis blog pasti ramai mempunyai kenangan tidak boleh dilupakan bagi mereka yang tinggal dikampong terutamanya bagi mereka yang sempat merasai keperitan hidup di zaman penjajahan Jepun di Tanah Melayu dahulu. Di waktu itu dilaporkan iaitu ubi kayu adalah makanan yang popular dan dijadikan sebagai pengganti nasi semasa penjajahan Jepun di Malaysia. Kini apa yang berlaku setelah lebih 60 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan dimana makanan ubi kayu bukanlah lagi makanan utama. Bagaimana pun ada masih terdapat pelbagai menu enak dan sedap yang boleh dihasilkan menggunakan ubi kayu dihidangkan di beberapa restoren dan hotel terpilih terutama untuk sarapan pagi. Ada berpuluh resepi yang boleh di rujuk didalam menyediakan kuliner atau makanan berasaskan ubi kayu daripada yang manis, lemak, pedas, masin, masam sehingga kepada yang seuai disimpan lama. 


Ramai dari kalangan rakyat Malaysia yang sudah melupakan makanan ubikayu dan kehebatan khasiatnya. Ubi goreng berempah diantara menu dari ubi kayu yang penulis blog suka makan dan dijadikan lauk pula semasa makan nasi. Ubi goreng yang di bubuh pelbagai jenis rempah memang sesuai di jadikan cemilan (Sila lihat foto disebelah). Anda boleh membaca tulisan saya mengenai ubi goreng dengan pautan berikut (Sila klik disini), (Sila klik Disini) dan beberapa artikel lagi. Ubi kayu merupakan spesis tumbuhan tropika yang tidak asing lagi terutamanya dalam kalangan masyarakat Melayu. Ia adalah salah satu sumber utama karbohidrat dan daunnya sebagai sayuran. Bukan itu sahaja kerana ada terdapat banyak manfaat ubi kayu kepada kesihatan yang mungkin belum anda ketahui. Pertama adalah dikatakan ubi kayu mampu elakkan peningkatan tekanan darah kerana ia mempunyai kandungan kalium yang tinggi di mana ianya membantu di dalam penurunan tekanan darah. Kalium mempunyai sifat yang mampu untuk menyebabkan salur darah mengembang dan secara tidak lansung akan menurunkan paras tekanan darah. Kandungan natrium yang sangat rendah pada ubi kayu sangat sesuai dimakan oleh pesakit darah tinggi. Kedua ia mampu mencegah anemia sebab ubi kayu adalah makanan berkanji yang kaya dengan zat besi yang merupakan mineral penting di dalam proses pembentukan hemoglobin dalam sel darah merah. Bahan hemoglobin berfungsi untuk membawa bekalan oksigen ke sel-sel yang ada di dalam badan untuk proses penjanaan tenaga. Pengambilan zat besi yang mencukupi, dapat mencegah penyakit anemia yang disebabkan oleh kekurangan hemoglobin dan zat besi. Pengambilan makananan tinggi zat besi bersama makanan yang kaya dengan vitamin C adalah sangat digalakkan. Hal ini kerana, vitamin C membantu dalam penyerapan zat besi. Dilaporkan ke 3 dimana ubi kayu bantu utnuk melancarkan sistem pencernaan. Ini kerana ubi kayu mengandungi kanji-tahan (resistant starch) yang baik untuk sistem percernaan. Ianya tidak tercerna di dalam usus kecil dan menjadi sumber makanan untuk bakteria baik di usus. Bahan kanji-tahan di dalam ubi kayu mampu untuk ia dapat mengelakkan sembelit, mengurangkan risiko kanser usus dan juga menyebabkan rasa kenyang yang lebih lama.


Fakta selanjutnya adalah dimana uni kayu akan meningkatkan berat badan secara sihat dimana dilaporkan setiap 100 g ubi kayu mempunyai sebanyak 162 kcal tenaga. Ini menunjukkan makanan ini tinggi dengan kandungan tenaga. Selain itu dimana kandungan lemaknya juga sangat rendah kerana hanya terdapat 0.2 g dalam setiap 100 g ubi kayu. Disebabkan yang ubi kayu makanan yang berasakan tumbuhan maka ia tidak mengandungi kolestrol dan sangat sesuai diambil oleh sesiapa yang ingin menambah berat badan secara sihat. Fakta yang ke 5 dimana ubi kayu mampu membantu pembentukan tulang dan gigi. Kajian mn=endapati dimana diantara komposisi yang membentuk tulang dan gigi adalah kalsium, di mana ubi kayu adalah makanan yang kaya dengan sumber tersebut. Umum mengetahui, dalam pembentukkan tulang dan gigi yang sihat, kalsium memainkan peranan yang penting. Apa pun biasanga kekurangan kalsium dapat menyebabkan berlakunya penyakit tulang rapuh, kepadatan tulang yang rendah, kelemahan akar gigi dan kes gigi mereput. Seterusnya fakta ke 6 adalah dimana makan ubi kayu adalah ia baik untuk kesihatan jantung. Ini kerana selain mempunyai paras kalium yang tinggi dan natrium yang rendah, ubi kayu juga tidak mengandungi lemak tepu. Lemak tepu sering dikaitkan dengan penyakit kardiovaskular seperti penyakit jantung. Bila ada kandungan kalium yang tinggi dalam ubi kayu ia akan mampu menjaga kesihatan salur darah dan kandungan kanji-tahan juga dilihat berkesan untuk mengurangkan paras kolesterol di dalam badan. Ia sedikit sebanyak mampu memberikan impak yang baik terhadap kesihatan jantung. Ke 7 fakta menarik dari ubi kayu dimana ia membekalkan banyak tenaga dengan segera. Bahan karbohidrat didalamnya merupakan makronutrisi yang tertinggi yang terdapat pada ubi kayu dan membekalkan sumber tenaga yang segera kepada tubuh badan. Dilaporkan setiap 1 gram kerbohidrat dapat membekalkan sebanyal 4 kcal tenaga kepada tubuh badan manusia. Biarpun ubi kayu mempunyai pelbagai khasiat terhadap kesihatan, namun suka diingatkan kepada semua bahawa pengambilan makanan ini haruslah diambil secara bersederhana. Khususnya kepada individu yang mempunyai masalah kesihatan sebaiknya dia perlu mendapatkan nasihat doktor dan pegawai dietetik terlebih dahulu.


Menarik fakta yang di paparkan oleh hmetro.com bertajuk 'Harga murah khasiat mahal. sesuai dengan tulisan subuh ini kerana ubi kayu tinggi dengan kandungan kanji rintang. Di sebalik harga ubi kayu yang murah dan kurang popular berbanding kentang namun sumber karbohidrat ini sebenarnya mahal daripada segi khasiatnya. Antara bahan rahsia yang paling tinggi ada dalam ubi kayu ialah kanji rintang menurut pakar antioksidan iaitu Dr Suri Roowi dakwa kanji rintang bertindak sebagai serat (Sila lihat foto disebelah). Ia tidak membentuk glukosa dalam usus kecil, tetapi dibawa ke usus besar dan diuraikan oleh bakteria di dalam usus berkenaan.Dakwanya pengambilan kanji rintang menjadikan individu kurang berisiko obesiti kerana keupayaannya mengawal berat badan dan tidak meningkatkan paras gula dalam darah. Apa yang lebih menakjubkan kanji rintang ini membantu mencegah penyakit barah usus besar. Dilaporkan dimana kajian oleh USDA dan FDA mendapati kanji rintang berpotensi membantu mengurangkan risiko kencing manis jenis dua. Kandungan kanji rintang dalam ubi kayu ialah 9.7 gram (gm)/100gm sementara bagi keledek (3.2gm/100gm), keladi (4.3gm/100gm), nasi (2.1gm/100gm) dan jagung (1.1gm/100gm). Kajian diterbitkan dalam jurnal 'The Lancet' pada 1986 mendedahkan dimana tiada seorang daripada 1,381 individu yang mengambil ubi kayu setiap hari dapat menghidap kencing manis. Laporan kajian dalam jurnal 'Diabetes Care' pula menunjukkan, individu yang kerap makan ubi kayu kurang risiko kencing manis berbanding mereka yang jarang mengambil ubi berkenaan. Ada juga individu yang 'alah' makan ubi kayu ini mengalami kembung dan angin dalam perut. Ini berlaku  kerana ubi kayu mengandung sejenis bahan toksik yang dikenali sebagai linamarin. Bahan ini terdapat banyak dalam daun dan akar ubi kayu. Bagaimanapun, kepekatan linamarin lebih tinggi pada kulit dan daun berbanding isi ubi dan ada laporan mendedahkan dimana  95 peratus bahan linamarin ini wujud dalam ubi kayu. Walaupun jumlahnya tinggi, bahan ini agak stabil dan tidak berubah walaupun ubi kayu direbus. Kajian oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapati linamarin ini mempunyai sifat antibarah, tetapi kesan linamarin ke atas haiwan atau manusia belum dikaji. Memakan ubi kayu yang tidak diproses dengan cara yang betul boleh menyebabkan kesan toksik. Ini kerana mikroflora dalam usus besar manusia akan mengubah linamarin kepada bahan kimia yang dikenali sebagai hidrogen sianida iaitu sejenis gas beracun. Mikroflora ialah bakteria dalam usus besar manusia atau haiwan yang berperanan memecahkan bahan berkhasiat seperti polifenol untuk dibawa masuk ke dalam darah. Pembentukan hidrogen sianida yang tinggi dalam darah boleh menyebabkan beguk dan masalah saraf. Selain itu isu keracunan sianida yang tinggi juga boleh mengakibatkan lumpuh dan kesan paling teruk adalah kematian. Lazimnya bagi pesakit yang mengalami masalah hati, ubi kayu mesti diproses dengan betul untuk mengelakkan penyakit bertambah mudarat. Artikel ini diharap dapat berikan info berguna kepada semua para pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!.
NAMA UBI KAYU...SEBAGAI MAKANAN....
MENJADI ALTERNATIF...NASI DIGANTIKAN...
MUDAH DI TANAM... HASILMNYA LUMAYAN..
ADA TIDAK MAKAN... TIADA PENGALAMAN... 

By,
M Anem,
Senior Agronomist, 
Jalan Surian 3, Taman Desaru Utama,
Bandar Penawar, Kota Tinggi,
Johor,
Malaysia.
(24 Syawal 1445H).
Posted from
Room 845, King Wood Hotel,
Sibu, Sarawak.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.