Thursday, August 15, 2024

IKAN SUSU DAN POTENSINYA

IKAN SUSU
(Chanos chanos) adalah spesies tunggal yang hidup dalam keluarga Chanidae dimana terdapat banyak gelaran bagi ikan ini. Sebagai contoh dimana di Hawaii ikan ini dipanggilkan ‘Ikan Awa’ sementara di Indonesia ia dikenali sebagai ‘Ikan Bandeng’ dan juga ‘Ikan Bolu’. Sementara itu dalam beberapa kali lawatan penulis blog ke negara Filipina pula ia merupakan sejenis ikan kebangsaan dengan nama yang diberikan adalah ‘Ikan Bangus’. Sebenarnya dimana taburan ikan Chanos chanos atau ikan susu ini hidup dengan meluas di Lautan Hindi dan Lautan Pasifik, dari Afrika Selatan ke Hawaii dan Marquesas, dari California ke Galapagos, utara ke Jepun sehingga ke Selatan Australia. Apa pun dilaporkan dimana di kawasan Asia Tenggara termasuklah negara di Malaysia dimana ikan susu lazimnya hidup di perairan marin luar pantai tropika di seluruh pulau dan di sepanjang tebing benua, pada kedalaman sekita 1-30 meter. Spesies ikan ini apa pun ia turut sering memasuki muara sungai dan sistem sungai-sungai berair payau. Dilaporkan dimana spesis ikan susu mampu membesar panjang sehingga 1.80 meter namun saiz ikan ini yang sering ditemui tidak lebih daripada 1 meter panjang. Dalam pada itu ikan susu ini boleh mencapai berat sehingga 14 kilogram pada kemuncak usia umurnya 15 tahun. Dari aspek morfologi dilihat yang spesies ikan ini mempunyai bentuk badan memanjang dan hampir mampat atau padu dengan cara penampilan simetri. Diperiksa lanjut dimana ikan susu ini adalah jenis ikan susu yang mempunyai satu sirip dorsal, sirip pektoral berbentuk sabit dan sirip kaudal dengan bercabang besar (Sila lihat foto diatas sekali). Ikan ini mempunyai saiz mulut kecil tanpa gigi seiras ikan rohu dan ia juga mempunyai warna badan berwarna hijau buah zaiton, sirip keperakan dan sempadan sirinya agak gelap. Selalunya ikan susu turut mempunyai antara 13-17 segmen sirip dorsal yang lembut dimana ia juga ada 8-10 segmen sirip anal yang lembut dan 31 segmen lembut pada siri anal atau dubur. Apa pun dilaporkan dimana spesies ikan susu atau 'Milkfish' ini lazimnya memakan Cyanobacteria, Alga dan Invertebrata kecil dimana ia juga cenderung berkumpul dan berlegar sekitar pantai dan pulau-pulau berterumbu. Ikan-ikan susu juvenil (yang belum matang) selalunya ia mendiami di lautan untuk suatu tempoh dua hingga tiga minggu sebelum bermigrasi ketika masih berstatus juvenil ke kawasan payau bakau, muara dan kadangkala tasik dan kembali ke laut lepas untuk proses kematangan seksual dan membiak. Ikan-ikan susu betina bertelur pada waktu malam dan berupaya melepaskan 5 juta telur di perairan laut cetek. Ikan susu juga merupakan makanan laut yang terkenal di Asia Tenggara dan beberapa Kepulauan Pasifik dimana ia akan ditangkap secara komersial oleh nelayan dan mudah diperoleh di pasaran.  Projek bagi ternakan ikan susu dalam sangkar kini sudah di komersilkan di Malaysia dan banyak negara jiran lain untuk menjadi sumber protin yang baik. Artikel pagi ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya kupas mengenai apakan dia ikan susu dan potensinya sebagai bahan rujukkan.


Dalam portal bernama.com dilaporkan bagaimana '
Jabatan Perikanan giat kembangkan ternakan ikan susu' iaitu satu ternakan akuakultur yang seakin popular. Dilaporkan dimana ada hanya sebuah syarikat di Batu Lintang, Sungai Petani, Kedah menjalankan penternakan ikan susu secara komersial di negara ini sekarang. Sebenarnya kerajaan melalui Jabatan Perikanan Malaysia sedang giat mengembangkan ternakan ikan susu di seluruh negara. Walau pun ikan susu telah lama popular di luar negara seperti Filipina dan Indonesia malah permintaan dalam pasaran negara juga telah menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun tetai agak kurang popular di Malaysia. Jabatan Perikanan laporkan dimana jumlah pengeluaran ikan tersebut telah meningkat kepada 9,276 tan metrik pada tahun 2023 berbanding hanya 2,819 tan metrik pada 2022.  Setakat ini pun hanya sebuah syarikat di Batu Lintang, Sungai Petani, Kedah dan pengusaha berkenaan terpaksa mengimport benih ikan susu dari luar negara dan bekalan tersebut masih agak terhad. Pihak IPP Jabatan Perikanan Tanjung Demong telah menjalankan penyelidikan benih ikan susu dan pembangunan baka bagi meningkatkan kualiti induk. Kini hanya sebanyak 11 ekor induk ikan susu bersama 30,000 anak benih berusia 14 hari telah dibawa masuk ke Malaysia dan dibiak di IPP Tanjung Demong, Terengganu. Seramai10 penternak ikan marin dari Kelantan, Terengganu dan Pahang telah dipilih menjadi pelopor penternakan ikan susu. Dakwa jabatan dimana hasil dari induk ikan susu untuk pertama kalinya bertelur sebanyak 100,000 telur pada 3 Ogos 2023 dan setakat hari ini sebanyak 4.6 juta telur sudah dihasilkan. Ikan tersebut dilaporkan ia lebih mudah diternak berbanding ikan marin lain seperti siakap, kerapu atau jenahak dan pihaknya menyasarkan pada 2025 dimana dijangka bekalan ikan susu akan dapat menampung keperluan permintaan yang tinggi terhadap spesies ikan marin dalam negara.


Menarik kisah dalam bharian.com bertajuk '
Ternakan ikan susu berpotensi jadi sumber pendapatan' seperti di laporkan oleh bekas Menteri Pertanian Dato Salahuddin masa itu. Kisah dari Sungai Petani, Kedah ini sempena lawatan YB Menteri Pertanian masa itu yang mana beliau menyatakan industri ternakan ikan susu mempunyai potensi besar dijadikan sumber pendapatan dan mewujudkan peluang pekerjaan terutamanya kepada masyarakat luar bandar. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub masa itu dakwa perusahaan spesies ikan itu atau nama saintifiknya 'Chanos chanos' juga sesuai dijalankan secara penternakan kontrak yang turut berupaya menyediakan peluang pelaburan dan perniagaan. Dilaporkan dimana kerajaan melalui MOA (Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani) akan sentiasa beri segala kemudahan khidmat nasihat dengan kepakaran kita daripada Jabatan Perikanan  dakwanya semasa sidang media selepas melancarkan promosi ikan itu di Syarikat Usaha Fadzilat (M) Sdn Bhd. DIlaporkan yang syarikat itu merupakan syarikat pertama di Semenanjung yang berjaya menternak ikan susu di kawasan seluas kira-kira 80 hektar di Batu Lintang sejak 2017. Kini syarikat itu memiliki pensijilan MyGAP dan Sijil Kualiti Ikan (FQC) dikeluarkan Jabatan Perikanan dan telah menghasilkan hampir 1,000 tan metrik ikan bernilai RM7.5 juta secara kumulatif sejak mula ia mengusahakan ternakan ikan susu yang berkenaan. Pihak kementerian amat menggalakkan pengusaha terutama golongan muda mengambil peluang menceburi perusahaan ikan berkenaan yang bukan sahaja mudah cara penjagaannya dan tidak memerlukan kos yang tinggi malah juga mempunyai permintaan amat baik dalam pasaran. Apa pun syarikat Usaha Fadzilat ini boleh jadi sebagai peneraju untuk perusahaan ikan susu dan saya mengharapkan pihak syarikat juga tidak keberatan untuk membimbing sekiranya ada pengusaha lain yang berminat untuk menceburi bidang (mengusahakan ikan susu ini). Dalam ujirasa dikatakan ikan ini selain rasanya yang lemak dan lembut, ikan susu juga kaya dengan protein dan Omega-3. 


Cara makan ikan susu ini ada berpuluh-puluh mengikut selera peminatnya. Antara resepi yang sesuai bagi ikan susu ini termasuk di masak singgang tumis, asam pedas, kari, tumis berlada goreng pedas dan bermacam lagi tetapi pada penulis blog yang paling suka adalah Ikan Susu Bakar. Resepi ini ada beberapa kali dapat ujirasa semasa membuat tinjauan teknologi kebeberapa lokasi di Malaysia an Indonesia (Ikan Bandeng Bakar). Apa pun meyediakannya amat mudah tetapi rasanya memang cukup enak. B
ahan-bahan yang perlu disediakan bagi menyediakan Ikan Susu Bakar termasuk 1 ekor ikan susu seberat 500 gram (perlu ia di bersihkan dan potong menjadi dua), 1 sudu kecil serbuk kunyit, 1 sudu kecil garam dan juta 1 sudu besar minyak. Perlu juga disediakan bahan tumbuk sebagai ramuan iaitu 2 ulas bawang putih, 2 cm halia dan juga 1 sudu kecil lada putih seralatan membakar yang sesuai. Cara membuatnya adalah dengan melumur ikan susu bersama bahan ramuan yang telah di tumbuk, serbuk kunyit dan garam. Kemudian direnjiskan minyak dan ratakan pada keseluruhan ikan serta dibiarkan seketika agar ramuannya meresap. Kemudian sediakan api atau alat membakar dan ikan susu di panggang atau bakar sehingga masak di dalam kuali ajaib atau mana-mana tempat membakar atau alat pemanggang yang sesuai. Apabila sudah masak makan sesuai di hidangkan bersama air asam jawa atau kicap lada yang disukai. ENak di makan selepas di bakar waktu suam panas kerana kalau sudah sejuk rasanya kurang enak dan boleh dimakan bersama nasi atau sebagainya. Apa pun meratah ikan susu bakar memang seronok. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua para pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!
IKAN SUSU... MENARIK BUNYINYA...
BANYAK DI TERNAK... DIMANA SAJA...
IKAN YANG POPULAR... SESUAI HARGA...
MEMBACA ARTIKEL... SERONOK JUGA...

By,
M Anem
Senior Agronomist,
Taman Desaru Utama,
Bandar Penawar, Kota Tinggi,
Johor,
Malaysia.
(9 Safar 1446H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.