Friday, April 12, 2024

LANDSKAP DAN FAKTA MENARIK

LANDSKAP
(Landscape) merupakan pemandangan alam sesuatu kawasan yang mengandungi unsur-unsur seperti gunung-ganang, bukit-bukau, sungai, tasik dan tumbuh-tumbuhan terutamanya pemandangan kawasan desa atau taman dikawasan perbandaran. Konsep landskap juga dikaitkan dengan keadaan ud
ara iaitu salah satu daripada saluran penting sumber nyawa kepada makluknya. Udara bersih menjadikan hidup manusia dan udara yang tercemar kan menyebabkan kesan negatif ibarat manusia yang mudah diserang penyakit. Aspek pencemaran alam sekitar bermakna kehidupan manusia juga bakal tercemar dimana perlu untuk semua menjaga alam sekitar iaitu perlunya teknologi hijau. Bermakna perlunya manusia kepada perlandskapan yang perlukan dan melibatkan proses merancang, mereka bentuk, melaksana dan menguruskan landskap untuk keselesaan, keselamatan dan keseronokan manusia untuk bahagia. Kini ramai yang faham dimana landskap adalah taman buatan manusia dimana ada konsep rekabentuk landskap yamn mana ia menggabungkan elemen-elemen yang sesuai seperti tumbuhan, struktur, air dan batu-batan untuk menwujudkan ruang di kawasan terbuka. Dalam pada itu di kawasan luar bangunan sesebuah pejabat atau syarikat ada di lakukan aspek landskap yang juga terdapat dalam bentuk taman bunga, taman rekreasi bertujuan bagi mencantikkan aura pada pemandangan alam. Lazimnya pembinaan landskap juga ia perlu disesuaikan dengan fungsinya iaitu sama ada untuk bersantai atau hanya untuk sekadar penghias ruang semata-mata atau untuk dapat manuisa bergerak aktif di dalamnya. Diluar sana sudah ada landskap semulajadi namun kini ia mungkin diubah atau dibentuk dalam rekabentuk baru untuk menjaga kepentingan manusia. Manusia akan berusaha memperbaiki keadaan dengan tujuan tertentu yang mana ia melibatkan alam sekitar yang semulajadi diganggu gugat dengan pembinan bangunan, kawasan perumahan, ladang dan sebagainya. Akibat dari itu terjadinya tanah runtuh, pokok-pokok hijau ditebang dan berkurangan. Jika pembangunan tanah ini tidak dikawal dengan pengindahan landskap yang sempurna maka ia akan mewujudkan suatu suasana alam sekitar tandus, kering dan tidak bermaya. Justeru itu penting ada konsep perancangan, rekabentuk dan pengurusan landskap yang profesional akan menampilkan suasana persekitaran bagi penghidupan manusia sejagat secara lebih inovatif dan berdaya maju. Kepentingan landskap dapat memelihara alam sekitar dimana landskap selalu menambah nilai estetik sesuatu kawasan dan sekelilingnya termasuk aspek dalam mencantikkan kawasan dan pandangan keliling. Memberi pengguna suasana yang nyaman serta menyegarkan penglihatan akan dapat menghidu udara segar, deruan bunyi angin dari pohon-pohon, siulan burung-burung, bau harum dari kuntuman bunga-bunga. Secara tidak langsung sekadar dapat melupakan suasana hiruk pikuk yang dialami. Artikel pada pagi Jumaat ini dalam blog "Anim Agro Technology' saya komgsikan info mengenai landskap dan kepentingannya untuk dijadikan bahan rujukkan semua.


Landskap yang baik akan menjadikan pengguna rasa lebih selamat dan mampu merehatkan minda dan rasa terbuka. Landskap yang ada laluan pejalan kaki boleh dimanfaatkan untuk berjoging atau menghirup udara segar dimana ada unsur tanah sekitar kawasan landskap juga dapat diperbaiki. Dalam menghadapu keadaan dunia semakin maju memang perlukan keadaan landskap kontemporari. Bantuan arkitek landskap sangat penting untuk merekabentuk pembangunan. Kontemporari landskap dibina mengikut peredaran zaman dan juga kesesuaian lokasi dan penghuninya. Pembangunan yang dilakukan mestilah memastikan dengan menumpukan dimana kawasan dan fungsi landskap sebelum dibina. Kebanyakkan projek sekarang berlumba-lumba untuk membina landskap kontemporari. Peranan arkitek landskap kini dilihat menjadi bertambah penting dengan pemesatan proses urbanisasi dalam tekad kerajaan mencapai matlamat negara maju 2030. Kini tidak hairan jika subjek landskap sudah merupakan salah satu subjek di sesetengah pusat pengajian tinggi tempatan dan antarabangsa. Sebaiknya landskap yang dibina perlu menepati prinsip-prinsip dan elemen landskap dimana setiap kawasan mempunyai penyataan, kesesuaian tanaman dengan ruang, elemen landskap dan elemen rekabentuk. Ukuran atau skala yang digunakan menepati saiz ruang, bergantung kepada sama ada besar landskap, di kawasan tinggi dan berbukit, jauh dari kawasan pembangunan atau landskap yang hampir dengan persekitaran orang ramai. Gubahan landskap biasanya menitikberatkan keringkasan. Suatu yang menyenangkan penyelenggaraan dan pengurusan landskap sahaja yang digunakan. Ia juga mementingkan keseimbangan susunan pokok-pokok dan tumbuhan sama ada simetri atau tidak simetri. Landskap yang cantik perlu ada unsur-unsur pelbagaian pertentangan dan kontras. Diantara unsur kontras, contohnya bahan bersaiz besar di antara bahan-bahan yang bersaiz kecil, penggunaan warna yang terang di antara yang malap. Penekanan juga dapat di capai dengan penggunaan unsur yang unik. Bentuk yang beraneka, bulat, bujur, memanjang, selari dan sebagainya. Gandingan warna bunga-bungaan merah, kuning, putih ,hijau, biru menceriakan lagi suasana, begitu juga dengan tekstur tumbuhan. Penanaman yang berulang daripada jenis yang sama, satu pokok pada satu kawasan, satu lagi prinsip landskap. Konsep landskap mestilah bermakna dan ada kelebihan tersendiri. Contoh konsep Jepun, lebih kepada penggunaan batu asli, warna yang serba putih, kolam dan ikan. Konsep Islam pula lebih tertumpu kepada tumbuhan harum, aliran air, kehidupan dan bunyi. Terdapat juga landskap yang dibina di kawasan rumah mengabungkan dua atau lebih konsep sekali gus.Ini memerlukan kreativiti yang tinggi. Tanpa konsepatau tema taman kita tidak dapat pastikan apa sebenarnya yang akan ditonjolkan di taman tersebut. Jika tiada tema tidak bermakna kita tidak berjaya membina suatu taman yangmenarik. Sebaliknya tema akan membuatkan peragaan taman menjadi lebih fokus, tersusun dan kelihatan sepadan. Pelbagai-bagai tema yang boleh digunakan untuk taman. Sebagai contoh tema-tema seperti taman melayu, taman inggeris, taman bali begitu juga taman Meditranean dan Tropikal. Dengan adanya tema taman, dapat dibayangkan penataan ruang dengan pemilihan spesies yang akan digunakan dalam taman berkenaan. Untuk sesuatu landskap, tema yang digunakan tidak terhad kepada satu. Beberapa tema boleh digabungkan asalkan bersesuaian dengan struktur bangunan, rumah atau kawasan. Mencipta tarikan taman menjadi suatu kepuasan dan dapat menyerlahkan lagi keindahan taman yang dibina.


Terdapat dua jenis landskap iaitu jenis  Landskap Lembut dan Landskap Keras. Menggunakan elemen-elemen semulajadi seperti tumbuhan, air, rupa bumi, struktur dan binaan. Tumbuhan memberikan pelbagai fungsi. Antaranya melembutkan seni bina keras seperti bangunan. Mengindahkan kawasan dengan bentuk, warna dan struktur yang menarik. Mewujudkan persekitaran yang harmoni alam. Mengawal suhu dan iklim mikro di sesuatu tempat. Di samping itu mengawal hakisan dan meningkatkan kesuburan tanah. Menghalang pandangan yang tidak dikehendaki. Fungsi tumbuhan dalam landskap dari segi fizikal mengawal hakisan air dengan cara susunan pokok boleh meredakan tujahan air hujan yang jatuh dan akar-akar pokok bertindak memegang tanah dari dilarikan air. Meredakan iklim dengan tujuan untuk mengurangkan suhu tinggi ke beberapa darjah apabila banyak tumbuhan ditanam. Proses transpirasi dapat menyejukkan kawasan persekitaran. Tumbuhan sebagai tirai melindungi daripada pantulan cahaya yang menyilaukan mata, seperti di sepanjang kawasan lebuh raya. Melindungi suatu kawasan daripada pukulan angin kencang. Tumbuhan juga memberi teduhan daripada panas matahari dan cahaya pantulan dari kaca bangunan. Susunan pokok memberi teduhan dan menjimatkan penggunaan penyaman udara. Pokok-pokok juga boleh mengarah pergerakan lalulintas pejalan kaki. Juga boleh menjadi penghalang pergerakan. Dari segi estetika pula dilihat fungsi tumbuhan dapat digunakan membentuk sempadan dan ruang tertentu. Di samping membentuk ruang, tumbuhan berguna memberi kualiti atau menghias ruang tersebut. Merangka pemandangan semulajadi dengan tumbuhan dapat memperbaiki sesuatu pemandangan. Fungsi tumbuhan secara semulajadi juga boleh melembutkan pemandangan seni bina sesebuah bangunan. Menanam tumbuh-tumbuhan di pangkal bangunan atau struktur boleh menjadikan bangunan atau struktur itu kelihatan terikat dengan permukaan bumi dan lebih stabil. Ia juga sebagai penyatu kepada pelbagai elemen dalam satu-satu kawasan.


Landskap lembut
adalah suatu landskap yang unik dimana ia adalah berfungsi memberi kedamaian, ketenangan serta keindahan kepada pengguna. Hasil dari gabungan unsur-unsur asli atau semulajadi yang terdiri dari pelbagai tanaman. Jika ada tanaman bermakna di situ ada serangga atau kupu-kupu. Dengan kehadiran serangga dan kupu-kupu itu akan menambahkan lagi keindahan landskap tersebut. Tanaman pokok landskap di kategorikan kepada dua iaitu tumbuhan berbunga dan tumbuhan berdaun. Tumbuhan berbunga di kelaskan sebagai tanaman bungaan kerana memiliki kuntum bunga yang indah, sama ada dari segi bentuk, warna, susunan dan aromanya. Tumbuhan berbunga mempunyai bunga yang menarik dan berbau harum serta bewarna-warni. Umumnya pokok berbunga memerlukan sinar cahaya matahari dalam jumlah yang banyak. Ini untuk pembentukan bunga. Antara tanaman seperti pokok utama atau naungan , pokok renek, pokok memanjat, herba atau pokok tutup bumi. Dalam konsep ini selalunya pokok utama atau pokok naungan biasa di tanam sebagai teduhan. Biasanya ia berdaun rimbun dan memiliki bunga yang cantik. Beberapa jenis tanaman pokok ini mempunyai musim bunga yang berbeza-beza. Bila tiba musim bunga, pokok ini akan semarak dengan bunga. Pokok ini cantik ditanam di kawasan yang luas. Pokok renek ialah tumbuhan yang mempunyai banyak batang dan muncul dari pangkal. Ia banyak ditanam di kebanyakan landskap yang dibina.. Sebahagian bunga menjadi daya penarik kepada taman, misalnya bunga adenium. Bunganya yang berkelopak dengan bentuk yang cantik menjadi daya penarik. Bunga yang berbagai warna menyemarakkan lagi suasana taman. Pokok renek berdaun yang mempunyai daun yang menarik adalah seperti Acalypha Wilkesiana. Terdapat pelbagai spesies menarik yang boleh dipilih mengikut minat dan citarasa. Perkara yang penting ialah memahami fungsi dan kesesuaian tumbuhan tersebut dengan landskap yang dibina.


Pokok Renek Pagaran juga digunakan dalam pembuatan landskap. Ianya untuk menghadang pemandangan yang tidak elok atau tujuan membahagikan ruang. Mencantikkan dinding atau pagar, mengurang kebisingan, menambahkan seni serta sebagai latar belakang sesuatu kawasan. Ada juga tanaman pokok memanjat yang di tanam untuk menghiasi pergola atau pagar. Apa pun selain daripada itu, pokok tutup bumi juga ditanam bagi mengawal hakisan tanah, menghalang perjalanan dan penghubung berbagai-bagai unsur di dalam rekabentuk taman. Pokok tutup bumi ini tumbuh melata. Pokok tutup bumi ini juga mempunyai bunga yang cantik dan indah. Beberapa jenis tanaman yang selalu ditanam sebagai penutup bumi iaitu archis pintoi, rain lily, seruni jalar, aster, sutera bombay, bunga kacang dan ptunia. Tumbuhan pokok berdaun mempunyai bentuk dan warna daun yang berbagai. Memang pada asalnya warna daun hijau, namun beberpa jenis tumbuhan berdaun warna daunnya berbeza. Warna-warna ungu, merah, kuning merupakan kombinasi warna daun pada tanaman jenis ini. Di samping warna, bentuk daun juga menjadi daya tarikan. Bentuk yang biasa bulat, oval, bentuk jantung, jejari dan sebagainya. Kawasan-kawasan yang biasa dibina landskap ialah seperti tepi-tepi jalan. Di kebanyakkan bangunan awam, kompleks pejabat kerajaan, sekolah-sekolah, di masjid-masjid. Kawasan letak kereta juga di hiasi dengan landskap begitu juga berhampiran kawasan pantai. Landskap di pantai akan kelihatan lebih menarik dengan tiupan angin laut.  Pembangunan landskap secara menyeluruh adalah satu langkah penting pihak kerajaan untuk memastikan pembangunan alam sekitar yang mampan. Kerajaan sedar, status negara maju tidak akan tercapai tanpa disertai dengan pembangunan landskap yang berkualiti dan menyeluruh. Dengan sebab itu Kerajaan menubuhkan Jabatan Landskap Negara di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada tahun 1996 untuk bertanggungjawab sepenuhnya kepada pembangunan landskap di seluruh Negara. Pelbagai program telah diadakan dan dilaksanakan oleh Jabatan Landskap Negara termasuklah penyediaan pelan induk landskap bagi semua Bandar, pembangunan taman awam, peningkatan kehijauan dan keindahan, serta kempen menanam pokok. 
Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!..

SELAMAT HARII RAYA AIDILFITRI 3 SYAWAL 1445H!!!
NAMANYA LANDSKAP...DIMANA SAJA...
MEMBUAT SENDIRI... LEBIH BERMAKNA...
TENANGKAN FIKIRAN... BAGI KELUARGA...
MEMBACA ARTIKEL... TURUT GEMBIRA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(16 Jamadilakhir 1445H).
Published from:
Taman Cendana, Bandar Melaka, Melaka.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.