Monday, April 24, 2023

POKOK BAKAU DAN KEPENTINGANNYA (Pt 1)

POKOK BAKAU (Rhizophora spp) atau Mangorves Tree merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga Rhizophoraceae dari spesis Avicennia, Rhizophora, Sonneratia dan juga Bruguiera yang tumbuh di kawasan muara sungai dimana tempat tersebut merupakan pertemuan diantara air tawar daripada daratan dan air masin daripada laut. Ramai diantara pembaca blog ini yang kenal akan hutan pokok bakau di Malaysia kerana ianya banyak tumbuh dikawasan pesisir muara sungai di Sabah, Sarawak dan sebahagian lagi ada di Semenanjung Malaysia. Semasa saya bertugas dibanyak negeri banyak kali berpeluang melawat hutan paya bakau dalam beberapa program dan projek berkaitan dengannya. Keluasan hutan bakau di Malaysia sekitar 580,000 hektar dimana hampir 60% berada diSabah, 26% di Sarawak dan bakinya adalah direkodkan berada di Semenanjung. Terdapat banyak spesis pokok bakau dalam negara dan ada beberapa spesis yang popular seperti Rhizopora mangle, R, apiculata, R. racemosa, R. mucronata dan R. stylosa. Pokok Bakau merupakan sejenis tumbuhan yang cepat membesar dan mudah membiak. Pokok bakau juga mempunyai batang dan akar tunjang serta akar yang berceracak naik keatas. Banyak laporan menyatakan pokok kayu bakau sangat penting dalam ekosistem kerana peranannya sebagai tempat pembiakan anak ikan, krustacea dan juga menghalang hakisan pantai. Akar bakau yang berceracak mampu mengumpulkan sampah sarap dan ini akan mampu memperbesarkan kawasan tepi laut apabila pembiakan kawasan bakau di tambah. Kayu bakau juga merupakan sumber bahan kayu balak yang boleh digunakan untuk pelbagai tujuan. Kayu bakau juga digunakan sebagai ceracak dalam asas dalam tanah untuk pembinaan bangunan kerana ketahanan kayu ini tidak mudah reput walau pun tidak ada rawatan. Hutan bakau juga sangat penting untuk banyak jenis kehidupan semulajadi seperti burung, haiwan kecil dan besar yang menjadikannya sebagai tempat untuk hidup. Apa pun dilihat dimana hutan paya bakau merupakan antara salah satu hutan yang unik di Malaysia. Sememangnya terdapat banyak kepentingan pokok bakau terutamanya kepada alam sekitar. Antara kepentingan paya bakau ialah dapat mencegah hakisan tanah kerana pokok bakau mempunyai sistem akar kukuh mencengkam tanah dengan kuat dan mampu dijadikan sebagai benteng daripada tanah dihakis. Pokok bakau juga bertindak sebagai habitat dan ekologi hidupan marin dan haiwan seperti monyet, burung dan banyak lagi dimana kin ia dimanafaatkan sebagai Agroforestry EcoTourism dibanyak lokasi. Bukan itu sahaja apabila pokok bakau mampu untuk bertindak sebagai penampan tsunami dan juga tiupan angin kencang. Ia juga penting untuk menyerap gas karbon dioksida dan melepaskan oksigen. Keindahan alam sekitar sudah pasti akan menarik perhatian ramai pengunjung. Memang banyak kepentingan pokok bakau kepada ekosistem. Artikel malam ini saya menulis dalam ''Anim Agro Technology'' mengenai kehabatan tumbuhan pokok bakau, kepentingannya serta ancamanan dan isu kelestariannya didalam negara serta alam sekitar untuk rujukkan pembaca semua.


Penulis blog yang pernah tinggal iaitu berdekatan dengan hutan bakau di Muar, Johor mendapati ada banyak aktiviti berkaitan dengannya. Antaranya adalah ada ecotourism yang menarik ramai pengunjung terutama hujung minggu. 
Pokok Bakau merujuk kepada tumbuhan yang hidup di kawasan berpaya di muara sungai, antara pertembungan air tawar dan air laut. Pokok bakau terdiri daripada pelbagai spesies antaranya termasuk spesies Avicennia, Rhizophora , Sonneratia dan Bruguiera.
Paya bakau merupakan hutan semulajadi di kawasan pasang surut air sungai dan laut. Mempunyai tanah berlumpur serta bersifat malar hijau sepanjang tahun, paya bakau merupakan antara ekosistem yang penting bagi kawasan pinggir sungai dan pantai. Paya bakau juga mengekalkan landskap hutan disamping fungsi dan kepentingannya. Berikut dikongsikan kepentingan pokok bakau kepada manusia dan hidupan flora dan fauna. Habitat dan ekologi hidupan marin dan haiwan dimana ia sesuai dengan pokok bakau yang tumbuh secara padat dan malar hijau. Tumbuh di tanah lumpur dan akar berselirat serta timbul memberikan habitat kepada ikan, siput, ketam nipah, udang, kerang, lokan. Haiwan seperti monyet dan burung menjadikan pokok bakau sebagai habitatnya. Peraanan utama kehadiran bakau adalah ia Mencegah Hakisan Tanah kerana pokok bakau tumbuh di tebing-tebing sungai sebagai benteng daripada tanah dihakis oleh air sungai mahupun air laut. Pokoknya kuat mencengkam tanah dan tumbuh secara rapat-rapat membentuk satu pertahanan yang kuat mencegah tanah/banteng dari terhakis. Dalam kes lain ia adalah Penampan Angin Kencang dan Tsunami kerana sifat semula jadi pokok bakau yang tumbuh merimbun dan secara rapat berfungsi sebagai penampan angin kencang uang boleh menyebabkan kelajuan tiupan angin dapat dikurangkan. Tsunami menghasilkan tekanan air dan gelombang air laut dengan adanya pokok bakau yang tumbuh di pesisiran pantai dan sungai boleh mengurangkan tekanan tersebut. Penting difahami dimana ia mampu Mengurangkan Pencemaran Udara apabila didapati sifat daun pokok bakau yang mampu untuk menyerap dan memerangkap habuk di udara dapat mengurangkan pencemaran udara. Lazimnya di tapak pembinaan habuk tanah berterbangan di udara menyebabkan udara yang dihirup tidak selamat kepada manusia, tetapi dengan adanya pokok bakau habuk tanah tersebut diserap dan dijatuhkan ketanah semula dan seterusnya ke sungai berhampiran ketika hujan turun. Pastinya tumbuhan ini mampu untuk Membekalkan Oksigen dan Menyerap Karbon Dioksida apabila proses fotosintesis menggunakan gas karbon dioksida yang berlaku oleh pokok bakau melalui daun malar hijau yang merimbun melepaskan gas oksigen sebagai bahan buangan. Jika kekurangan hutan atau pokok bakau menyebabkan gas karbon dioksida akan menjadi berlebihan dalam udara kesannya peningkatan suhu udara berlaku dan menjejaskan kehidupan manusia dan hidupan lain. Kini paling popular dimana aktiviti Ekonomi Pelancongan (Eco-tourism) sudah menjadi ikon penting. Pokok bakau menyumbang kepada eko pelancongan daun yang menghijau dan tumbuh ditebing sungai serta laut mengindahkan pemandangan mata memandang. Habitat kepada haiwan tertentu seperti monyet, burung, serangga penambah penarik kepada mereka yang cintakan alam semulajadi dan haiwan. Wetlands Belukar Durian, Tanjung Sedili di Kota Tinggi, Johor, Taman Negara Johor Pulau Kukup dan Tanjung Piai, Taman Paya Bakau, Seri Manjung, Perak, Hutan Bakau Tasik Sulaman, Sabah antara hutan paya bakau yang dijadikan sebagai eko pelancongan, menyasarkan pelancong dalam dan luar negara. Sejak dulu bakau ada Digunakan Untuk Domestik dan Perindustrian kerana kayu bakau pelbagai kegunaan domestik dan juga perindustrian. Lazimnya digunakan sebagai bahan binaan, kayu api dan dijadikan kayu arang dan perabot. Sifat kayu bakau yang tahan seranggan serangga dan kulat menjadi faktor dijadikan bahan binaan seperti cerucuk iaitu tiang rumah atau bangunan. Kini bakau di komersial untuk dijadikan kayu arang, bahan binaan dan kayu api bagi kegunaan harian hinggakan mendapat permintaan dalam dan luar negara sekaligus antara bahan yang dijadikan export oleh syarikat-syarikat/ perusahaan-perusahaan tertentu. Pernah zaman dulu dimana bakau adalah Bahan bakar bagi kegunaan Keretapi dan pernah ada di Sabah adalah negeri yang masih lagi menggunakan bahan bakar untuk mengerakkan keretapi pelancongan sesuai dengan landskap dan keperluan mengekalkan konsep pelancongan yang unik dan mendapat permintaan yang tinggi dari luar negara seperti pelancong dari United Kingdom, Amerika Syarikat, China, Korea dan Asia. Apa pun kepentingan pokok bakau kepada manusia, flora dan fauna sangat penting dalam kehidupan harian tanpa disedari. Pembangunan dan kemajuan yang diusahakan biarlah selari dengan alam semulajadi. 


Negara Malaysia yang mana ia terletak di kawasan tropika membolehkan negara ini mempunyai pelbagai jenis hutan yang unik. Penulis blog dapati dimana salah satu hutan unik yang terdapat di negara ini adalah hutan paya bakau. Hutan ini banyak tertumpu di kawasan pantai berselut dan di muara sungai khususnya di kawasan pantai barat semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Hutan ini merupakan hutan yang mempunyai nilai produktiviti yang tinggi berbanding hutan-hutan lain yang ada terdapat di Malaysia. Perkara ini menyebabkan hutan bakau ini berupaya menyerap sumber karbon lebih tinggi berbanding hutan-hutan lain yang terdapat di negara ini. Hutan paya bakau merupakan hutan unik yang mampu bertaburan di kawasan persekitaran ekstrim dan air masin. Hutan ini terdiri daripada pelbagai spesies pokok bakau seperi Bakau Kurap, Bakau Minyak, pelbagai jenis Tumu, Nyireh dan sebagainya. Hutan paya bakau menjadi habitat pelbagai spesies fauna seperti monyet, ular, memerang, burung serta menjadi lokasi kawasan pembiakan pelbagai jenis kerang, krustasia dan juga ikan. Apa pun diketahui ia menjadikan hutan paya bakau sebagai sebuah kawasan yang mempunyai kepelbagaian biologi yang tinggi. Selain berfungsi sebagai habitat semula jadi pelbagai spesies flora dan fauna dimana hutan paya bakau berperanan sebagai pelindung semula jadi kepada bencana alam seperti tsunami, ombak besar serta ribut. Hutan paya bakau mampu menyerap gelombang besar ombak serta angin kencang seterusnya membolehkan kawasan pesisiran pantai yang dilitupi hutan paya bakau selamat daripada impak bencana. Pada masa yang sama, hutan ini mempunyai nilai ekonomi yang tinggi kepada penduduk setempat. Ia mampu menyediakan sumber ekonomi sama ada dari sumber perikanan, kayu arang dan ekopelancongan kepada penduduk setempat.


Bagaimana pun ancaman terhadap hutan paya bakau masih menjadi isu serius yang berterusan dikebanyakan negara termasuk di Malaysia. Apa yang penulis lihat dimana hutan paya bakau kini berdepan ancaman kemerosotan fungsi dan integritinya akibat tuntutan dari aspek pembangunan dan ekonomi. Banyak kawasan hutan paya bakau telah ditebus guna dan diceroboh untuk dijadikan kawasan pertanian. Hutan ini ditebang dan ditambak bagi membuka ladang pertanian seperti kelapa sawit. Hutan paya bakau juga berdepan dengan ancaman lain seperti pembukaan kolam-kolam udang dan ikan secara komersial. Ini sekali gus menyebabkan penebangan hutan berlaku dengan serius dan ancaman pencemaran di kawasan hutan tersebut. Pada masa yang sama dilaporkan ada kawasan paya bakau yang ditukar menjadi kawasan penempatan manusia seperti di Hutan Paya Bakau Bukit Malut di Langkawi. Hutan paya bakau mula kehilangan fungsi asas utamanya dan mengakibatkan banyak kesan negatif terhadap alam sekitar. Dalam portal bharian.com yang dirujuk kisah 'H
utan Simpan Sungai Baharu diceroboh' sesuai untuk dikongsikan. Kisah dari Bagan Serai ini menyatakan dimana sebahagian Hutan Simpan (HS) Sungai Baharu, Selinsing diceroboh pihak tertentu untuk mencuri kayu bakau yang dipercayai didalangi taukeh tertentu untuk kegunaan projek pembinaan pada harga murah (Sila lihat foto disebelah dan dibawah sekali). Apa pun kegiatan itu terbongkar apabila Jabatan Perhutanan Perak (JPP) menyerbu lokasi berkenaan yang membabitkan dua kawasan sekitar Sungai Makau di alur kecil Sungai Selinsing, manakala dua lagi lokasi berhampiran jeti Kampung Sungai Baru. Keluasan kawasan kecurian bakau itu sekitar enam hektar yang mana penguat kuasa JPP menjumpai lebih 1,000 batang kayu jaras bakau (cerucuk) jenis minyak dan kurap serta tunggulnya. Taukeh warga tempatan itu dipercayai mengupah rakyat asing menebang pokok bakau di situ hanya menggunakan kapak dan bukan gergaji berantai untuk mengelakkan kegiatan itu dikesan orang ramai dan pihak berkuasa. Ini adalah kes pertama dan terbesar membabitkan kegiatan mencuri kayu bakau bagi tujuan komersial di Hutan Paya Laut Matang (HPLM) iaitu untuk dijual sebagai cerucuk bagi projek pembinaan, berbanding kes sebelum ini yang berskala kecil untuk kegunaan sendiri. Operasi diketuai Pegawai Perhutanan Daerah Larut dan Matang, Mohd Hadre Mohamad, turut menjumpai kapak dan perkakas yang dipercayai digunakan dalam kegiatan itu, menunjukkan pihak yang menebangnya baru melarikan diri apabila menyedari serbuan dilakukan pihak berkuasa. Di Sungai Makau dilihat ada 500 kayu bakau disusun di 'catiam' (tempat longgokan bakau) di tebing alur sungai yang sedia untuk diseludup keluar menggunakan bot atau tongkang pada waktu sesuai, kebiasaannya ketika air pasang besar. Pihak terbabit juga melakukan tebangan secara 'rakus' kerana menggunakan kaedah 'potong atau tebang padang' iaitu menebang semua atau hampir semua pokok di sesuatu kawasan hingga menjejaskan pertumbuhan semula bakau dan bekalannya pada masa akan datang. Di tiga lagi kawasan dengan setiap kawasan berkeluasan 0.2 hektar, JPP mendapati ratusan pokok ditebang sejak beberapa minggu lalu namun batang bakau dipercayai sudah dibawa keluar. Modus operasi dimana tauke membayar RM5 bagi sebatang kayu bakau curi kepada warga asing terbabit berbanding RM15 dalam pasaran biasa yang sah. HS Sungai Baru adalah antara 19 kawasan HS yang membentuk HPLM berkeluasan 40,288 hektar yang berjajaran sepanjang 53 kilometer di sepanjang Selat Melaka. Pihak berkuasa sedang memburu "tauke" yang dipercayai terbabit mengupah pihak tertentu mencuri kayu bakau untuk dijual kepada mereka. Kerjasama penduduk diperlukan untuk menyalurkan maklumat supaya tindakan dapat diambil. Kegiatan itu yang membabitkan penggunaan pekerja asing dari negara jiran perlu dibanteras bukan sahaja bagi memastikan negeri tidak kerugian malah mengelak perancangan Pelan Pengurusan 10 Tahun Hutan Paya Laut Matang (HPLM) yang diiktiraf antara terbaik di dunia tidak terjejas. Pihaknya tidak menafikan cabaran besar Jabatan Perhutanan negeri dalam menjaga hutan bakau iaitu berdasarkan bilangan pegawai yang ditempatkan bagi memantau dan menguatkuasakan peraturan. Pihak berkuasa telah membongkar kegiatan menebang balak secara haram di satu kawasan tanah kerajaan bersebelahan HS Pondok Tanjung dimana a siasatan setakat ini menemui 26 tunggul pelbagai spesies balak seperti meranti tembaga, kelat, keranji, nyatoh, petaling dan sesenduk yang telah ditolak dan ditebang. Kawasan diteroka berkeluasan kira-kira 0.7 hektar dan kerugian setakat ini dianggarkan RM25,000. Artikel ini ditulis dalam dua (2) segmen iaitu PArt 1 dan Part 2 yang sesuai dibaca bersama. Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
POKOK BAKAU... TUMBUH MERATA...
KAWASAN PANTAI... SUBUR POKOKNYA...
BANYAK KEPENTINGAN... DAN BERGUNA...
ELAKKAN PENCEROBOHAN...DI JAGA..

By,
M Anem,
Senior Agronomist, 
Taman Cendana, Bandar Melaka Bersejarah,
Melaka,
Malaysia.
(24 Ramadan 1444H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.