Saturday, September 24, 2022

TEKNOLOGI TANAM KACANG TANAH (Part 2)

TANAMAN KACANG TANAH
(Arachis hypogea) atau pun lebih dikenali sebagai 'Groundnut' merupakan sejenis tanaman kontan yang ditanam untuk hasilkan biji kacang tanah. Walau pun tanaman ini kurang popular di Malaysia akan tetapi ia masih diusahakan sebagai pilihan petani. Penulis blog telah merujuk kepada laporan dari Jabatan Pertanian Malaysia dimana pada tahun 2021 hanya ada seluas 74 hektar tanaman kacang tanah dengan pengeluaran sebanyak 227 metrik tan (Sumber: Booklet Stastistik Keluasan Tanaman Makanan, Jabatan Pertanian Malaysia 2021). Hanya ada tiga negeri yang aktif menanam kacang tanah di Malaysia iaitu Kelantan (12 hektar dan hasilkan 53 mt), Terengganu (11 ha) dan juga Perak (10 ha). Keluasan tanaman kacang tanah di Malaysia semakin menurun semenjak 20 tahun lalu kerana kurang menarik minat petani. Dilaporkan dimana hanya beberapa negara di dunia yang luas menanam kacang tanah secara komersial untuk dijadikan produk pertanian utama negara tersebut bagi pasaran domestik dan eksport. Hanya beberapa negeri sahaja yang masih menanam kacang tanah selain daripada 3 negeri tersebut termasik di Johor, Sabah dan Sarawak. Penulis blog dapati dimana hampir sebahagian besar kacang tanah yang ditanam di Malaysia adalah untuk kegunaan segar sahaja iaitu dibuat 'kacang rebus' dan sebahagian kecil pula diproses untuk menjadi Kacang Goreng. Bagaimana pun teknologi penanaman kacang tanah didalam menghasilkan kacang tanah berkualiti perlukan amalan yang tepat dan praktikal. Kacang tanah merupakan komoditi yang cukup popular dinegara jiran Indonesia dimana mereka telah pun menanam kacang tanah yang terus meningkat setiap tahun. Permintaan kacang tanah terus meningkat dan menjadi pilihan ramai sebab kandungan nutrisi yang bermanfaat bagi kesihatan tubuh. Selain itu kacang tanah juga selalunya digunakan sehingga ia menjadi berbagai jenis makanan. Artikel pada pagi Selasa ini didalam blog "Anim Agro Technology'' saya kongsikan teknologi tentang penanaman kacang tanah didalam hasilkan kacang tanah berkualiti untuk dijadikan bahan rujukkan.

Pemilihan biji benih kacang tanah adalah satu perkara asas yang perlu diteliti. Ada kalangan petani dan juga penanam komersil kacang tanah yang akan menggunakan beberapa varieti premium kacang tanah terpilih untuk menentukan keberhasilan terbaik. Pemilihan varieti yang tepat bersesuaian dengan jenis tanah dan juga faktur keadaan cuaca serta pengalaman petani menentukan kualiti kacang tanah yang akan dihasilkan. Petani boleh mendapatkan biji benih kacang tanah dari membuatnya sendiri dari tanaman sedia ada yang mengikuti SOP pemilihan benih atau dengan membelinya sahaja daripada pembekal benih kacang tanah yang dikenalpasti bagus. Kebanyakan petani bagaimana pun akan mem
buat biji benih kacang tanah sendiri kerana ia adalah proses yang cukup mudah. Digalakkan agar memilih benih kacang tanah yang berasal dari varieti unggul dan dipastikan tidak tercampur dengan varieti lain (tulin). Varieti unggul dipilih kerana ia mempunyai ciri daya ketahanan tinggi terhadap serangan penyakit dan menghasilkan mutu hasil tuaian yang berkualiti. Di negara jiran Indonesia apa yang penulis blog pernah membuat lawatan dilaporkan ada banyak varieti disyorkan (tiada ditanam di Malaysia) seperti varieti bernama Zebra, Tapir, Kelinci, Kidang, Anoa, Rusa, Domba, Gajah, Kancil dan Pelanduk. Biji benih kacang tanah yang baik mempunyai ukuran besar dan mempunyai ukuran daun yang lebar dan lebat. Pilih biji benih yang sudah tua atau berumur kira-kira 100 hari di kebun. Pastikan benih kacang tanah tersebut mempunyai kadar pertumbuhan minima sebanyak 90 % dengan kandungan air 9-12%. Dari segi fisizikal pula sebaiknya dipilih biji benih yang mempunyai kulit berkilat, tidak kecut, tidak cacat dan tidak kotor. Benih ini juga dipilih yang berwarna coklat kehitaman dan semasa dibuka tidak mempunyai selaput terutama pada bahagian isi. Setelah biji benih dipilih dan dikeluarkan perlu di jemur selama 4 - 5 hari. Amalan biasa petani ramai yang akan menjaga kualiti biji benih dimana ia sebaiknya ia disimpan selama 3-6 bulan. Apa pun sebagai petua dimana tidak membuka kulit kacang tanah selama jangkamasa penyimpanan. Membuang kulit ini hanya boleh dibuka ketika benih akan digunakan dan kupas dengan tangan untuk menghindarkan dari kerosakan pada benih. 

Sebaiknya sebelum benih digunakan amalan seperti melakukan perendaman untuk mencegah adanya hama dan penyakit yang melekat perlu dilakukan. Aktiviti perendaman juga berguna untuk mempercepat proses percambahan.  Untuk proses perendaman rawatan seperti menggunakan bahan kimia sesuai agar mendapat benih terbaik. Cara merendam adalah dengan jangkamasa selama 2-3 jam sebelum ia diangkat dan ditoskan dan kemudian sedia untuk ditanam. Ramai kata menanam kacang tanah cukup mudah akan tetapi adalah baik jika ia mengikuti amalan betul. Apa pun sebelum menanam benih kacang tanah perlu dipastikan disusun dulu jarak tanaman kacang tanah. Jarak tanaman yang ideal biasa digunakan adalah 40 cm x 20 cm atau 35 cm x 15 cm antara tanaman kacang tanah. Bagaimana pun bagi jenis tanah yang kurang subur disyorkan menanam dengan jarak lebih rapat iaitu 40 cm x 10 cm atau 20 cm x 20 cm. Satu lubang tanam hanya boleh diisi dengan 1 benih kacang tanah sahaja (Sila lihat foto disebelah). Semasa menanam perlu berhati-hati agar tidak merosakan benih dan kemudian lubang tanaman ditutup dengan tanah secara perlahan hingga benih tidak terlihat dan sebaiknya dipadatkan. Jangkamasa penanaman sehingga berhasil lazimnya akan mengambil masa selama sekitar 100 - 130 hari. Jalankan kerja menyulam dikebun apabila tanaman kacang tanah berumur 4 - 7 hari setelah tanam. Pada hari ke 7 diperiksa secara teliti tanaman kacang tanah dimana jika terdapat benih kacang tanah yang tidak tumbuh atau dilihat pokoknya abnormal maka dengan, segera lakukan kerja-kerja penyulaman dan ganti dengan benih yang baru. Kerja ini adalah dengan mengambil benih yang tidak tumbuh dan diganti dengan benih baru dan ditimbus lagi macam awalnya dengan tanah. Lazimnya kerja menyulam boleh dilakukan sehingga hari ke 20 selepas menanam.

Aktiviti penyiraman perlu dilakukan terutama pada peringkat awal semasa penanaman kacang tanah.
 Pengairan yang teratur akan menjaga kelembaban tanah dalam keadaan normal yang membolehkan benih tumbuh dengan baik. Penyiraman dilakukan dua kali sehari pada pagi dan petang dengan pelbagai kaedh tradisional atau sistem pengairan yang sedia dipasang. Pembajaan adalah amalan agronomi yang sangat penting dalam mempengaruhi proses pertumbuhan tanaman kacang tanah. Memang diperlukan baja sesuai kacang tanah yang tepat agar tanaman akan berbuah lebat. Penggunaan baja yang mengandungi bakteria seperti Bacillus mycoides yang dapat membantu memperbaiki keadaan tanah dan meningkatkan kesuburan tanah. Mikrob lain seperti Klebsiella oxytoca yang diberikan juga mampu mempercepatkan proses pertumbuhan tanaman. Kerja mengawal rumpai boleh juga dilakukan sebanyak 2 kali selama proses pertumbuhan kacang tanah. Masa mengawal rumpai terbaik adalah pada tanaman kacang tanah berumur 21 dan 40 hari setelah tanam. Kerja ini dilakukan dengan cara mencabut rumput atau tanaman liar yang tumbuh di sekitar tanaman kacang tanah secara manual atau dengan tajau juga ianya bertujuan untuk menggemburkan tanah diperdu tanaman. Ia juga selalunya akan menjadikan tanaman kacang tanah cepat mengeluarkan hasil disebabkan pertumbuhannya yang baik. Walau pun varieti kacang tanah premium tahan dengan serangan perosak dan penyakit akan tetapi kawalan masih mesti dilakukan. Penyakit yang sering menyerang tanaman kacang tanah adalah penyakit layu, bintik daun, selerotium dan karat daun. Sedangkan jenis perosak yang sering ada menyerang tanaman kacang tanah adalah jenis ulat bulu dan ulat hijau. Elakkan dari menggunakan racun kimia yang  berlebihan pada tanaman kacang tanah anda agar kualiti buah tetap terjaga. Adalah disyorkan juga agar petani meningkatkan frekuensi pengairan atau penyiraman terhadap tanaman kacang tanah untuk kurangkan serangan penyakkit dan perosak. Menuai kacang tanah boleh dijalankan secara sekali gus atau berperingkat-peringkat. Pokok yang matang sesuai untuk dituai apabila berumur berkisar antara 90 - 110 hari (mengikut varieti). Tandanya apabila batang pada tanaman kacang tanah mulai mengeras dan daun tanaman sudah mulai menguning dan gugur. Periksa biji buah dimana akan terasa keras dan penuh jika dipegang dengan kulitnya mulai menjadi berwarna kehitaman dan kulit biji terlihat berkilat. Menuai kacang tanag dengan mencabutnya berhati-hati agar buah tidak rosak dan kutip yang tertinggal didalam tanah. Antara amalan yang biasa dilakukan adalah dengan mana jika tanah masih keras adalah disyorkan untuk menyiramnya terlebih dahulu agar membantu memudahkan kerja mencabut. Bersihkan tanah yang melekat pada buah secara perlahan dan kumpulkan hasil untuk proses selanjutnya. Artikel ini ditulis didalam dua segmen iaitu Part 1 dan Part 2 untuk dibaca bersama. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
TANAM KACANG TANAH... BAGAIMANA...
BACA ARTIKEL INI... TEKNOLOGINYA ADA....
BENIH BERKUALITI... TANAMAN DIBAJA...
HASIL BERKUALITI... BILA CUKUP MASA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(19 Zulhijjah 1443H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.