Saturday, August 6, 2022

KISAH MENGENAI 'KUACI'

KUACI
adalah nama sejenis makanan ringan yang berupa biji semangka, biji labu atau biji bunga matahari yang dikeringkan dan dimasinkan. Kita rakyat Malaysia telah mengenali kuaci semenjak dulu lagi dimana ianya murah, mudah didapati dan enak dimakan. Terdapat banyak jenama popular kuaci yang dijual dipasaran daripada yang mempunyai perisa asli sehingga pelbagai perisa baru yang sungguh menyeronokkan semasa memakannya. Makan kuaci adalah satu aktiviti yang menghayalkan dimana lazimnya kita 'Tidak Mahu Berhenti' makan kuaci kerana ia 'tidak mengenyangkan'. Proses untuk menyediakan biji kuaci akan memberikan aroma sedap dan ditambah perisa garam memberikan rasa enak dimana fungsinya juga meningkatkan ketahanan simpanan. Tambahan rasa dan aroma yang sering dipakai dalam pembuatan kuaci adalah daun pandan, batang serai, kayu manis dan beberapa bahan lain. Kuaci biji bunga matahari (Sunflower seeds) yang berwarna kehitaman banyak dijual dipasaran dimana ia didapati banyak mengandungi vitamin B kompleks, vitamin B6, dan vitamin E. Komponen paling dominan pada kuaci adalah kandungan minyak biji bunga matahari iaitu Asid Lemak tidak Tepu (88%) dan sebanyak antara 44%-72% adalah terdiri kandungan Asid Linoleate. Kadar protein kuaci Tembikai sebanyak 28.3 g/100g dan Biji Bunga Matahari sebanyak 22.8 g/100 g. Kadar lemak pada kuaci biji semangka sebanyak 47.4 g/100 g dan biji bunga matahari sebanyak 49.6 g/100 g (Sila lihat foto isi biji kuaci disebelah). Lazimnya kita akan berhenti makan kuaci apabila mulut dan tangan sudah penat mengopek kulit kuaci. Bahan-bahan yang ada di dalam kuaci mampu melawan kanser, memperbaiki dan mencegah penyakit kardiovaskular, hipertensi dan mampu untuk menurunkan kadar kolesterol. Artikel pagi Sabtu ini saya menulis dalam blog "Anim Agro Technology" mengenai makanan ringan KUACI seperti dilaporkan dalam media untuk dijadikan bahan bacaan dan berkongsi maklumat.

Menarik kisah di portal hmetro.com yang bertajuk 'Haram makan kuaci' dimana di Kota Bharu, Kelantan ketika pasukan bolasepak lain lebih bimbangkan akan masalah suar dan pelbagai peralatan yang mungkin dijadikan senjata oleh segelintir penyokong pasukan yang tidak bertanggungjawab, jutawan kosmetik Datuk Seri Dr Hasmiza Othman tampil dengan idea cukup berbeza iaitu mengharamkan mana-mana individu daripada memakan kuaci sepanjang berada di dalam Stadium Sultan Muhammad Ke-IV. Alasannya cukup mudah - kerada beliau tidak mahu stadium keramat bumi Darulnaim itu kotor gara-gara dicemari kulit kuaci yang pastinya dibuang merata-rata oleh penyokong. Dilaporkan bagi pengasas Vida Beauty Sdn Bhd yang lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida itu, langkah sedemikian perlu diambil bagi memastikan persekitaran Stadium Sultan Muhammad ke-IV yang bakal berwajah baru itu sentiasa bersih serta terjaga. Beliau berkata, bukan niatnya untuk menyekat hak individu penyokong tetapi masalah kekotoran seperti kulit kuaci atau lebih dikenali sebagai ‘butir ralit’ dalam dialek tempatan itu mampu mencacatkan pemandangan. Selain itu dia juga mahu untuk mendidik penyokong supaya menjadi individu lebih berdisiplin sekali gus mengelakkan sebarang balingan objek ke dalam padang.

Perkara sama diperingatkan dalam media sama bertajuk 'Kuaci, kekacang dilarang masuk!' untuk majlis rasmi di Stadium Bukit Jalil. Penonton dipanggung wayang dan peminat acara di stadium lazimnya akan membawa makanan snek seperti kuaci sambil melihat aktiviti yang berlaku ditengah stadium, Pihak berkuasa stadium melarang membawa barang seperti rokok, pisau dan mercun serta makanan ringan seperti kuaci dan kekacang setiap kali ada perhimpunan besar sebelum pandemik covid19 dahulu. Kini stadium tersebut sudah pun digunakan untuk program vaksinasi nasional. Dahulu dilaporkan menurut kenyataan Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) dimana para penonton turut diingatkan tidak membawa masuk barang larangan lain seperti bahan bunyi termasuk ‘air horn’, gunting, payung, topi keledar serta tin dan botol minuman. Pihak Perbadanan Stadium Malaysia berhak merampas barang larangan yang cuba dibawa masuk ke dalam stadium. Menurut kenyataan tersebut para penonton yang membawa barang larangan berkenaan berhak dinafikan kebenaran masuk ke dalam stadium jika perlu. Pihak stadium akan mengadakan pemeriksaan keselamatan menyeluruh di pintu masuk. Penonton turut diingat dalam cara mengekalkan keharmonian dan mengelak melakukan tindakan yang boleh menyebabkan serangan, keganasan atau ancaman kepada pihak lain. Penonton selalunya akan membuang kulit kuaci bersepah-sepah distadium (Sila lihat foto disebelah). Pihak stadium perlu membersihkan kulit kuaci ini setiap kali ada acara berlangsung di stadium.

Beberapa instagram, facebook dan media tempatan laporkan produk 'Kuaci Ketawa' iaitu satu nama unik digunakan untuk memikat pelanggan. KIsah yang dilaporkan dari Tumpat, Kelantan ini memang
 kedengarannya agak lucu namun nama itu yang menjadi rahsia di sebalik kejayaan perniagaan makanan ringan tersebut sehingga mampu menghasilkan 600 botol sehari dengan hasil jualan sekitar RM40,000 sebulan. Ia adalah hasil kegigihan Anis Ayuni Mohammed (30 tahun) yang mencari nama yang unik bagi menarik perhatian pembeli terhadap produk kuaci bunga matahari berperisa yang diusahakannya, terbukti berbaloi apabila akhirnya ia mampu berdiri sama gah dengan dengan produk makanan ringan lain. Katanya, nama 'Kuaci Ketawa' itu diperoleh sewaktu beliau menyertai kursus perniagaan di Kota Bharu, Kelantan apabila mentornya yang hanya dikenali dengan panggilan 'Cef E', mengesyorkan supaya meletakkan nama yang unik dan mudah diingati pada setiap produk yang diusahakan. Ketika dalam kelas tersebut, saya cuba mencari beberapa nama yang unik sehingga mencetuskan gelak ketawa dan pada waktu itulah mentor saya cadangkan kepada saya supaya menggunakan nama 'Kuaci Ketawa'. Sebaik sahaja dia mendengar perkataan itu, saya tanpa berfikir panjang terus setuju dengan nama itu. Kilangnya yang berada di Kampung Periok, Tumpat menghasilkan produk tersebut. Bercerita lanjut mengenai perniagaan yang ceburi, ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, dia memulakan perniagaan dengan modal RM2,000 dan di peringkat awal, pelbagai dugaan dan jatuh bangun terpaksa ditempuhi sebelum mampu berdiri teguh seperti hari ini. Ada banyak jenis perniagaan saya cuba daripada menjual produk kecantikan hinggalah makanan. Dari situ, saya ambil semua ilmu yang saya pelajari, sehingga akhirnya memutuskan untuk menghasilkan dan memasarkan produk sendiri. Dia mengolah sendiri resipi kuaci tersebut dengan menjadikan media sosial terutama YouTube sebagai sumber rujukan, bagi memberikan kelainan rasa kepada pelanggan, sekali gus membezakannya dengan jenama kuaci yang lain. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. 
Wasallam!!!.
NAMA KUACI...IA SNEK RINGAN...
MAKAN BANYAK.. TAK KENYANG...
ISI LEMAK... KULITNYA DIBUANG...
KUACI KETAWA.... SATU KEJAYAAN...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Bandar Melaka,
Melaka,
Malaysia.
(24 Rejab 1443H). 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.