Kelapa Varieti Sungai Gulang-Gulang (SGG) dengan nombor daftar CN16 dalam 'National Variety Listing' Jabatan Pertanian telah pun didaftarkan pada Julai 2013. Tanaman Kelapa (Cocos nucifera L.) merupakan tanaman penting di Malaysia dengan keluasan 96,500 hektar telah direkodkan oleh Jabatan Pertanian pada tahun 2015. Terkini keluasan tanaman kelapa di Malaysia sekitar 84,229 hektar dengan pengeluaran sebanyak 566,595 metrik tan pada tahun 2021 (Sumber: Booklet Statistik Keluasan Tanaman, Jabatan Pertanian Malaysia 2021). Kajian penulis mendapati hampir 65% varieti kelapa yang ditanam adalah dari jenis Malayan Tall (CN1) dan sekitar 8% adalah kelapa varieti Pandan (CN6). Kelapa Matang kini telah mencecah keluasan sekitar 1,500 hektar diseluruh negara dengan kawasan utama verada di Johor, Perak dan Selangor mendominasi kelapa hibrid matag ini. Kini Kelapa Varieti Sungai Gulang-gulang (SGG) yang telah pun didaftarkan oleh Encik Ismail bin Tahir iaitu petani dari kawasan kampongnya di Lot 160, Batu 5 1/2, Kg. Sg Gulang-gulang, Tanjong Karang, Selangor mulai dikenali ramai. Pokok kelapa ini dipercayai ujud apabila dilaporkan oleh pakar kelapa apabila dipercayai berlaku mutasi atau pembiakan silang daripada jenis kelapa renek (dipercayai dari pokok induk Malayan Brown Dwarf - MBD) dengan beberapa pokok kelapa lain dipersekitarannya. Bagaimana pun ia masih tetap kategori kelapa renek dengan pokoknya yang sudah berbuah awal seperti yang penulis lawat di Stesyen Pertanian Sekendi, Sabak Bernam, Selangor dimana pokok induk di Sungai Gulang-gulang ditanam untuk penyelidikan (Sila lihat foto disebelah). Melihat saiz buah besar pada pokok berumur 3.5 tahun ini penulis blog rasa amat gembira untuk membuat penelitian ketika membuat penilaian teknikal pada pokok kelapa CN16 ini. Banyak keterangan mengenai kelapa ini dalam artikel tulisan saya yang boleh dirujuk dengan pautan berikut (Sila klik disini). Tulisan pada tahun 2014 ini sudah lama dijadikan rujukkan oleh banyak pihak.
Varieti KELAPA MBD atau Malayan Brown Dwarf (Cocos nucifera) adalah merupakan satu jenis atau varieti kelapa renek yang kurang dikenali ramai. Hasil kajian penulis pada tahun 2013-2014 masa itu mendapati pokok kelapa ini ada ditanam di MARDI, Bagan Datok, Perak didalam plot penyelidikkan mereka. Dilaporkan juga pokok kelapa MBD ini ada juga dilaporkan ia ditanam oleh petani di Alor Gajah, Melaka. Benih kelapa ini dipercayai dibawa masuk ke Malaysia melalui kerjasama COGENT untuk menjaga janaplasma kelapa renek diseluruh dunia sebagai langkah penting dalam industri penanaman kelapa. Kelapa MBD mungkin ada juga yang telah ditanam oleh petani atau pekebun kecil lain dalam negara tanda disedari atau diketahui mereka. Ini kerana menlihat daripada pencirian yang ada pada pokok tersebut dimana masa itu penulis ada melihat beberapa ciri persamaan marfologi dengan jenis Kelapa Sungai Gulang-Gulang (SGG) yang ditanam oleh beberapa petani dikawasan tersebut dengan Kelapa MBD secara kasar. Ada yang kalangan pakar berpendapat mungkin varieti kelapa Sungai Gulang-Gulang (CN16) ini adalah hasil mutasi pokok kelapa MBD. Menurut Ketua Stesyen MARDI Sg Sumun, Bagan Datok, Perak potensi hasil pokok dewasa berumur 8 tahun mampu menghasilkan sebanyak 8,000 - 10,000 buah sehektar setahun. Kiraan saya mendapati pokok berumur 4 tahun diplot kajian mereka mempunyai sebanyak 12 - 18 biji buah setiap satu tandan. Satu tandan kelapa akan keluar setiap bulan bermakna sepokok akan menghasilkan antara 140 - 210 biji setahun. Anda boleh kira berapa banyak buah kelapa dihasilkan jika 178 pokok kelapa ditanam sehektar. Kelapa MBD boleh ditanam daripada buah biji kelapa matang yang gugur dan telah dikhususkan untuk pengeluaran benih (Perlu ditutup dengan plastik pendebungaan atau pokok benih isolated). Ia tidak perlukan proses kacukan seperti kelapa hibrid Matag atau MAWA yang kos pengeluaran benihnya tinggi. Saya ada menulis artike mengenai kelapa MBD pada tahun 2014 juga yang boleh dirujuk (Sila klik disini). Sehingga kini bulan Julai 2022 pendaftaran kelapa varieti MBD didalam proses dan belum diluluakan (kemungkinan akan menjadi sebagai Kelapa CN18).
Hanya pada tahun 2022 (Julai 2022) barulah laporan kajian teknikal tentang kedua varieti kelapa SGG dan MBD ini baru sahaja selesai di buat penelitian. Laporan ini dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian selepas 8 tahun penulis blog 'agak kabur' sama ada ia adalah varieti kelapa yang sama atau varieti berlainan untuk didaftarkan. Ia mengambil masa agak lama kerana menunggu kedua-dua pokok kelapa tersebut yang ditanam sudah menghasilkan buah yang stabil (umur pokok kelapa mesti melebihi 5 tahun). Kemudian barulah laporan pencirian keduanya dapat dilakukan mengikut kaedah yang sesuai untuk membezakannya. Penulis blog agak lega dengan draf laporan awal yang dilakukan oleh pakar kelapa di bahagian Kawalan Kualiti Tanaman, Jabatan Pertanian Malaysia yang berjaya melakukan tugasan yang dimulakan zaman saya bertugas dahulu untuk melalukan penelitian terhadap kedua variti kelapa yang berpotensi untuk di komersilkan di Malaysia. Usaha berterusan perlu dilakukan agar industri penanaman kelapa di Malaysia akan terus berkembang dimasa akan datang. Apa yang penting selepas ini adalah mempastikan bekalan benih kelapa berkualiti dan dijamin tulin melalui Skim Pengesahan Bahan Tanaman (SPBT) di bawah kelolaan Jabatan Pertanian Malaysia akan dilaksanakan dengan sistematik. Keberadaan benih kelapa varieti SGG dan MBD perlu terus diperluaskan dan diperbanyakan agar bekalan kelapa di Malaysia tidak kekurangan dimasa akan datang. Sila baca artikel ini dalam Part 2 untuk keterangan lebih terperinci. Artikel ini ditulis dalam dua (2) segman iaitu Part 1 dan Part 2 untuk dibaca bersama untuk Part 2 (Sila klik disini). Artikel ini kali pertama ditulis bagi menjelaskan penerangan teknikal perbezaan kedua varieti kelapa kali pertama di Malaysia mengenai perbezaan antara varieti kelapa SGG (CN16) dengan varieti kelepa MBD (Dalam proses pendaftaran) di Malaysia untuk dirujuk. Semuga tulisan teknikal ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology. Terimakasih juga kepada rakan-rakan di Bahagian Kawalan Kualiti Tanaman, Jabatan Pertanian Malaysia, Putrajaya yang berkerjasama didalam penulisan artikel ini. Wasallam!!!..
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.