Thursday, February 10, 2022

AMALAN AGRONOMI PADI HUMA (Part 1)

TANAMAN PADI HUMA atau PADI BUKIT (Hill paddy) merupakan sejenis tanaman padi yang ditanam dikawasan tanah mineral atau tanah tanpa genangan air dikawasan lereng bukit. Di Malaysia dan seluruh dunia dimana cara penanaman yang kini banyak diusahakan adalah tanaman Padi Sawah yang mana ia perlukan banyak air sepanjang pertumbuhannya. Padi huma di tanam kebanyakan di kawasan pendalaman oleh masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia dan juga penduduk pribumi di Sarawak serta Sabah. Tanaman padi ini masih diamalkan oleh masyarakat pribumi tempatan sebagai satu tanaman yang agak penting sejak dahulu untuk menampung bekalan asasi makanan mereka. Merujuk kepada statistik Jabatan Pertanian, keluasan tanaman padi huma di Malaysia masih tidak dapat dipastikan kerana tidak direkod secara rasmi dimana daripada seluas 644,854 hektar kawasan tanaman padi pada tahun 2020 dengan hasil padi sebanyak 2,343,760 metrik tan (Sumber : Booklet Statistik Tanaman Makanan, Jabatan Pertanian Malaysia 2021). Purata produktiviti tanaman padi di Malaysia pada tahun 2020 pula adalah sebanyak 3,435 metrik tan sehektar. Bagaimana pun adalah dianggarkan keluasan sentiasa tanaman padi huma ini sentiasa turun naik dimana ia banyak bergantung kepada cuaca dan isu-isu tempatan semasa. Penulis menganggarkan tanaman padi huma sekitar 700 - 1,200 hektar setahun terutama di Sarawak (520 ha) dan Sabah (140 ha) dan bakinya di Semenanjung Malaysia. Kajian di Semenanjung Malaysia tanaman padi huma hanya terdapat di Pahang, Perak, Kelantan, Terengganu dan sedikit di Johor. Penanaman padi huma ini walau pun hasilnya rendah akan tetapi ia signifikan untuk kawasan pendalaman yang agak sukar untu mendapatkan bekalan beras dari luar dan sudah menjada budaya mereka sejak lama dahulu. Artikel pagi ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa amalan teknologi atau proses menanam padu huma dari mula sehingga selesai untuk bacaan dan rujukkan semua.

Sememangnya p
adi Huma atau lebih dikenali sebagai padi bukit merupakan sejenis padi yang ditanam di lereng bukit. . Proses menanam padi bukit adalah sangat berbeza dengan proses menanam padi sawah. Menanam padi bukit lebih mencabar disebabkan bukan sahaja ia memerlukan kegigihan yang tinggi malah lebih menggunakan tenaga tulang empat kerat berbanding peralatan seperti mesin untuk pengusaha dapat melakukannya. Bagi mereka yang belum pernah melihat atau mengalami sendiri bagaimana atau apa proses-proses yang harus dijalankan bermula dari membuka tanah hinggalah terhasilnya padi bukit semestinya tertanya-tanya bagaimana jerih payahnya menanam padi bukit boleh membaca artikel ini sehingga habis. Bagaimana amalan agronomi tanaman padi huma ini berlainan mengikut lokaliti dan adat budaya sesuatu penempatan. Secara asasnya ia boleh dibahagikan kepada 8 bahagian perlaksanaanya. Proses menanam padi bukit boleh diringkaskan iaitu Menebas, Menebang, Membakar, Membakar sisa-sisa kayu yang berbaki, Menugal (menanam), Membersihkan rumpai, Menuai dan Memisahkan biji padi dari tangkainya. Di Sabah mereka mempunyai istilah khusus didalam menanam padi huma iaitu Momorilik (Menebas),  Managad (Menebang), Montutud (Membakar), Mongurak (Membakar sisa-sisa kayu yang tidak terbakar dalam proses 'montutud'), Mangasok (Menugal atau proses menanam padi),  Memegamas (Membersih), Mongomot (Menuai) dan akhirnya adalah Mongogik (Memisahkan biji padi dari tangkainya). 

Jadual ini dari aktiviti  1 - 4 biasanya dilakukan dalam bulan 9 setiap tahun. Aktiviti kerja yang ke-5 dilaksanakan dalam bulan 10 dan seterusnya bagi aktiviti kerja ke-6 dilaksanakan semasa padi baru tumbuh. Aktiviti yang ke-7 pula biasanya dilakukan pada bulan 3 tahun seterusnya. Kerja membersih hutan dengan cara menebas semak samun terdiri dari pokok kecil dan tumbuhan-tumbuhan renek yang ukurannya kecil. Bagi membuka tanah yang akan diusahakan sebagai penanaman padi bukit amalan ini merupakan langkah pertama yang perlu dijalankan bagi memudahkan proses untuk menebang pokok-pokok yang lebih besar dan juga seterusnya juga memudahkan amalan proses membakar nanti. Aktiviti ini biasanya dijalankan oleh ahli keluarga pengusaha tersebut. Walaubagaimana pun amalan ini juga kadang-kadang dijalankan secara bergotong-royong terutama sekali apabila tanah yang ingin dibuka itu mempunyai jumlah keluasan yang besar. Amalan menebang pokok akan dijalankan selepas selesai menebas. Walau bagaimanapun apa yang penulis blog pernah membuat tinjuan dimana ia kadangkala dijalan sekali semasa kerja menebas hutan. Ia selalunya akan bermula daripada bahagian bawah bukit dan menaik keatas bukit secara berperingkat menggunakan peralatan yang asas sahaja seperti parang, kapak dan gergaji. Bagaimana pun penggunaan mesin gergaji kini (chainsaw) dilaporkan telah mempercepatkan proses ini dilapangan. 

Bergantung kepada jumlah orang yang melakukannya, jumlah keluasan tanah,  keadaan terain tanah, cuaca dan peralatan digunakan kerja memerun tanah ini akan akan 
mengambil masa beberapa hari atau minggu untuk disiapkan. Biasanya kayu-kayu yang telah di tebang akan dibiarkan sehingga kering. Kalau hari-hari hujan memang lambat kering dan lambat untuk membakar kayu-kayu tersebut. Kalau hari-hari panas terik pun susah juga kerana ada potensi ia berisiko untuk terjadinya kebakaran. Kerja ini kalau panas terik berpanjangan perlu ambil langkah-langkah berjaga-jaga. Sebaiknya boleh disediakan air dalam tangki untuk memadam kebakaran jika berlaku. Dari segi kesuburan tanah lazimnya lokasi dimana pengumpulan kayu bakar ini akan meninggalkan sisa bakaran tanah dimana kawasan ini merupakan paling subur ditanam padi. Kandungan unsur baja P dan K hasil bakaran kayu dan bahan organik ini lazimnya akan menyuburkan tanaman padi huma. Kerje memerun ini pun bergantung kepada cuaca juga. Kerja memerun ini adalah kerja mengumpulkan kayu-kayu, daun-daun atau ranting dalam satu timbunan dan bila siap ia kemudiannya dibakar. Biasanya ia menimbulkan kesan yang kurang menyenangkan kerana ia akan menyebabkan jerebu dan risiko kebakaran sehingga semua bersih (Sila lihat foto disebelah). Amalan agronomi ini adalah yang paling penting dalam menanam padi bukit ini di mana daripada pembakaran tersebut akan menghasilkan baja semulajadi untuk menjamin kesuburan dan pertumbuhan padi yang akan ditanam. Artikel ini dibahagikan kepada dua segmen iaitu Part 1 dan Part 2 yang sesuai dibaca bersama. Semuga artikel mengenai amalan agronomi tanaman padi huma ini berguna untuk semua pembaca blog anim agro technology. Wasallam!!!.
PADI HUMA... SATU AMALAN LAMA...
MULA TEBANG...MEMERUN PULA...
MENUGAL... MUSIM HUJAN MASANYA...
MENUAI PADI... SANGAT GEMBIRA,,,

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Jalan Cendana,
Bandaraya Melaka Bersejarah, 
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia.
(8 Rejab 1443H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.