Thursday, January 27, 2022

PROGRAM TANAMAN KOPI DI KEDAH

NEGERI KEDAH
telah menyasarkan penambahan sebanyak 50 hektar kawasan penanaman kopi dalam tempoh lima tahun akan datang menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan ini sekali gus memenuhi permintaan pasaran kopi negara. Penulis blog merujuk kepada laporan statistik daripada pihak Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) pada tahun 2022 jumlah 
keluasan kawasan penanaman kopi di seluruh Malaysia adalah seluas 2,200 hektar dengan jumlah pengeluaran sebanyak 4,241 tan metrik berbanding 2,114 hektar pada tahun 2019 meliputi 3,559 tan matrik. Penulis blog merekodkan dari sumber rasmi dimana negeri pengeluar utama kopi adalah Sabah (1,860 ha) dan Johor (220 ha) yang melibatkan seramai 2,000 pemain industri penanaman kopi di seluruh negara. Negeri lain yang ada tanaman kopi adalah Kedah, Sarawak dan Pahang yang keluasannya sedikit sahaja. Hanya kurang sekitar 50 hektar terkini keluasan tanaman kopi yang ada di Kedah akan tetapi kini program penanaman kopi di negeri tersebut telah mendapat perhatian ramai. Ini adalah disebabkan ada iklan bagaimana seorang petani tua naik motorsikal ke ibukota untuk memasarkan produk kopi tempatan dari Kedah (KOPI KEDAH) yang di taja oleh syarikat kopi tersohor di Malaysia iaitu Nescafe. Gimik tersebut sebenarnya mempengaruhi ramai orang untuk mengetahui apakah sebenarnya wujud ladang kopi yang luas di Kedah. Malaysia sebenarnya negara pengimport kopi tegar (nett importer) dengan jumlah ratusan metrik tan biji kopi mentah diimport terutama dari Indonesia dan Vietnam untuk diproses menjadi produk berasaskan kopi. Saya ada menulis lebih 150 buah artikel mengenai industri, penanaman dan teknologi kopi dalam blog ini untuk dibaca dan juga dirujuk. Bagaimana pun artikel dalam blog "Anim Agro Technology" malam Khamis ini iaitu artikel ke 6,853 saya mempaparkan bagaimana laporan media tempatan telah dirujuk mengenai program penanaman kopi di Kedah untuk dijadikan bahan bacaan pembaca blog semua.

Portal berita utusan.com dengan kisah bertajuk '
RM4.5 juta bangunkan industri tanaman kopi' menarik untuk ditulis semula dan juga dikongsikan. Bagaimana pun sebelum melanjutkan kisah tersebut dipaparkan foto penulis blog membuat tinjauan teknologi bagi tanaman kopi Robusta di Tenom, Sabah bersama pegawai penyelidik dan beberapa pegawai pengembangan Jabatan Pertanian Sabah (Sila lihat foto disebelah). Sabah merupakan pengeluar utama kopi tempatan dari jenis Liberica dan Robusta. Berita dari Kedah tersebut menyatakan dimana Exco Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri iaitu YB Azman berkata setakat ini Kedah hanya memiliki 50.46 hektar penanaman kopi sedia ada sekitar daerah Sik, Baling, Kubang Pasu, Padang Terap, Yan dan Pendang membabitkan penanaman lebih 46,000 pokok dan 47 orang petani sahaja berbanding Negeri Sabah ribuan hektar. Program dicadangkan ini dapat menambahkan keluasan penanaman kopi sebanyak 50 hektar dalam RMK12 dimana ini akan turut disertai penambahan bilangan petani sejumlah 60 orang bagi menjayakan Projek Pembangunan Kopi Robusta di Kedah. DIlaporkan di daerah Sik ada seluas 23 hektar kawasan ladang kopi yang sedang membangun membabitkan 17 peserta dan 27,000 bilangan pokok iaitu di  antara terbanyak di Kedah. Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan kerja ke beberapa projek pembangunan kopi di Kampung Bandar Hilir, Teloi, Sik, Kedah. Perusahaan kopi telah lama diusahakan rakyat Kedah tetapi kurang berkembang sejak lama. Kini dengan adanya jalinan serta kerjasama yang telah diberi nafas baharu oleh syarikat swasta iaitu Nestle yang mempromosikan edisi terhad menerusi Nescafe Kopi Kedah berjaya memberi nilai tambah kepada produk keluaran tempatan. Penduduk Kedah telah lama mengusahakan tanaman kopi dikelolakan oleh Jabatan Pertanian dan beberapa pihak lain iaitu sejak 90-an namun penghasilan kopi terhenti apabila harga kopi dan cara pasaran tidak menentu. Kemerosotan itu menyebabkan dimana biji kopi mentah kopi terpaksa diimport dari luar untuk industri kopi tempatan.

Portal berita lain iaitu BH bertajuk '
50,000 benih pokok kopi diagihkan kepada peladang' telah dinyatakan semasa pelancaran  Program Nescafe Disemai Dengan Kasih di Kuala Lumpur (Sila lihat foto disebelah). Berita dari Kuala Lumpur menyatakan dimana ada kira-kira 200 peladang di seluruh negara bakal menerima 50,000 benih pokok kopi untuk diusahakan iaitu satu program yang membabitkan tanah seluas 40.46 hektar menjelang tahun 2021. Menurut info dari Pegawai Eksekutif Perniagaan Minuman, Nestle Malaysia iaitu Othman Chraibi dimana pengagihan anak benih ini adalah fasa perintis bagi Program Nescafe Grown Respectfully (Disemai Dengan Kasih) anjuran Nestle Malaysia dengan kerjasama beberapa agensi bagi memulihkan semula industri perladangan kopi negara. Kerjasama membabitkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA); Jabatan Pertanian Negeri Kedah (DOA); Lembaga Kemajuan Ekonomi Kedah (KEDA); Pertubuhan Kami Anak FELDA (KAF) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI). Sebelum ini dilaporkan dimana Jabatan Perkhidmatan Agrikultur Nestle Malaysia juga pernah mengadakan kerjasama dengan KEDA iaitu pada awal 1990-an membabitkan keluasan 1.21 hektar.  Ketika itu tapak semaian tanaman induk dibangunkan bertujuan menyokong pembangunan tanaman kopi tempatan dan ini sekali gus membantu peladang meningkatkan sumber pendapatan. Kali ini kerjasama diperluaskan menerusi Program Grown Respectfully (Disemai Dengan Kasih) dengan matlamat yang sama dan diperkasakan menerusi amalan pertanian baik. Bagi mencapai amalan pertanian baik dengan sumber yang mapan maka aktiviti kebun demonstrasi lapangan dan sesi latihan diadakan pada program ini bagi menumpukan peningkatan produktiviti, pengurangan kos ladang, meminimumkan kesan alam sekitar dan meningkatkan kecekapan kerja peladang. Program itu akan menyemai etika pertanian yang baik dengan menumpukan kepada tiga tunjang utama, iaitu menyantuni peladang, komuniti dan bumi. Objektif pelaksanaan program ini adalah untuk menaik taraf kualiti produk dan menghargai pengguna.

Dilaporkan dimana Nescafe adalah jenama terbesar kopi di Malaysia. 
Syarikat ini kini menggalakkan aktiviti menanam kopi sebagai pendapatan baharu negara dan mendapatkan bekalan bahan mentah berkualiti serta tidak perlu diimport. Dinyatakan dimana iklim Malaysia sesuai untuk tanam kopi jenis robusta dengan tanah landai seperti di Kedah. Benih robusta dari Ivory Coast yang juga menjadi pusat penyelidikan dan pembangunan kopi Nestle. Pada fasa pertama sebagai pelopor tanaman ladang di Kedah iaitu sebelum dikembangkan program ini ke negeri lain. Namun begitu dilaporkan ia perlu mengikut kesesuaian jenis tanaman kopi seperti Arabica yang ditanam di tanah tinggi seperti Cameron Highlands, Pahang, manakala kopi Liberica ditanam di Tenom, Sabah. Pada tahun 2020 pihak Nestle Malaysia bekerjasama dengan FELDA berjaya menyediakan tanah ladang untuk mempelbagai tanaman iaitu selain getah dan sawit. Pihak syarikat memerlukan lebih ramai petani muda dan berpengetahuan seawal usia 26 tahun. Sehingga kini mereka sudah membantu 100 petani muda dan bakal menerima 100 lagi peserta pertanian iaitu bagi program Grown Respectfully. Kini dengan memberi sokongan, latihan dan material maka peladang akan dapat menambahkan lagi pendapatan dengan membekal bahan mentah seperti beras dan cili, yang kami beli terus daripada petani Kedah dan Kelantan. Mereka kini mahu petani kenal kopi melalui latihan dan mengenali pokok serta memilih biji kopi terbaik. Sudah disediakan standard dengan teknik latihan dengan kaedah termudah. Petani di Kedah sudah maklum dan faham mengenai kualiti biji kopi yang memenuhi standard. Syarikat akan melatih peladang menggunakan teknik cantuman penanaman pokok secara besar-besaran daripada benih. Selepas dua tahun hasilnya dapat dituai. Apabila pokok mencapai ketinggian dua meter, peladang dapat memetik biji kopi dengan mudah. Kini pihak Nestle Malaysia menyediakan nasihat teknikal untuk semua perkara berkaitan penghasilan dan pengeluaran benih kopi, perladangan, penyelenggaraan lapangan serta operasi selepas tuai. Selain latihan berterusan dalam amalan pertanian baik untuk peladang, pihaknya turut memantau semua tanaman kopi bagi memastikan tumbesaran dan penghasilan yang baik

Mononton iklan Nescafe di TV dan juga membaca kisahnya di media '
Nestle Lancarkan ‘Nescafe Kopi Kedah’. 100% Guna Biji Kopi Ditanam Di Kedah' berkaitan dalam artikel ini. Media melaporkan dimana menurut Nestle, kopi yang ditanam di Kedah adalah kopi jenis Robusta yang dibawa khas dari Ivory Coast.
Ini juga kerana benih ini lebih sesuai bagi ditanam dengan iklim di Malaysia dan kawasan yang landai seperti Kedah. Nestle juga menyediakan latihan untuk dapat meningkatkan produktiviti biji kopi serta menjaga kualiti biji kopi menjadi lebih premium. Selain itu juga ia akan membantu meningkatkan pendapatan negara dan membantu dari kebergantungan Nestle Malaysia terhadap produk import.Dilaporkan dimana selain tanaman padi, tanaman kopi juga terkenal di Kedah. Mungkin sebelum ni tidak ditanam secara besar-besaran dan hanya ditanam oleh orang-orang kampung sahaja. Dengan usaha sama Nestle dan beberapa agensi kerajaan ni mungkin dapat memperluaskan lagi tanaman kopi di Kedah dan seterusnya seluruh Malaysia. Kebanyakan orang Kedah ni memang minum kopi jenama mereka sendiri. Mudah didapati di sekitar Kedah, contohnya seperti kopi cap gantang, yang paling famous di sana. Even kerabat DiRaja Kedah juga kebanyakan dari mereka minum kopi kampung. Promo iaitu 'Kopi Kedah, Rasa Lebih Ringan dan tidak keras' menarik difahami. Kalau siapa yang pernah minum kopi dari Kedah maka mereka akan tahu rasa dia macam mana. Bagi yang tak berapa menggemari kopi, anda akan boleh minum Kopi Kedah ini sebab rasanya lebih ringan dan tak keras. Sesuai untuk semua lapisan umur. Jadi memang mungkin anda akan suka Nescafe Kopi Kedah ini. Mudah sahaja nak minum, hanya perlu bancuh seperti nescafe biasa yang dijual. Baunya semerbak harum macam kopi Starbucks! Jom dapatkan di pasaraya berdekatan anda. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!
.
TANAMAN KOPI... DI TINGGAL LAMA...
SABAH DAN JOHOR... SAHAJA ADA...
PROGRAM BARU... KEDAH MENCUBA...
SYARIKAT NESTLE... ADA BANTUANNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(24 Jamadilakhir 1443H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.