Saturday, October 30, 2021

DASAR AGRO MAKANAN NEGARA DI LANCAR

DASAR AGRO MAKANAN NEGARA
, 2021-2030 (DAN 2.0) digubal dengan visi bertujuan untuk membangunkan sektor agromakanan yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi dalam usaha bagi memacu pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta mengutamakan sekuriti makanan dan nutrisi. Visi ini telah diterjemahkan dalam pernyataan dasar dengan berpandukan tiga prinsip utama pembangunan mampan iaitu ekonomi, sosial dan alam sekitar. Ketetapan ini adalah selari dengan agenda pembangunan negara dan matlamat global seperti yang telah dihasratkan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) dan Agenda Pembangunan Mampan 2030 (SDG 2030). Pelaksanaan DAN 2.0 dipacu oleh 6 objektif, didukung oleh 5 teras serta disokong oleh 21 strategi dan 77 pelan tindakan yang akan direalisasikan melalui pelbagai jabatan dan agensi dalam tempoh 10 tahun sehingga 2030. Teras dasar tersebut merangkumi pemerkasaan pemodenan melalui pertanian pintar dan peningkatan aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I), pengukuhan rantaian nilai produk agromakanan untuk pasaran domestik dan antarabangsa, pembangunan bakat dan tenaga kerja mahir, penekanan ke arah amalan pertanian mampan serta pemudahcaraan ekosistem perniagaan termasuk guna tanah, kewangan, infrastruktur, pelaburan dan tadbir urus. Pada masa yang sama, DAN 2.0 juga memberikan tumpuan khusus kepada 4 subsektor termasuk padi dan beras, buah-buahan dan sayur-sayuran, ternakan serta perikanan dan akuakultur melalui pelaksanaan 18 strategi dan 58 pelan tindakan. Strategi tersebut akan memfokuskan kepada aktiviti bernilai tinggi di sepanjang rantaian nilai makanan yang dapat menjana pendapatan yang lebih tinggi kepada golongan sasar dan meningkatkan taraf sosioekonomi petani, penternak, nelayan dan usahawan tani. Justeru itu, hasrat DAN 2.0 akan dicapai dengan sokongan daripada semua pihak yang terlibat. Oleh yang demikian, saya berharap dasar ini akan menjadi satu inspirasi dan faktor dorongan kepada pihak swasta dan pemain industri untuk bersama-sama dengan Kerajaan bagi menerajui pembangunan sektor agromakanan sebagai sektor yang berdaya saing dan moden, seterusnya memastikan kejayaan DAN 2.0. Artikel subuh ini dari Melaka saya menulis dalam blog "Anim Agro Technology"  mengenai apakah dia kandungan dan ringkasan sebahagian yang ada didalam Dasar Agromakakan Negara (DAN) 2.0 untuk dijadikan bahan rujukkan pembaca semua. Maklumat lanjut boleh dicari sendiri didalam internet.

Perkembangan yang berterusan dalam Sektor Agromakanan menyokong tiga elemen utama pembangunan negara iaitu tadbir urus, ekonomi dan masyarakat. Sistem makanan secara berterusan memainkan peranan yang penting dalam masyarakat manusia yang memastikan pemakanan harian dan fisiologi asas bagi kemandirian manusia dipenuhi. Sebagai mana dengan negara lain, sistem makanan Malaysia ianya beroperasi atas asas sektor agromakanan yang bercirikan jaringan yang kompleks antara berbilang penggerak dengan profil, tanggungjawab, kepentingan dan kepakaran yang berbeza. Ia berfungsi sebagai suatu industri pengeluaran makanan mempunyai impak yang signifikan daripada peringkat tertinggi mengalir ke akar umbi semua masyarakat. Impak ekonomi dan sosial industri adalah jelas apabila pada tahun 2019, industri tersebut menggaji lebih kurang 500,000 orang (~4.00% jumlah tenaga kerja), menyumbang kepada ~3.50% KDNK negara dan mempunyai jumlah penggunaan tanah sebanyak 5.63 juta Hektar yang merupakan kira-kira 17% daripada jumlah kawasan tanah Malaysia. Dengan ekonomi dunia beralih kepada landskap yang sentiasa dinamik lagi kompetitif, ketika mengalami tekanan pandemik global yang telah dan seterusnya akan mengganggu aktiviti ekonomi dan juga punca pendapatan individu, keadaan sekuriti makanan kini merupakan satu daripada tumpuan utama yang akan benar-benar mempengaruhi pembangunan jangka panjang negara. Untuk mencarta tindakan yang selanjutnya bagi industri agromakanan Malaysia dalam dekad akan datang (2021-2030), di tengah-tengah kemunculan trend serta cabaran yang baharu maka Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) akan menggantikan Dasar Agromakanan Negara 1.0 (DAN 1.0) sebagai dokumen dasar yang komprehensif bagi seluruh industri agromakanan.

Dasar ini juga menyatakan kadar penggunaan Per kapita bagi komoditi Makanan Utama berdasarkan jumlah penggunaan komoditi utama didalam agromakanan dari tahun 2010 hingga tahun 2020 dimana komoditi beras, buah-buahan dan daging babi telah mencatatkan penurunan (Sila rujuk jadual dibawah). Manakala komoditi susu segar pula didapati menunjukkan kadar pertumbuhan penggunaan yang tertinggi diikuti dengan daging kambing dan daging ayam/itik. Ini disebabkan oleh perubahan diet pengguna yang mana ia dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti harga, kesihatan, keperluan nutrisi individu, pertambahan pilihan jenis makanan serta penemuan produk makanan baharu atau makanan alternatif. Sektor agromakanan dan pertanian secara amnya memainkan peranan yang penting dalam pembangunan ekonomi dan sosial sesuatu negara. Walau bagaimanapun dilaporkan dimana sektor tersebut mempunyai pelbagai cabaran yang perlu ditangani.


Dalam pada itu memang banyak isu global diambilkira didalam Dasar Agro Makanan Negara 2.0 dimana antaranya adalah faktor Kekurangan Sumber Asli. Tanah bagi aktiviti pertanian semakin terhad berikutan aktiviti pembukaan kawasan hutan yang tidak lestari selain berupaya merosakkan alam sekitar, mengakibatkan hakisan tanah dan seterusnya menjejaskan kualiti air minuman. Selain itu juga sebanyak 71% daripada sumber air tawar di peringkat global digunakan bagi tujuan aktiviti pertanian dan ini menjadikannya sebagai salah satu penyumbang utama kepada pencemaran air kesan daripada penggunaan racun perosak dan bahan pencemar yang lain. Faktor kedua adalah Produktiviti dan Inovasi Pertanian dimana sumber bekalan makanan di negara membangun kebanyakannya bergantung kepada hasil daripada pengeluar makanan berskala kecil walaupun tahap produktiviti mereka masih rendah. Produktiviti Faktor Total (TFP) antara tahun 2006 hingga tahun 2015 telah mengalami kemerosotan kerana pengeluar makanan terus menukar hutan dan padang rumput kepada ladang untuk memenuhi permintaan makanan dan makanan ternakan. Faktor ke 3 adalah Perubahan Demografi Dan Peralihan Trend Pemakanan. Permintaan makanan per kapita dijangka meningkat dan berlaku peralihan daripada penggunaan bijirin ruji kepada diet yang lain seperti diet berasaskan protein atau vegan. Pendapatan penduduk bandar yang lebih tinggi menyebabkan kecenderungan kepada penggunaan makanan segera atau makanan yang mudah dibeli di kedai. Pengguna juga mengambil kira tentang harga, cita rasa, kemudahan, nilai pemakanan dan kaedah pengeluaran makanan. Ke 4 dikenalpasti faktornya adalah berlaku Pembaziran dan Kehilangan Makanan. Kehilangan makanan merupakan proses makanan yang dibuang atau dibakar sepanjang rantaian bekalan disebabkan pengurusan yang tidak cekap semasa pengeluaran, pengendalian atau penstoran pasca tuai dan pemprosesan. Sisa makanan merujuk kepada pengurangan bahan makanan ekoran daripada keputusan serta tindakan peruncit, pembekal perkhidmatan makanan dan pengguna. Antara Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu adalah untuk mengurangkan sisa makanan dan kehilangan makanan global kepada separuh per kapita menjelang tahun 2030. Faktor ke 5 adalah berlaku Perubahan Iklim dimana kini pemanasan global boleh mengancam amalan pertanian melalui kenaikan paras air laut yang menyebabkan pengurangan saiz tanah dan infiltrasi air masin, tekanan kepada bekalan air, perubahan ketara suhu puncak yang boleh mengurangkan hasil tanaman, perubahan kekerapan hujan yang boleh menyebabkan kemarau atau banjir dan meningkatkan kekerapan bencana alam.

Merujuk kepada majlis pelancaran DAN2.0 dimana media tempatan melaporkan '
DAN2.0 sasar purata pertumbuhan sektor agromakanan' wajar dikongsikan. Berita dari Kuala Lumpur ini menyatakan kerangka Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN2.0) dan pelan tindakan disediakan kerajaan menyasarkan purata pertumbuhan sektor agromakanan dengan dijangka berkembang pada kadar 4.5 peratus setahun dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dimana dasar berkenaan meletakkan strategik pemodenan dan pertanian pintar sebagai ‘key games changer’ bagi menjayakan transformasi sektor agromakanan di samping bakal dipacu melalui dana pembiayaan, insentif pelaburan dan tenaga kerja bagi meningkatkan tahap penerima gunaan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0). Kaedah pertanian pintar menjadi fokus DAN2.0 yang bertujuan meningkatkan produktiviti merangkumi semua subsektor agromakanan dan merupakan antara aktiviti pertumbuhan ekonomi utama yang telah digariskan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030. Isu sekuriti makanan semakin mendapat tumpuan di peringkat global. Dalam Persidangan United Nations Food Systems Summit pada 23 September 2021 diana dia telah menggariskan fokus transformasi sistem makanan negara. Fokus ini bakal akan dilaksanakan melalui DAN 2.0 dengan tempoh jangkamasa pelaksanaannya yang selari dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030. Dalam hal berkaitan bidang penyelidikan, pembangunan, pengkomersilan dan inovasi akan menjadi nadi pembangunan sektor ini. Seiring itu, kerjasama pelbagai agensi penyelidikan kerajaan, institusi pengajian tinggi awam dan swasta turut digembleng dalam menjayakan DAN 2.0 ini. Dasar Agromakanan Negara yang dilancarkan pada 2011 dan kesinambungannya menerusi DAN2.0 bertujuan untuk meneruskan agenda pembangunan sektor agromakanan dengan tumpuan khusus terhadap usaha meningkatkan sekuriti makanan negara. Usaha tersebut bakal dijayakan melalui pemodenan dan pertanian pintar serta strategi memperkukuhkan rantaian nilai agromakanan dengan keutamaan dasar kali ini ditumpukan kepada usaha mempertingkatkan produktiviti dan pendapatan serta kualiti hidup dalam kalangan pengeluar sektor makanan. Dasar Agromakanan Negara yang dilancarkan sebelum ini ternyata begitu membanggakan. Setelah dilancarkan, sumbangan sektor agromakanan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar ternyata meningkat dengan pertumbuhan purata tahunan sebanyak 6.8 peratus pada tahun 2020. Peningkatan ini hampir 100 peratus berbanding pertumbuhan KDNK pada 2010. Dilaporkan jumlah eksport bahan makanan turut meningkat dengan kadar pertumbuhan purata tahunan sebanyak 6.4 peratus, iaitu daripada RM18.1 bilion kepada RM33.7 bilion bagi tempoh tahun yang sama. Ternyata sektor agromakanan hari ini memiliki nilai tambah yang berpotensi meningkatkan pendapatan di sepanjang rantaian peserta industri. Kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara pada 25 Mac 2020 bagi merangka dasar sekuriti makanan secara holistik dan kemudian membangunkan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 dengan mengambil kira isu dan cabaran sekuriti makanan negara. Kesemua dasar dan pelan itu akan saling melengkapi bagi menjayakan usaha negara dalam meningkatkan kemampanan sistem agromakanan. Sistem makanan negara perlu diperkukuh supaya lebih berdaya tahan dan mampan terutama sebagai persediaan menangani krisis global selain pandemik Covid-19 yang mungkin berlaku pada masa akan datang. Perkara ini juga termasuklah meningkatkan prestasi rangkaian di semua aktiviti yang berkaitan pengeluaran, pemprosesan, pengedaran, penyediaan, dan termasuklah keselamatan makanan serta pemakanan. Semuga artikel ringkas ini sedikit sebanyak memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!.
DAN 2.0... PERTANIAN MASA DEPAN...
SEHINGGA 2030... ITU PERANCANGAN...
BANYAK STRATEGI... DI SASARKAN...
DASAR BARU... MENJADI PANDUAN...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Jalan Cendana off Jalan Istana,
Persimpangan Bukit Beruang,
Melaka, 
Malaysia.
(21 Rabiulawal 1443H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.