Saturday, June 19, 2021

KENALI JENIS BAJA TANAMAN

BAJA
(Fertilizer) adalah salah satu perkara yang asas dalam bidang pertanian yang mesti difahami oleh mereka yang terlibat dalam sektor pertanian terutamanya sektor tanaman. Ini kerana baja adalah bahan yang biasanya mengandungi unsur pemakanan tumbuhan yang perlu dibekalkan secara langsung kepada tanah bagi pertumbuhan tanaman. Setiap bahan yang mengandungi unsur pemakanan tumbuhan dan dibekalkan kepada tanah contohnya Nitrogen (N), Phosforus (P) dan Kalium (K) adalah unsur paling asas untuk baja yang selalu disebut 'Baja NPK'. Unsur-unsur lain adalah sedikit di gunakan tetapi penting iaitu Unsur Pekit (Trace element) seperti Magnesium (Mg), Boron (B), Manganese (Mn), Zinc (Zn), Zat Besi (Fe) dan banyak lagi dimana kesemuanya akan dikelaskan sebagai baja tumbuhan. Dalam pada itu terdapat bahan-bahan yang digunakan secara tidak langsung untuk memperbaiki struktur dan tekstur tanah bertujuan untuk meningkatkan daya kelembapan tanah dan daya pegangan air tanah serta mengawal keasidan tanah. Bahan ini adalah dianggap sebagai bahan pembetulan tanah (soil amendment), pelembap tanah (soil conditioner) dan bahan tambahan tanah (soil additives). Kesemua bahan ini adalah penting dalam mempertingkatkan kesuburan tanah bertujuan bagi tujuan menampung keperluan pertumbuhan tanaman daripada peringkat awal penanaman sehingga kepada peringkat penuaian hasil. Dipasaran terdapat banyak produk dan jenama baja daripada dalam bentur butiran (granule), serbuk (powder), cecair (liquid), ketulan, pekatan dan bermacam lagi. Bagaimana pun paling asas adalah apakah sebenarnya keperluan tumbuhan untuk unsur baja yang diperlukan melalui beberapa kaedah penentuan. Pada penulis blog kefahaman petani terhadap kepentingan dan keperluan baja adalah asas kepada pertanian. Artikel saya menulis dalam blog "Anim Agro Technology" mengenai beberapa jenis baja kimia dan juga kepentingannya untuk dijadikan bahan rujukkan anda pembaca blog saya semua.

Baja kimia merupakan salah satu jenis baja yang paling banyak digunakan untuk tanaman diseluruh dunia demi menghasilkan makanan. Dari segi pemahaman dimana baja kimia yang juga dikenali sebagai baja tidak organik adalah merupakan bahan bukan organik yang mana keseluruhannya atau sebahagian daripadanya merupakan bahan sintetik yang ditambah kepada tanah untuk mengekalkan pertumbuhan tumbuhan. Kebanyakkan baja buatan mengandungi asid, seperti asid sulfurik dan asid hidroklorik yang cenderung meningkatkan keasidan tanah serta mengurangkan populasi organisma berfaedah tanah dan mengganggu pertumbuhan tumbuhan. Penulis blog yang belajar banyak tentang baja kimia ini juga diberitahu dimana baja kimia amat sesuai untuk pelbagai jenis pokok yang memerlukan tanah yang sedikit berasid untuk pertumbuhan yang sihat seperti keasidan tanah bagi pokok zaitun (pH 5.5 -  pH6.5), Orkid (pH 5.5 - pH6.5) dan Pandan (pH 5.0 - pH6.0). Lazimnya dalam amalan agronomi tumbuhan orkid dan  pandan merupakan diantara pokok yang mampu tumbuh dalam keadaan pH tanah yang bersifat sedikit berasid. Penulis blog ingin berkongsi dengan pembaca akan beberapa jenis baja kimia. Baja kimia terbahagi kepada 3 jenis iaitu Baja Tunggal atau Baja Terus (single dressing fertilizer), Baja Campuran (Mixed fertilizer) dan Baja Sebatian (Compound Fertilizer). Ramai petani di Malaysia lazimnya menggunakan ketiga-tiga jenis baja ini mengikut keperluan, jenis tanaman, kos terlibat dan keberkesanannya. Dilaporkan sektor tanaman kelapa sawit dan padi merupakan sektor yang paling banyak menggunakan baja di Malaysia kerana keluasanannya dan intensiti dalam penananamnya. Kelapa Sawit (Elaeis guineensis) yang meluas ditanam memerlukan baja untuk menghasilkan tandan buah yang banyak dan kandungan OER (oil extraction rate) yang baik. Tanaman padi (Oryza sativa) pula merupakan tanaman singkat masa yang mesti dibaja setiap musim penanaman nagi penghasilan melebihi 5.4 metrik tan sehektar iaitu paras produktiviti padi nasianal di Malaysia.

Jenis BAJA TUNGGAL atau juga BAJA TERUS (single dressing fertilizer) adalah merupakan jenis baja yang mampu membekalkan 1 sahaja elemen unsur pemakanan . Baja kimia jenis butiran ini boleh digunakan secara terus kepada tanaman seperti Baja Urea (N), Baja TSP- Triple super fosfat () dan juga Baja MOP- Muriate of potash (). Biasanya baja tunggal digunakan oleh ladang-ladang besar sahaja kerana ia menjimatkan kos dan dapat diaplikasikan dengan berkesan oleh pihak pengurusan estet tersebut. Kalangan pekebun kecil pula pula selalunya agak sukar menggunakan baja tunggal disebebkan mereka perlu mencampurkan sendiri pelbagai jenis baja dalam kuantiti sedikit dan kurang praktikan untuk mengaplikasinya. Dari segia teknikalnya antara beberapa kelebihan menggunakan baja tunggal ini ialah baja tunggal boleh dibeli dengan harga yang lebih murah berbamding baja butir biasa yang sudah di formulasi (dicampur). Selain itu juga lazimnya penggunaan baja tunggal ini membantu pemilik kebun untuk memberikan nutrien khas yang diperlukan oleh pokok dengan kadar iaitu kandungan nutrien yang tinggi. Sebagai contoh dimana Baja Urea yang mengandungi 46.4 % Nitrogen (N) merupakan keperluan untuk tanaman padi yang perlukan unsur N yang tinggi untuk pertumbuhannya dan menyuburkannya. Dalam skim bantuan Baja Subsidi Padi di Malaysia pemberian baja urea ini merupakan salah satu daripada insentif yang dierikan oleh kerajaan demi menjamin penghasilan padi mencapai Tahap Sara Diri (SSL) kebangsaan. Walaupun begitu, terdapat beberapa kekurangan jika petani menggunakan baja tungal ini dan salah satunya ialah mudah hilang resap air. Dalam pada itu dilaporkan tenagakerja yang lebih juga diperlukan untuk membaja dan memerlukan khidmat nasihat daripada pakar sebelum memutuskan baja tunggal jenis apa yang betul- betul diperlukan oleh pokok.

Jenis BAJA CAMPURAN (Mixed Fertilisers) pula adalah campuran dua atau lebih baja lurus. Campuran seperti Nitrogen (N), Fosforus (P) dan Potassium (K) atau dikenali sebagai NPK yang merupakan tiga elemen yang penting untuk kelangsungan hidup dan pertumbuhan tanaman ini ditambah di dalam baja campuran. Baja campuran biasanya dikomersilkan sebagai baja gandum atau campuran baja padi dan sebagainya. Baja bercampur selalunya mengandungi dua jenis campuran. Nutrien dilepaskan dengan perlahan secara semula jadi dan kekal dalam tanaman untuk jangka masa yang panjang. Dari segi kelebihan baja campuran sama ada daripada dua atau lebih elemen baja dicampur bersama untuk dilepaskan. Ini memerlukan kurang tenagakeja di kebun untuk meletakkan baja campuran ke kawasan tanaman (zon pengakaran). Keasidan sisa baja boleh dikawal dengan berkesan oleh penggunaan kuantiti pembajaan yang betul bahan-bahan liming dalam campuran. Jika campuran baja yang sesuai digunakan untuk menyesuaikan jenis tanah dan tanaman tertentu maka bahan yang digunakan dalam campuran baja membawa kepada pemakanan seimbang. Ini memberi hasil tanaman yang lebih tinggi dan berkualiti serta kesannya memberikan banyak keuntungan kepada para penanam. Sebagai contoh Baja Campuran yang mempunyai 12% N, 6% P, 6% K, 3% Mg (Magnesium) dan TE bermaksud trace element digabungkan dan boleh ditabur terus kepada tanaman. Persoalannya mengapa menggunakan baja campuran dikebun adalah disebabkan kondisi fizikal yang baik (serbuk) dan lebih mudah disesuaikan dengan keperluan tanaman. Terdapat pelbagai formula untuk dipilih dengan kuantiti yang kecil untuk memenuhi keperluan tanaman. Walaupun begitu antara beberapa kelemahannya baja campuran pula adalah boleh apabila gaul secara tidak sekata dan ada juga sesetengah pokok terlebih butiran N dan pokok lain pula terlebih butiran P. Ini menyebabkn pokok tersebut tidak mendapat baja sekata dan tidak seimbang.

Jenis BAJA SEBATIAN (compound Fertilizer) merupakan jenis baja yang dicampur secara kimia (Kandungannya sebati secara kimia). Pengilang membuat baja sebatian dengan menggunakan bahan baja asas seperti Ammonia (NH3), Garam ammonium fosfat, urea, sulfur (S) dan kalium (K). Terdapat banyak kaedah yang digunakan untuk membuat baja jenis ini seperti dengan proses pembuatan khusus yang ditentukan oleh komponen asas yang tersedia dan kandungan nutrien yang dikehendaki dari produk siap.  Dilaporkan dimana proses nitrophosphate melibatkan reaksi batu fosfat dengan asid nitrik untuk membentuk campuran sebatian yang mengandungi N dan P. Jika sumber seperti K ditambahkan pada proses itu maka baja pepejal yang terhasil mengandungi N, P dan K akan didapati. Baja Sebatian 45 contohnya merupakan baja sebatian dengan formulasi NPK 12:12:17:2MgO keluaran Peladang  iaitu baja sebatian (compound) yang berada di pasaran Malaysia (Sila lihat foto disebelah). Antara beberapa kelebihan baja ini adalah dimana petani dan pengguna sudah tidak perlu fikir unuk membuat  formula baja sendiri seerti mengira berapa kilogram unsur N, berapa kilogram unsur P dan berapa kilogram unsur K yang hendak digunakan. Semuanya sudah disiapkan dalam formulasi dinyatakan untuk keperluan tumbuhan. Baja sebatian sangat mudah digunakan dan kurang tenagakerja diperukan. Untuk membekalkan baja yang seimbang mengikut keperluan setiap pokok sebaiknya baja tunggal dan baja sebatian mempunyai kelebihan berbanding baja campuran kerana baja campuran akan mengalami segregasi atau pengasingan unsur kerana setiap jenis baja yang dicampurkan berbeza dari segi saiz, bentuk dan ketumpatan. Walau pun baja sebatian 'abak mahal' harganya tetapi keberkesanannya terhadap pertumbuhan tanaman berbaloi. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!.
BAJA ORGANIK... ADA BAJA KIMIA....
BAJA TUNGGAL... CAMPURAN ADA...
BAJA SEBATIAN... SERING DIGUNA...
BACA ARTIKEL... FAHAM PASAL BAJA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(8 Zulkaedah 1442H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.