Friday, May 28, 2021

TUMBUHAN, BATANG DAN AKAR

TUMBUHAN
(Plants) 
merupakan salah satu alam dari benda hidup yang terdapat di alam semesta. Tumbuhan biasanya mempunyai komponen dibahagikan kepada akar, batang, daun, bunga dan buah. Tumbuhan dibezakan daripada yang tahunan (biasanya mereka yang mempunyai bunga atau lain-lain seperti bijirin dan gandum) serta yang memerlukan dua tahun untuk menamatkan kitaran atau biennial mereka (chard, radishes dan lain-lain) dan mereka yang hidup selama lebih daripada dua tahun (termasuk kebanyakan pokok dan pokok renek). Tumbuhan adalah jenis hidupan yang menjalankan proses fotosintesis dan memerlukan cahaya matahari, udara dan juga air merupakan keperluan asas bagi setiap tumbuhan. Apa pun tumbuhan merangkumi semua benda hidup yang mana ia mampu menghasilkan makanan sendiri dengan cara menggunakan klorofil (zat hijau) untuk menjalankan proses fotosintesis lalu menghasilkan kanji. Sel tumbuhan berbeza dengan sel haiwan dalam beberapa segi dimana antaranya sel tumbuhan mempunyai dinding sel. Secara amnya tumbuhan dibahagikan kepada beberapa kategori seperti jenis Tumbuhan Berbunga, Pokok Tidak Berbuah, Pokok Berbuah, Pokok Tidak Berbunga dan Tumbuhan Tidak berbunga. Bagi jenis Tumbuhan berbunga merupakan kumpulan tumbuhan moden utama, merangkumi tumbuhan yang menghasilkan benih dalam organ pembiakan khusus yang dikenali sebagai bunga, di mana ovulari atau karpel tertutup. Dalam tumbuhan berbiji benih yang lain (spermatofit), dikenali sebagai gimnosperma, ovul tidak tertutup ketika pendebungaan. Pokok Berbuah adalah seperti pokok durian (Durio zibethinus) yang mempunyai akar, batang, daun, bunga dan berbuah (Sila lihat foto diatas). Apa pun dari perspektif biologi, tumbuhan merujuk kepada organisma hidup dalam alam tumbuhan dimana dalam kehidupan ia memainkan peranan penting didalam kitaran kehidupan sebagai sumber makanan dan oksijen didunia. Artikel subuh ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya menulis mengenai perkara asas sains mengenai tumbuhan dan akar untuk dijadikan bahan rujukkan semua.

Berlaku hubungkait diantara tumbuhan dan kelestarian kehidupan diseluruh dunia semenjak zaman dahulu lagi. Bagaimana pun tumbuhan dikatakan akan stabil apabila ia tidak mudah tumbang dengan mempunyai sistem pengakaran didalam tanah. Selalunya berlaku kestabilan tumbuhan memang ia dipengaruhi oleh pusat graviti dan keluasan tapak iaitu semakin rendah graviti maka pokok tersebut akan semakin stabil. Sistem sokongan tumbuhan daratan dan akuatik penting untuk memastikan ia tumbuh tegak ke atas dengan stabil. Ini membolehkan semua tumbuhan menerima cahaya matahari yang mencukupi dan menyerap air dan mineral dari tanah bagi pertumbuhannya baik. Sebenarnya ilmu sains membuktikan persoalan asas iaitu bagaimana tumbuhan boleh berdiri tegak adalah disebebkan oleh kerana sokongan utama tumbuhan ialah batang dan akar. Batang tumbuhan mampu menyokong berat batang itu sendiri, berat daun, berat bunga dan juga berat buah. Akar pula akan memberi sokongan kepada tumbuhan dengan mencengkam tanah. A
kar merupakan salah satu bahagian pokok pada tanaman selain batang dan daun dimana akar tanaman dan fungsinya pun berbeza-beza. Asasnya dimana akar tanaman yang biasanya ada di dalam tanah akan terus mengalami pemanjangan pada hujung akar yang memungkinkannya dapat menjangkau ke kawasan yang mengandungi sumber nutrien dan air. Bergantung kepada jenis tumbuhan lazimnya terdapat bermacam bentuk akar (berbuku, lurus, rizom, benjolan dsb) dan berbagai warna tetapi akar yang masih aktif cenderung berwarna keputihan, kekuningan atau kecoklatan. Bentuk hujung akar biasanya meruncing sehingga lebih mudah untuk menembus tanah. Asasnya ada dua jenis akar yang sering dibincangkan pada tumbuhan iaitu Akar Tunjang dan Akar Serabut. Akar Tunjang merupakan jenis akar tanaman yang pertama yang terdapat pada tumbuhan dikotil. Fungsi utamanya adalah untuk ia memegang tumbuhan teguh berdiri diatasnya dan menyimpan makanan seperti tumbuhan lobak, ubikayu dan sebagainya dalam bentuk umbi-umbian. Jenis akar ini merupakan akar penting yang tumbuh terus menerus menjadi akar pokok yang kemudian bercabang menjadi akar yang lebih kecil. Akar Serabut terdapat pada tumbuhan monokotil dan juga pada  tumbuhan dikotil dimana fungsi utama akar serabut adalah untuk memperkukuhkan berdirinya tumbuhan dan menyerap nutrien serta air. Ada jenis akar serabut yang terlus menyokong pokok menegak seperti pokok pisang, kelapa, padi, tebu, papaya, salak dan sebagainya.

Banyak jenis tumbuhan yang hidup dimukabumi ini daripada jenis 
Tumbuhan Berkayu, Tumbuhan Herba (Tidak Berkayu), Tumbuhan Akuatik (Terapung atas air dan Tenggelam dalam air) dan sebagainya. Tumbuhan Berkayu pula  selalunya jenis pokok berbatang yang besar dan tinggi dimana ia akan juga mempunyai sistem sokongan tumbuhan seperti ini adalah tisu berkayu yang keras, kuat dan tegar. Tumbuhan berkayu mempunyai batang yang kuat yang mengandungi tisu lignin iaitu bahan kompleks yang keras dan tegar. Ada tisu lignin yaang akan memberikan kekerasan kepada batang serta sokongan kepada tumbuhan supaya sentiasa tumbuh dengan cara menegak ke atas. Terdapat juga struktur tambahan lain bagi pokok berkayu seperti akar banir, akar sokong dan akar jangkang yang memberikan sokongan tambahan kepada pokok. Mudah dan banyak boleh kita lihat jenis pokok berkayu disekelilig seperti pokokk durian, pokok angsana, pokok bakau, pokok rambuta dan sebagainya. Tumbuhan Herba atau Tumbuhan yang tidak berkayu pula selelunya bergantung pada air yang tersimpan di dalam sel batang sebagai sumber sokongan. Air mengenakan tekanan pada dinding sel untuk memberi kesegahan kepada sel tumbuhan. Kesegahan sel akan memberikan sokongan kepada batang tumbuhan tersebut agar batang tumbuhan kuat, tidak layu, tegar dan tumbuhan tegak ke atas. Batang tumbuhan tidak berkayu lebih lembut dan akan layu jika mengalami kekurangan air.  Sokongan tambahan seperti sulur paut, akar cengkam dan batang berongga akan memberikan sokongan tambahan kepada tumbuhan jenis tidak berkayu. Tumbuhan herba (tidak berkayu) mempunyai struktur khas seperti duri, sulur paut, batang melilit, akar sokongan dan akar cengkam untuk menjalar mendapatkan cahaya matahari yang mencukupi.

Jenis
Tumbuhan Akuatik (aquatic plants) terbahagi kepada dua kategori iaitu Tumbuhan Akuatik Terapong dan jenis Tumbuhan Akuatik Tenggelam dalam air.  Tumbuhan Akuatik Terapong selalunya memang tidak mempunyai tisu berkayu untuk sokongan menjadikan tumbuhan ini lebih ringan.  Tumbuhan ini akan dapat sokongan utama daripada daya apungan air dimana ia akan mempunyai batang dan daun yang mempunyai tisu dikenali sebagai 'Aerenkima' iaitu tisu yang terdiri daripada sel yang berdinding nipis dan membentuk ruang udara di dalam tumbuhan akuatik. Ruang udara ini membantu apungan tumbuhan akuatik tersebut dimana selalunya tumbuhan ini membengkak dan mempunyai batang berongga sekaligus menambahkan daya apungan. Dilihat dilapangan dimana jenis tumbuhan ini mempunyai ciri-ciri daun yang lebar, kalis air dan tidak mudah koyak. Daunnya lebar mengurangkan tekanan oleh air lalu menyokong batangnya di dalam air dimana antara contoh dalam kategori ini seperti pokok keladi bunting dan bunga teratai (Sila lihat foto disebelah). Jenis Tumbuhan Akuatik Tenggelam Dalam Air dimana ia mempunyai ciri-ciri daun yang kecil nipis dan fleksibel yang dapat mengurangkan rintangan terhadap aliran air. Batang dan daun mengandungi kantung udara mewujudkan daya apungan yang mana ianya membolehkan tumbuhan kekal tegak ke atas. Diantara jenis tumbuhan ini termasuk Cabomba sp. dan Hydri lla sp. yang ada dinegara kita. Tumbuhan jenis ini banyak digunakan didalam akuarium ikan air tawar dirumah dan ada dijual dipasaran.

Pakar tumbuhan kini mempunyai cara untuk mengetahui usia atau umur tumbuhan berkayu. Ini kerana s
emasa tumbuhan berkayu membesar maka sel xilem yang baru terbentuk dan juga sel  Xilem yang mati akan menjadi keras. Ini menjadikan batang pokok kelihatan sebagai gelang pokok (Sila lihat foto disebelah). Gelang pokok dikenali sebagai gelang tahunan yang menentukan usia pokok. Di kawasan yang bermusim (Musim Panas, Musim Sejuk, Musim Bunga dan Musim Luruh) selalunya kadar pertumbuhan tumbuhan berkayu adalah pesat semasa musim bunga kerana persekitarannya yang sesuai. Apa pun di awal musim luruh tumbuhan kurang aktif dan xilem yang lebih kecil dihasilkan. Bagaimana pun bagi tumbuhan yang berada di kawasan tropika seperti di Malaysia ia cepat membesar sepanjang tahun. Di kawasan temperate akan berlaku dimana pada musim sejuk tiada pertumbuhan berlaku dimana perbezaan kadar pertumbuhan ini akan menghasilkan gelang tahunan. Gelang yang cerah terbentuk semasa musim bunga manakala gelang yang gelap terbentuk semasa musim luruh. Gelap dan cerah ini menjadikan corak gelang tahunan pada batang pokok berselang seling dimana kajinan mendpati iaitu satu gelang mewakili satu tahun. Batang Tumbuhan (Trunk or Stem) merupakan bahagian tumbuhan pembuluh yang amat penting selain akar. Kebanyakan batang tumbuhan berada di atas tanah namun ada juga batang bawah tanah. Pada umumnya batang mempunyai sifat-sifat iaitu berbentuk panjang bulat seperti selinder atau dapat juga mempunyai bentuk lain akan tetapi selalu bersifat aktinomorf. Ia terdiri atas ruas-ruas yang masing-masing dibatasi oleh buku-buku dan pada buku-buku inilah terdapat daun. Biasanya tumbuh ke atas menuju cahaya atau matahari (bersifat fototrop atau heliotrop) dan ia akan bertambah panjang di hujungnya. Itu yang menjadikan ia sering dikatakan bahawa batang pokok mempunyai pertumbuhan yang tidak terbatas. Ia akan bercabang dan selama hidupnya sebagai tumbuhan tidak digugurkan kecuali kadang-kadang cabang atau ranting yang kecil yang mati atau rosak. Lazimnya batang tidak berwarna hijau kecuali tumbuhan yang umurnya pendek seperti rumput dan waktu batang masih muda. Semuga artikel saintifik ini memberikan info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!.
TUMBUHAN, BATANG... AKAR ADA...
BERBAGAI JENIS... BERKAYU DIA...
AKAR TUNJANG...SERBUT SAMA...
GELANG TAHUNAN...UMUR BERAPA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(9 Syawal 1442H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.