Friday, April 23, 2021

KUTIP CENDAWAN BUSUT

CENDAWAN BUSUT
(Termitomyces sp) merupakan sejenis cendawan dari keluarga Lyophyllaceae yang tumbuh meliar dikawasan khusus pada masa-masa tertentu sahaja dan dipercayai ada kaitan dengan aktiviti oleh anai-anai atau selalunya ada kelkatu terbang sebelumnya. Saya memang kenal akan cendawan busut ini kerana sering makan ketika zaman remaja dulu dimana memang mudah dijumpai di kawasan kebun getah dan ladang kelapa sawit di sekitar kampong saya di Gersik, Muar, Johor suatu waktu dulu. Memang enak dan sedap cendawan busut ini yang di masak sayur tumis atau lebih lazat lagi di buat sup cendawan busut. Isinya yang lembut dan aromanya yang wangi menyebabkan cendawan busut ini menjadi hidangan istimewa pada musim cendawan ini di jumpai dari kawasan kebun. Pada masa ini setelah saya belajar mengenai kulat, saya dapati cendawan busut ini terdapat lebih dari 60 spesis diseluruh dunia dimana hanya 18 spesis sahaja yang telah dibuat kajian dan pencirian oleh saintis. Cendawan busut adalah berkait rapat dengan anai-anai dimana ianya sering tumbuh dimana ada koloni anai-anai dan juga merupakan sumber makanan utama kepada koloni anai-anai. Jenis yang terdapat di Malaysia yang saya tahu ada dua yang boleh dimakan iaitu Termitomyces heimeii dan Termitomyces albuminosa.  
Cendawan busut atau turut dikenali sebagai cendawan tahun ini biasanya akan tumbuh dengan banyaknya selepas hujan lebat diikuti dengan petir. Ia tidak memberi apa-apa tanda dilokasi pun sebelum kemunculannya dari permukaan tanah. Biasanya cendawan busut akan muncul pada awal pagi dan akan kembang dan mati dalam tempoh satu ke dua hari. Salah satu keunikan cendawan busut ini ialah ia mempunyai akar yang panjang yang di kenali sebagai pseudorhiza. Jika dibuat keratan rentas pada tanah dimana cendawan ini keluar, kita akan dapat lihat akar ini berpunca dari bawah tanah berdekatan dengan sarang anai-anai. Cendawan busut/tahun ini adalah diantara cendawan liar yang paling sukar untuk dibiakkan. Cendawan ini berinteraksi sangat baik dengan anai-anai. Anai-anai adalah serangga yang membina sarangnya dibawah tanah dan sering menyebabkan kemusnahan harta benda manusia. Sarangnya dibina dengan menggunakan bahan organik. Terdapat bahan dan zat baik cendawan ini. Anai-anai makan bahan dari tumbuhan yang mereput yang selalunya diperbuat dari kayu, tanah, najis ternakan dan pelbagai lagi. Anai-anai memakan selulos dari pelbagai fiber dari tumbuh-tumbuhan. Selulos ini kaya dengan sumber tenaga tetapi sukar dihadam. Cendawan busut akan membantu menguraikan selulos ini dan menukarkannya ke dalam bentuk yang mudah diserap oleh anai-anai. Artikel subuh ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya akan paparkan mengenai pelbagai kisah aktiviti mengutip cendawan busut sebagai rezeki untuk dijadikan bahan rujukkan anda pembaca blog semua.

Kisah hasil cendawan busut yang digelar sebagai 'Cendawan lepas guruh' terdapat di daerah Jempol, Negeri Sembilan ada dilaporkan dalam media tempatan. Ada kemungkinan dimana orang lain tidak terfikir mengenai cendawan busut seperti mana sebuah keluarga yang mencari cendawan busut yang tumbuh meliar di kebun sawit FELDA Pasoh Tiga dan menjadi sumber pendapatan sampingan mereka. Bagi Sahran Siran (42 tahun) dengan dibantu oleh anaknya Mohd Norshafiq dan Mohd Norshariq memang tidak melepaskan peluang mencari dan mengutip cendawan itu kerana mendapat permintaan tinggi penduduk. Anaknya yang masih belajar di sebuah kolej memanfaatkan pada hari cuti membantu bapanya mengutip tumbuhan berharga itu. Selain membantu keluarga lazimnya hasil jualan cendawan itu juga menjadi duit poket tambahan baginya. Mengenai cendawan busut ini selalunya ia didapati banyak tumbuh selepas guruh terutama pada waktu malam. Dia tidak tahu kaitan diantara cendawan ini dengan bunyi guruh akan tetapi berdasarkan pengalaman selama ini memang cendawan busut lazimnya akan tumbuh dengan banyak selepas guruh terutama pada waktu malam. Biasanya selepas guruh berdentum pada waktu malam maka dia dan anaknya akan mencari cendawan busut yang tumbuh dengan banyak di dalam kebun sawit pada keesokan pagi. Mereka perlu masuk ke kebun sawit sebelum matahari terbit supaya cendawan mudah dilihat. Cendawan yang dikutip dibersihkan sebelum diikat untuk dijual kepada orang ramai yang mencarinya untuk dibuat gulai masak lemak cili api atau sup. Seikat cendawan busut yang mempunyai 15 tangkai dijual dengan harga RM5. Dia mampu memperoleh pendapatan hingga RM200 dengan hanya menjual cendawan itu setiap musim cendawan busut.

Kisah cendawan busut di Kota Bharu Kelantan berbeza kerana ia selalu meliar dimusim tengkujuh. Cendawan busut atau lebih dikenali sebagai 'kulat pusu' hanya akan tumbuh pada musim tertentu sahaja terutamanya pada musim tengkujuh dan ia sememangnya menjadi kegemaran ramai kerana keenakannya selain memang sukar diperolehinya. Bagaimana pun bagi Zahari Abdullah (68 tahun) dimana bukan mudah untuk menjumpai kulat pusu yang akan hanya tumbuh di musim tengkujuh. Keadaan itu menyebabkan beratus-ratus kulat pusu tumbuh di belakang rumahnya saban tahun. Dia bersama isteri dan beberapa penduduk kampung berpakat mengutip kulat pusu berkenaan untuk diagihkan kepada jiran tetangga untuk sama-sama menikmati keenakan kulat pusu itu. Kebiasaannya kulat pusu akan tumbuh di kawasan yang mempunyai busut dan ia adalah pertama kali tumbuh di kawasan belakang rumah dengan jumlah yang banyak. Walaupun pun kadang-kadang ada banyak jumlah cendawan diperolehi akan tetapi dia tidak mahu menjual kulat pusu ini sebaliknya rezeki yang diperoleh perlu dikongsi bersama jiran. Pernah juga ada yang ingin membeli juga maka dia menjualnya dengan harga RM1 sekuntum memandangkan ia sukar dijumpai, Rumah beliau terletak di Kampung Jambu Merah, Melor, Kelantan. Kulat pusu adalah tumbuhan yang unik kerana ia akan tumbuh apabila berlaku hujan yang diikuti dengan kilat serta guruh selain ada yang mendakwa petanda akan tumbuh kulat pusu di sesuatu tempat apabila ada kelkatu berterbangan. Kulat pusu ini kebiasaannya tumbuh meliar di atas tanah yang terdapat anai-anai dan disebabkan itu ia dikenali kulat pusu (busut) yang dikaitkan tempat tinggal anai-anai. Kulat pusu tumbuh secara berkoloni di atas pusu anai-anai. Tumbuhan ini mungkin tumbuh sejak semalam ini namun dia baru menjumpainya dimana keadaan kulat masih elok dan boleh dimasak. Masyarakat Kelantan sangat menggemari kulat pusu sejak zaman dahulu dan dimasak menu 'sayur pedas' iaitu dengan mencampurkan daun cekur manis dan bawang merah, isi ikan dan lada hitam. Kulat pusu yang tumbuh semula jadi ini sememangnya sukar dijumpai dan ia berlainan dengan cendawan tiram atau butang yang mudah didapati di pasar, kedai atau pasar raya. Orang dulu ada menyatakan dimana selalunya kulat pusu akan tumbuh selepas hujan dan hanya bertahan dalam tempoh lima hari sahaja dan selepas daripada tempoh tersebut maka ia akan layu dan kelopaknya akan hancur dengan sendirinya. Mungkin bagi generasi sekarang terutama golongan remaja tidak tahu bahawa tumbuhan ini boleh dimakan dan lebih sedap berbanding cendawan biasa.

Cendawan busut juga telah menjadi satu kebanggaan bagi penduduk di Perak. Pada 
suasana dingin dan hening menyeliputi Felda Gunung Besout 2, Sungkai, Perak dan tanah masih belum terang di sebalik deretan pokok kelapa sawit yang disempadani parit-parit kecil ada kelihatan susuk tubuh milik Mohd. Shaiful sedang tekun mengutip cendawan busut. Apa pun dengan bantuan cahaya dari motosikal miliknya dan pantulan cahaya putih daripada cendawan memang jelas kelihatan untuk mengutipnya. Dalam keadaan yang redup sebegini biasanya kerja mengutip lebih mudah kerana pantulan warna cendawan senang dilihat berbanding pada waktu cerah. “Kerja mengutip cendawan memang dilakukan pada awal pagi kerana ia perlu diasing-asingkan dan dibersihkan sebelum boleh dijual di pasar. Kalau lewat kutip maka mungkin orang lain akan mengambilnya dulu kerana ada aroma kuat dari cendawan busut sesiapa yang berdekatan. Selesai mengutip di tepi parit kecil kemudian dilihat dia beralih pula ke satu kawasan busut yang hampir dilitupi dengan cendawan berkepala bulat tersebut. Struktur tanah yang agak lembut di kawasan berkenaan memudahkan lagi kerja-kerja mencabut cendawan, sekali gus rentak tangannya semakin tangkas. Kalau tumbuh di tanah lembut maka cendawan boleh dicabut hingga ke akarnya. Begitu juga jika ia tumbuh di tanah berpasir. Bagaimana pun jika tumbuh di tanah keras selalu batang cendawan yang panjang akan mudah patah semasa dicabut. Dia juga mampu mengutip cendawan liar hampir 10 busut sehari ketika musim ada cendawan tumbuh. Cendawan busut merupakan cendawan boleh dimakan yang tumbuh meliar selalunya di ladang kelapa sawit dan kebun getah. Antara lokasi terkenal yang menjadi rumah kepada tumbuhan jenis kulat ini sekitar Perak dan Negeri SembilanMusim yang cukup sinonim dengan cendawan busut di Felda Gunung Besout ialah pada setiap awal tahun bermula bulan Januari hingga awal Mac dan hujung tahun di antara bulan November hingga Disember.  Sebenarnya kerja pembersihan cendawan busut mesti dilakukan segera bagi memastikan cendawan dapat dipasarkan pada hari yang sama ia dikutip.

Penulis blog dapati dimana ada juga keadaan dimana cendawan busut ini
 boleh tumbuh di luar musim namun hasilnya tidak sebanyak awal dan hujung tahun. Pemerhatian dibeberapa lokasi yang lazim ada cendawan ini memang sukar untuk dapat tahu bila dan tarikh sebenar cendawan akan tumbuh memang tiada siapa yang dapat mengetahui dengan tepat dan jelas. Selalunya kehadiran cendawan ini memang bergantung pada hujan. Mungkin betul pepatah yang mengatakan seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Walau pun tidak semua hujan boleh menghasilkan cendawan tetapi pada kebiasaannya cendawan ini muncul apabila hujan turun pada waktu malam dan keesokannya cuaca panas terik. Jika keadaan rutin cuaca seperti ini berulang selama tiga hari berturut-turut memang kemungkinan besar cendawan busut ini akan tumbuh. Biasanya dilokasi ada satu lagi petunjuk yang boleh dijadikan petanda ialah hujan yang mengundang kehadiran kelkatu. Jika dilihat ada banyak kelkatu memang awas kerana mungkin dalam masa tiga atau empat hari lagi maka cendawan akan tumbuh. Pada satu lokasi ada yang pernah dikutip dan dijual 120 kilogram (kg) cendawan busut sehari. Lazimnya jangka hayat cendawan busut hanya mampu bertahan selama empat hari sering memberikan keterujaan kepada para penduduk berkenaan untuk turun ke ladang dan mencari cendawan. Apa pun apabila sudah ada tanda-tanda cendawan tumbuh maka beberapa penduduk kampong akan meronda ke lokasi yang menjadi tempat kebiasaan cendawan busut tumbuh. Jika ada topi cendawan yang keluar dari tanah maka ia ditandakan kawasan tersebut dan datang semula esok pagi untuk mengutipnya. Hari tuaian terbaik ialah pada hari kedua kerana selalunya hasil cendawan dikutip pada hari pertama ia masih terlalu kecil sebaliknya jika mengutip hari ketiga pula dimana topi cendawan sudah besar dan hampir kembang. Pada hari keempat pula biasanya topi cendawan sudah mengembang. Selalunya tuaian terkemudian memang tidak sesuai dijual sebaliknya dipilih-pilih dan masak untuk dimakan sendiri.

Dalam ebeberalapa lokasi, s
elalu juga penduduk kampong akan terlepas musim cendawan kerana tidak ramai yang boleh menyedari kehadiran cendawan busut pada hari pertama, sedar-sedar ia sudah kembang,” kata Shaiful yang juga merupakan peraih cendawan di sekitar Felda tersebut. Seseorang yang ada  kepakaran mencari lokasi tumbuhnya cendawan busut sebab dia sudah 'terbiasa' dengan pencarian cendawan busut sejak kecil lagi. Ada kalangan mereka yang akan buat tanda dilokasi yang sering mengeluarkan cendawan busut dikampongnya. Ini kerana jika mengena makan ia boleh memberikan pendapatan lumayan kepada pencarinya. Jika musim lebat mungkin seseorang pencari cendawan busut mampu mencari kuantiti yang banyak. Dilaporkan ada peraih yang mampu membeli lebih kurang satu tan cendawan busut daripada warga Felda Gunung Besout 2. Hasilnya pula akan dijual di pasaran luar sehingga sampai ke Ipoh dan Rawang. Lazimnya selepas dicabut dari tanah cendawan busut akan dibersihkan dan diasingkan mengikut gred sebelum dijual di pasar. Ia memang pantang dibasuh dengan air kerana cepat rosak dan busuk. Kerja membasuh hanya dibuat ketika hendak memasaknya sahaja. Penulis blog memang berpengalaman tentang perkar ini dahulu. Memandangkan cendawan ini tidak tahan lama sebaiknya proses pembersihan dan pengasingan perlu dilakukan sejurus ia dicabut supaya ia dapat dijual pada hari yang sama. Jika cendawan busut dijual hingga ke Rawang maknanya musim cendawan di Besout benar-benar menjadi. Terdapat cara tersendiri untuk membersihkan cendawan busut. Sebaiknya jangan sekali-kali gunakan air untuk membersihkan cendawan melainkan jika sudah mahu dimasak. Cukup sekadar bersihkan tanah dan pasir yang melekat di cendawan. Membasuh dengan air akan selalunya menjadikannya cepat rosak dan buruk. Selepas proses pembersihan dijalankan maka cendawan akan dikumpulkan mengikut gred berdasarkan hari ia dikutip. Biasanya kerja mengutip akan dilakukan pada awal pagi dimana ia juga kemudiannya terus dibawa ke rumah untuk dibersihkan dan diasingkan mengikut gred. Kebanyakan cendawan tumbuh pada hari yang sama akan tetapi ada juga cendawan yang lewat sehari dua. Cendawan yang dicabut pada hari kedua adalah cendawan terbaik kerana teksturnya yang masih sedikit keras dan kenyal. Harganya juga lebih tinggi dan dijual mengikut kg. Untuk gred bagus, ia akan dijual pada harga di bawah RM20 sekilogram. Bagi cendawan yang dikutip sudah memasuki hari ketiga atau keempat, biasanya ia akan dijual longgok iaitu harganya sekitar RM5 hingga RM8 selonggok. Keunikan dan kesukaran mendapatkannya memudahkan aktivit penjualan cendawan busut dan biasanya sangat laris. Biasanya dalam masa tidak sampai tiga jam masa semua hasil jualan beratus kilogram cendawan busut ini pun dapat dihabiskan. Kalau buka gerai di tepi jalan pun memang orang akan berkerumun bila mengetahui kami menjual cendawan busut. Cendawan busut menjadi kegemaran ramai ini sememangnya enak dijadikan juadah pembuka selera. Teksturnya yang tebal sudah tentu menghadirkan rasa puas tatkala mencicip batang ataupun topi cendawan liar ini.  Rasanya manis dan baunya juga harum. Bukan sekadar itu, keenakannya memang tidak dapat dinafikan malah sesuai dengan apa jua masakan sama ada goreng tepung, sup, tomyam, masak lemak kunyit mahupun dijadikan campuran dalam hidangan masakan panas seperti mi hailam. Semuga artikel yang panjang lebar ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!...
CENDAWAN BUSUT... LIAR HIDUPNYA...
SELEPAS PETIR.... KELUARLAH DIA...
DIKUTIP DIBERSIH... MAHAL HARGA...
ENAK DIMASAK.. BERKHASIAT PULA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(21.2.2021)
(8 Rejab 1442H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.