Sunday, January 10, 2021

KELULUT DAN CABARANNYA

TERNAKAN KELULUT
(Trigona spp) merupakan satu bidangusaha yang menjadi semakin popular. Walau pun hasil madu kelulut rendah berbanding dengan madu lebah dari Apis spp tetapi harga jualan madunya adalah lebih tinggi. Madu kelulut mengandungi antioksidan yang lebih tinggi dimana ia dijual dengan harga sekitar RM150 - RM260 sekilogram. Kelulut merupakan serangga yang tidak menyengat dimana secara semulajadi akan tinggal didalam lubang pada batang kayu dan juga dicelah-celah batu. Kini sudah ada teknologi menternak lenah kelulut dimana ia masih menggunakan log kayu tetapi dipasang dengan kotak kayu empatsehi (super) untuk kelulut menyimpan madunya yang mudah untuk kutippan hasil (Sila lihat foto disebelah). Aktiviti menternak kelulut lebih mudah berbanding dengan aktiviti menternak lebah madu. Saya ada menulis lebih dari 100 artikel mengenai teknologi penternakan kelulut untuk dijadikan bahan bacaan (Sila klik disini), (Sila klik disini), (Sila klik disini) dan banyak lagi pautan. Beberapa spesis kelulut yang paling popular diternak adalah Trigona itama (Saiz kecil) dan juga Trigona thorasica (Bersaiz besar sedikit). Penulis blog yang juga mahir dalam penternakan kelulut sering memberikan ceramah dalam kursus anjuran Jabatan dan juga swasta. Terdapat juga 4 spesis kelulut yang disyorkan untuk diternak iaitu T. itama, T, thoracica, T, terminata dan T. laeviceps. Disyorkan diletakkan 6 koloni dalam satu hektar (Dusun buah-buahan dan mixed crop) ia mampu menghasilkan 0.5 kg/ koloni/ bulan dimana lazimnya madu dihasilkan selama 9 bulan sahaja setahun. Bulan tengkujuh selalunya kurang atau tiada penghasilan madu kelulut. Dalam analisa kewangan dinyatakan purata pendapatan menternak kelulut adalah sebanyak RM 7,209 sebulan dengan kadar pulangan dalam (IRR) sekitar 427% (Ini merupakan IRR sangat tinggi dalam sektor pertanian). Bagaimana pun gangguan beberapa masaalah seperti perosak seperti Black Soldier Fly (BSF)  atau Lalat Soldadu Hitam (Sila klik disini) dan juga serangan Kumbang Pendebunga Haptoncus (Sila klik disini) telah sedikit sebanyak menyebabkan industri ternakan kelukut dinegara kita diancam. Artikel malam Sabtu ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya paparkan mengenai artikel beberapa laporan akhbar kisah cabaran penternakan kelulut dan penghasilan madu kelulut untuk dijadikan bahan rujukan semua pembaca. 

Penulis blog dapati kadar permintaan terhadap makanan kesihatan termasuk madu kelulut semakin
 meningkat tiga kali ganda sejak kes Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa semanjak 18 Mac 2020 akibat pandemik covid-19. Perkara ini juga ada dilaporkan oleh akhbar Harian Metro dengan artikel yang bertajuk 'Harga madu kelulut mencecah RM260 sekilogram' dimana wartawan HM melaporkan harga madu lebah kelulut turut meningkat hingga RM260 sekilogram berikutan permintaan melebihi penawaran. Pengerusi Persatuan Lebah Kelulut Terengganu (Pelekat) Daerah iaitu En Mohd Sufian Mat Nor berkata dimana kadar permintaan madu lebah kelulut yang meningkat menyebabkan stok madu kelulut dijual di pasaran tidak mencukupi. Biarpun harga madu lebah kelulut naik sehingga RM260 sekilogram namun kadar permintaan dan jualan madu itu tetap laris. Galeri Madu Kelulut Bukit (GMKB) di Setiu, Terengganu sendiri hanya mampu menjual sehingga 70 kilogram (kg) sebulan. Jualan madu itu dibuat kepada penduduk setempat, pelanggan dalam talian dan luar negara termasuk Singapura serta Thailand. Beliau nyatakan demikian pada Seminar Pecah Koloni dan Penternak Kelulut Rumah Rakan Islah Setiu, di Setiu. Kini jumlah permintaan madu lebah kelulut itu meningkat dan kesannya ramai penternak menambah jumlah sarang lebah kelulut untuk memenuhi permintaan. GMKB menambah sarang lebah kelulut sehingga 250 sarang daripada 180 sarang bagi memastikan jumlah pengeluaran madu lebah kelulut bertambah pada setiap bulan. Jumlah penternak baru turut meningkat sekarang berikutan peningkatan jumlah permintaan madu lebah kelulut itu. Dilaporkan beliau juga memantau 50 penternak baru yang mampu menghasilkan 250 hingga 300kg madu lebah kelulut sebulan di sekitar Kuala Terengganu, Marang dan Setiu.

Sementara itu di Temerloh, Pahang pula dilaporkan aktiviti penternakan kelulut didalam hutan semakin giat dilakukan. Dulu penulis blog pernah meninjau beberapa lokasi penternakan kelulut di Temerloh semasa menjadi Pengarah Pertanian Negeri. Penternakan kelulut dalam kawasan hutan semula jadi mempunyai potensi besar bagi tempoh jangka panjang selain dapat menghasilkan jumlah madu yang lebih banyak. Perkara tersebut dinyatakan oleh pegawai Pejabat Hutan Ladang Kemasul iaitu Siti Farhana Adnan. Pihaknya memperluaskan projek ternakan kelulut secara semula jadi dalam kawasan hutan itu yang terdapat pelbagai jenis spesies pokok. Pada fasa pertama projek berkenaan membabitkan 18 unit sarang kelulut jenis Trigona itama ditempatkan dalam kawasan hutan semula jadi yang sama dengan habitat asal serangga itu. Dakwanya  projek bermula awal tahun 2017 lagi tetapi gagal disebabkan oleh serangan beruang tetapi ianya sudah dipulihkan dan kini mengeluarkan hasil apabila setiap minggu 2 - 8  kilogram madu dapat kumpul bergantung kepada keadaan cuaca dan pengeluaran bunga pokok. Usaha menambah sarang kelulut akan terus dilakukan secara berperingkat dimana kekurangan bekalan selain bajet yang terhad menyebabkan projek itu perlu diusahakan secara teliti dan tersusun. Beliau juga dapati dimana kualiti madu dihasilkan (dalam kawasan hutan) juga lebih baik dan pekat selain rasa yang manis dan tidak terlalu masam. Projek kelulut Pejabat Hutan Ladang Kemasul di bawah Jabatan Perhutanan Pahang dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Pahang kini diseliakan oleh enam kakitangan yang bertanggungjawab memantau selain melakukan aktiviti seperti memungut madu, aktiviti pameran dan pendidikan Jabatan Hutan turut menjadikan projek terbabit sebagai produk pelancongan yang boleh dikunjungi pengunjung, selain melihat kawasan ladang dengan pelbagai tanaman pokok balak pelawat juga boleh melihat sarang kelulut. Antara ancaman serangan seperti semut dan tebuan menjadi musuh utama kelulut dan turut berlaku kegiatan mencuri oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menceroboh kawasan projek pada waktu malam. Kemajuan aktiviti ini dilaporkan memberi peluang lebih cerah kepada pihaknya untuk meluaskan dan memperbesarkan lagi secara berperingkat projek ternakan kelulut dalam kawasan hutan semula jadi.

Bagaimana pun ketakutan penternak kelulut dilaporkan di Gua, Musang, Kelantan apabila media melaporkan dalam artikel 'Beruang musnah sarang madu kelulut' sesuai dijadikan bahan rujukan. Dilaporkan dimana ada dua orang pengusaha madu kelulut di kawasan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Sungai Asap B, Gua Musang telah mengalami kerugian besar apabila sarang madu kelulut mereka dimusnahkan beruang. Seorang pengusaha kelulut dikenali dengan Fakrullah Zakaria berumur 41 tahun memberitahu dimana dia mengusahakan 30 sarang kelulut sejak lima tahun lalu berhampiran rumahnya. Bagaimana pun pada jam 4 pagi dia terdengar bunyi pelik di belakang rumah sebelum keluar rumah untuk melakukan pemeriksaan. Dia amat terkejut mendapati seekor beruang yang saiznya kira-kira separas pinggang sedang memusnahkan sarang kelulut dipercayai untuk mengambil madu dari log kelulut tersebut. Beruang merupakan sejenis haiwan yang mempunyai deria bau manisa madu yang kuat. Akibat ketakutan dan faktur keselamatan diri kemudian beliau terus masuk semula ke rumahsemasa ditemui wartawan HM di kediamannya. Esoknya dia masih bersyukur kerana hanya sembilan sarang kelulut dimusnahkan beruang terbabit. Dia mengambil madu kelulut setiap dua minggu dengan pendapatan kira-kira RM1,500 setiap kali tuaian dan berharap ancaman beruang ini segera berakhir. Seorang lagi pengusaha iaitu En Ismail Yusof berumur 62 tahun hanya menyedari tiga sarang sahaja kelulutnya dimusnahkan beruang jam 9.30 pagi berikutnya. Apa pun didakwa beruang terbabit berkeliaran di belakang rumahnya selama tiga malam berturut-turut dan memohon pihak PERHILITAN melihat perkara ini.

Penternakan kelulut yang tidak mengambil masa bekerja membolehkan seorang guru menternak kelulut. Laporan akhbat HM bertajuk 'Usahawan, guru ternakan kelulut' telah berjaya dengan hanya bermodalkan RM2,000 untuk mula menternak lebah kelulut. Beliau kini merupakan seorang wanita boleh berbangga dengan usaha yang dijalankan sejak enam tahun lalu. Pengurus Aqif Kelulut Farm, Rohani Rani dan suaminya, Wan Mohd Safri Wan Sulaiman kini mampu tersenyum dengan aktiviti ternakan kelulut yang diusahakan di bawah Projek Komersial Ternakan di atas tanah seluas 14 ekar milik Jabatan Pertanian Pahang di Tanah Putih, Pekan, Pahang membuahkan hasil lumayan. Kini secara purata kira-kira 300 kilogram madu sebulan dapat diperoleh dan ia dipasarkan ke seluruh negara. Penulis blog beberapa kali membuat tinjauan usahawan ini semasa bertugas di Pahang. Dakwanya pasangan ini turut menjual sarang kelulut kepada sesiapa yang mahu berjinak-jinak dengan ternakan kelulut. Puan Rahani dakwa menternak kelulut sebenarnya mudah, kurang risiko selain kos yang murah dan mempunyai permintaan pasaran yang tinggi namun tidak ramai yang mengetahuinya. Dia dulu bermula secara kecil-kecilan dengan modal RM2,000 dan lama-kelamaan selepas mengetahui selok-belok penjagaan kelulut ini, saya mula kembangkan. Bermula dengan hanya satu spesies, kini saya memiliki pelbagai spesies lain termasuk Trigona Itama, Trigona Thoracica, Trigona Apicalis, Trigona Binghami, Trigona Terminata dan spesis Trigona Canifron. Apa pun dikatakan spesies Itama lebih komersial dan mendapat permintaan tinggi kerana pengurusannya lebih mudah berbanding kelulut lain dan mudah mencari log kelulut spesies tersebut dan ia lebih senang dijaga. Uniknya berbanding dengan spesis Thoracica, kelulut jenis Itama ini lebih mudah 'merajuk' dan kadangkala apabila madu diambil, ia seolah-olah tak suka dan tidak akan hasilkan madu pada bulan selepas itu. Bagaimanapun lazimnya pada bulan berikutnya, kelulut ini (Thoracica) akan kembali menghasilkan madu namun uniknya, jenis itulah yang menghasilkan paling banyak madu.

Penternakan kelulut ini biarpun mudah dimana ia hanya perlukan penjagaan dan persekitaran yang baik dapat membantu kelulut menghasilkan madu lebih banyak dan berkualiti. Perkara itu bagaimanapun diabaikan ramai pengusaha kerana amalan untuk perlu sentiasa pastikan ancaman terhadap kelulut hendaklan dilakukan. Perosak kelulut seperti seperti Kumbang Pollen (Haptoncus loteus), Black soldier fly (BSF), katak dan cicak perlu dielakkan supaya kelulut dapat fokus terhadap penghasilan madu. Sekiranya pengawasan log kelulut tidak dilakukan maka kelulut terpaksa 'mengurangkan' kerja kerana perlu membuat kawalan terhadap ancaman sarangnya. Apa pun dakwanya pada 2016 berlaku serangan kumbang pollen sehingga dia terpaksa membakar 150 sarang kelulut untuk mengelak berjangkit kepada sarang lain (Penulis blog yang membuat pemeriksaan selaku PPN Pahang waktu itu bersama team Biosekuriti). Dia mengalami kerugian besar ketika itu sehingga Jabatan Pertannian Pahang tampil membuat kajian dan kaedah kawalan yang baik. Kaedah kawalan terbaik adalah dengan mencipta perangkap menggunakan botol mineral yang digantung di sekitar ladang. Di dalam botol itu diisi dengan biji pollen sebagai umpan dan minyak dimana ini manjadikan kumbang yang datang masuk akan terperangkap di dalamnya sebelum mati. Kemudian sejak mengamalkan teknik tersebut maka ladangnya yang disewa daripada Stesyen Jabatan Pertanian Pahang tidak lagi berdepan serangan serangga itu yang kebiasaannya banyak ketika musim buah. Bagi cara mengelakkan serangan BSF pula akan dipastikan sarang sentiasa kering dan meletakkan sarang di atas 'stand' yang dicipta khas. Teknologi ini disyorkan oleh Jabatan Pertanian dimana secara tidak langsung turut dapat mengelakkan serangan cicak dan katak. Semuga artikel ini ,e,beri info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!...
MENTERNAK KELULUT... ADA CABARAN...
RM260/KG... HARGA MADU DIPASARAN...
SERANGAN SERANGGA... ADA KAWALAN...
SIAPA RAJIN... IANYA MENGUNTUNGKAN...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(26 JamadilAwal 1442H).

 
 
 
















No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.