Monday, August 31, 2020

TERNAK KELULUT - SATU USAHA

TERNAKAN KELULUT (Genus : Trigona spp) merupakan satu bidangusaha yang terus menjadi popular. Walau pun hasil madu kelulut rendah berbanding dengan madu lebah dari Apis spp tetapi harga jualan madunya adalah lebih tinggi. Madu kelulut mengandungi antioksidan yang lebih tinggi dimana ia dijual dengan harga sekitar RM150 - RM200 sekilogram. Kelulut merupakan serangga yang tidak menyengat dimana secara semulajadi akan tinggal didalam lubang pada batang kayu dan juga dicelah-celah batu. Kini sudah ada teknologi menternak lenah kelulut dimana ia masih menggunakan log kayu tetapi dipasang dengan kotak kayu empatsehi (super) untuk kelulut menyimpan madunya yang mudah untuk kutippan hasil. Aktiviti menternak kelulut lebih mudah berbanding dengan aktiviti menternak lebah madu. Saya ada menulis lebih dari 100 artikel mengenai teknologi penternakan kelulut untuk dijadikan bahan bacaan (Sila klik disini), (Sila klik disini), (Sila klik disini) dan banyak lagi pautan. Beberapa spesis kelulut yang paling popular diternak adalah Trigona itama (Saiz kecil) dan juga Trigona thorasica (Bersaiz besar sedikit). Penulis blog yang juga mahir dalam penternakan kelulut sering memberikan ceramah dalam kursus anjuran Jabatan dan juga swasta. Dalam Agrimaths dipaparkan juga 4 spesis kelulut yang disyorkan untuk diternak iaitu T. itama, T, thoracica, T, terminata dan T. laeviceps. Disyorkan diletakkan 6 koloni dalam satu hektar (Dusun buah-buahan dan mixed crop) ia mampu menghasilkan 0.5 kg/ koloni/ bulan dimana lazimnya madu dihasilkan selama 9 bulan sahaja setahun. Pada musim bulan tengkujuh selalunya kurang atau tidak ada penghasilan madu kelulut. Dalam analisa kewangan juga dinyatakan purata pendapatan menternak kelulut adalah sebanyak RM 7,209 sebulan dengan kadar pulangan dalam (IRR) sekitar 427% (Ini merupakan IRR sangat tinggi dalam sektor pertanian). Bagaimana pun ada gangguan beberapa masaalah seperti perosak seperti Black Soldier Fly atau Lalat Soldadu Hitam (Sila klik disini) dan juga serangan oleh Kumbang Pendebunga Haptoncus (Sila klik disini) telah sedikit sebanyak menyebabkan industri ternakan kelukut dinegara kita diancam. Artikel subuh yang ceria ini sempena menyambut Hari Kemerdekaan ke 63 Malaysia dalam "Anim Agro Technology" saya paparkan satu bidangusaha iaitu menternak kelulut dan teknologinya dari tulisan saya dan seperti dilaporkan oleh media tempatan untuk bahan rujukkan anda semua.

Dalam akhbar Harian Metro bertajuk "Madu kelulut komersial" ada dipaparkan satu artikel mengenai lebah kelulut yang memang asalnya ia suka pada sarang dalam lubang batang pokok. Penulis blog yang telah menulis banyak artikel mengenai keluut mendapati madu kelulut antara produk agro berpotensi dikembangkan bagi pasaran domestik dan asing disebabkan manfaatnya yang tinggi terhadap kesihatan. Malah dalam perbincangan di Dewan Rakyat baru-baru ini telah ada perkara dibangkitkan adalah usaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk merangka langkah strategik dalam mencari peluang pasaran luar menerusi pameran perdagangan di luar negara. Apa pun sebelum ke arah itu, usaha memperkasakan golongan para penternak kelulut terutama dalam kalangan belia dalam membekalkan madu yang memenuhi piawaian serta berkualiti untuk pasaran luar perlu dilakukan terlebih dulu. Dalam pada itu untuk tujuan penternakan komersial madu kelulut, kata Pegawai MARDI iaitu Fahimee Jaafar dimana sekurang-kurangnya 30 sarang diperlukan berbanding mereka yang menternak untuk keperluan sendiri. Teknologi terkini dimana koloni kelulut yang matang boleh dipecahkan.  Namun ditekankan bagi penternak komersial atau menjadi usahawan madu kelulut itu sendiri, mereka perlu arif mengenai penjagaan serta amalan pertanian baik agar dapat mengoptimumkan penghasilan madu. Mengenai tuaian madu kelulut untuk satu koloni iaitu merujuk kepada satu sarang, hasil minimum boleh diperolehi sekitar 250 gram sebulan. Kalau musim yang baik iaitu menjelang musim buah dan bunga, hasilnya boleh meningkat kepada hampir dua kilogram madu.

Penghasilan madu bergantung kepada sumber makanan di sekitar sarang. Lebih baik kedudukan ladang ternak lebah kelulut dalam kawasan kebun buah atau berhampiran dengan kawasan yang ada bunga. Dengan sumber makanan banyak bermakna madu dihasilkan juga berbaloi. Madu kelulut yang matang akan disimpan didalam kantung kelulut yang ditutup (Sila anda lihat foto disebelah). Dalam pada itu penulis blog selalu membuat pemantauan dan mendapati dimana untuk menentukan kualiti madu kelulut yang baik, perlu diketahui lebah kelulut itu tidak hanya bergantung pada satu jenis sumber makanan semata-mata. Sebaiknya pelbagaikan sumber agar ada khasiat buah, bunga mahupun herba dalam kandungan madu berkenaan. Mengenai penternakan serangga kelulut selalunya koloni lebah kelulut diperoleh daripada pokok balak yang sudah sedia ada sarang atau koloni lebah terbabit. Memang tidak dinafikan untuk mula ternak lebah kelulut ini perlu ada sarang dan biasanya ia dijual pada harga sekitar RM250 dan boleh melambung kepada RM1,000 untuk hasil yang sudah stabil. Dalam pada itu terdapat 7 spesis kelulut di Malaysia yang sesuai diternak akan tetapi dua spesis yang penulis blog selalu jumpa adalah Trigona itama dan Trigona thoracica. Spesis Heterotrigona itama merupakan yang paling popular diternak di Malaysia kerana ia amat produktif didalam menghasilkan madu.

Penternakan kelulut memerlukan ilmu dan juga kelengkapan log sesuai untuk diletak dikawasan yang ada sumber makanan. Terdapat banyak peringkat kehidupan kelulut dimana jika koloni sudah matang sebenarnya ia sudah boleh dipecahkan untuk hasilkan koloni baru. Perlu ketahui sebelum pecah koloni ini perlu ada empat kriteria penting perlu dipatuhi iaitu perlu ada lebah jantan, sel telur ratu (lebih besar saiz telurnya berbanding sel telur lebah askar), koloni matang (lebih 18 tingkat sarang) dan dilakukan ketika musim buah atau bunga. Daripada sarang atau koloni asal, hanya boleh hasilkan satu koloni baharu dalam satu masa. Namun proses pecahkan itu boleh dilakukan berulang kali apabila empat kriteria asal itu dipenuhi. Mengenai cara dan kaedah penternakan lebah berkenaan teknologi pada ketika ini hanya dua iaitu menerusi kotak kayu ataupun blok kayu. Kelulut juga tidak berbahaya dan sarangnya perlu diletakkan di kawasan redup seperti di bawah pokok adalah yang terbaik. Kalau diletakkan di kawasan terbuka dan terdedah kepada panas, lebah kelulut ini akan mati atau lari membuat sarang di tempat yang lain. Perkara lain perlu diketahui ketika menuai madu lebah ini juga, elak tuai ketika musim hujan kerana kandungan air tinggi dalam madu memerlukan kerja tambahan untuk memprosesnya. Kesan gagal membuang air dalam madu itu apabila diletakkan dalam botol akan menyebabkan tindak balas gas sehingga mampu memecahkan botol yang digunakan bagi menyimpan madu berkenaan. Madu Kelulut lazimnya boleh dituai sebanyak lapan kali setahun. Langkah terbaik untuk mereka yang berhasrat berjinak-jinak dalam ternakan madu kelulut terbabit, Penulis blog juga syorkan jika ada individu yang ingin mengikuti kursus dianjurkan oleh agensi seperti MARDI atau Jabatan Pertanian untuk mendapat penerangan yang lebih terperinci.

Dalam laporan media lain bertajuk "Sarang kelulut keliling rumah" menarik untuk dirujuk. Foto disebelah menunjukkan iaitu En Haziman memeriksa sarang kelulut yang diternak di kawasan rumahnya di Kampung Jeram Beserah, Kuantan, Pahang sebagai sati demo. Beliau kini sudah mempunyai sebanyak 50 sarang kelulut di kawasan rumahnya sebagai satu aktiviti menyeronokkan. Pada dia umpama terapi diri bagi pesara kerajaan, Zakaria Musa setiap kali melihat sarang kelulut di sekeliling rumahnya di Kampung Jeram, Beserah. Setiap pagi dan petang, warga emas berusia 65 tahun itu akan meninjau lebih 50 sarang kelulut termasuk mengambil madunya untuk dijual atau diberi kepada mereka yang datang melawat sarang kelulut berkenaan. Beliau yang mula menternak kelulut sejak dua tahun lalu bermula dengan 30 sarang kelulut jenis damar, hama dan thoracica yang dibeli daripada Orang Asli di Raub dengan harga antara RM200 dan RM350 satu sarang. Modal yang besar diperlukan sekiranya ingin terbabit dengan aktiviti menternak kelulut kerana permintaannya tinggi dan ia telah menyebabkan harganya meningkat dua hingga tiga kali ganda sejak kebelakangan ini. Dia mula menternak kelulut pada 2016 dengan modal lebih RM30,000 untuk beliau menyediakan tempat, seterusnya membeli 50 sarang kelulut dibekalkan secara berperingkat oleh Orang Asli yang mencarinya di kawasan hutan di Raub. Menerusi bantuan dua anak akhirnya saya berjaya mengusahakan projek berkenaan di sekeliling rumah bagi mengisi masa lapang dan perlu berdepan pelbagai cabaran di peringkat awal,” katanya yang sebelum ini berkhidmat di Jabatan Bekalan Air (JBA) Pahang.

Zainal juga pernah berdepan situasi dimana sarang kelulutnya mahu dicuri pihak tidak bertanggungjawab yang bergerak aktif pada waktu malam dan selain itu, kelulut juga lari meninggalkan sarang termasuk ancaman perosak seperti burung serta serangga antara cabaran terpaksa dihadapi oleh penternak. Kemuncak pengeluaran madu ialah sebanyak 15 kilogram (kg) dapat dihasilkan sebulan tetapi pengeluaran madu terhenti setiap kali musim hujan. Lazimnya dia akan menjual madu dengan harga RM35 hingga RM45 sebotol (100 gram) dan mereka yang datang ke ladang juga diberi peluang menyedut madu dari sarang bagi merasai sendiri keseronokannya. Kawasan ladang ternakan kelulutnya kini turut dijadikan produk pelancongan yang semakin mendapat tempat di hati pelancong tempatan dan asing. Pengunjung datang untuk melihat sarang kelulut dan menyedut madunya. Penulis blog yang menjawat Pengarah Pertanian Pahang pada 2016 - 2017 pula beberapa kali memberi sokongan bantuan dan khidmat nasihat kepada beliau dahulu. Anak beliau iaitu Haziman 26 tahun juga banyak membantu bapanya bagi memenuhi permintaan terhadap madu kelulut yang semakin bertambah, dia bercadang untuk membesarkan projek terbabit secara berperingkat. Kertas cadangan penyediaan kawasan ladang baru sudah dikemukakan kepada agensi bertanggungjawab. Sekiranya diluluskan usaha mendapatkan sarang kelulut akan dilakukan. Beliau juga berharap impian memiliki ladang kelulut komersial yang turut menjadi produk pelancongan daerah ini menjadi kenyataan suatu hari nanti. Semuga artikel ini mampu memberi info berguna kepada pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
MENTERNAK KELULUT... SATU USAHA...
LOG KELULUT... PERLU DIBELI MULA...
SELALU DIPANTAU...MAKANAN DIJAGA... 
MADU KELULUT... BOLEH JUAL DI NIAGA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.
(12 RabiulAkhir 1441H).
Posting pada 31 Ogos 2020
Selamat Hari Merdeka ke 63...!

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.