Friday, June 19, 2020

QUTUS AGRO FARM - NANAS MD2

QUTUS AGRO FARM yang terletak di Kg Padang Lerek, Tangkak, Johor merupakan sebuah kebun nanas MD2 yang dahulunya ditanam dengan kelapa sawit. Pemilik kebun ini adalah Tn Hj Dasuki dan anaknya En Suffian yang kini gembira apabila nanas MD2 yang ditanamnya semenjak hampir 1.5 tahun menjadi penanam nanas mengeluarkan hasil dan berjaya memberikan pulangan baik. Keluarga ini mendapat galakan dan bimbingan daripada pihak Lembaga Perindustrian Nanas Malasysia (LPNM) dan juga Jabatan Pertanian Daerah. Tanaman nanas (Ananas comosus) merupakan jenis tanaman baru bagi petani di Daerah Tangkak kerana tanaman ini memang kurang dikenali bagi petani dikawasan ini berbanding dengan tanaman nanas di Daerah Muar (coastal and peat area). Tn Hj Dasuki yang mana tanahnya sebelum ini pernah ditanam padi (sawah padi) telah ditukar kepada tanaman sayuran dan seterusnya tanaman jagung dan pisang sebelum beliau menanam kelapa sawit. Pengalaman beliau sebagai petani yang lama menghasilkan makanan ini diikuti oleh anaknya Suffian yang kini menukar kepada tanaman nanas. Kini mereka telah menanam seluas 10 ekar nanas dari jenis MD2 dan sedang mencari kawasan lain seluas10 ekar lagi untuk ditanam dengan nanas MD2. Jika ada kebun nanas seluas 20 ekar maka mereka boleh membuat jualan setiap bulan dengan purata 1.3 ekar dapat dituai membolehkan pendapatan bulanan stabil. Beliau kali pertama mendapat bantuan tanaman nanas melalui program Agropreneur Muda untuk kawasan selias 0.5 hektar sahaja. Tinjauan saya ke kebun Qatas Agro Farm ini bersama pegawai LPNM En Sharom dan 3 usahawan daripada Kuala Lumpur yang berminat menanam nanas. Artikel dalam "Anim Agro Technology" ini mempaparkan mengenai usaha penaman nanas MD2 yang memberikan pulangan baik untuk mereka.


Menanam nanas memerlukan kawasan lapang dan sesuai sama ada pada tanah mineral atau tanah gambut. Pengurusan agronomi dikebun tanah gambut dengan tanah mineral agak sedikit berbeza akan tetapi masih ramai mendakwa nanas MD2 daripada kebun tanah mineral lebih sedap dimakan iaitu lebih manis dan wangi daripada nanas dari tanah gambut (Sila lihat foto disebelah). Penjagaan baik tanaman dengan menggunakan baja butir dan baja foliar dikawasan tanah baru membolehkan buah nanas MD2 dituai dalam masa 13 - 15 bulan. Dakwa Suffian dimana pokok yang dihormon secara berperingkat ini membolehkan masa untuk memetik dan menjualnya dapat diatur mengikut pasaran. Hampir 65% buah adalah besar yang beratnya diantara 2 - 3 kg sebiji dan 10% melebihi 3 kg sebiji semantara bakinya adalah dibawah 2 kg sebiji. Melihat kepada keseluruhan kebun didapati ia didalam keadaan berjaga dengan baik kerana mereka juga dibantu oleh seorang pekerja asing sepenoh masa menjaga kebun nanas. Kawalan rumpai yang baik dari peringkat awal penanaman dan teknik penggunaan plastik penutup batas membolehkan serta kawasan tanah baru buka kurang kesan serangan penyakit reout perdu oleh Bakteria dikenali sebagai Dikeya spp. Bagi mempastikan kawasan kebun selamat maka ia di pasang pagar chain link dibahagian hadapan (elakkan orang kampung masuk kebun) dan atap zink (untuk elakkan serangan haiwan termasuk babi hutan). Bagi bahagian sempadan dengan kebun sawit dipasang pagar kawat duri dan zink. Kedudukan kebun ditepi jalan utama kampong membolehkan ia mudah dikunjungi. Suffian sedang merangka untuk menjadikan agrotourism di kebun nanasnya dimasa hadapan keran kedudukan yang cuma 3-4 km sahaja dari tol Tangkak dan mempunyai laluan jalan tar yang sangat baik.


Penanaman nanas MD2 adalah target utama mereka bagi tujuan pengeluaran buah nanas dan juga anak benih sulur nanas. Bantuan benih dari LPNM (masa itu saya menjadi KP LPNM) diterima dibawah Skim Penanaman Nanas MD2 bagi sektor pekebun kecil. Benih diterima ini dirawat dahulu sebelum ditanam dengan racun kulat dan racun serangga. Ia ditanam diatas batas tanaman setinggi 4 - 6 inci dan ditutup dengan plastik sebelum proses menanam. Kawasan kebun yang berkedudukan dengan parit JPS membolehkan tiada masaalah air bertakung yang boleh merosakkan tanaman nanas. Kawasan tanaman nanas MD2 yang telah dituai akan dicantas bagi tujuan pengeluaran sulur benih nanas (Sila lihat foto sulur paling bawah). Benih ini dikumpulkan untuk ditanam semula dkawasan sedia ada dan juga kawasan baru yang disewa dari penduduk kampung. Menurut mereka, kos membeli benih nanas MD2 merupakan kos paling tinggi kerana harga benih MD2 sekitar RM1.50 satu sulur dan perlukan 15,000 - 20,000 untuk seekar maka anda boleh kira sendiri kalau hendak menanam seluas 10 ekar. Kini beliau sudah ada benih sendiri dan mudah untuk memperluaskan tanaman nanas MD2 secara berperingkat-peringkat. Tanaman varieti Josapine dilakukan peringkat awal dahulu sekitar 50,000 pokok kerana ketidakcukupan bekalan benih MD2 ketika itu dan terpaksa membelinya sendiri sekitar 30 - 35 sen satu sulur.Bagaimana pun buah nanas Josapine dijual serantak dengan nanas MD2 yang ditanam awal sedikit.


Penuaian nanas MD2 dari Qatas Agro Farm dilakukan setiap minggu mengikut jadual menghormon. Pada mulanya ada pemborong yang datang membelinya akan tetapi hanya menawarkan harga purata RM2.50 sekilogram sahaja. Bagaimana pun terkini Suffian berusaha menjualnya sendiri dengan harga RM3.00 - RM3.50 sekilogram dengan memberikan keterangan kepada pembeli bahawa nanas dijualnya adalah nanas tilun baka MD2 (bukan benih Kultur Tisu) dari tanah mineral yang manis. Beliau akan meminta pembeli ujirasa dahulu potongan nanas miliknya dan kebanyakannya akan terus membelinya. Selain daripada pasaran di Tangkak, Muar dan Segamat, buah nanas Qatas Agro Farm ini dihantar sendiri ke Pasar Tani Putrajaya dengan harga lebih baik lagi. Bagi pendudukk tempatan mereka akan datang sendiri ke pondok kebun dan membelinya. Hj Dasuki menyatakan menanam nanas MD2 jauh lebih menguntungkan daripada hasil kelapa sawit, getah dan sayuran. Dakwanya cuma kena tunggu lebih setahun setengah baru mendapat hasil kutipan pertama. Memang agak lama 'menunggu' kepada petani yang kali pertama menanamnya. Berulangkali beliau katakan memang dahulu tidak percaya apabila diberitahu menanam nanas MD2 itu memang menguntungkan. Beliau diantara penanam nanas yang 'senyap' sahaja menikmati hasil penanaman nanas dan memang akan memperluaskannya dimasa akan datang. Semuga industri nanas negara akan terus maju dikalangan pekebun kecil, usahawan sederhana dan pengurusan estet nanas di Malaysia. Diharap artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
MENANAM NANAS... ASALNYA SUKA-SUKA...
ADA BANTUAN...LEBIH LUAS TANAMNYA...
NANAS MD2... TANAH MINERAL MANISNYA...
BANDING SAWIT... LEBIH TINGGI UNTUNGNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronoomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(27 Syawal 1441H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.