Saturday, June 20, 2020

KELAPA - PEROSAK DAN PENYAKIT (Part 1)

TANAMAN KELAPA (Cocos nucifera) merupakan sejenis tumbuhan yang sesuai ditanam di kawasan bersuhu panas dan lembap. Buahnya tidak bermusim dan boleh didapati sepanjang tahun dimana kelapa adalah kaya dengan lemak berguna dan pelbagai unsur penting kepada manusia seperti antioksidan dan juga antibodi penting. Di Malaysia tanaman kelapa adalah tanaman yang ke 4 terpenting diusahakan selepas Kelapa Sawit, Getah dan Padi dengan jumlah keluasan sebanyak 81,585 hektar pada tahun 2018 (Sumber: Booklet Statistik Tanaman, Jabatan Pertanian Malaysia 2018). Daripada jumlah tersebut seluas 76,612 hektar diusahakan oleh pekebun kecil dan 4,973 oleh estet swasta. Pada tahun tersebut sebanyak 538,685 metrik tn kelapa dihasilkan dengan nilai pengeluaran sebanyak RM603.32 juta. Kekurangan buah kelapa di Malaysia ditampong dengan pengimportan bijii kelapa tua daripada Indonesia sekitar RM150 - 200 juta biji setahun. Kelapa hanya ditanam secara komersil dibeberapa kawasan tumpuan seperti di Johor, Selangor dan Perak. Ladang-ladang dan juga kebun utama terdapat di kawasan Bagan Datok dan Hutan Melintang, Perak. Industri kelapa masih memainkan peranan penting dalam perdagangan negara. Sebahagian besar daripada varieti yang ditanam adalah daripada jenis tradisional seperti varietii Malayan Tall (CN1) iaitu kadar sebanyak 92% walau pun kini bakinya adalah daripada jenis hibrid komersil seperti MATAG (5%), Pandan (2%) dan MAWA (1%). Kerajaan amat menggalakkan penanaman kelapa bagi memenuhi akan keperluan dan permintaan yang semakin meningkat dalam penggunaan masakan, kuih muih, minuman, aktiviti pelancongan dan lain-lain. Pada tahun 2018, Malaysia telah mengeksport kelapa dan produk kelapa bernilai lebih daripada RM75 juta manakala import kelapa dan produk kelapa bernilai RM60 juta. Sebahagian besar daripada eksport terdiri daripada minyak kelapa dan produk-produk kelapa seperti karbon teraktif, kelapa parut kering dan santan/serbuk santan manakala import utama terdiri daripada minyak kelapa, karbon teraktif, kopra dan kelapa segar. Kepentingan kelapa juga semakin menyerlah dengan penemuan dan penghasilan produk-produk baru seperti Minyak Kelapa Dara atau Virgin Coconut Oil (VCO). Artikel malam ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya menulis mengenai perosak seperti serangga dan penyakit tanaman kelapa di Malaysia yang boleh dijadikan bahan rujukkan anda semua.




(1) Kumbang Tanduk 
     (Oryctes rhinoceros)
Simptom serangan : Kumbang tanduk dewasa mengorek ke dalam pucuk dan memakan tisu-tisu lembut kelapa. Apabila pelepah daun membesar dilihat daun kelapa akan jadi lain membentuk seperti kipas (Sila lihat foto dibawah). Serangan teruk boleh menyebabkan air bertakung dalam lubang yang dikorek dan ini akan mendedahkan pucuk tehadap serangan kumbang jalur merah (RPW). Kumbang dewasa akan juga bertelur dalam batang kelapa yang reput, bahan organik ataupun sampah sarap mereput. Larva (grub) akan hidup dalam bahan ini sehingga menjadi pupa.


Kaedah Kawalan:-
(a) Amalan kultura 
Tumbangkan pokok kelapa yang terdapat simptom serangan dan dipotong kecil-kecil dan perlu dibakar. Teknik gunakan Perangkap PVC/ Feromon  dibuat PVC berukuran 2m tinggi dengan garis pusat 10cm kemudian ia diletakkan di kawasan kelapa beserta feromon bagi memerangkap kumbang tanduk dewasa. Perangkap ini perlu diletakkan di kawasan kelapa yang terlindung cahaya matahari. Feromon didalam PVC ini perlu diganti 3 bulan sekali untuk menarik kumbang datang. Perangkap diperiksa setiap 2 minggu dan semua kumbang yang diperangkap perlu dimusnahkan.

(b) Kawalan kimia

Bagi pokok kelapa yang masih kecil perlu letak sebanyak 1- 2 biji "moth ball" dan juga 3 - 4 butir racun carbofuran. Boleh juga disemburkan racun cypermetrin, acephate atau Nurelle mengikut kadar yang di syorkan di label setiap 14 hari.

(c) Perangkap organik: 
Perangkap ini dibuat dengan gunakan batang kelapa sepanjang 1m x 1m kemudian ia diisi dengan habuk kelapa yang digunakan untuk memerangkap kumbang dewasa. Kumbang dewasa itu akan bertelur dan menetas. Kumbang yang dapat di perangkap perlu dimusnahkan. Pembersihan ladang dijalankan untuk membuang tempat pembiakan kumbang tanduk seperti sisa sampah dan bahan reput. Tanaman penutup bumi sesuai ditanam bertujuan untuk mengurangkan serangan kumbang tanduk.

(d) Kawalan biologi 
Teknik biologi adalah dengan menggunakan agen biologi iaitu jenis Kulat Green Muscardin (Metarrhizium anisopliae). Kulat ini boleh didapati daripada pihak tertentu seperti Jabatan Pertanian dan sebagainya.



(2) Kumbang Merah Palma 
       (Rhynchophorus ferrugineus)
       dan (Rhynchophorus vulneratus)
Simptom serangan : Serangga dewasa betina (RPW) ini akan bertelur di bahagian yang terluka atau tercedera disebabkan oleh serangan kumbang tanduk, aktiviti manusia atau lain-lain faktor. Larva (grub) memakan pucuk sehingga menyebabkan pokok kelapa akan mati. Simptom serangan selalunya tidak kelihatan diperingkat awal serangan dan hanya disedari setelah serangan diperingkat teruk. Pucuk yang diserang menjadi reput dan mudah tercabut. Pokok yang diserang kebiasaannya akan patah dibahagian pucuk (crown) dan meninggalkan batang sahaja. Keseluruhan kitaran hidup kumbang RPW adalah berada didalam pokok dan akan keluar dari batang kelapa untuk mencari tempat ia membiak setelah pokok mati.


Kaedah Kawalan: Perlu jalankan pembersihan kawasan, potong pokok yang diserang dan mengawal daripada luka terutama serangan kumbang tanduk. Pokok yang ditebang perlu dimusnahkan dengan cara menanam atau membakar dan membunuh larva dan dewasa. Elakkan luka pada batang palma kerana dewasa betina bertelur pada luka tersebut Luka perlu di tampal dengan tanah mengandungi racun perosak seperti carbaryl, tricholofon dll. Jika boleh melakukan pangkasan pelepah, pastikan tinggalkan 1m dari petiole. Penggunaan perangkap feromon (RPW-lure) untuk memerangkap kumbang dewasa dan musnahkan apa yang ditangkap.  Suntikkan batang dengan kadar 0.1% metahmidophos (3ml / litre air) or 1% Carbaryl (20gm/litre). Tutup lubang dengan tanah dan ulang suntik dalam mas seminggu. Pucuk disembur diazinon, carbaryl, nurelle Guna racun kulat untuk mengawal reput pucuk atau reput daun kerana kumbang akan bertelur pada palma.
Artikel ini ada 4 siri iaitu Part 1, Part 2, Part 3 dan Part 4 untuk dibaca semuanya. Semuga tulisan ini memberi maklumat berguna kepada semua pembaca anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
PEROSAK KELAPA... ADA SERANGGA...
13 JENIS SERANGGA... DICERITA SEMUA...
SERANGAN PENYAKIT...KAWAL SEGERA...
BAHAN RUJUKKAN... SANGAT BERGUNA...

By,
M Anem,

Senior Agronommist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(28 Syawal 1441H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.