Tuesday, May 26, 2020

TANAM TERUNG FERTIGASI

MENANAM TERUNG SECARA FERTIGASI merupakan satu teknologi yang sesuai dilakukan oleh petani yang ada ilmu pengetahuan, modal mencukupi dan sistem fertigasi sesuai. Di Malaysia amalan menanam beberapa jenis sayuran jenis buah seperti terung, cili, timun, petola, peria, labu air dan beberapa lagi telah mula bertukar kepada sistem fertigasi. Pemilihan sistem tanaman fertigasi ini boleh juga dilakukan sama ada menanam Sistem Fertigasi Atas Tanah atau pun Sistem Fertigasi Gantung. Tanaman Terung (Solanum melongena) adalah sejenis sayuran buah daripada keluarga Solanaceae dan genus Solanum. Tumbuhan yang tumbuh menegak ini mampu mencecah ketinggian sehingga 40 - 150 cm (16 - 57 inci) dengan lazimnya mempunyai ciri daunnya besar, ada lobus yang kasar yang ukurannya 10 -20 cm (4-8 inci) panjangnya dan 5 -10 cm (2-4 inci) lebarnya. Jenis-jenis separa liar adalah lebih besar dan bertumbuh sehingga 225 cm (7 kaki), dengan daun yang melebihi 30 cm (12 inci) panjangnya dan 15 cm (6 inci) panjangnya. Batang pokok seringnya berduri. Warna bunganya antara putih hingga ungu, dengan korola yang memiliki lima lobus. Stamennya berwarna kuning. Buah terung berisi mengikut varieti dimana terung panjang lazimnya mempunyai diameter yang kurang daripada 3 cm untuk pokok liar dan dilaporkan bersaiz lebih besar lagi untuk jenis yang ditanam (cultivated selected variety). Pokokk terung yang ditanam terus diatas tanah atau diatas batas sering diganggu dengan pelbagai masaalah seperti serangan penyakit dan perosak dan masaalah pengurusan tanah. Serangan tering seperti Layu Bakteria mudah menjangkinii daripada tanah itu sendiri (soil borne disease) dimana ianya akan dapat dielakkan jika petani menanam terung melalui sistem fertigasi. Walau pun ada dakwaan menanam terung secara fertigasi memerlukan kos agak tinggi pada permulaan penanaman tetapi dengan jaminan penghasilan dan risiko penyakit ianya masih menguntungkan. Artikel subuh ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya menulsi mengenai teknologi penanaman terung secara fertigasi untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukan anda smeua.


Penulis blog yang sering membuat tinjauan di kebun sayur yang menanam terung secara fertigasi amat teliti dengan amalan agronomi yang dilakukan mereka. Ini kerana teknologi penanaman cili, tomato dan buah rockmelon secara fertigasi terbukti berkesan didalam usaha meningkatkan pertumbuhan dan hasil tanaman sehingga 2 - 3 kali ganda berbanding dengan kaedah penanaman secara konvensional. Tinjauan penulis blog mendapati dimana penanaman terung secara fertigasi dapat meningkatkan prestasi tanaman dan hasil buah. Apa pun dilaporkan dimana kaedah penanaman yang mudah serta kos pembajaan yang murah berbanding tanaman cili dan rockmelon fertigasi dapat menjadikan terung fertigasi pilihan utama pengusaha fertigasi. Daripada tinjauan di Kuantan, Pahang petani mendakwa dimana purata hasil terung fertigasi mampu mencapai 4 kg sepokok dengan formulasi pembajaan yang tepat. Jangka hayat fertigasi bagi terung adalah sehingga 6 bulan kamanya. Apa yang dilihat lazimnya peringkat 3 bulan pertama adalah dalam tempoh pertumbuhan vegatatif dan 3 bulan terakhir adalah tempoh penuaian hasil. Tuaian pertama bagi tanaman terung dengan sistem fertigasi (atas tanah atau gantung) adalah sekitar 75 hari berbanding 90 hari untuk cara tanaman terung secara konvensional. Tempoh tuaian yang singkat ini dapat mempercepatkan masa jualan hasil tanaman. Apa pun semua ini bergantung kepada amalan agronomi yang dilakukan termasuk bagaimana teknik agihan air baja yang diberikan dan juga kawalan perosak serta penyakit dan varieti yang ditanam.


Penulis blog dapati teknologi penanaman terung secara fertigasi ini kini semakin diminati ramai pengusaha fertigasi kerana dilaporkan hasil tanaman terung kurang menghadapi masalah penyakit dan juga serangga perosak. Sehingga kini dilihat serangga perosak utama tanaman terung di Malaysia adalah ulat pengorek buah, ulat pengorek batang dan kutu thrips. Pengusaha fertigasi terung tidak lagi perlu memberikan tumpuan yang rapi terhadap tanaman terung ini. Sebenarnya berbanding tanaman cili fertigasi yang memerlukan tumpuan sepenuh masa dan komitmen yang tinggi daripada pengusaha. Justeru itu kini ramai pengusaha menanam terung fertigasi secara separuh masa iaitu dengan menjadikan penanaman terung sebagai salah satu lagi sumber pendapatan sampingan yang baik. Daripada beberapa tinjauan penulis blog mendapati kini harga ladang hasil terung pula adalah purata sekitar RM2.50 - RM4.50 sekilogram dan daripada analisa dilakukan penulis blog bersama pengusaha tanaman terung fertigasi didapati harga jualan terung fertigasi adalah RM10 sepokok. Kaedah kiraan ini berdasarkan kepada formula purata tuaian sebanyak 4 kilogram hasil sepokok mampu dijual menjadi pulangan sebanyak RM10 sepokok. Cuba kira jika petani tersebut menanam sebanyak 1,000 polibeg terung dimana diaanggarkan memberi pendapatan sehingga RM10,000 semusim dan jika di kira pendapatan bulanan mampu mencapai sebanyak RM1,300 sebulan. Itu jumlah yang agak baik sebagai pendapatan sampinagn. Penulis blog percaya dimana teknik penanaman terung secara fertigasi dapat menjadi satu pilihan utama pengusaha fertigasi di Malaysia. Kaedah ini juga dapat memberikam pulangan hasil yang tinggi berbanding kaedah konvensional.


Dalam akhbar Harian Metro bertajuk ''Tanaman terung mudah dijaga" sesuai dijadikan bahan rujukkan. Berita daripada Beruas, Perak menyatakan dimana seorang bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memilih terung sebagai komponen utama dengan menyertai Fertigasi Rakyat di bawah pengurusan Pejabat Pertanian Daerah Perak Tengah di Pusat Pertanian Gelong Gajah, Beruas. Beliau adalah Mohd Azam Junus berumur 37 tahun yang bermula menceburi dunia pertanian sejak 2013 selepas menamatkan perkhidmatan dalam pasukan keselamatan (Sila lihat foto disebelah). Beliau yang juga merupakan anak kelahiran dsari Jengka, Pahang, sebelum ini memilih tanaman cili kulai sebelum beralih sepenuhnya kepada terung kerana penjagaan tanaman itu lebih mudah dan tidak memerlukan air yang banyak. Selain itu teknik pengurusan racun juga lebih mudah berbanding tanaman lain dan pokok juga tahan lasak dengan mengambil masa dalam tempoh tiga hingga empat bulan untuk mengeluarkan hasil selepas proses semaian dilakukan. Tanaman terung sesuai ditanam di tanah jenis gambut dimana diusahakan dikawasan seluas 0.8 hektar di dua tapak berlainan di lokasi sama. Dia menggunakan kaedah tanaman berbeza iaitu secara fertigasi yang mempunyai 2,450 pokok dan ditanam di batas tanah sebanyak 1,500 pokok. Terung yang ditanam secara fertigasi agak sukar pengurusan tanamannya kerana ia memerlukan penjagaan baja yang mencukupi dengan membabitkan kos tinggi berbanding ditanam di batas tanah. Dakwanya kaedah fertigasi terung perlu dibaja mengikut formula dengan penjagaan yang betul bagi mendapatkan hasil terbaik dan semua terung ditanam adalah jenis nyonya yang bentuknya panjang. Sepokok mampu mengeluarkan hasil hampir 5 kg dan sebulan kebunnya mengeluarkan hasil sekitar 2,800kg. Harga jualan pernah mencecah sehingga maksima RM4 sekilogram pada harga ladang. Paling rendah dijual pada harga RM2.50 sekilogram dan jenis ini juga mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan kerana terung nyonya lebih sedap dan manis serta paling sesuai dimasak pajeri. Kini dia mendakwa boleh hidup selesa tanpa perlu membanting tulang di kebun dengan pendapatan tetap sebagai penjawat awam selama 13 tahun. Kini dengan dia memilih pertanian sebagai punca pendapatan biarpun bidang itu mempunyai risikonya tersendiri. Dia mengikuti kursus  peralihan iaitu kursus wajib diikuti anggota yang mahu menamatkan perkhidmatan. Dakwanya lagi jika minat itu disertai dengan ‘jiwa’ dan usaha pasti ia akan membuahkan hasil biarpun pada awalnya kita akan jatuh dahulu sama seperti yang dilalui ketika di awal pembabitan dalam bidang ini apabila pernah tidak mendapat keuntungan. Bantuan serta sokongan yang diberikan Jabatan Pertanian selain keluarga dan pengalaman lalu saya bangkit semula dengan tanaman terung dia mampu memperoleh pendapatan kasar kira-kira RM5,000 - RM10,000 sebulan. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!...
 MENANAM TERUNG...CARA FERTIGASI...
DIATAS TANAH.. DIGANTUNG MACAM CILI...
MUDAH DIJAGA.. AIR BAJA SELALU DIBERI...
HASIL LUMAYAN... RM10,000 AGAK PASTI...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.
(2 Syawal 1441H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.