Wednesday, May 27, 2020

CILI L5 - HASIL KAJIAN MARDI

VARIETI CILI L5 hasil kajian MARDI merupakan salah satu varieti cili yang penulis blog dapati belum lagi popular dikalangan petani di Malaysia kerana tiada maklumat khusus mengenai varieti cili yang ditanam. Menurut laporan Bulletin MARDI Bilangan 10 (2016) : 143 -149 banyak memberikan hasil kajian cili L5  tersebut cili ini berjaya dihasilkan pada tahun 2016 (Sila lihat foto diatas). Pembangunan varieti cili L5 dapat membuka peluang kepada fsktur peningkatan pengeluaran dan penanaman cili tempatan di samping mengurangkan kebergantungan import daripada negara pengeluar cili berkos rendah seperti Thailand dan China. Kadar eksport juga dapat ditingkatkan ekoran pertambahan jumlah pengeluaran berikutan pengeluaran hasil cili L5 yang tinggi dan setara dengan sebahagian cili hibrid. Ini dapat memberi lebih pilihan biji benih berkualiti kepada petani. Keadaan ini seterusnya dapat mengurangkan kos import biji benih hibrid di samping mengurangkan kos pengeluaran tanaman cili. Pada masa yang sama dapat membuka peluang kepada peningkatan pengeluaran produk pertanian berasaskan cili seperti sos, pes, puri dan produk-produk farmaseutikal yang kian berkembang pesat. Semoga dengan adanya varieti cili baharu ini juga dapat meletakkan revolusi pertanian negara untuk maju setapak lagi sekali gus membawa banyak kelebihan dan juga impak ekonomi yang positif bukan sahaja kepada para petani malah kepada negara. Tambahan lagi, pewujudan varieti cili L5 diharap boleh dimanfaatkan oleh pengusaha dan juga negara dari segi kualiti dan kuantiti yang mampu dihasilkan selain jaminan mutunya. Saya ada menulis berpuloh artikel mengenai cili dalam blog ini dan menjadi rujukan banyak pihak. Bagaimana pun didalam blog teknologi pertanian iaitu "Anim Agro Technology" kali ini saya paparkan hasil kajian oleh MARDI bagaimana mereka membangunkan varieti baru cili L5 untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan anda semua.

Pada saya di Malaysia tanaman Cili (Capsicum spp.) terutamanya cili besar (Capsicum annum) merupakan komoditi yang sangat penting dan mempunyai nilai ekonomi yang baik. Permintaan terhadap komoditi ini meningkat setiap tahun dengan anggaran pertumbuhan tahunan sebanyak 7.8% (anggaran pada tahun 2009 - 2013). Peningkatan ini bagaimana pun tidak selari dengan permintaan semasa kerana hampir 50% keperluan cili negara masih tidak dapat ditampung oleh industri tempatan. Pada tahun 2013 pula dilaporkan dimana Malaysia telah membelanjakan sejumlah wang yang besar iaitu sebanyak RM136.16 juta untuk mengimport 36,324 tan metrik cili dari Thailand dan China. DI Malaysia apa yang saya rujuk mendapati pada tahun 2018 terdapat seluas 3,195 hektar tanaman cili besar dengan pengeluaran sebanyak 33,755 metrik tan dan seluas 857 hektar dengan pengeluaran sebanyak 1,940 metrik tan cili padi (Sumber: Booklet Statistik Tanaman, Jabatan Pertanian Malaysia 2018). Pada masa yang sama kekurangan varieti atau benih cili yang berkualiti menjadikan industri terpaksa bergantung kepada biji benih import (benih hibrid) yang jauh lebih mahal berbanding dengan benih biasa. Faktor ini menjadi punca utama mengapa produktiviti cili tempatan tidak berkembang maju. Tanaman daripada benih yang tidak berkualiti biasanya menghasilkan pokok yang lambat matang, berhasil rendah iaitu kurang dari 1.5 kg/pokok, rentan kepada jangkitan penyakit dan virus serta penghasilan buah yang tidak seragam. Keadaan ini boleh membantutkan sektor perusahaan cili tempatan sekali gus tidak dapat memenuhi keperluan dan permintaan cili tempatan. 

Setelah menjalani lebih 20 tahun dalam aktiviti penyelidikan pembangunan varieti tanaman cili dilaporkan pihak MARDI berjaya menghasilkan varieti cili baharu yang berhasil tinggi melalui kaedah pembaikbakaan. Penghasilan varieti cili baharu yang dikenali sebagai cili L5 telah membawa banyak kelebihan dan juga impak ekonomi yang positif bukan sahaja kepada pengusaha tanaman cili malahan kepada pembangunan industri cili tempatan. Ini kerana peningkatan dalam pengeluaran hasil akan membuatkan harga cili lebih stabil dan ini menjadikan cili tempatan lebih berdaya maju untuk menandingi cili yang diimport yang harganya jauh lebih murah. Dengan adanya peningkatan dalam pengeluaran cili tempatan, pengimportan cili juga akan dapat dikurangkan. Peningkatan permintaan terhadap cili dan produk berasaskan cili menjadikan komoditi ini telah diberi keutamaan oleh MARDI dalam menjalankan penyelidikan. Ianya selaras dengan Dasar Agromakanan Negara (2011- 2020) iaitu mengurangkan import di samping meningkatkan pengeluaran sayur-sayuran negara. Program pembangunan varieti cili di MARDI bermula sejak tahun 1986 yang bermula dengan pengumpulan bahan genetik cili tempatan dan luar negara. Penyelidikan adalah tertumpu kepada program pembaikbakaan bagi menghasilkan varieti baharu yang unggul dari segi hasil, mempunyai daya ketahanan penyakit yang baik dan menepati cita rasa pengguna. Oleh itu, kaedah penghibridan (kacukan) telah dijalankan antara induk terpilih iaitu Ch 234-14 (MC11 yang telah diisytihar pada tahun 1995) dan Ch 231 (varieti berasal dari Thailand yang rintang terhadap penyakit antraknos) yang telah menghasilkan beberapa titisan yang berpotensi. Melalui kaedah Pemilihan Biji Tunggal (SSD), genotip yang berpotensi telah dikekalkan manakala yang tidak berpotensi dihapuskan. Hasilnya dua titisan telah dipilih iaitu titisan L4 dan L5. Seterusnya titisan L4 dan L5 diuji sehingga peringkat ujian varifikasi tempatan dan titisan L5 telah menunjukkan prestasi yang lebih baik di samping ciri-ciri yang unggul iaitu berhasil tinggi (kurang dari 2.0 kg/pokok), kadar kerintangan yang agak baik terhadap antraknos (kurang dari 5% insiden) serta mempunyai ciri-ciri yang sesuai untuk kegunaan segar dan proses. Kajian mendapati dimana titisan L5 boleh memberi hasil sehingga 30 metrik tan sehaktar

Kemudian dinyatakan ciri-ciri dan potensi cili L5 Varieti cili baharu L5 dibangunkan melalui kaedah Pemilihan Biji Tunggal (SSD) hasil kacukan antara dua induk terpilih iaitu Ch 234-14 dan Ch 231. Berdasarkan morfologi bunga dan buah yang berwarna hijau sebelum matang dan merah selepas matang (Sila lihat foto paling atas). Saiz buah yang besar berbanding dengan varieti sedia ada Gambar 1. Rupa bentuk pokok yang sederhana tinggi dan berbentuk tegak sesuai ditanam untuk kepadatan tinggi L5 dan buah, L5 tergolong dalam spesies Capsicum annum. Cili L5 mempunyai saiz pokok yang sederhana iaitu kurang 100 cm tinggi dengan lebar kanopi lebih kurang 90 cm bagi pokok yang matang sepenuhnya. Rupa bentuk pokok yang tegak menjadikan cili L5 sesuai ditanam dengan kepadatan tinggi (Sila lihat foto pada para 2). Pokok cili L5 menunjukkan ciri berbuah lebat dan penghasilan buah serentak di samping tangkai buah yang mudah ditanggalkan menjadikan cili L5 sesuai untuk tanaman berskala besar. Warna buah adalah hijau sebelum matang dan merah selepas matang. Berat buah cili L5 adalah lebih 16.0 gram dengan panjang melebihi 13 cm dan diameter melebihi 2.0 cm (Sila lihat foto para 3). Varieti cili L5 juga mempunyai warna dan sifat pengekalan warna yang baik, sederhana pedas dan rasanya yang unik dan sedap menjadikan ia sesuai untuk diproses. Penjelasan terperinci mengenai cili L5 berbanding dengan cili tempatan adalah seperti dalam Jadual 2 diatas untuk dibuat analisa.  Selain itu didakwa dimana Cili L5 menunjukkan adaptasi yang meluas dan bergantung kepada jenis tanah dan juga persekitaran dilaporkan penghasilan cili L5 adalah sekitar 1,344 - 1,893 (gram/pokok) semusim yang berakhir 5 - 7 bulan bawah keadaan kawalan yang biasa. Kini dengan penjagaan yang sempurna maka satu pusingan tanaman Cili L5 boleh berlanjutan hingga setahun. Sifat berbuah lebat dan serentak serta mudah tanggal menjadikan cili L5 sesuai untuk tanaman berskala besar. Semuga mereka yang berminat untuk menanam Cili L5 boleh menghubungi MARDI berhampiran untuk mendapatkan biji benih. Diharap artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
VARIETI CLILI BARU... CILI L5 NAMANYA...
BARU DILANCAR... NAMA KOMERSIL APA...
HASIL CILI... 30 METRIK TAN HEBATNYA...
CARI BENIH... KE MARDI BERTSANYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.
(1 Syawal 1441H).
SELAMAT HARI RAYA...

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.