Monday, May 4, 2020

KERBAU RAWA VS KERBAU SUNGAI (Part 1)

KERBAU (Bubalus spp) ialah binatang yang termasuk keluarga keluarga Bovidae yang 95% keujudannya adalah di Asia termasuk di Malaysia. Kerbau liar (Water buffalo) masih dapat ditemui di Malaysia ,Pakistan, India, Bangladesh, Nepal, Bhutan,Vietnam, China, Filipina, Taiwan, Indonesia dan Thailand. Kebanyakan kita akan membayangkan bahawa kerbau adalah binatang yang sukakan tempat berlumpur dan berair seperti kawasan sawah dan paya untuk mereka berkubang. Kerbau di Malaysia dan Indonesia serta negara jiran lain sejah zaman dahulu digunakan didalam aktiviti membajak sawah padi atau menenggala tanah. Alat tenggala akan diikat pada badan kerbau yang menariknya dengan gagah. Bagaimana pun teknologi ini telah ditukar dengan penggunaan jentera bajak sawah yang lebih cekap, cepat dan hasil menyedia kawasan sawah dengan lebih baik. Bagaimana nasib kerbau selepas era membajak sawah amat terkesan apabila populasi kerbau di negara kita amat berkurang sekali. Daripada rujukkan saya dengan laporan statistik Kementerian Pertanian, hanya sebanyak 2,468 ekor kerbau yang didaftarkan dengan pihak Jabatan Veterinar. Sebahagian kerbau liar kini berkurangan dimana masa akan datang tidak akan ada lagi populasi kerbau liar yang dapat ditemui. Seekor kerbau jinak dewasa dapat memiliki berat sekitar 300 kg hingga 600 kg tetapi kerbau liar betina dapat mencapai berat hingga 800 kg dan kerbau liar jantan dapat mencapai berat hingga 1,200 kg. Berat purata kerbau jantan adalah 900 kg dengan tinggi purata di bahagian bahu kerbau ialah 1.7 m. Salah satu ciri yang membezakan kerbau liar dengan kerbau jinak adalah kerbau jinak memiliki perut yang bulat. Kerbau adalah dari jenis Bubalus bubalis dengan tiga subspesies iaitu Kerbau Sungai (Bubalus bubalis bubalis) yang berasal dari Asia Selatan, Kerbau Rawa (Bubalus carabanesis) yang berasal dari Asia Tenggara dan Kerbau Liar (Bubalus bubalis arnee). Kini saya amat jarang dapat makan daging kerbau tidak seperti ketika bertugas di Melaka sekitar awal 1980'an dimana ketika menghadiri kenduri perkahwinan di sekitar Masjid Tanah dan Alor Gajah mereka sering hidangkan daging kerbau. Daging kerbau mempunyai tekstur hampir sama dengan daging lembu cuma berbeza dari segi warna daging, tahap kelembutan dan juga ira daging yang kasar sedikit. Artikel petang ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa perbezaan antara spesis kerbau terutama untuk kerbau rawa dan kerbau sungai untuk dirujuk sebagai bahan bacaan berguna. 

Sebenarnya Kerbau Rawa dan Kerbau Sungai dapat dibezakan dari berbagai aspek dan faktor bermula dari ciri-ciri fisikal, genetik sehingga perilaku dan habitat. Adapun perbezaan kerbau rawa dan kerbau sungai dapat dilihat pada penciriannya. Kerbau rawa (Bubalus kerabau) dan kerbau sungai (Bubalus bubalis) yang dipercayai ia berasal dari nenek moyang berbeza. Kerbau rawa dipercayai berasal dari populasi Kerbau Arni (Bubalus arnee) yang dulunya hidup di China selatan dan Vietnam Utara. Sebaliknya bagi spesis kerbau sungai berasal dari spesies misterius yang belum diketahui dari India. Kerbau Arni mulai didomestikan terlebih dahulu di India sekitar 5,000 tahun yang lalu sedangkan bagi spesis kerbau rawa baru dijinakkan kemudiannya sekitar 4000 tahun yang lalu di Vietnam Utara dan China selatan. Dari segi warna tubuh badannya didapati dimana Kerbau rawa memiliki warna tubuh lebih bervariasi dibandingkan kerbau sungai. Variasi warna kerbau rawa mulai dari Kelabu kehitaman, kelabu gelap, kelabu kemerahan sehingga kepada berbelang hitam putih. Variasi warna dan postur tubuh kerbau rawa di Indonesia terdapat garisan kalung pada bahagian leher atau dada atas dan warna terang pada bagian kaki. Garisan kalung (chevron) berbentuk bulan sabit dan berwarna kemerahan umumnya ditemukan pada kerbau rawa, Jumlah garis kalung bervariasi antar individu berkisar antara 1-3 garis. Garis kalung lazimnya memang ia tidak ditemui pada kerbau sungai.

Berbeza dengan spesis Kerbau Sungai dimana ia umumnya memiliki warna lebih gelap dan lebih mengkilap dibandingkan kerbau rawa. Variasi warna kerbau sungai mulai dari hitam berkilat, kelabu gelap, coklat, kelabu dan belang hitam putih. Biasanya warna coklat tidak ditemui pada kerbau rawa. Salah satu jenis kerbau sungai adalah jenis Kerbau Murrah  iaitu salah satu spesis kerbau sungai yang banyak ada diternak di India. Perhatikan warna tubuh yang lebih hitam berkilat dan mempunyai saiz kantung susu yang besar. Ada warna terang mulai dari sekitar lutut hingga kuku (seperti tapak kaki) umum ditemukan pada kerbau rawa. Sedangkan pada kerbau sungai jarang ditemukan ciri seperti ini. Merujuk kepada bentuk tanduknya didapati salah satu cara paling mudah membezakan kerbau Arni, kerbau rawa dan kerbau sungai adalah dengan melihat bentuk tanduknya. Bentuk tanduk kerbau Arni betina menyerupai bulan sabit (Atas dan kanan bawah) dimana tanduk pejantan berbentuk segitiga (Sila lihat foto paling bawah). Kerbau Arni memiliki tanduk yang sangat panjang dimana tanduk betina umumnya melengkung ke belakang membentuk formasi bulat sabit yang indah. Bentuk tanduk inilah yang menjadi ciri utama dari kerbau Arni yang membezakannya dari kerbau dalam pemeliharaan. Tanduk kerbau Arni jantan umumnya lebih pendek dan ia lebih besar dan tebal. Bentuk tanduk melengkung menyerupai segitiga. Tanduk dengan bentuk seperti ini sangat berbahaya dan berpotensi menimbulkan luka yang parah jika digunakan untuk bertarung. Tanduk bagi spesis kerbau rawa umumnya berbentuk bulat sabit dimana ia akan tumbuh memanjang dan melengkung ke belakang dengan berbagai variasi. Pada kerbau sungai pula tanduknya tumbuh menyamping di sisi kepala, cenderung keriting dan tidak berkembang dengan baik. Bentuk tanduk kerbau sungai mengikut keturunannya sama ada ia jenis kerbau Jaffarabadi  atau Kerbau Murrah atau Kerbau Pandharpuri. 

Ciri bentuk tubuh juga agak berbeza dimana bagi kerbau Arni yang lebih atlet kerbau rawa bertubuh gempal dengan bahagian perut cenderung membesar dan membulat. Sebaliknya bagi kerbau sungai memiliki bentuk tubuh memanjang seperti lembu di Eropah dengan garis punggung lurus. Kepala kerbau sungai berbentuk memanjang dan ramping sedangkan kepala kerbau rawa lebih pendek dan membulat. Bagi ukuran saiz badan didapati kerbau sungai umumnya memiliki postur lebih besar dibanding kerbau rawa dengan panjang rata-rata 140-150 cm dan rata-rata tinggi bahu 130 - 160 cm. Panjang rata-rata kerbau rawa pula adalah berkisar antara 120 - 140 cm dan tinggi bahu rata-rata berkisar antara 125 - 150 cm. Bagi kerbau sungai juga lebih tinggi dan berat dibandingkan kerbau rawa dimana kerbau sungai jantan bervariasi antara 500 -  800 kg dan betina 450 - 750 kg. Sebaliknya bagi jenis kerbau rawa jantan beratnya adalah berkisar antara 300-650 kg dan betina antara 300 - 600 kg. Keduanya mempunyai jenis habitat yang boeh dibezakan. Bagi kerbau Arni atau juga  kerbau rawa hidup di hutan rawa basah. Dikebanyakan negara kerbau rawa hidup pada habitat bervariasi mulai dari kawasan ditepi pantai, tepi sungai dan muara, paya dan danau, padang sabana, padang rumput yang kering, hutan tropika shingga kekawasan di pegunungan tinggi seperti Toraja.  Bagaimana pun bagi kerbau Arni hidup di sekitar sungai-sungai yang ditumbuhi banyak vegetasi. Kerbau sungai dahulunya mempunyai kebiasaan berendam dan mencari makan di sekitar sungai-sungai di India. Oleh sebab itu kini kerbau perah ini digolongkan ke dalam kelompok kerbau sungai (river buffalo).Kerbau rawa pula lebih kerap berkubang di paya yang berlumpur untuk melindungi kulit dari gigitan serangga dan panas teriknya matahari. Kerbau pekerja ini digolongkan ke dalam kelompok kerbau rawa (swamp buffalo). Artikel ini mempunyai dua part iaitu Part 1 dan Part 2 untuk dibaca bersama. Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology. Wasallam!!!...
HAIWAN KERBAU... EMPAT KAKINYA...
BANYAK JENIS... SUNGAI DAN RAWA....
MEMANG TIDAK TAHU... APA BEZANYA...
BACA ARTIKEL... DAPAT MEMAHAMINYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist Expert, 
Precint 11F, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan Putrajaya,
Malaysia.
(23 Syaaban 1441H).
STAY HOME...PUTUSKAN RANTAIAN COVID-19!...

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.