Saturday, May 16, 2020

IMPLIKASI PKP KEPADA BEKALAN MAKANAN NEGARA

PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP) akibat dari pandemik Covid19 telah membuka lembaran baharu untuk rantaian dan jaminan bekalan makanan negara. Rantaian bekalan bererti rantaian proses yang saling melengkapi antara satu sama lain untuk ianya diagihkan produk dan perkhidmatan daripada sektor input hingga ke meja makan pengguna. Perkara ini juga ibarat rantai dimana penulis blog mendapati jika salah satu proses terjejas maka sistem rantaian bekalan akan putus seperti yang berlaku pada tahap awal pelaksanaan PKP. Perlaksanaan PKP untuk mengawal perebakan Covid19 sebenarnya ingin menyelamatkan lebih ramai diserang virus merbahaya ini akan tetapi ia telah pun mengganggu secara langsung rantaian bekalan sedia ada. Ini berlaku apabila PKP menutup beberapa pemain utama rantaian bekalan seperti restoran, pasar malam, pasar borong serta kedai kecil yang tiada premis tetap secara terkawal. Waktu perniagaan juga dihadkan akan tetapi dengan sekatan perjalanan antara negeri dan perintah duduk di rumah dikuatkuasakan bermula 18 Mac dan kini dilanjutkan sehingga 12 Mei dan PKPB dilanjutkan sehingga 9 Jun 2020. Memang PKP diperlukan untuk membendung jangkitan virus COVID-19 secara meluas, tetapi kita harus mencari jalan supaya impak gangguan rantaian bekalan tidak separah yang kita alami. Antara arahan yang menjejaskan rantaian bekalan dengan serius adalah penutupan pasar borong. Ini kerana pasar borong hab utama di mana berlakunya pertukaran komoditi makanan antara pembekal (pengeluar) dan pembeli (pemborong kecil, peruncit dan pengguna institusi dan awam). Artikel subuh ini didalam blog "Anim Agro Technology'' saya bincangkan perkara yang jarang berlaku diseluruh dunia akibat pandemik covid19 yang menyebabkan kematian lebih daripada 280,000 orang semasa blog ini ditulis untuk bahan rujukkan anda.

Pemborong adalah orang tengah yang mana ia memungkinkan pertukaran ini. Pemborong juga menentukan paras harga harian sebagai rujukan kepada peruncit dan pengeluar. Penutupan pasaran borong mengganggu kelicinan proses perniagaan antara pengeluar dan peniaga serta pengguna. Langkah di atas menyebabkan pengguna mula bimbang, lantas tergesa-gesa membeli makanan harian dengan banyak. Ini mewujudkan 'kekurangan' pada peringkat runcit kerana pembekal tidak dapat meningkatkan bekalan berikutan pasar borong sudah ditutup dan perjalanan disekat. Harga sayur-sayuran kini didakwa meningkat tinggi 30 - 50 peratusNamun kenaikan harga tidak sampai kepada pengeluar kerana sekatan pengangkutan dan penjualan di pasar borong. Pengeluaran mereka berlebihan, lalu dibuang begitu sahaja lantas mengalami kerugian. Kerajaan membuat kelonggaran dengan membuka semula pasar borong empat hari seminggu dengan jam operasi terhad. Peristiwa ini dilapor mendedahkan beberapa gejala yang akan menentukan hala tuju sektor makanan negara. Pertama telah dinyatakan  bahawa negara tidak bersedia berdepan kejutan pandemik COVID-19. Ini terjangka kerana gejala ini sememangnya tidak diduga. Beberapa pakar berpendapat masa depan sektor makanan akan menjadi lebih pincang, berdepan kejutan demi kejutan dan ketidakstabilan. Ia berpunca perubahan ekologi dan sumber asli yang pupus (kualiti tanah dan air menurun) antaranya. Risiko ketidakpastian dan ketidakstabilan adalah pembolehubah utama dalam persamaan pengeluaran makanan.

Halatuju Kedua dimana mangsa daripada gejala COVID-19 bukan setakat pembekal, pemborong dan peruncit akan tetapi ianya meliputi peserta lain seperti pembekal input, buruh di kebun atau di pasar borong dan runcit, pemandu lori, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) seperti pengusaha restoran, makanan dan juga pengguna miskin. Ketiga dimana kesan PKP mendedahkan bahawa daripada aktiviti pengeluaran sampai ke meja makan, sistem makanan kita bergantung kepada buruh asing. Dengan PKP, pengeluar kehilangan pekerja sama ada mereka pulang ke negeri asal atau disebabkan tidak mampu membayar gaji mereka. Kini dilaporkan tiada pemandu atau pekerja yang boleh untuk mereka menghantar bekalan kerana kebanyakan mereka tidak memiliki permit kerja. Jadi sekatan jalan raya akan membuka rahsia mereka. Kebanyakan pasar borong kita dipenuhi pekerja asing seperti etnik Rohingya di Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang. Jika ketika krisis Covid ini berlaku ada peniaga hilang tenaga buruh, ia akan menjadi serius pasca PKP kerana larangan kemasukan buruh asing. Dalam jangka masa pendek dan sederhana, kekurangan buruh akan menjejaskan pengeluaran makanan negara.  Keempat dimana memang jelas makanan diperlukan dalam semua keadaan iaitu ketika aman mahupun krisis. Satu kajian dilaksanakan mendedahkan 100 produk tertinggi nilai jualannya adalah makanan, manakala yang kurang laku adalah produk mewah seperti kasut, kamera, beg tangan dan sebagainya.

Dalam laporan lain didapati negara China dan Korea menunjukkan bagaimana krisis ini boleh ditangani, iaitu dengan pendekatan menggemblengkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk memantau jumlah populasinya baik untuk COVID-19 atau tujuan harian. Konsep sama boleh diguna pakai untuk sistem rantaian bekalan. Langkah ideal adalah penggunaan sistem blockchain. Namun komuniti ini masih belum bersedia, lantas penggunaan data raya adalah strategi terbaik. Apa yang diperlukan data lengkap mengenai: (i) profil semua peniaga daripada pembekal input kepada pengeluar, peruncit dan semua buruh yang terbabit dalam proses berkenaan; (ii) status kesihatan mereka; (iii) kuantiti bekalan; (iv) agihan bekalan ikut kuantiti dan lokasi; serta v) jangka waktu kegiatan. Melalui kecerdasan buatan (AI), pergerakan mereka boleh dikesan dan dipantau untuk memastikan bekalan dan penggunaan tidak terputus. Apa pun tahap kebergantungan kepada buruh asing perlu ditangani segera. Mungkin tidak dapat dihapuskan sama sekali, tetapi boleh diminimumkan. Seperti terbukti di negara yang keluasan dan saiz penduduknya kecil seperti Holland dan Israel, teknologi maju adalah pemacu asasnya. Ada pun kini negara memiliki tanah dan populasi besar seperti China, menggunakan teknologi untuk meningkatkan produktiviti makanan sehingga mampu mengeluarkan 500 juta rakyatnya daripada perangkap kemiskinan dalam masa 15 tahun.

Didakwa terdapat pelbagai pakej 'penyelesaian teknologi' di pasaran boleh diubah suai untuk kegunaan tempatan. Penggunaan teknologi termaju meningkatkan produktiviti dan nilai tambah di samping mengurangkan penggunaan buruh. Ini terbukti apabila ada beberapa pembekal menggunakan sistem dalam talian untuk menjual sayur dan makanan terus kepada pengguna. Pendedahan paling membuka mata adalah warna sebenar status jaminan bekalan negara. Hakikatnya Malaysia masih belum mencapai jaminan makanan sepenuhnya. Krisis COVID-19 membongkar hakikat dimana walaupun kadar sara diri (SSL) makanan boleh dikatakan tinggi tetapi 'kertersediaan' makanan tidak sampai kepada semua. Pekerja harian yang tiada gaji, buruh upahan dan pekerja kontrak yang diberhentikan mendapati sukar untuk mendapat makanan kerana sumber utama mereka seperti pasar malam, pasar kecil ditutup. Pendapatan rendah mempengaruhi daya mampu beli lantas kualiti nutrisi makanan. Krisis ini menunjukkan definisi jaminan bekalan makanan sebenar. Ia bukan setakat mencapai petunjuk SSL, tetapi perlu dilengkapi rantaian bekalan cekap dan licin, serta pendapatan yang mencukupi untuk mampu beli makanan yang berkhasiat. Bagaimana pun sebenarnya kesemua ini memerlukan pertumbuhan ekonomi yang paling penting demi agihan pendapatan yang setara.

Dalam pada itu mengenai implikasi PKP terhadap keselamatan makanan negara akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bertujuan memutuskan rantaian jangkitan wabak COVID-19. Ia inisiatif terbaik dengan mengambil contoh beberapa negara yang berjaya mengawal penularannya seperti Korea Selatan dan China walaupun ia melaksanakannya dengan lebih ketat. Kesan PKP terhadap isu keselamatan makanan di negara ini, menarik untuk diteliti dari segi ketersediaan, akses, penggunaan dan kestabilan makanan.  Dari segi ketersediaan makanan, Malaysia tidak menghadapi masalah jangka masa pendek. Ini dibuktikan kenyataan kerajaan dan pembekal, bahawa bekalan makanan dijamin mencukupi sepanjang tempoh PKP. Namun, ketersediaan makanan dijangkakan terkesan dalam jangka masa panjang. Kini jumlah pengeluaran hasil pertanian beberapa bulan akan datang bergantung jumlah input digunakan hari ini. Walaupun penggunaan pekerja di ladang tidak disekat, kebanyakan pekerja tidak mahu mengambil risiko bekerja seperti biasa.  Bukan hanya kadar penggunaan buruh kurang, keseluruhan rangkuman sistem perniagaan tani dijangka turut terkesan termasuk pembekalan input bahan pertanian, pengurusan ladang, logistik dan pemasaran hasilnya. Begitu juga pengimportan produk makanan yang negara mempunyai kebergantungan agak tinggi. Berdasarkan rekod dagangan luar dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi pada Disember 2019, negara mengalami defisit sebanyak RM1.728 bilion bagi perdagangan barang makanan (jumlah eksport makanan direkodkan RM 3.043 bilion berbanding import makanan RM4.771 bilion).

Walaupun aktiviti pengimportan makanan masih berjalan, ia tidak serancak seperti sebelum penularan wabak ini memandangkan negara pengeksport utama barangan (termasuk produk makanan) seperti China, Jepun, Amerika Syarikat (AS), Thailand dan Indonesia turut menghadapi wabak COVID-19. Dengan kadar tahap sara diri rata-rata produk makanan di negara di bawah 90 peratus pada 2018 (kecuali daging ayam/itik, telur ayam/itik, daging khinzir dan ikan makanan), kesan terhadap ketersediaan makanan negara jangka masa panjang pasti ada, namun ia agak minimum sekiranya tempoh PKP tidak dilanjutkan. PKP dilihat tidak memberi masalah kepada akses makanan dalam jangka masa pendek. Walaupun permulaannya didapati terdapat pola pembelian panik pengguna di seluruh negara, situasi ini berjaya dikawal dengan baik. Pembelian panik akan menyebabkan harga barang meningkat berdasarkan hukum permintaan dan penawaran barangan serta ada kemungkinan berlakunya manipulasi harga barangan. Namun, berdasarkan data harga komoditi makanan terpilih dikeluarkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) (hingga 23 Mac ini), harga komoditi makanan masih terkawal. Namun, kesan PKP kepada akses makanan mungkin lebih dirasai golongan berpendapatan rendah (B40). Mereka biasanya tidak mempunyai pendapatan tetap dan stabil serta tidak mampu menyediakan bekalan makanan kepada ahli keluarga, lebih daripada kebiasaan. PKP menyebabkan ada pihak kehilangan sumber pendapatan dan beberapa inisiatif diputuskan melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara bagi membantu golongan terkesan, misalnya kemudahan pengeluaran i-Lestari bagi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan bantuan RM600 sebulan kepada pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji. Inisiatif ini dijangka sedikit sebanyak mampu membantu dari segi akses kepada makanan sekurang-kurangnya dalam tempoh terdekat. Jika dilihat dari sudut penggunaan makanan, PKP mungkin memberikan kesan positif dengan anggapan pengguna mampu menyediakan stok makanan berkhasiat di rumah.

Penggunaan makanan di luar rumah dijangka menurun, memandangkan restoran dan kedai makan hanya dibenarkan beroperasi dengan syarat tidak membenarkan pelanggan makan dan minum di premis perniagaan. Sektor hotel, restoran dan katering akan terkesan memandangkan hasil jualan pasti tidak sama, malah mungkin lebih rendah daripada kos operasi. Sektor itu juga lebih banyak bergantung kepada khidmat penghantaran makanan ke rumah bagi memastikan jumlah jualan mencukupi. Melihat ketiga-tiga aspek sekuriti makanan, iaitu ketersediaan, akses dan penggunaan makanan sepanjang PKP, dapat disimpulkan kita mempunyai kestabilan makanan sekurang-kurangnya untuk tempoh perintah berlangsung. Kesan negatif jangka masa pendek PKP terhadap keselamatan makanan boleh dikatakan minimum, namun sekiranya dilanjutkan, kesannya mungkin berbeza. Peranan kerajaan dalam membantu menyelesaikan isu membabitkan keselamatan makanan amat penting. Ini termasuk memastikan harganya sentiasa dikawal seperti ketika musim perayaan utama. Bantuan kepada pengeluar makanan, sama ada petani atau kilang pengeluar makanan perlu diberikan bagi memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!...
KEJADIAN PKP.... COVID18 PUNCANYA...
DUDUK RUMAH... ARAHAN DITERIMA...
KEPERLUAN MAKANAN... DI UTAMA...
PERLU DIKAWAL...BEKALAN MESTI ADA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Pitrajaya,
Wilayah Perseekutuan Putrajaya,
Malaysia.
(20 Ramadan 1441H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.