Saturday, March 14, 2020

RACUN SERANGGA DAN KERACUNAN

RACUN SERANGGA (Pesticide) merupakan sejenis racun makhluk perosak yang digunakan terhadap serangga dan merupakan salah satu kaedah mengawal kerosakan akibat serangan serangga peprosak. Racun serangga memang banyak digunakan dalam bidang pertanian, perubatan, industri dan di dalam rumah anda semua (racun aerosol bunuh nyamuk atau lipas). Penggunaan racun serangga adalah bertujuan membunuh telur dan larva seranga atau membunuh serangga dewasa. Penggunaan racun serangga dipercayai telah berjaya meningkatkan hasil pertanian semenjak ia digunakan dari abad ke-20 lagi. Penulis blog ada menulis banyak artikel mengenai racun serangga didalam beberapa artikel sebelum ini (Sila klik disini), (Sila klik disini) dan banyak lagi. Dilaporkan pada peringkat awal pengenalan dan juga penggunaan jenis racun serangga yang digunakan terdiri daripada bahan-bahan kimia yang agak ringkas seperti jenis arsenik, sulfur, nikotin, piretoid, rotenon dan minyak petroleum. Namun selepas perang dunia kedua dan revolusi pertanian atau semenjak tahun 1945 dilaporkan lebih banyak racun serangga daripada sebatian organik mula dihasilkan dan diperkenalkan kepada pengguna. Kemudian hampir kesemua racun serangga menyebakan kesan yang merbahaya kepada manusia dan sistem ekologi kehidupan dipersekitarannya. Kesan sisabaki racuk (minimum residual level) yang wujud dalam produk makanan boleh menjejaskan kesihatan manusia. Pihak berkuasa selalunya akan membuat pemeriksaan pada semua produk sayuran, buah-buahan dan sebagainya bagi mempastikan makanan yang diambil adalah selamat kepada manusia. Artikel malam ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya akan berkongsi info mengenai racun serangga dan kesan keracunan untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukan anda semua. 


Sebenarnya cara pengelasan racun serangga dilakukan dalam beberapa cara seperti cara ia bertindak sama ada secara Sistemik, Sentuhan dan sebagainya. Sebenarnya racun serangga sistemik yang memasuki tumbuhan yang dirawat dimana kemudiannya racun serangga ini akan  menghadamkan racun serangga semasa makan tumbuhan. Serangga perosak (dewasa, larva) yang termakan racun sistemik ini akan mati kemudiannya.  Dalam pada itu sebenarnya racun serangga sentuhan akan menjadi racun kepada serangga disebar dengan sentuhan langsung (semburan racun tersebut terkena pada serangga). Tahap kerkesanan atau kebisaan racun serangga selalunya akan dikaitkan dengan jenis racun serangga dan bahan aktif didalamnya, kualiti penggunaan racun serangga dan jenis semburan. Biasanya jenis racun serangga inorganik yang dikilangkan dengan logam dan termasuk arsenate atau pun sebatian tembaga dan sebatian fluorine dimana kini ia sudah jarang digunakan. Racun serangga organik merupakan sejenis bahan kimia buatan sintesis yang membentuk akan sebahagian besar racun serangga yang terdapat masa kini. Racun jenis Malathion merupakan antara jenis racun serangga yang popular dipasaran (Sila lihat foto disebelah).  Kaedah tindakannya bagi racun serangga ini adalah dengan membunuh atau nyahaktif serangga perosak. Proses ini juga merupakan satu lagi cara mengkelaskan racun serangga yang ada di kebanyakan negara. Kaedah tindakan adalah penting bagi menjangka samaada sesuatu racun serangga akan meracun hidupan lain dalam habitatnya tidak terjejas  seperti ikan, burung dan lain-lain haiwan mamalia.

Menyentuh tentang keracunan yang mungkin berlaku dengan penggunaan racun serangga pertanian banyak dibincang didalam forum tempatan dan antarabangsa. Umum mungkin faham dimana akan berlaku ancaman atau bahaya racun serangga yang biasanya diguna di dalam sektor pertanian. Pada penulis blog selalu beringat dimana racun serangga merupakan salah satu daripada racun makhluk perosak yang selalu digunakan. Ia digunakan dengan meluas di kebun tanaman makanan serta lebih meluas kaedah penggunaanya di ladang-ladang besar di Malaysia. Kini dilaporkan dimana penggunaan racun serangga merupakan salah satu aktiviti pertanian dalam usaha meningkatkan hasil pertanian dan mengurangkan kerugian hasil akibat serangan dan jangkitan penyakit yang disebabkan oleh serangga perosak. Kini penggunaan racun serangga di Malaysia menduduki tempat kedua terbanyak selepas racun rumpai. Penggunaannya melibatkan lebih kurang 10% daripada penggunaan racun makhluk perosak yang lain. Penggunaan racun serangga jenisseperti organofosfat didakwa semakin menggalakkan dalam industri pertanian disebabkan ia mudah lupus dalam alam sekitar berbanding racun jenis DDT dan hidrokarbon berklorin. Jenis Racun Organofosfat juga didapati mengandungi beberapa jenis bahan aktif bergantung kepada jenama dan bentuk sediaannya dimana lazimnya bahan aktif ini boleh dibahagikan kepada tiga tahap ketoksikannya. Tahap ketoksikan racun boleh diukur melalui tindakbalas satu dos bahan aktif dimasukkan ke dalam tubuh sama ada melalui oral atau dermal (kulit). Racun Serangga organofosfat selalunya akan bertindak sebagai racun saraf yang membunuh dengan merencatkan aktiviti enzim acetylcholinesterase. Keracunan akut (mendadak) ataupun kronik (jangka panjang boleh berlaku kepada manusia apabila terdedah kepada racun tersebut. Mereka yang terlibat secara langsung menggunakan racun organofosfat boleh mendapat kesan keracunan akibat pendedahan semasa aktiviti penyemburan dilakukan.


Bagaimanapun keracunan yang boleh menyebabkan maut dapat dielakkan dengan menjauhkan diri daripada pendedahan yang berterusan. Selain daripada bahan aktif, organofosfat juga mengandungi pelarut berasaskan minyak seperti toulene atau xylene yang telah disenaraikan sebgai bahan lengai. Bahan lengai ini tidak merbahaya kepada manusia tetapi menjadi toksik jika diambil berlebihan. Organofosfat cepat diserap menerusi saluran pernafasan, mulut dan kulit akhirnya ia akan diserap terus ke paru-paru, perut dan bahagian kulit. Keracunan yang berlaku bergantung kepada toksisiti bahan aktif, berapa banyak yang telah diambil, kadar penyerapan, kadar kemusnahan serta kadar metabolik organofosfat dan pendedahan utama kepada penghalang enzim cholinesterase. Dalam pada itu berkemungkinan akan berlaku keracunan akut yang boleh berubah-ubah bergantung kepada kadar penyerapan sama ada memerlukan pengaktifan metabolik atau tidak. Dalam pada itu penyerapan secara mengejut racun yang kurang toksik boleh menyebabkan keracunan teruk. Organofosfat menyerang organ-organ bahagian dalam badan seperti saluran pernafasan, paru-paru, jantung, hati, sistem penghadaman, sistem saraf pusat, otot, kelenjar air liur dan pundi-pundi air kencing. Di antara tanda-tanda keracunan organofosfat ialah keluar air liur yang banyak, sakit kepala, lemah anggota badan, pening, mual, muntah, berpeluh dengan banyak, sakit perut, pandangan menjadi kabur, pengsan dan susah untuk bernafas. Tanda-tanda ini berlaku selepas beberapa minit sehingga 12 jam terdedah kepada racun tersebut. Sebaiknya jika terhidu racun organofosfat dimana belaku keracunan akut boleh berlaku dan kesannya dimana pesakit akan menghidap radang saluran atas pernafasan, radang paru-paru dan selaput mukosa.


Keracunan kronik boleh berlaku jika terdedah dalam jangkamasa yang lama. Kebiasaannya apabila keracunan ini berlaku pesakit kelihatan sukar untuk bernafas dan batuk-batuk. Mangsa hendaklah dibawa ke tempat lapang dan dia perlu diberikan bantuan pernafasan dengan segera. Oleh itu jika terkena pada badan, pakaian pesakit hendaklah ditanggalkan. Kulit yang terkena racun tersebut haruslah dicuci dengan air bersih yang banyak bersama sabun. Racun organosfosfat boleh meresap masuk melalui kulit dan boleh menyebabkan gangguan kulit. Sebaiknya untuk mengelakkan kejadian ini berlaku, sarung tangan getah hendaklah dipakai semasa membancuh racun. Begitu juga jika terkena pada mata, hendaklah cuci dengan air yang bersih selama 15 minit. Biasanya kes=kes keracunan ini boleh menyebabkan penglihatan menjadi kabur. Jika mata mengalami radang, bengkak dan kesakitan yang berterusan pesakit harus dibawa segera ke hospital untuk mendapat rawatan lanjut. Jika berlaku keracunan melalui mulut, jangan sekali-kali ikhtiarkan mangsa muntah kerana dikhuatiri berlaku kesesakan bernafas, sawan dan koma. Sebaiknya hantar segera mangsa ke hospital. Tanda-tanda keracunan ini ialah mangsa muntah dengan sendiri, terasa mual dan cirit birit. Biasanya mangsa keracunan ini boleh dikenalpasti melalui bau nafas seperti bawang putih. Kesan daripada keracunan melalui mulut ini mengakibatkan kerosakan dan mengganggu organ dalam badan. Jantung akan mengalami denyutan tidak menentu, gangguan kepada sistem saraf pusat dan boleh menyebabkan sawan dan koma manakala kesukaran bernafas terjadi akibat kesesakan paru-paru.  Apabila seseorang keracunan termakan racun secara tidak sengaja ataupun dengan sengaja bertujuan bunuh diri, boleh mengakibatkan keracunan serius dan boleh membawa maut dalam masa 24 jam jika tidak mendapat rawatan perubatan. Dalam pada itu walau pun mangsa ada menerima rawatan perubatan, kematian juga boleh berlaku terutama dalam keadaan teruk. Oleh itu pesakit ini perlu diberi rawatan di hospital dan seawal mungkin.


Dalam tinjauan penulis blog kekawasan kebun dan semasa memberi penerangan ada banyak pertanyaan seperti adakah racun malathion berbahaya kepada manusia?. Ramai petani mendakwa selalu menggunakan racun jenis yang mana ia  mengandungi bahan aktif malathion. Salah seorang petani di Kuantan ada menyatakan dimana sejak kebelakangan ini dia juga dakwa mengalami sakit dada diiringi dengan batuk-batuk, kadang-kadang terasa sukar bernafas. Seterusnya bertanya adakah tanda-tanda tersebut akibat daripada terdedah kepada racun tersebut?. Didalam memberi penerangan bersama pegawai daripada bahagian Kawalan Racun Jabatan Pertanian Pahang diperjelaskan dimana Racun Malathion adalah bahan aktif racun organofosfat yang kurang toksik. Walau bagaimanapun jika seringkali terdedah dalam tempoh jangkamasa yang lama boleh mengakibatkan keracunan. Tanda-tanda seperti sakit dada, batuk dan sukar bernafas merupakan di antara tanda-tanda keracunan racun tersebut. Untuk mengesahkan lagi seseorang itu telah keracunan racun organofosfat, pesakit tersebut mengalami pengeluaran peluh dan air liur yang banyak, lemah anggota badan, pening dan sakit kepala, loya, sakit perut dan pandangan menjadi kabur. Adalah dnasihatkan supaya beliau ini berjumpa doktor dengan segera untuk mendapat rawatan lanjut. Sebaiknya lain kali semasa membuat semburan racun serangga beliau perlu mengelak kejadian ini berulang. Ini dengan mempastikan cara mengendali dan menyembur racun keselamatan diri harus diutamakan. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
MENGGUNA RACUN ... RACUN SERANGGA...
IKUTI PERATURAN... BETUL CARA GUNA...
KALAU TERKENA... RAWATLAH SEGERA...
SERANGGA TIADA...BERKUALIITI HASILNYA ..

By,
M Anem,
Senior Agronoomist,
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.
(9 Rejab 1441H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.