Friday, March 20, 2020

PADI BUKIT - SEMAKIN DILUPAKAN

TAMANAN PADI BUKIT (Oryza sativa) atau Padi Huma di Malaysia hanya tertumpu di Sabah dan Sarawak sahaja dan sedikit di Pahang, Perak serta Kelantan sebagai tanaman untuk kegunaan sara diri terutama dikawasan pendalaman Kg Orang Asli dan rumah panjang. Kawasan penanaman padi bukit dilakukan secara tradisional dengan menggunakan tenaga tulang empat kerat dikawasan lereng berbukit dan kawasan tanah yang beralun. Padi bukit ditanam dikawasan yang kering, tidak ada sistem pengairan dimana ia memang bergantung sepenuhnya kepada air hujan. Penulis yang bertugas di Sarawak selama 2 tahun lebih dan sering melawat kawasan pendalaman memang biasa dengan aktiviti penanaman padi bukit ini. Padi bukit juga saya perhatikan ditanam dengan beberapa jenis tanaman lain seperti ubikayu, keledek, jagung, kacang tanah, keladi dan beberapa lagi. Dikawasan tertentu juga tanaman padi bukit akan ditanam dicelah-celah kebun lada hitam atau kawasan penanaman baru kelapa sawit. Padi bukit memang dijadikan amalan pertanian pindah-randah dengan penggunaan input pertanian amat minima sekali. Di Pahang dan Perak juga ada ditanam padi bukit dikawasan perkampongan orang Asli. Purata hasil tanaman padi bukit adalah rendah dimana ia kurang daripada 1 mt/ha (Purata nasional sekitar 0.74 mt/ha) berdasarkan Laporan CCS Jabatan Pertanian. Tanaman padi bukit lazimnya dilakukan dengan menebang hutan atau belukar baru dan ditanam satu musim sebelum bertukar kekawasan lain. Hasil yang rendah membolehkan petani menggunakan hasilnya untuk dimakan sendiri sahaja. Artikel subuh ini saya menulis lagi dalam dalam "Anim Agro Technology" mengenai senario penanaman padi bukitatau padu huma yang semakin dilupakan di banyak kawasan berdasarkan pemerhatian, pembacaan dan membuat beberapa rujukan teknikal.

Di Sabah khususnya di Tuaran dilaporkan dialam media tempatan artikel mengenai ''Rezeki tradisi mengasok" dimana foto disebelah menunukkan aktiviti dikebun 'menupos' atau memasukkan benih padi dalam lubang kebiasaannya dilakukan wanita (Sila lihat foto disebelah). Apa yang penulis blog lihat dimana aktiviti unik ini dimana aktiviti mangasok parai tidong atau menanam padi bukit pada zaman serba moden ini masih memerlukan kerjasama atau semangat gotong-royong penduduk bagi mengusahakannya tanpa menggunakan jentera dan teknologi. Ini berikutan faktor geografi apabila lokasi penanaman benih padi cerun bukit menyukarkan penduduk menggunakan jentera jika dibandingkan di kawasan batas rata seperti padi sawah. Dalam tinjauan di Kampung Raganan, Kiulu dimana dilihat padi bukit yang lebih dikenali parai tidong dalam kalangan masyarakat Dusun hampir selesai diusahakan selepas mengerjakan tanaman padi sawah pada bulan lalu. Salah seorang penduduk bernama Bounah Banggang berumur  47 tahun mendakwa tanaman parai tidong secara bergotong-royong sudah diamalkan sejak zaman nenek moyang mereka dan ia hanya mengambil masa tiga hari berlainan iaitu ketika mongurak (membersihkan), mangasok (menanam menggunakan kayu mencucuk lubang) dan mongomot (menuai). Katanya sejak awal bulan lalu mereka bergotong-royong membersihkannya. Ia bermula daripada memotong pokok kecil dan besar sebelum menunggu masa kering untuk dibakar bagi membersihkannya selain supaya tanahnya subur. Pada peringkat kedua pula mereka telah bergotong-royong mangasok dan monumpos (memasukkan benih padi dalam lubang) dan sebaik ia tumbuh sebelum dijangka musim menuai pada hujung tahun atau awal tahun hadapan, kami sekali lagi akan bergotong-royong.

Antara varieti padi yang slalu ditanam dikenali dengan varieti Beruang yang berhasil tinggi dan berasnya enak dimakan. Benih padi ini disimpan turun termurun dan dijaga dengan baik (Sila lihat foto benihnya disebelah). Lazimnya aktiviti gotong-royong itu dijalankan daripada golongan petani ke petani lain di sesebuah kampung dan hanya mengambil masa setengah hari setiap peringkat. Seorang pesara guru bernama Alan Bondulu yang berumur 62 tahun mendakwa keadaan cerun bukit yang curam itu menyebabkan sukar untuk jentera digunakan namun jika ia boleh digunakan sekalipun, ia bukan menjadi keutamaan penduduk kerana semangat gotong-royong itu sudah lama diamalkan dan menjadi tradisi di kampung itu. Oleh itu aktiviti seumpama ini bukan sahaja diamalkan di kampung malahan ramai yang masih mengamalkannya di daerah-daerah lain khususnya masyarakat Dusun di negeri Sabah. Aktiviti ini dengan mengamalkan gotong-royong, kerja mengusahkan parai tidong menjadi lebih mudah dan cepat selain hubungan persaudaraan akrab sampai bila-bila. Alan yang juga Ketua Kampung Raganan, Kiulu menyatakan dimana pada zaman ini generasi muda masih membantu mengamalkan aktiviti mangasok namun tidak dinafikan ia mungkin bakal berakhir suatu hari nanti. Ketika ini katanya hanya individu dibawa 1980-an yang masih ramai mengamalkannya dan generasi muda terlalu kurang pada masa ini untuk membantu kerana sibuk bekerja di kawasan bandar. Maka beliau tidak hairan jika suatu hari nanti tradisi mangasok ini berkurang atau hilang ditelan zaman jika tidak ada yang mewarisinya kerana perubahan gaya hidup.

Memang tidak dapat dinafikan aktiviti penanaman padi bukit akan alami perubahan dimana kemungkinan besar akan bertukat dari hanya untuk keperluan sendiri kepada pengkomersilan. Menurut Pengarah MARDI Sarawak Mohd Noor dakwa kaedah penanaman padi bukit bakal menemui era perubahan dengan menukar cara penanaman tradisional yang hanya dapat digunakan untuk keperluan sendiri kepada industri yang dapat dikomersilkan. Usaha memperkenalkan penanaman padi bukit secara komersil bermula setelah kajian yang dijalankan di Tebedu berjaya dan mencapai hasil positif. Kejayaan itu membolehkan para usahawan tani memperolehi hasil tiga kali ganda daripada biasa dan kemampuan ini memberi peluang mereka untuk mengkomersilkan hasil pertanian dan tidak lagi hanya untuk kegunaan keluarga. Selain menanam menerusi sistem tanaman Fertigasi petani digalakkan membangunkan kawasan Gedong menjadi tempat pengembangan kejayaan dalam menghasilkan tanaman cili dan rock melon di bawah Program My Kampung My Future. Sistem Fertigasi ini adalah tanaman yang tidak menggunakan tanah dan dibuat di bawah struktur pelindung hujan. Ini membuatkan pengusaha tanaman ini mampu mendapat hasil lumayan kerana tidak dipengaruhi masalah cuaca atau mengundang risiko air bah (banjir) atau tanaman ditenggelami air hujan. Ini adalah sebahagian hasil yang berjaya kami laksana untuk memajukan masyarakat di sesuatu tempat seterusnya membantu petani dan pekebun menjana pendapatan lebih berkesan dan terancang. Terdapat pelbagai perancangan akan dilaksana berdasarkan kepada sumber yang ada di sesuatu tempat bagi merancakkan pembangunan desa dan kawasan yang berpotensi dimajukan. Ada potensi yang boleh diusahakan di Betong ialah pembuatan ‘pellet’ makanan ternakan menggunakan pelepah kelapa sawit. Ini boleh dimajukan berikutan kenaikan harga makanan ternakan. Oleh itu pekebun kelapa sawit tidak perlu hanya menunggu hasil tuaian buah kelapa sawit tetapi pelepah juga boleh dijadikan hasil. Adalah menyarankan agar penduduk tempatan dan pihak berwajib yang ingin mendapatkan khidmat nasihat dan tunjuk ajar daripada pihaknya agar tampil dan menghubungi mereka. 

Bantuan untuk penanaman padi bukit masih mendapat bantuan daripada kerajaan di Malaysia. YB Menteri Pertanian nyatakan demikian di Tenom, Sabah dimana sebanyak RM44 juta diluluskan dibawah SBRPB bukti kerajaan bantu golongan pesawah padi bukit. Peruntukan sejumlah RM44 juta yang telah diluluskan untuk Skim Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit/Huma (SBRPB) membuktikan Kerajaan masih ada komitmen dalam membantu golongan pesawah padi bukit.  Kementerian Pertanian membuat pengumuman kelulusan Skim Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit/Huma (SBRPB) berjumlah RM44 juta dalam majlis tersebut. Skim ini dilihat keperihatinan kerajaan kepada pesawah padi bukit khususnya di Sabah dan Sarawak yang berjumlah lebih 56,000 orangSkim ini penting bagi mempastikan jumlah pengeluaran padi per hektar dapat ditingkatkan seterusnya dapat menampung keperluan penduduk khususnya di kawasan pedalaman. Terkini jumlah bantuan yang telah diumumkan berkurang berbanding tahun sebelumnya tetapi dia percaya sekiranya peruntukan ini disalurkan tanpa ketirisan akan dapat memenuhi keperluan pesawah padi huma bagi musim penanaman yang dijangka bermula pada bulan Ogos. Petani berharap agar kerajaan memberikan kepercayaan kepada NAFAS untuk menjadi pembekal kepada bahan-bahan di bawah skim ini bagi mempastikan hasil keuntungan akan turut dinikmati oleh ahli Peladang secara keseluruhannya. Lembaga Pertubuhan Peladang akan diberikan kepercayaan sebagai agensi yang akan memantau dan mempastikan skim ini dinikmati oleh pesawah yang benar-benar memerlukan. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!...
 MENANAM PADI BUKIT.. PADI HUMA...
SEMAKIN KURANG...PENDALAMAN ADA...
HASIL RENDAH.... SATU TAN/HA SAHAJA...
IA DITERUSKAN... TRADISI DI UTAMA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.
(17 JamadilAkhir 1441H). 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.