Wednesday, March 4, 2020

AGEN PENGEMBANGAN TERAMPIL

AGEN PENGEMBANGAN TERAMPIL (Pegawai Pertanian atau Pegawai Pengembangan Terampil) adalah merupakan satu daripada keperluan didalam menjayakan aktiviti pengembangan pertanian ke arah kemajuan sektor ini. Ini kerana aktiviti pengembangan pertanian memerlukan mereka yang mempunyai ciri-ciri terampil untuk menjalankan aktiviti pemindahan teknologi kepada pelanggan khususnya petani dan usahawantani yang menjalankan aktiviti pengeluaran bahan pertanian dan makanan. Pada penulis blog ini, Pengembangan pertanian secara umumnya adalah merupakan satu aktiviti oleh agensi-agensi menyebarkan pelbagai maklumat mengenai inovasi pertanian kepada para petani demi meningkatkan produktiviti dan kesejahteraan hidup mereka. Setiap agensi pertanian di Malaysia  seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Verterinar, Jabatan Perikanan, LPNM, MARDI, RISDA, LGM, UPM, FELDA, FAMA, MAQIS dan beberapa lagi mempunyai bahagian khusus yang ditubuhkan bagi tujuan memberikan khidmat nasihat untuk membantu pelanggan didalam usaha untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam penggunaan kaedah atau inovasi teknologi terkini bagi meningkatkan produktiviti pertanian para petani. Sejak dulu iaitu zaman kemerdekaan negara banyak maklumat pasal pertanian lazimnya disalurkan kepada para petani dengan menggunakan media tradisional dalam bentuk ceramah, kursus, penerbitan bahan bercetak, penerbitan audio visual dan perjumpaan secara bersemuka terus dengan agen pengembangan. Maklumat-maklumat pertanian yang disalurkan melalui media tradisional lebih bersifat sehala, terhad kepada batasan waktu dan lokasi serta kategori klian dan subjek. Pada masa ini telah wujud kemunculan teknologi komunikasi yang baru membolehkan penyaluran maklumat-maklumat pertanian dapat dilakukan dengan lebih efisien. Penulis blog yang mempunyai blog "Anim Agro Technology" sebagai contoh mempunyai koleksi sebanyak 5,700 artikel mengenai pertanian yang dibaca purata 350,000 klies dalam sebulan (Antara paling tinggi di Malaysia). Kini dengan mana setiap penduduk di Malaysia mempunyai SmartPhone termasuk gulongan petani dan usahawan hanya perlukan internet untuk mencari maklumat mengenai teknologi pertaniandalam masa beberapa saat sahaja. Sebagai contoh seseorang itu hendak mengetahui akan penyakit cili maka dengan melayari google anda boleh dapat maklumat bergambar dengan sepantas kilas untuk dirujuk. Biasanya Anim Agro technology akan masuk dalam senarai diatas. Maka seorang agen pengembangan pertanian perlu tahu banyak ilmu pengetahuan dan jika ada masaalah boleh merujuk kepada internet dalam masa singkat. Artikel malam ini didalam blog "Anim Agro Technology" saya mengupas bagaimana menjadi seorang agen pengembangan yang terampil sebagai bahan rujukkan dan bacaan.


Pada penulis blog kini terdapat banyak maklumat termasuk juga inovasi pertanian dapat disalurkan dalam bentuk yang interaktif, berangkaian digital, berciri konvergen dan bercapaian global. Sebagai contoh adalah Teknologi Fertigasi Gantung dimana saya sediakan lebih daripada 10 artikel untuk dijadikan bahan rujukkan anda (Sila lihat foto disebelah). Teknologi komunikasi ditakrifkan sebagai suatu alat yang mempercepatkan penyebaran atau penyampaian maklumat dimana Smartphone kini antara yang paling cekap selain daripada penggunaan lamtop dirumah atau di kebun. Biasanya secara konvensional beberapa jabatan atau agensi pertanian yang berperanan sebagai sumber kebergantungan maklumat pertanian. Di Malaysia sejak dulu mereka dilihat oleh petani boleh menerima maklumat teknologi yang dimiliki oleh agen pengembangan yang hadir didalam kelompok masyarakat petani dikawasan pertanian melalui beberapa kaedah yang juga konvensional. Penggunaan teknologi komunikasi dalam pengembangan pertanian membolehkan para petani untuk mengakses pelbagai jenis maklumat untuk mendapatkan pengetahuan yang meluas tentang bidang tanaman masing-masing. Maklumat-maklumat pertanian yang penting di dalam pengembangan pertanian pula ialah aspek pemilihan biji benih, jenis dan kesesuaian baja, musim penuaian, harga jualan, khidmat nasihat, teknik-teknik penanaman, cara rawatan penyakit tanaman, subsidi pertanian, laporan cuaca, peluang pasaran baru, teknologi pertanian baru, pasar elektronik (e-pasar), isu-isu dan hal ehwal semasa di dalam sektor pertanian. Bagaimana pun tahap penggunaan teknologi komunikasi dalam aktiviti pengembangan pertanian terkini memiliki kelebihan iaitu lebih menarik perhatian, kepantasan menyalurkan maklumat, menghilangkan salah tafsir, memperjelaskan maklumat yang disampaikan, meningkatkan minat dan motivasi kepada para petani.


Teknologi komunikasi boleh diklasifikasikan kepada dua kategori iaitu teknologi komunikasi lama dan teknologi komunikasi yang baru. Teknologi komunikasi yang lama iaitu radio, televisyen, telefon talian tetap, suratkhabar dan perpustakaan. Manakala teknologi komunikasi yang baru pula ialah yang didukung oleh internet iaitu telefon pintar dan komputer. Penggunaan internet dan aplikasi telefon pintar pula adalah merupakan peralatan teknologi komunikasi yang mampu untuk menawarkan penyampaian dan perkongsian maklumat yang begitu efisien, menjimatkan kos, liputan secara global dan komunikasi dua hala yang begitu berkesan pada masa kini. Sementara itu terkini teknologi komunikasi sekarang adalah bersifat menggabungkan semua elemen komunikasi lisan, tulisan, visual, data dan audio. Teknologi komunikasi baru ini menggunakan ruang siber sebagai medium atau perantara untuk berkomunikasi. Penggabungan informasi ini (diffusion) juga merupakan proses sosial yang menyebarkan maklumat-maklumat pertanian khususnya tentang idea-idea baru, perkara baru dan teknologi baru di dalam sistem sosial masyarakat. Lazimnya proses sosial ini adalah proses yang menghubung informasi dengan menggunakan saluran tertentu kepada sistem sosial tertentu dimana ia akan berlaku di dalam jangka waktu tertentu. Penggunaan informasi ini juga adalah merupakan fenomena yang amat penting diberikan perhatian dalam usaha melaksanakan sesuatu tindakan dengan efisien dan ekonomikal pada masa kini khususnya didalam teknologi pertanian. Proses ini jika diamalkan oleh petani melalui teknologi komunikasi  mampu dalam mentransformasikan petani tradisonal kepada petani yang berpengetahuan dan bermaklumat. Melalui pelbagai maklumat pertanian yang diperolehi oleh petani akhirnya ia akan dapat meningkatkan lagi kuantiti dan kualiti hasil dari aktiviti pertanian serta kesejahteraan hidup mereka. 


Pada penulis blog yang bertugas dalam bidang pengembangan pertanian selama 37 tahun mendapati perlunya peranan agen pengembangan yang terampil. Antara ciri yang perlu ada bagi seorang agen pengembangan yang terampil termasuk mereka mesti Berilmu, Boleh menyampaikan maklumat dengan tepat dan cepat, fokus dengan subject matter, pandai mengawal waktu, seorang yang pproaktif dan kreatif, sanggup untuk berkerja secara berpasukan, mampu kenalpasti pelanggan, kaedah penyampaian yang berkesan serta sentiasa ada karisma. Ilmu pengetahuan mengenai bidang pertanian secara teori dan amali sangat penting dipunyai oleh seseorang agen pengembangan. Ilmu ini boleh diperolehi melalui kursus khas atau membuat pembacaan daripada sumber yang betul dan relevan. Mempunyai imlu pengetahuan melalui ini juga tidak mencukupi kalau tidak ada latihan amali atau latihan 'hands-on' dilapangan (di kebun atau dimana jua). Serorang agen pengembangan perlu menunjukkan kepada pelangan atau petani tahap imlu pengetahuan teknikal yang tinggi sehingga boleh diterima dengan baik (Sila anda lihat foto disebelah). Kepakaran didalam menyampaikan maklumat ini melibatkan beberapa kaedah khusus. Antaranya adalah menggunakan bahan betul dan tepat semasa membuat tunjukajar dan petani yang sesuai mengikut kes. Perlu diingatkan bahawa sesuatu maklumat atau informasi serta teknologu didalam buku atau disesuatu kawasan tidak sama. Sebagai contoh akibat berlainan siri tanah, sistem saliran, varieti ditanam dan persekitaran akan menyebabkan pengubahsuaian teknologi disuatu lokasi dilakukan mengikut lokaliti. Kebolehan agen pengembangan menerang dan menunjukajar secara saintifik menggunakan bahasa mudah akan membantu kefahaman.


Agen Pengembangan perlu mempunyai keberanian untuk berhadapan dengan pelanggan atau petani. Sebagai contoh jika ada petani sudah menanam durian hampir 20 tahun dan berbuah maka kaedah cara perbincangan sesuai dilakukan. Petani ini mungkin 'pakar' mengenai tanaman durian di kebun atau dikawasan sekitarnya akan tetapi banyak lagi infomasi teknikal yang mungkin beliau kurang tahu atau tidak tahu atau boleh ditambah nilai maklumatnya. Sebaiknya jangan 'tunjuk terer' kepada petani yang lama menanam durian dan sebaiknya maklumat mereka di 'digest' dahulu sebelum membuat sebarang pengesyoran atau penambahbaikan di kebun mereka. Gunakan teknik QA, QQ atau QS semasa bersoaljawab dengan petani seperti ini. Sebarang soalan diberikan petani boleh dijawab (QQ - Question:Answer) jika memang konfiden boleh menjawab dengan betul akan tetapi teknik kedua selalu penulis blog gunakan. Teknik QQ (Question:Question) sesuai digunakan untuk mendapatkan jawapan dikehendakki petani mengikut pendapat dia akan tetapi boleh diperbaiki dengan teknologi yang sebenarnya. Teruskan soalan yang ditanya dengan soalbalik sehingga sebenarnya jawapan tersebut hanyalah pada mereka sendiri dan ditambah nilai dengan maklumat sebenar yang agen pengembangan ada. Manakala teknik QS (Questuin:Stop) hanya sesuai jika agen tersebut memang tidak mampu menjawabnya atau dilihat apa yang ditanya hanya untuk membuat 'test power' sahaja (acah-acah). Keterampilan seseorang agen pengembangan ini sebenarnya boleh di tingkatkan melalui latihan, banyak membaca bahan rujukkan, membuat lawatan kepada seramai petani yang berjaya dan juga dijadikan amalan kerja dengan penoh minat dan komited. Semuga artikel ini mampu memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology yang ke 5,751 malam ini. Wasallam!!!..
AGEN PENGEMBANGAN... SIAPA DIA...
PERLU BERILMU... PANDAI BERKATA2...
TEKNOLOGI DIPINDAH...PETANI GUNA...
NEGARA MAJU.... PERTANIAN BERJAYA..

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Satelit, Bandar Muadzam,
Rompin,  Pahang,
Malaysia.
(8 Rejab 1441H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.