Saturday, February 15, 2020

TANAM YANKEE 4 BARIS

MENANAM NANAS YANKEE atau SELANGOR SWEET (AC6) lazimnya adlah sebanyak 3 baris dalam satu jalur dan kini ada pemerhatian menanam 4 baris dalam satu jalur. Nanas Yankee (Ananas comosus) merupakan varieti nanas yang sangat popular disekitar Selangor  dan banyak ditanam di Daerah Kelang, Banting, Kuala Langat dan beberapa daerah lain di Selangor. Penulis blog meninjau kebun milik En Baharin di Kg Sg Rambai, Jenjarum untuk melihat sendiri bagaimana usaha beliau menanam nanas varieti Yankee yang selalunya ditanam didalam 3 baris kepada 4 barisan. Pokok nanas Yankee mempunyai saiz pokok yang besar berbanding dengan nanas lain seperti MD2, N36, Josapine dan beberapa lagi dimana ia selelunya akan dituai dalam masa 18 - 20 bulan selepas ditanam. Bila menanam 4 baris maka jumlah pokok seekar akan jadi bertambah dimana kerja-kerja penjagaan masih boleh ianya dilakukan tetapi perlu sedikit penyesesuaian. Pada penulis blog kaedah ini mampu memberi bilangan pokok yang lebih sedikit (10 -15%) lebih banyak daripada sistem tanaman yang selalu dilakukan iaitu 3 pokok sebaris. Nanas Yankee telah didaftarkan dengan Jabatan Pertanian Malaysia dalam Senarai Varieti Tanaman Kebangsaan dengan nombor Kod AC6 pada tahun 2013. Dari segi sejarah nanas Yankee dahulu banyak di tanam di sekitar Simpang Rengam, Johor tetapi benih ini kemudian dibawa ke Selangor dan menjadi varieti nanas yang utama ditanam di negeri ini. Nanas Yankee ditanam oleh pekebun-pekebun kecil dan kelompok disekitar Banting, Kelang, Jenjarum dan beberapa daerah lain terutama dikawasan tanah gambut. Keluasan keseluruhan penanaman nanas di Selangor pada tahun 2018 adalah seluas 498 hektar dengan jumlah pengeluaran sebanyak 7,848 metrik tan (Sumber: Laporan Tahunan LPNM 2019). Didakwa kini sekitar 60% daripada varieti nanas tersebut adalah varieti Yankee, 20% nanas MD2 dan bakinya daripada nanas Moris dan lain-lain varieti. Kekangan kekurangan kawasan baru untuk bertanam nanas secara monokrop semakin mengecil menyebabkan pekebun kecil nanas seperti di Daerah Banting yang biasa menanam nanas Yankee ini secara berintergrasi dengan tanaman kelapa sawit atau pun kelapa yang dibersihkan untu tanam semula. Nanas Yankee yang ditanam di kawasan tanah gambut secara ini mempunyai kepadatan sekitar 7,000 - 8,000 pokok seekar sahaja dan menjadi lebih sedikit 8,500 pokok jika ditanam 4 pokok sebaris. Apa yang unik mengenai varieti nanas ini adalah terdapat banyak sulur sisi disekeliling buah nanas Yankee yang matang. Sulur Sisi ini lazimnya diantara 8 - 10 unit setiap biji buah yang matang dan sesuai untuk digunakan sebagai bahan tanaman. Adalah tidak menjadi masaalah untuk mendapatkan sumber benih nanas Yankee dari kawasan yang hendak menanam nanas jenis ini. Artikel subuh ini saya sempat juga menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai penanaman 4 bpokok sebaris nanas Yankee sebagai menambah info untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan anda semua.


Penanaman nanas Yankee diatas tanah gambut amat sesuai kerana ia mampu memberikan hasil yang baik jika dijaga dan dibaja dengan sempurna. En Bahrin mengamalkan sistem penanaman ini mengikut kehendak pasaran dan juga kemampuan mengendalikan kebun. Pokok yang ditanam sekarang ini (umur 4 - 5 bulan) dijangka akan dituai pada Tahun Baru Cina Tahun 2021 (Sila lihat foto disebelah)Nanas Yankee atau digelar juga 'Selangor Sweet' ini memang istimewa kerana pokoknya besar dan tahan lasak daripada beberapa varieti lain. Pokoknya besar dengan ketinggian hampir 1 meter bagi pokok dewasa yang subur. Mempunyai saaiz daun yang lebar dan panjang tetapi juga terdapat duri yang agak tajam. Penanam nanas terpaksa memakai dua lapis seluar (yang luar adalah seluar jeans) bagi mengelakkan duri yang keras dan tajam ini. Jika petani hanya berseluar slacks nipis semasa melalui celah pokok nanas Yankee luka-luka banyak menunjukkan duri nanas Yankee memang tajam dan perlu disapu dengan 'lotion' dengan segera untuk ia elakkan berlaku infeksi. Nanas varieti ini ditanam dengan jarak 3 kaki x 2 kaki dan 4 - 5 kaki diantara barisan. Ia kurang diserang penyakit utama nanas seperti BHR seperti varieti MD2 dan mudah diuruskan. Pembajaan sama dengan pakej amalan teknologi tanaman nanas di tanah gambut iaitu semasa vegetatif menggunakan baja NPK 15:15:15 dan untuk pembuahan dengan baja NPK 12:12:17:2 TE serta baja semburan yang lain. Nanas varieti ini hanya sesuai menggunakan Karbid (Calcium carbide) untuk aruhan bunga. Bahan hormon lain seperti ethephon (ethrel) dan Pil ANAA tidak memberi kesan kepada aruhan bunga bagi varieti ini. Buah nanas Yankee akan matang dalam masa 12 bulan selepas ditanam.



Nanas ini mempunyai warna kulit masih hijau apabila masak dengan terdapat tanda warna tompok kuning pada beberapa mata nanas  (Sila lihat foto disebelah dan diatas). Kulitnya juga nipis menjadikan buah ini tidak tahan lama untuk dihantar kelokasi yang jauh. Ia juga mempunyai kulit nipis dan lembut dan mudah berair jika ditindih semasa proses pengangkutan. Bahagian isi Nanas Yankee mempunyai isi yang berwarna putih dengan sedikit kekuningan dan ada tompok kecil warna putih. Isi buah yang masak sangat berair (very juicy) dan sepotong nanas akan menitiskan airnya yang manis. Dari apa yang dilihat nanas ini mempunyai tekstur fiber yang halus dan lembut. Kemanisan bagi buah nanas yankee yang masak diantara 12 - 16 darjah Brixs dan bahagian atas buah masih sesuai dimakan segar. Buah nanas yankee ini sangat sesuai untuk dimakan segar dan juga dijadikan produk lain seperti Jus Nanas, Paceri Nanas, Pes Nanas, Kordial dan sebagainya. Lazimnya semasa kenduri kahwin masyarakat tempatan di Daerah Banting menggunakan nanas ini sebagai pilihan untuk dijadikan juadah. Nanas ini dijual dengan harga ladang sekitar RM3.50 sekilogram bagi gred A dan mampu untuk mencecah RM5.50 sekilogram bagi gred AA dakwa En Bahrin dan beliau tiada masaalah menjual nanas Yankee ini. Setakat ini belum ada masaalah mengenai harga untuk nanas Yankee kerana permintaan terhadap nanas ini terus tinggi di Lembah Kelang. Bahrin dakwa untuk dua ekar (kurang sehektar)  nanas Yankke setelah 20 bulan mampu memberikan hasil pulangan (atau pendapatan kasar) sebanyak RM60,000 - RM80,000 kalau tidak diserang penyakit dan di curi orang. Kalau ada jualan benih dikira bonus lagi.


Benih nanas Yankee merupakan yang paling mudah dibeli dan diperolehi. Ini kerana apabila buah hampir masak setiap biji buah mampu menghasilkan antara 6 - 10 sulur udara yang bersaiz besar yang sesuai dijadikan benih tanaman. Ini tidak termasuk selalunya jika dicantas akan keluar sulur tanah yang juga amat sesuai untuk dijadikan benih. En Bahrin nyatakan dimana beliau hanya perlu menjadualkan program penanaman untuk sentiasa ada bekalan benih nanas Yankee ini. Bagaimana pun jika beliau tidak mempunyai stok benih Yankee akan pinjam daripada rakan sekampong yang mempunyai benih tersebut dan akan menggantikannya dengan benih dari kebun nanas Yankee beliau kelak. Harga ladang benih nanas Yankee dikebun sekitar RM0.35 - RM0.45 satu sulur dikira harga yang murah berbanding dengan benih nanas MD2 diantara RM1.20 sehingga RM1.60 sepokok. Kepada usahawan baru yang hendak menanam nanas dilaporkan kos pembelian benih nanas (terutamanya benih nanas varieti MD2) adalah yang paling tinggi. Penanaman nanas Yankee di atas tanah mineral dakwa En Bahrin daripada rakannya yang ada menanam di Rawang agak kurang memuaskan.  Ini bukan satu kenyataan rasmi kerana pengusaha yang enanam dengan membeli benih darinya tidak menjaga dengan baik. Maknanya memang penulis blog jangka nanas yankee bukan sahaja sesuai di tanah gambut dan memang berkemungkinan dengan penyesesuain teknologi nanas Yankee dari tanah gambut mungkin lebih berkualiti. Semuga anda semua mendapat info berguna membaca artikel untuk menanam nanas Yankee sebagai salah satu sumber rujukkan dari blog anim agro technology kali ini. Menanam nanas yankee 3 atau 4 barisan perlu diikuti dengan ubahsuai teknologi amalan agronomi yang sesuai. Wasallam!!!...
NANAS YANKEE... GAMBUT SESUAINYA...
TANAM 3 BARIS... CARA ITU SUDAH BIASA...
TANAM 4 BARIS... MENAMBAH POKOKNYA...
TEKNIK DISESUAIKAN...PETANI MENCUBA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.

(10 JamadilAkhir 1441H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.