Friday, December 6, 2019

MANUAL TANAM NANAS KOMERSIL

TANAMAN NANAS (Ananas comosus) di Malaysia terutama varieti premium MD2 semakin popular masa kini. Nanas adalah tanaman daripada keluarga Bromaliaceae yang mana terdapat 10 varieti yang telah didaftarkan daripada AC1 (nanas Moris) sehingga AC10 (Nanas Golden Diamond) di Jabatan Pertanian dan industri nanas di terajui oleh Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM). Anda boleh baca artikel mengenai beberapa varieti nanas dengan pautan disini (Sila klik disini). Nanas premium MD2 kini semakin mendapat perhatian usahawan nanas sama ada dari sektor perladangan atau pekebun kecil mahupun usahawan komersil sederhana (Menanam nanas lebih dari 4 hektar). Terdapat beberapa manual tanaman nanas yang telah dibangunkan daripada Manual Tanaman Nanas Tanah Gambut kepada Manual Tanaman Nanas Kepadatan Tinggi, Manual Tanaman Nanas Tanah Mineral dan beberapa manual tanaman berasaskan kepada varieti nanas. Penanaman nanas di tanah gambut diantara manual yang agak lengkap dan boleh digunapakai oleh kebanyakan penanam nanas kerana tanah gambut mempunyai kaedah pengurusan yang hampir sama. Bagaimana pun bagi amalan agronomi tanaman nanas di tanah mineral terdapat beberapa pengurusan yang berlainan bergantung kepada varieti nanas dan junga jenis tanah mineral yang di usahakan. Paling kritikal bagi penanaman nanas di tanah mineral adalah kaedah penggunaan plasitik silvershine untuk kawalan rumpai dan juga penghasilan buan nanas MD2 yang berkualiti. Beberapa petani daripada Kedah telah mengamalkan penanaman nanas MD2 dengan baik  tanpa menggunakan plastik penutup bumi tetapi mampu menghasilkan buah yang sangat berkualiti. Beberapa manual penanaman nanas dalam bentuk brochur, buku dan on-line disediakan oleh pakar-pakar nanas pada tahun 2018. Terdapat beberapa penambahbaikan amalan teknologi didalam penanaman nanas (tanah gambut dan tanah mineral) terutama didalam penggunaan baja foliar, racun rumpai dan juga hormon aruhan pembungaan. Kini ramai dikalangan usahawan nanas yang beralih kepada teknologi penanaman nanas secara organik atau separa organik. Artikel subuh ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya mengupas beberapa manual tanaman nanas khususnya nanas MD2 untuk dijadikan bahan rujukkan anda semua.  

Tanaman nanas telah di viralkan bersama tanam durian yang didakwa mampu memberikan keuntungan kepada pengusahanya. Paling atas dalam viral tersebut adalah tanaman Durian (Durio zibethinus) varieti Musang King (D197) yang mampu memberi pulangan sebanyak RM155,250/ha  diikuti dengan tanaman Nanas (Ananas comosus) jenis MD2 dengan pulangan RM127,378/ha. Kedua tanaman ini merupakan tanaman tumpuan kerajaan didalam Program Sumber Kekayaan Baru (SKB) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Selain itu didalam SKB ada dinyatakan tanaman Kelapa (Cocos nucifera) dengan kadar pendapatan RM37,500/ha dan sebagai perbandingan adalah pendapatan daripada tanaman Kelapa Sawit (Elaeis guineenss) iaitu pulangan sebantak RM17,500/ha, Tanaman Padi (Oryza sativa) sebanyak RM7,500/ha dan akhirnya paling rendah adalah tanaman Getah (Hevea braziliensis) iaitu hanta sebanyak RM4,000 sehektar setahun. Jadual yang dipaparkan adalah mengambil harga purata komoditi tersebut pada tahun 2019 (Sila lihat foto disebelah). Luang pasaran durian dan nanas segar ke China telah membuka potensi tanaman tersebut diperluaskan dan dieksport kenegera tersebut dan beberapa negara lain. Keperluan pasaran nanas dilaporkan melebihi 100 kontena sebulan untuk dihantar ke China sedangkan kemampuan negara masa kini kurang dari 10 kontena sebulan. Bagi tanaman durian Musang King ia memerlukan masa agak lama untuk berbuah berbanding dengan tanaman nanas MD2 yang mengambil masa selama 14-15 bulan untuk penuaian. Ini menjadikan tanaman nanas lebih berpotensi untuk dikomersilkan bagi pasaran domestik dan eksport. nanas adalah tanaman yang boleh diprogramkan jadual pengeluarannya dengan menyusun atur masa penanaman dan juga masa membuat aruhan bunga nanas.


Tanaman nanas MD2 memerlukan kawasan lapang dengan cahaya matahari 100% sama ada ditanah gambut atau pun ditanah mineral. Ini kerana terdapat  perbezaan perlaksanaan amalan agronomi di antara kawasan tanah gambut dan tanah mineral. Bagi Tanah Gambut paling itama adalah prasarana ladang iaitu jalanladang, sistem saliran dan juga kawalan rumpai. bagi sistem saliran sebaiknya ia berupa peparitan perlu dibina dahulu bagi menurunkan paras air yang sememangnya keadaan tanah gambut di Malaysia selalunya menakung air. Saliran yang berlebihan pula akan mempercepatkan proses kesusutan tanah dengan cepat mengakibatkan tanah kekeringan berterusan. Pertumbuhan pokok akan terganggu akibat perkara ini. Antara jenis parit ladang yang sesuai adalah yang berukuran 1.5m x1.2m x1.2m  sebagai parit utama, Parit berukuran 1.2m x 0.9m x 0.9m sebagai parit Kedua dan saiz parit 0.9m x 0.9m x 0.6m sebagaii parit tertiary. Pembinaan sistem perparitan sebaiknya dilakukan dalam musim panas selama 3-4 bulan kemudian kayu akan kering. Ia sesuai dijalankan sekali dengan aktiviti menebang dan pembersihan Kawasan. Bagi aktiviti membina jalan ditanah gambut makan kayu-kayu besar dipotong 5m panjang, disusun melintang di atas jalan-jalan cadangan sebagai pelapik penyokong. Batu-batu laterit dimampatkan setebal 10-20cm melapisi atasnya. Sebaiknya dibuat lorong-lorong dibina daripada lapisan laterit setebal 10-20 cm dan selebar 3-4m.


Manual tanaman nanas pentingkan juga aktiviti penyediaan bahan tanaman atau benih nanas MD2. JANGAN gunakan benih MD2 dari Kultur Tisu (TC) kerana masaalah Somaclonal Variation (buah yang dihasilkan ada pelbagai ciri yang tidak dikehendakki). Sebaiknya pastikan benih daripada pokok induk (Sulur Tanah, Jambul atau Sulur Udara) yang mempuntai jaminan kualiti dengan ada Sijil SPBT daripada Jabatan Pertanian (Sijil Pengesahan Bahan Tanaman). Biasanya pokok nenas boleh ditanam daripada bahagian tampangnya seperti jambul, sulur tangkai, sulur udara atau sulur tanah. Aktiviti pemilihan benih nanas mestinya dari pokok induk yang mempunyai ciri-ciriseperti dari pokok induk yang sihat dan subur, berbuah besar, bertangkai pendek dan tegap, berjambul tunggal dimana kaedah pemilihan yang tepat akan meningkatkan hasil 10-15%. Saiz sulur tanah yang dipilih ada beberapa kategori iaitu Saiz Kecil (30cm atau satu kaki), Saiz Sedang (45cm atau pun1.5 kaki) dan juga juga Saiz Besar (60cm atau sepanjang 2kaki). Sebaiknya mengutip sulur benih dengan purata saiz diantara  saiz 30-60 cm (1'-2') panjang iaitu lingkungan dari tarikh memetik. Proses pengambilan dan pengkelasan benih dengan cara mengasingkan benih mengikut saiz.  Seterusnya adalah cara penyimpanan benih nanas dengan betul. Apabila perlu disimpan sebelum ditanam maka langkah penyimpanan perlu dituruti bagi mengelakkan kerosakan dan musnah. .Benih disusun selapis dengan kedudukan bahagian pangkal diterbalikkan ke atas (Sila lihat foto disebelah). Ia sesuai dissimpan di tempat yang berteduh atau bernaung. Pastikan penyimpanan tidak melebihi 1 bulan.


Semua benih sulur nanas hendaklah djalankan rawatan benih. Jika diperlukan pembasmian serangga atau kulat, benih dicelupkan ke dalam larutan racun serangga atau kulat. Jenis bahan digunakan adalah racun serangga : 24ml Malathion + 18l(4gelen) air dan juga dengan bahan racun kulat : Bancuhan Benlate 75C. Elakkan daripada membeli benih nanas hibrid MD2 daripada Kultur Tisu (TC) kerana ia mempunyai masaalah 'Somaklonal Variation'. Hasil benih TC didakwa akan mengakibatkan pokok yang menghasilkan bbuah tidak stabil dimana berlaku perbezaan kualiti sama ada bentuknya, rasanya dan juga pelbagai ciri lain yang menjejaskan industri nanas negara jika digunakan (Sila lihat foto disebelah). Benih asli daripapa pokok yang dipersijilkan dengan SPBT akan menentukan ketulisnan varieti nanas yang ditanam. Setelah ditanam lakukan pengawalan rumpai secara menggunakan tangan, mencabut, memotong, menajak dan sungkupan. Penggunaan racun herba yang berbagai jenama khusus akan memerlukan pemilihan yang sesuai dengan langkah kawalan yang diambil. Pengawalan rumpai tanaman dengan gunakan Paraquat 50-100ml/18 liter air untuk memusnahkan rumput rencam. Racun seperti Glyphosate 80-100ml liter air untuk lalang. Jika perlu diulang lagi 4-6 minggu kemudian.  Dalam pada itu juga pengawalan rumpai sebelum menanam boleh mengunakan racun rumpai pracambah dimana ia perlu disemburkan merata di permukaan tanah. Racun seperti KROVAR 1, GESAPAX, COMBI 80, DIRAN, DIURON, KARMEX dan KIMEX dengan kadar 120 d/18 liter air.


Sistem penanaman tunggal atau campuran (kontan) banyak bergantung kepada faktor-faktor ekonomi dan persekitaran. Setiap sistem disyorkan penanaman dalam cara susunan barisan kembar dua. Kepadatan tanaman bergantung kepada objektif perlaksanaan projek, jenis baka dan sistem penanaman. Pada umumnya, kepadatan tanaman tunggal bagi setiap baka ialah 43,500 pokok/ha atau 17,424 pokok/ekar dengan jarak tanaman 90cm x 60cm x 30cm(3'x2'x1'). Dalam pada itu jika melakukan tanaman kepadatan tinggi maka kadar kepadatan adalah sebanyak 20,000pokok/ekar bagi memenuhi keperluan peningkatan hasil. Kayu pancang berentangkan tali atau dawai digunakan sebgai penanda barisan. Tali atau dawai itu berbubuh tanda bagi pengukuran jarak tanaman sepanjang barisan. Kayu tugal ditugalkan untuk membina lubang tanaman sepanjang rentangan tali. Kedalaman lubang 10-15cm(4-6 inci) adalah disesuaikan dengan saiz benih 30-60cm (1'-2')panjang. Tanam sulur bersaiz sama di petak yang sama. Satu sulur untukl satu lubang, tanah disekelilingnya dipijak agar sulur berdiri tegak. Kaedah menanam nanas sebaiknya melibatkan kawasan dengan tanahnya dimusim lembap. Bagi tanah gambut dibuat lubang dan dimasukan benih nanas dan dipadatkan. Bagi tanah mineral dibuat batas tanaman dahulu dan dipasang plastik silvershine dan dibuat lubang penanaman dan ditanam benih mengikut jarak diatas plastik.


Menghormon nanas adalah penting untuk mengawal dan mengatur jadual penuaian. Terdapat banyak jenis hormon nanas dipasaran seperti 2-(3chlorophenoxy) propionic acid atau ringkasnya CPA (3-CP) ialah sejenis kimia hormon untuk mengaruh pertumbuhan buah khusus untuk kv.gandul. Contoh hormon ini dalam pasaran ialah FRUITONE CPA. Dalam pada itu tujuan penggunaan hormon nanas adalah untuk meningkatkan saiz buah, membantutkan tumbesaran jambul lantas menggiatkan tumbesaran buah dan juga untuk mengeraskan kulit buah bagi mengelakkan kecederaan semasa punggah dan angkut ke kilang. Ia juga akan dapat memampatkan isi nanas untuk ketahanan daripada kecederaan. Kadar penggunaan adalah 1 ml CPA (3-CP) + 1 liter air. Sebanyak 50 ml larutan setiap biji dengan kaedah menyemburkan keseluruhan bahagian buah sewaktu bunga-bunga telah habis layu. Bagi jenis hormon Pil NAA perlu diletakkan 1 biji/pokok iaitu dimasukkan tepat ke dalam pucuk nanas. Bagi hormon jenis Planofix digunakan dengan kadar 4.5ml Planofix / 18 l air atau pun ​50 ml larutan disembur atau dituangkan ke tengah-tengah setiap pokok. Jika menggunakan cecair NAA (Planofix) atau pun Ethephon (Etherel) maka kadar digunakan adalah 30 ml ETHEREL + 180 g Urea + 18 l air dimana 40-50 ml larutan setiap pokok. Sembur atau dituangkan ke tengah-tengah pucuk atau semburkan seluruh pokok. Penggunaan bahan Asetilena (Kalsium Karbaid) dengan kadar 200g Kalsium Karbaid + 18 l air dimana sebanyak 50 ml larutan sepokok. Disemburkan atau dituangkan ke tengah-tengah pucuk pokok. Dalam pada itu perlu diketahui dimana masa aruhan terbaik adalah pada waktu malam adalah masa paling berkesan pengaruhan. Apa pun lazimnya patani melakukan pada awal pagi dan lewat petang. Ciri kesesuaian pokok nanas yang sesuai dihormon adalah pokok yang sihat dan subur, mempunyai 35-40 daun segar dan berfungsi serta dilakukan 1 bulan selepas pembajaan. ​Kejayaan aruhan pembangunan dinilai melalui peratus pembangunan yang terjadi selepas 45 - 60 hari aruhan diberikan. Pengiraan peratus pembangunan dilakukan apabila pucuk pokok nanas telah mengeluarkan permulaan bunga berwarna merah.


Penuaian nanas bergantung kepada varieti tanaman dan juga pengurusan amalan agronomi serta masa menghormon. Pada umumnya buah nanas akan mula boleh dituai apabila buah-buah tersebut masak dengan memperlihatkan ciri-ciri kemasakan terutama warna kulitnya. Bagi menentukan kematangan buah nanas perlu merujuk kepada indeks kematangan nanas. Indeks kematangan ialah satu petunjuk yang merujuk kepada perubahan warna kulit yang turut sama merubah ciri dalaman isi buah dan paras kandungan gula asid. Ciri buah matang dimana warna kelopak mata (baktea) bertukar daripada kemerah-merahan kepada putih layu. Selain itu warna bebuah (fruitlet) berubah daripada kemerah-merahan kepada perang kehitaman. Biasanya bergantung kepada varieti masa menuai diantara  146-152 hari selepas tarikh aruhan pembungaan. Bagi nanas jenis MD2 merupakan komoditi ke dua tebanyak yang mendapat permintaan tinggi di pasaran dalam dan luar negara. Jika anda perhatikan carta diatas, tanaman durian berada di tangga teratas dengan anggaran pendapatan RM155,000 untuk 1 hektar. Nenas MD2 banyak ditanam di Semananjung Malaysia terutama di Johor. Namun di Sabah dan Sarawak, penanaman nenas ini masih kurang. Nenas MD2 mempunyai buah besar yang berbentuk silinder dan anggaran berat sebiji boleh mencecah 1.5-3kg jika mendapat penjagaan yang cukup. Dalam pada itu tujuan untuk mendapatkan buah dengan menghormon adalah untuk meningkatkan saiz buah, membantutkan tumbesaran jambul lantas menggiatkan tumbesaran buah. Ia juga akan mengeraskan kulit buah bagi mengelakkan kecederaan semasa punggah dan angkut ke kilang. Tujuannya juga adalah untuk memampatkan isi nanas untuk ketahanan daripada kecederaan. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca bllog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
MENANAM NANAS... ADA CARANYA...
BELAJAR DULU... BARULAH MENCUBA...
BACA ARTIKEL... DAPAT MAKLUMATNYA...
SEMUGA ANDA... MEMAHAMI SEMUA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.
(5 RabiulAkhir 1441H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.