Monday, December 23, 2019

KOLAM KECIL DI KEBUN NANAS

KOLAM KECIL DI KEBUN NANAS terutama dikebun nanas tanah gambut merupakan satu keperluan untuk bekalan air bagi tujuan simpanan air adalah penting untuk disediakan. Penulis blog mendapati ia merupakan salah satu infra di kebun nanas ditanah gambut yang perlu ada dimana ada beberapa kaedah yang sering dilakukan oleh pekebun nanas di Malaysia untuk dapatkan air. Kaedah yang paling biasa adalah dengan meletakkan tong drum ditengah kebun dan dipasang zink tadahan air hujan, menggunakan kalbat dan menggali kolam. Bagaimana pun kaedah penyimpanan air dikawasan kebun nanas ini amat kritikal semasa musim kemarau untuk pelbagai tujuan. Keperluan air ditengah-tengah kebun nanas adalah untuk ianya digunakan bagi campuran menyembur racun rumpai, menyembur hormon nanas, menyembur baja foliar dan sebagainya. Kawasan tanah gambut walau pun lazimnya mempunyai banyak perparitan dan ada air didalamnya akan tetapi air tersebut tidak sesuai digunakan unruk aktiviti penyemburan racun kerana kualiti air tersebut adalah ASIDIK dengan pH diantara 3.00 - 4.0. Pada kualiti air yang asidik ini semua bahan kimia akan bertindakbalas dalam air berasid ini dan tidak berkesan untuk menyembur racun serangga, racun kulat, pembajaan foliar, hormon nanas dan sebagainya. Oleh itu sebaiknya adalah petani menggunakan air hujan yang bertakung didalam simpanan tong drum, kalbat dan juga kolam takungan kecil seperti artikel yang akan dibincangkan. Artikel subuh ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya akan paparkan mengenai keperluan kolam kalbat kecil dikawasan tanah gambut kebun nanas yang didalam aktiviti penanaman nanas.


Kolam Kalbat di kawasan tanah gambut di kebun nanas walau pun nampak mudah untuk dipasang tetapi sebenarnya memang mempunyai teknik khusus yang perlu diketahui. Tinjauan ke Ladang Nanas Wak Sajiman dimana penulis blog mendapat penjelasan daripada anaknya bernama En. Jumaat bagaimana cara bagi menyediakan kolam kecil ini. Kalau dimulakan dengan menggali kolam dahulu dan dimasukkan kalbat kemudian ditanah gambut maka ianya tidak akan menjadi seperti yang dirancang. Ini kerana keadaan kalbat akan tidak rata (senget) dan kualiti air kurang cantik untuk digunakan. Akhirnya kalbat tersebut akan tenggelam didalam tanah gambut dan sukar dapat dilihat selepas beberapa lama atau 'hilang'.  Menurut Encik Jumaat mula-mula kalbat tersebut diletakkan diatas lokasi yang dipilih untuk dibuat kolam kecil. Kemudian tanah yang berada ditengah kalbat akan dikorek secara manual dan ianya dikeluarkan dicampak disekelilingnya. Ia juga perlu dilakukan sehingga paras sesuai dimana kalbat ini akan menurun secara berperingkat sehingga ia menjadi bahan pendinding kepada kandungan air sesuai digunakan. Cara ini akan membolehkan kalbat tersebut separuh dalam tanah dan sebahagian lagi berada diatas paras tanah (Sila lihat foto di sebelah). Lama kelamaan kalbat tersebut akan turun sendiri sehingga separas dengan permukaan tanah atau jauh kedalam lagi. Memang pandai 'jurutera' kampung dan pakar tanah gambut En Jumaat ini. Tinjauan penulis blog berbaloi bila 'rahsia' ini diberitahu kepada saya dengan jujur dan ikllas. Ini adalah satu teknologi yang jarang ditulis dalam mana-mana blog sebelum ini betsama fotonya. Penulis blog pun ingat lupa mengenai perkara ini kerana pernah melihatnya semasa kecil di  Muar dulu.


Biasa saiz kalbat yang sesuai adalah kalbat bersaiz 4 kaki dimana ia mudah untuk diambil air didalamnya (Sila lihat foto disebelah). Kalbat konkrit ini mudah dibawa ketengah kebun nanas ditanah gambut dengan menggunakan keenderaan sesuai atau ada yang hanya penanam nanas akan menggolekkannya sehingga kelokasi sesuai ditengah kebun semasa pokok nanas belum ditanam atau semasa dibakar. Kaedah ini membolehkan tanah gambut yang mudah 'runtuh' tidak akan menutupi kolam tanah semulajadi yang hanya bertahan beberapa bulan sahaja tanpa dinding kalbat. Perbezaan diantara air di dalam kolam kecil kalbat ini dengan air yang ditadah datas tanah (tong drum atau tong kalbat) adalah biasanya ada telur dan berudu katak. Didalam kolam kecil jarang ada berudu katak dan telur nyamut tetapi seringkali juga ada anak ikan. Air dalam kalbat ini sesuai diambil menggunakan baldi plastik yang diikat dengan tali untuk mencedoknya dan ditapis sebelum dimasukan didalam pam pnyembur atau tong drum besar untuk bancuhan racun. Bagaimana pun dalam kes tertentu seringkali air didalam kolam ini akan kering dalam keadaan kemarau melampau.


Pengurusan tanaman nanas di tanah gambut adalah berbeza dengan cara pengurusan tanaman nanas di tanah mineral. Pertama sekali dari segi masa menanam dimana ditanah gambut lebih mudah menanam berbanding ditanah mineral akan tetapi kos untuk membuka kawasan baru ditanah gambut tinggi kerana penyediaan infra jalan dan perparitan (Sila lihat foto disebelah). Semasa tinjauan di Parit Ghani En Jumaat maklumkan kos membina jalan di kebunnya adalah RM1,400 bagi 1 km kerana tanah gravel perlu dibawa dari tempat lain yang jauh. Penanaman nanas ditanah mineral perlu mereka menggunakan plastik penutup batas silvershine untuk mengawal rumpai . Bagaimana pun ada beberapa petani yang tidak menggunakan plastik silvershine ini di Changloon, Kedah tetapi melakukan kawalan rumpai cara tersendiri. Dari segi mekanisasi, penanaman nanas di kawasan tanah gambut agak sukar berbanding dengan mekanisasi seperti menabur baja butir, baja foliar, menghormon dan memetik hasil dimana ditanah mineral ia adalah praktikal. Pada pendapat penulis blog kualiti buah nanas banyak bergantung kepada pengurusan ladang sama ada menadai mengikut pakej amalan teknologi yang mana ia disyorkan LPNM dan Jabatan Pertanian atau hanya memberikan input yang minimum sahaja. Pembinaan kolam kecil dikebun nanas seperti ini akan membantu memudahkan aktiviti agronomi dikebun yang membolehkan pengusaha nanas mendapat buah yang berkualiti melebihi 80% untuk gred bagi memaksimakan keuntungan. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!...

KOLAM KECIL... ADA KEPERLUANNYA...
KALBAT DI LETAK...SESUAI LETAKNYA...
BUANG TANAH TENGAH... ITU CARANYA...
CANTIK TERLETAK...  MUDAH DIGUNA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist Expert,
Taman Cendana, Persimpangan Bukit Beruang,
Jalan Istana, Bandar Melaka,
Melaka, Malaysia.
(16 RabiulAwal 1441H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.