Wednesday, August 28, 2019

TINJAU TANAMAN PUCUK MANIS DI SENGKANG

TANAMAN PUCUK MANIS (Sauropus androgynus) sejak dulu merupakan satu jenis komoditi yang ditanam secara komersil di Kelompok Sayuran Komersil Bt 19, Sengkang, Tangkak, Johor yang penulis blog kunjungi. Pucuk manis juga dikenali sebagai 'Mani Cai' dalam bahasa Cina, Sweet Shoot (Inggeris), Cekur Manis dan 'Rau Ngot' dalam bahasa Vietnam dan sebagainya. Penulis sangat kenal dengan tumbuhan ini sejak kecil lagi kerana memang ada ditanam disekeliling rumah dikampong dan dimakan daunnya sebagai sayuran. Daun pucuk manis selalunya dipetik akan dimasak lemak atau tumis air untuk hidangan makan tengahari. Dalam beberapa kes dilaporkan ada yang mengambil daun cekur manis untuk di peram atau di jeruk dan dijadikan bahan masakan yang sungguh menyelerakan. Dalam beberapa kali tinjauan mengenai tanaman di negara jiran penulis dapati pucuk manis ini merupakan salah satu sayuran daun yang popular di Asia Selatan dan terkenal kerana banyak ditanam untuk dijadikan makanan kerana ia didapati sedap. Bahagian pucuk muda merupakan bahagian lembut yang rangup, manis dimana ia juga boleh dimakan sebagai ulam atau dimasak jadi sayuran. Di beberapa negara jiran dan di Malaysia pucuk pucuk manis ini dimasak sebagai sup bersama belacan, ikan bilis, ketam atau udang kering. Pucuk muda cekur manis boleh direbus dan dimakan dengan sambal belacan, budu, cencaluk atau pencecah lain sebagai ulam. Rasanya manis, lemak dan semacam ada rasa sedikit berangin. Daripada beberap jurnal yang penulis rujuk, pucuk manis merupakan sayuran yang kaya dengan sumber vitamin K yang tinggi. Bagaimanapun ada beberpa laporan daripada kajian mendapati bahawa pengambilan berlebihan air cekur manis akan menyebabkan kerosakan pada organ paru-paru disebabkan kepekatan tinggi alkaloid papaverine didalamnya. Kes ini telah dikenalpasti di Taiwan sekitar tahun 1990'an apabila penduduk disama amat suka makan pucuk manis secara berlebihan akibat keenakannya. Artikel subuh Sabtu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai tanaman pucuk manis sebagai sejenis sayuran berkhasiat.


Pembiakan dan penanaman tumbuhan ini mudah dilakukan oleh semua petani. Cekur manis mudah dibiakkan melalui sistem batang yang berkayu keras dimana batangnya yang matang boleh dipotong sepanjang 20-25 cm boleh ditanam terus kebatas atau dibiakkan di dalam polibag yang diisi media tanah campuran dan diletak di tapak semaian. Anda boleh cucukan diatas tanah dikawasan keliling rumah (Sila anda lihat foto disebelah).Penanaman secara komersil sebaiknya dibuat diatas batas. Batas disiapkan dengan ukuran lebar satu meter dengan panjang batas bersesuaian dengan kawasan penanaman. Cekur manis memerlukan tanah yang subur, gembur dan mempunyai bahan organaik yang tinggi. Jarak tanaman yang sesuai ialah 50-100 cm antara pokok dan 100-120 cm antara barisan tanaman. Tanaman dibuat satu barisan sahaja kerana ia akan bercabang banyak bila selalu melakukan cantasan. Pokok boleh bertahan sehingga 8-10 tahun jika penjagaan sempurna. Pengairan tanaman ini amat perlu pada peringkat awal penanaman sehingga penuaian hasil dilakukan diman sebaiknya tanaman perlu agar disiram sekurangnya sehari sekali, kaedah pengairan secara manual atau menggunakan sistem pengairan renjis atau titis. Bagi memastikan tanaman hidup subur, kawalan rumpai perlu dilakukan. Rumpai di atas batas dibuang secara manual dan antara lorong tanaman rumpai boleh dikawal dengan cara menggunakan racun rumpai yang disyorkan. Pastikan agar semasa penyemburan racun ia tidak mengenai tanaman. 


Apa yang mesti diketahui adalah cara mengenai pembajaan. Baja yang kini disyorkan ialah 120 kg N:60 kg P2O5:60 kg K2O setiap hektar, tetapi ia juga bergantung pada keadaan tanah di sesuatu kawasan. Cara penggunaan baja NPK Hijau 15:15:15 boleh digunakan dengan kadar 80-100 gm/pokok dan ditabur keliling dengan jarak 15-20 sm dari rumpun pokok serta dikambus. Pembajaan dibuat setiap bulan dan diselangkan dengan bahan sistem tahi ayam atau kompos dengan kadar satu hingga kg /meter persegi. Baja foliar bagi semburan daun boleh digunakan bagi mempercepatkan pertumbuhan daun bekalan bergantung pada pasaran. Tanaman pucuk manis diambil bahagian daun terutama pucuk muda untuk dijadikan sayuran (Sila anda lihat foto disebelah). Daripada kajian saintis permakanan dilaporkan pucuk manis merupakan salah satu daripada beberapa tumbuhan yang memiliki vitamin K. Daun pokok cekur manis adalah popular sebagai sayuran di Malaysia dan negara ASEAN lain sebagai pilihan. Pokok pucuk manis ini ada dihidangkan dibeberapa restoren makanan tradisional tengahari sebagai menu yang menjadi pilihan pelanggan. Kajian menunjukkan daun pokok pucuk manis terutamanya daun segar mengandungi banyak bahan seperti Provitamin A karotinoid. Ia banyak pada bahagian daunnya yang baru dipetik dan masih segar. Selain itu ia juga kaya dengan kandungan vitamin B, Vitamin C serta Protein dan mineral galian. Kandungan zatnya semakin tinggi dalam daun yang berwarna hijau gelap dan matang.



Daripada beberapa rujukkan dilaporkan pucuk manis ini mampu merawat panas badan, mengawal tekanan darah rendah dan sesuai untuk wanita yang baru bersalin terutama untuk tujuan pengeluaran susu ibu. Ia juga didakwa mampu untuk tujuan membaiki sistem pembuangan air kecil bermasalah serta didakwa menghilangkan masaalah pening kepala dan membantu mengatasi penyakit jantung dan saluran darah (kardiovaskular). Pokok cekur manis membiak melalui dua kaedah biasa iatu biji benih dan keratan batang namun benih yang dihasilkan melalui keratan batang lebih bermutu. Ia boleh tumbuh subur di kawasan bercahaya matahari penuh ataupun di kawasan naungan yang redup. Ia juga mampu bertahan terhadap tanah yang mempunyai kandungan asid yang tinggi (masam kelat), selain mampu dan boleh tumbuh dikawasan tanah liat.  Seterusnya khasiat cekur manis bagi mengubati demam dengan mengambil secekak daun cekur manis perlu diramas-ramaskan dengan beras di dalam semangkuk air. Kemudian daun yang diramas itu dipupuk perlahan-lahan dan berulang kali di kepala dan juga bahagian-bahagian badan yang lain. Lakukan sehingga demam sembuh tetapi jika tidak ada apa-apa kesan sebaliknya demam masih tidak kebah maka dinasihatkan berjumpa dengan doktor perubatan profesional untuk mendapatkan rawatan lanjutan.

Dalam beberapa penulisan dan laporan akhbar dilaporkan dimana sayuran cekur manislawaskan kencing. Ini kerana masaalah kencing tidak lawas merupakan gejala yang memang merimaskan kerana ia boleh mengganggu aktiviti harian terutama ketika penghidapnya berada di kawasan tumpuan umum atau sedang sibuk dengan tugasan penting. Gejala yang dikenali sebagai ''urge incontinence'' ini sebenarnya sering membelenggu pada kehidupan dan pemikiran pesakit yang kebanyakannya lelaki berusia 50-an dan ke atas. Ini kerana mereka lazimnya terlalu kerap berasa hendak membuang air kecil sedangkan air kencing yang keluar hanyalah sedikit. Dalam situasi lain pula dikalangan pesakit mungkin tidak puas ketika mereka membuang air kecil kerana merasakan masih ada baki air kencing yang tidak keluar. Ini menyebabkan mereka terpaksa menunggu lama di dalam tandas ataupun jika ingin terus beredar akan sentiasa bimbang kemungkinan baki air kencing itu menitik atau mengalir tanpa disedari sehingga membasahi pakaian. Herba pilihan iaitu pokok CEKUR MANIS atau ASIN-ASIN atau nama saintifiknya Phyllanthus frondosusmemang telah lama dikenali ramai kerana ditanam sebagai sayur-sayuran dan digunakan dalam masakan. Apa yag unik dimana selama ini anda tentu sering menikmati keenakan daun cekur manis yang dimasak lemak putih dicampur bersama keledek yang menimbulkan kesan aroma pembangkit selera (Sila lihat foto disebelah). Tetapi mungkin tidak ramai mereka yang mengetahui bahawa daun cekur manis juga sejak dulu sering digunakan oleh pengamal rawatan tradisional kerana ia juga mempunyai banyak khasiat. Tinjauan penulis blog di Kelompk Sayuran Komersil di Kg Batu 19 Sengkang, Bukit Gambir ini menunjukkan bahawa sayuran ini masih mendapat permintaan baik dripada pengguna. Harga ladang sekitar RM3.00/kg dan ia menerima pasaran baik di Melaka, Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
PUCUK MANIS... MUDAH MENANAMNYA...
DI BUKIT GAMBIR... SUBUR POKOKNYA....
SELALU DIPOTONG... BERTUNAS SEMULA...
BAJA ORGANIK... MANIS RASA PUCUKNYA..

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Purajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.
(29 Zulhijjah 1440H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.