Monday, March 25, 2019

SHELLOUT - SEMAKIN POPULAR

SHELL OUT merupakan satu konsep baru hidangan makanan berasaskan seafood yang mana ia kini menjadi satu trend terbaru di Malaysia. Hidangan makanan shell out ini akan dicurahkan (maknanya 'di lambakkan') diatas plastik bersih diatas meja makan dikelilingi oleh pelanggan. Nasi putih juga dihidangkan berasingan dihadapan pelanggan dan mereka makan secara bersama-sama memilih lauk didepan mata. Konsep ini amat sesuai dengan Islam yang selalu digalakkan makan bersama dalam satu dulang ketika kenduri atau jamuan 'ruahan' di kampong saya dulu. Dalam pada itu penulis blog dapati trend makanan di Malaysia akan sentiasa kehadapan mengikut perkembangan semasa seiring dengan kepantasan teknologi maklumat. Para pengusaha restoren dan kedai makan sentiasa berusaha melakukan anjakan paradigma dengan menyajikan hidangan yang menarik perhatian pelanggan. Mereka perlu melakukan revolusi dan pengolahan menu makanan supaya restoren dan kedai makan mereka sentiasa menjadi tumpuan pengunjung. Hal ini berlaku kerana selera pelanggan sentiasa berubah ubah terutama dengan kepantasan teknologi maklumat dimana semua orang akan berlumba-lumba untuk mereka memaparkan apa yang mereka makan. Dalam mereka cuba mencari pelanggan mesti ada tempat yang mempunyai tarikan menu unik untuk lebih ramai pdapat menikmati makanan dan yang paling penting keenakkan rasa serta rupa makanan yang mereka makan. Makanan Seafood Shell Out merupakan pilihan no 1 rakyat Malaysia masakini kerana rupa dan rasa menambat hati untuk merasainya. Banyak restoren yang menawarkan menu yang istimewa ini tumbuh bagai cendawan selepas hujan terutama di kawasan Lembah Klang dan beberapa pusat pelancongan. Keenakkan unik dari makanan seafood shell out ini pasti menjadi bualan samada golongan wanita atau lelaki terutama yang tinggal di kawasan Bandar sekaligus menimbulkan minat dan tahap keinginan untuk menikmatinya. Artikel subuh ini saya menulis dalam blog "Anim Agro Technology" yang ke 5,219 mengenai makanan shell out selepas menikmati bersama anak, menantu dan cucu di Pulau Pangkor untuk dikongsi info bersama anda semua.


Masa ini trend makan di luar adalah menjadi satu cara kehidupan dimana terdapat banyak premis menyediakan makanan sama ada di kompleks membeli belah, medan selera, lokasi persiagaan komersil, gerai tepi jalan, kedai mamak dan banyak lagi. Pasti ramai diantara kita yang pernah pergi ke restoren yang menghidangkan makanan shell out. Namun agaknya berapa ramai diantara kita yang tahu apa itu menu Seafood Shell Out dan siapa yang memulakannya. Seafood Shell out merupakan menu makanan laut yang terdiri dari kerang, ketam, udang, pelbagai jenis siput yang dimasak kering bersama pes cili dan dimakan bersama sayur sayuran yang direbus seperti brokoli, jagung, kentang, lobak merah. Nasi putih juga disediakan tetapi dalam kuantiti yang sedikit. Hidangan Seafood Shell Out ini dikatakan menjadi viral apabila seorang selebriti dan pelakon iaitu Haniz Zalika memaparkan di Instagram miliknya. Kunjungan beliau ke restoren Shell Out di Kota Damansara menjadikan menu ini menjadi bualan dan ikutan masa kini. Menu ini kelihatan sangat menarik dan nampak menyelerakan. Dalam masa beberapa hari sahaja, menu ini menjadi tular di laman sosial dan orang awam terutama peminat beliau menjadi teruja untuk menikmatinya. Itulah pengaruh media sosial dan aura seorang selebriti akan memberikan kesan kepada rakyat akhirnya mengubah corak pemakanan dan trend pemakanan di Malaysia. Walau pun penulis blog hanya beberapa kali makan makanan ini dan ianya nampak seperti menu biasa yang dimasak dan dimakan bersama keluarga. Tarikan utama seafood shell out adalah hidangan makanan laut ini dihidangkan di atas meja besar yang dilapik dengan plastik tanpa ada sebarang mangkuk atau pinggan bagi mengisi menu menu tersebut. 


Pelanggan shell out juga perlu makan menggunakan tangan kerana sudu atau garfu juga selalunya tidak disediakan. Hanya apron untuk mengalas pakaian dan beberapa pengetuk kecil bagi mengetuk kulit ketam diberikan kepada pelanggan. Dalam maksud yang lain, plastik yang besar dan bersih akan dihamparkan di atas meja makan lalu diletakkan makanan laut yang telah dimasak ditengah tengah meja lalu bermakan secara beramai ramai samada bersama kawan kawan atau keluarga. Ianya sangat sesuai dijadikan menu mudah semasa hujung minggu bersantai bersama keluarga dan kawan kawan sambil mengeratkan silaturahim. Trend ini nampak familiar dengan makanan nasi ambang yang popular dikalangan masyarakat jawa di kampung kampung. Nasi ambang terdiri dari gabungan nasi putih, mee goreng, serunding kelapa dan ayam goreng lalu diletakkan di dalam dulang besar. Nasi ambang biasanya dimakan beramai ramai (dikongsi makan 4 orang atau lebih). Begitu juga konsep hidangan seafood shell out, dulang besar ditukar kepada plastik besar dan menu utama adalah pelbagai jenis makanan laut. Hidangan makanan laut yang segar serta kombinasi diantara mentega dan bawang putih dimana ia membangkitkan aroma dan rasa yang sempurna bagi setiap hidangan. Sayuran sayuran yang direbus lebih berkhasiat untuk dinikmati. Ini merupakan satu contoh makanan seimbang dimana kandungan protein, karbohidrat, vitamin, mineral dan pelbagai jenis lagi terkandung dalam satu hidangan.


Memasak sendiri makanan Shell Out dirumah bermodalkan RM30 sudah memadai untuk kita yang tidak mahu makan diluar. Biasanya resepi untuk masak makanan ini menggunakan bntuk bahan tumis terdiri dari 2 buku bawang merah, 4-5 ulas bawang putih, 1 inci halia, 3 batang cili padi, 2 batang serai, Sedikit ikan bilis dan belacan (optional) serta perasa dimana semua bahan tumis ini perlus dikisar. Bagi bahan rebus maka diperlukan jagung dan brokoli (Sila lihat foto disebelah) dan bahan makanan laut yang sesuai. Dari segi kos pula biasanya gunakan 5 ekor sotong (RM 2.15), 2 ekor ketam nipah (RM15) dan 15 ekor udang (RM6.70). Mulakan dengan merebus ketam, udang , sotong atau lain-lain seafood yang dikehendakki. Bagi ketam ia perlu direbus berasingan dan diasingkan atau toskan. Air rebusan ketam ini akan digunakan sebagai kuah kerana jika dicampurkan semua pati rebusan maka makanan shell out itu menjadi kurang enak. Ada yang gunakan bahan air dari rebusan daging ayam. Semasa tumis perlu masukkan daun limau purut dan juga serai ketuk sebanyak 2 batang. Bila sudah naik bau dan cili dah masak kemudian dimasukkan 4-5 senduk air ketam (ikut bnyak mana kecairan yang suka). Kemudian dimasukkan 2 sudu sos tiram dan 2 sudu sos cili. Selepas itu di masukkan gula, garam dan serbuk perasaa jinomoto. Kalau bagi sesetangah orang ditambah gula agar masnis sedikit bagi menambah keenakannya. Bila sudah siap kuah kemudian dimasukkan smua sayur dan seafood dalam satu bekas dan gaulrata sebelum dihidangkan. Makanan shell oit yang siap dilambakkan diatas meja beralaskan kertas plastik yang bersih dan nasi putih.


Penelitian penulis blog mendapati pengusaha kafé dan restoren shell out pasti berusaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik dengan cara menghidangkan juadah menu yang menyelerakan dalam usaha menarik perhatian pelanggan untuk berkunjung dan menikmati juadah yang disediakan. Faktor harga yang berpatutan menjadi keutamaan pelanggan dalam pemilihan restoren atau kafe seafood shell out. Harga makanan yang mahal, rasa yang tidak sedap dan perkhidmatan yang rendah pasti menyebabkan pelanggan berfikir 2 atau 3 kali untuk datang semula ke restoren atau kafe tersebut. Penulis bloh makan shell out di Pulau Pangkor dengan harga RM30.00 satu hidangan (untuk 2 orang makan) dan bagi sekeluarga cuma belanja RM90.00 sahaja tidak termasuk minuman (Sila lihat foto disebelah). Memang enak makan secara jemaah ini dimana sambil bercerita dangan keluarga dalam masa 45 minit semuanya sudah habis dimakan. Dalam pada itu ada beberapa perkara mengenai makanan shell out yang penting diperhatikan iaitu kesegaran bahan hasilan laut seperti ketam, udang dan sotong atau kerang. Jika terkena yang busuk satu atau dua kali kunyah sudah tidak mahuu teruskan makanan shell out tersebut. Pastikan tidak ada yang sakit perut selepas makan shell out kerana kualiti hasilan laut tersebut.


Dalam laporan media tempatan dilaporkan dimana ada sesetengah pengusaha akan mengenakan bayaran harga makanan berdasarkan berat makanan laut yang di pilih. Sebagai contoh di Melaka ada juga pengusaha yang menawarkan harga makanan secara pakej iaitu RM 75.00 untuk 1 pek hidangan yang boleh dimakan bersama 4 orang pelanggan. Kebiasaanya setiap pakej melengkapi dengan menu nasi putih, beberapa hidangan makanan laut seperti ketam masak sambal, kerang bakar, udang bersos, sayur sayuran dan minuman ringan. Selain dari itu, ada juga pengusaha café atau restoren shell out ini mengenakan bayaran kepada pelanggan berdasarkan jumlah berat makanan laut yang diambil. sebagai contoh harga ketam segar yang perlu dipilih oleh pelanggan berharga RM 25.00 bagi 500 gram berat ketam. Pelanggan boleh meminta pihak restoren memasak makanan laut tersebut berdasarkan citarasa pelanggan. Tarikan utama restoren atau café shell out adalah tahap kebesaran makanan laut seperti ketam, udang loster atau udang biasa, kepah, sotong dan pelbagai lagi. Saiz makanan laut yang besar berbanding yang dibeli dipasar dan dimasak sendiri pasti menarik perhatian pelanggan lebih lebih lagi apabila diviralkan di media sosial. Selain itu, kebanyakkan café atau restoren shell out ini menyajikan makanan laut yang segar dimana mereka mengambil dan membeli makanan laut dari jeti pengumpulan ikan atau dari peraih yang dipercayai. Ianya sebagai satu jaminan kepuasan kepada pelanggan dan sekaligus menjaga mutu makanan itu sendiri. Terdapat juga beberapa menu lain yang disajikan kepada pelanggan bagi mereka yang kurang gemar atau alah kepada makanan laut seperti nasi biryani kambing, vegetarian food, burger chese dan sebagainya. Ianya bergantung kepada kreativiti pengusaha bagi menarik perhatian pelanggan dalam usaha memajukan perniagaan supaya seiring dengan kehendak dan kepuasan pelanggan. Semuga tulisan artikel ini memberi info berguna kepada anda pembaca anim agro technology kali ini.  Wasallam!!!...
MAKANAN SHELL OUT... TREND SEMASA...
LAUKPAUK DILAMBAKKAN... DIATAS MEJA...
NASI PUTIH... DILETAKAN SEDIKIT SAHAJA...
ENAK DAN KENYANG... BAYAR BERSAMA...

,
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 179, Joe's Fisherman Inn,
Pantai Nipah, Pulau Pangkor,
Lumut, Perak,
Malaysia.
(16 Rejab 1440H).


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.