Saturday, February 16, 2019

CILI PALERMO - SWEET CHILI

CILI PALERMO (Capsicum annum) merupakan sejenis varieti cili premium yang manis (SweetTaste Chilli) dan jarang kita jumpa di pasar biasa di Malaysia. Cili Palermo ini setelah dipetik penulis segera membasuhnya dan makan terus dikebun dimana ianya manis dengan ada sedikit bau atau rasa capsaisin (rasa pedas). Varieti cili ini merupakan varieti cili hibrid yang dikawal penanamnya di Malaysia oleh syarikat pengeluar benih bagi menjamin kualiti dan ketulinan. Cili Palermo ini merupakan varieti cili dikawal penanamannya agar ia kekal sebagai cili premium yang akan mendapat permintaan tinggi diluar negara tetapi kurang dikenali di Malaysia. Kemanisan cili Palermo ini membolehkan ia sesuai dijadikan bahan makanan ''salad'' yang paling disukaĆ­ ramai orang kerana ia rangup, juicy, tidak pedas dan enak dimakan apa lagi kalau ia dicampur dengan bahan salad lain mengikut menu resepi salad dan cara penyediannya. Penulis blog pernah melawat pusat pengeluaran benih Syarikat GWG dan Eagle Seed dimana mereka ada menunjukkan terdapat banyak jenis cili tempatan dan cili import yang boleh ditanam dinegara kita dan menghasilkan benih berkualiti premium tetapi belum ada yang tunjukkan pokok cili Palermo sebelum ini. Cili Palermo kini hanya ditanam di 2 lokasi di Malaysia oleh syarikat yang sama iaitu di Cameroon Highland dan di Genting Highlands. Penaman cili Palermo di Malaysia kini dipercayai hanya dijalankan oleh pihak yang mendapat bekalan benih dari syarikat pembekal benih. Artikel malam ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya menulis mengenai cili Palermo yang menjadi satu komoditi berpotensi ditanam di Malaysia untuk pasaran domestik dan eksport.


Pokok Cili Palermo di Malaysia kini ditanam didalam Rumah Kalis Hujan dan Rumah Kalis serangga yang kukuh. Pokoknya didakwa ianya hampir menyamai dengan pokok Cili Benggala iaitu menghasilkan buah untuk 3 warna utama iaitu Hijau (Buah masih muda), Oren, Kuning dan Merah. Ia adalah jenis pokok determinate tree dimana ketinggian pokok cili ini dikawal iaitu sehingga ketinggian maksima didalam keadaan terkawal. Cili ini didakwa benihnya dari Belanda dan dikawal dari segi pengedaran dan mereka yang  menanamnya kerana cili ini sudah dipaten. Kajian oleh Universiti Wagenigen (Universiti Pertanian popular di Belanda) menunjukkan kehebatan cili Palermo adalah mengenai krmanisannya, kepahitannya, aroma, kecantikan kulitnya, saiznya dan keupayaan ia berbuah. Ia sesuai dan selalu dimakan mentah kerana ciri hebat yang dimilikkinya dan buah yang besar memang amat menarik. Apa pun didakwa cili ini memang manis dengan tahap kepedasan yang disumbangkan juga oleh aromanya. Sebiji buah ini berukuran 15 - 23 cm panjang dengan ukurkilit atau pun garispusat cili sekitar 12 - 16 cm bergantung kepada amalan agronomi yang dilakukan. Apa pun lazimnya keadaan dikebun (ditanam secara fertigasi dan kalis serangga) pokoknya akan bertahan sehingga 8 bulan sebelum didapati pokoknya meninggi, cukup tua dan buahnya mengecil. Bagi tujuan untuk mendapatkan buah yang besar mengikut piawaian pasaraya, lazimnya hanya satu batang pokok (sepokok sahaja) Cili Palermo dibenarkan naik diikat keatas dan cabangnya akan dibuang. Buah cili palermo pada dahan lain akan dibuat dibuang untuk aktiviti penjarangan kerana ia menentukan saiz buah utama pada batangnya untuk dijual.


Bunga cili palermo sama dengan bunga cili benggala dan Cili Besar. Ia berwarna putih dengan 6 kelopak dan proses pendebungaan dilakukan dengan mengoncang batang pokok tersebut setiap hari melalui sentuhan atau menggoyang dalam barisan tanaman. Kaedah penggunaan penyembur angin (air gun) seperti proses medebungakan pokok tomato tidak sesuai untuk cili ini. Buah cili akan terbentuk selepas pendebungaan dengan berwarna hijau gelap dan akan bertukar kepada oren, merah atau kuning mengikut jenisnya apabila matang. Amalan kawalan serangga perosak dan penyakit dikawal mengikut jadual. Biji benih yang dibeli adalah mahal dan disemai dalam tray dahulu sebelum ianya dimasukkan kedalam media fertigasi bantal yang siap guna. Media cocopeat digunakan sebagai media dimana cocopeat dari Sri Lanka digunakan kerana didakwa ia merupakan antara jenis cocopeat terbaik didunia untuk dijadikan media tanaman fertigasi. Baja di berikan mengikut sinaran matahari ikut kiraan 'Joule' yang mana meter dipasang pada bumbung SPH dan penyiraman air baja dilakukan 3 minit sahaja sehari sekali. Jika cuaca mendung hanya diberikan kuantiti sedikit sebaliknya jika cuaca terang dan matahari cerah diberikan lebih baja yang dikawal oleh sistem komputer berpusat teknologi Netherland yang canggih. Penuaian dilakukan setiap hari diwaktu pagi sebelum dibuat grading dan di simpan untuk pasaran. Cili Palermo yang berwarna Oren didakwa paling manis berbanding dengan warna kuning dan warna merah.


Cili Palermo yang di tanam di Malaysia sesuai dikawasan tanah bersuhu dingin (dikawasan tanah tinggi sahaja). Teknologi penanaman cili ini dan sumber bekalan benih masih dikawal oleh pihak yang diberikan kebenaran utuk menanamnya. Benih cili ini adalah jenis hibrid dimana apabia penulis blog belah buah cili matang didapati hanya ada beberapa biji benih sahaja yang berada didalamnya. Benih ini pun tidak boleh digunakan sebgai benih tanaman seperi varieti cili tempatan lain. Pada penulis blog yang dapat melawat kebun cili Pallermo ini dapat merasa sendiri buahnya memang ia tidak pedas dan sesuai dijadikan makanan salad sahaja. Cili ini lembut dan mudah dipotong kecil 1 cm x 1cm atau saiz lain yang diingini kemudian ia dicampur dengan bahan salad lain seperti daun salad, timun, jagung dan sebagainya dan ditambah myonis atau sos salad yang sesuai (Sila lihat foto disebelah). Ada yang suka gunakan kesemua 3 atau 4 warna cili Polermo (hujau, oren, merah dan kuning) dalam satu adunan sebagai hidangan yang menarik. Di Malaysia cili Palermo keluaran tempatan hanya di jual di Cold Storage Chain dan Jaya Grocer Chain disekitar Lembah Kelang. Apabila dibungkus ia akan diletakkan 2 biji sekali dengan tag harga RM7.99 satu pek atau jika hanya sebiji dijual harga runct RM3.99 satu biji. Apa yang penulis blog tinjau ia ada dijenamakan sebagai Genting Garden Sweet Palermo dengan berat sebiji cilinya sekitar 250 gram sebiji. Arahan dan keterangan mengenai cili palermo ini disertakan dengan jaminan kualiti. Penulis blog agak berkemungkinan pengguna utama cili ini adalah golongan expatriate yang bertugas disekitar Lembah Kelang dimana makanan salad merupakan makanan kegemaran mereka. Kepada pengguna tempatan mereka hanya kenal cili besar tempatan dan cili padi untuk bahan masakan mereka. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca anim agro technology semua. Wasallam!!!... 

CILI PALERMO... MEMANG BESAR SAIZNYA...
KUNING, MERAH, OREN...ADA TIGA WARNA...
RASA  YANG MANIS...JADI SALAD MENUNYA...
ADA DITANAM... TANAH TINGGI MALAYSIA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 301, nova Hotel and Resorts,
Brinchang, Cameroon Highland,
Pahang, Malaysia.
(10 JamadilAkhir 1440H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.