Wednesday, December 5, 2018

NANAS N36 YANG RANUM - TEKNIK RAWATAN

NANAS YANG MASAK RANUM kini boleh disediakan dengan warna menarik dengan membuat rawatan yang dilakukan agar ianya kelihatan cantik dan berkualiti. Jika pelanggan tempatan ingin makan nanas segar yang manis selain daripada varieti MD2 pastinya mereka akan mencari buah nanas yang mempunyai warna kulit kuning kemerahan (Sila lihat foto diatas). Foto diatas sebenarnya merupakan nanas N36 yang dihasilkan oleh usahawan nanas dari TKPM Lanchang, Temerloh, Pahang yang dipamerkan sempena MAHA 2018 di MAEPS Serdang baru-baru ini. Warna buah iaitu merah kekuningan yang dari jauh amat menarik ini menyebabkan pelanggan akan tertarik untuk datang dimana kemudian bertanya dan membelinya. Warna tersebut memang akan membolehkan pelanggan berfikir ia mesti dari buah masak ranum yang manis dan membangkitkan rasa untuk makan. Sebenarnya nanas N36 pada indeks kematangan '0' mempunyai warna kulit yang hijau yang mana munkin dikalangan orang biasa akan katakan nanas itu masih mentah dan tidak berminat untuk membelinya. Apa pun pengusaha nanas N36 iaitu anak syarikat FELDA  di TKPM Lanchang ini menjual runcit nanasnya dengan mwlakukan rawatan khas untuk membolehkan buah nanas N36 tersebut seakan buah nanas masak. Mereka akan mencelup selama beberapa saat pangkal buah nanas N36 tersebut (1 mata) kedalam hormon nanas. Kemudian ia dibiarkan beberapa jam sebelum proses menguning masak ini berlaku daripada bawah keatas. Biasanya selapas 3 hari maka keseluruhan buah akan menjadi kelihatan masak ranum. Artikel petang ini saya ada masa dalam blog "Anim Agro Technology" agar menulis lagi bagaimana strategi menjadikan buah nanas N36 dijual dengan warna kuning kemerahan yang menarik pelanggan membelinya.


Nanas varieti N36 kini ditanam untuk tujuan pasaran domestik dan eksport. Ia banyak di hantar ke Singapura dan Timur Tengah dengan indeks kematangan '0' dan masukkan dalam kotak (Sila lihat foto disebelah). Bagi penghantaran ke Dubai, nanas N36 ini dibungkus dalam kotak sebelum dimasukkan dalam kontena bersuhu 8-10 celcius dan tiba di Pelabuhan Jabar Ali di DUbai dalam masa 12-14 hari. Nanas N36 merupakan sejenis nanas nenas hibrid dikenali dengan 'Hybrid 36' iaitu kacukan diantara varieti Gandul (Spanish) dengan Varieti Sarawak (Smooth Cayene) dari ladang Peninsula Estate. Nenas N36 mempunyai berat buah diantara 1.5 - 2.0 kg sebiji dengan berbentuk kon selinder kepada bentuk selinder. Varieti N36 ini mempunyai jumlah mata pada buah diantara 130 - 180 unit yang mana matanya adalah Tidak Timbul. Ia juga adalah jenis buah nenas yang sederhana manis dimana kandungan gula adalah antara 12 - 14% Brixs, Buah ini mengandungi asid citrik sekitar 0.6 - 0.8% dan sesuai dimakan segar atau diproses. Buah nenas N36 adalah diantara varieti nenas yang sering dikalengkan atau dimasukkan dalam tin. Ia mempunyai iai bertekstur sederhana teksturnya dan merupakan varieti yang paling sesuai untuk diproses. Nenas N36 ditanam oleh beberapa syarikat untuk tujuan diptoses dan sebahagian dimakan segar. Ia banyak ditanam di Johor dan juga di Pahang.


Bagaimana pun strategi pemasaran tempatan untuk nanas ini perlu disesuaikan dengan cara khusus bagi membolehkan nanas ini kelihatan masak ranum dan pembeli ingin membelinya. Buah nanas N36 yang sudah berumur 11-12 bulan akan dipetik dari ladang dan kemudian dibawa kepusat pengumpulan hasil untuk digredkan. Bagi tujuan pasaran tempatan maka setiap biji buah tersebut akan dirawat dengan cara mencelup pangkal buah (1 mata) kedalam larutan hormon aruhan selama 1-2 saat dan diangkat untuk dikeringkan secara menegak. Proses penukaran warna hijau ini berlaku menjadi kemerahan kuning dari bawah mengikut masa (Sila lihat foto disebelah) sehingga keseluruhan buah tersebut ranum semuanya. Kaedah rawatan ini bagaimana pun perlu dikawal agar tidak terlalu banyak buah dicelup dalam hormon kerana ia mempercepatkan proses permatangan buah. Jika pasaran kurang baik maka buah tersebut akan cepat menjadi busuk pula atau cepat ranum. Perlu ada strategi ini untuk pamerkan buah nanas kelihatan masak.


BERNAMA melaporkan dalam akbat bertajuk "Nanas N36 ke pasaran negara Arab" oleh wartawan khas Bernama dimana tanaman nanas mampu meningkatkan pendapatan sampingan kepada peserta projek TKPM Lanchang, Temerloh, Pahang. Penyelia projek nanas N36 kini boleh tersenyum lebar apabila Projek tanaman nanas N36 ini telah pun berjaya mengubah projek berkenaan menjadi satu pengeluar nanas utama di Pahang. Bukan itu sahaja peserta turut bertambah baik hidupnya dengan mampu menambah pendapatan antara RM400 dan RM700 sebulan jika bekerja di ladang komersial nanas selain pendapatan sebagai penoreh getah (RM1,000 dan RM2,500). Program utama pembangunan bersepadu di kawasan seluas 223 hektar ini merangkumi 203 hektar ditanam getah, 14 hektar adalah penanaman nanas dan baki 6 hektar kawasan penempatan yang menempatkan 50 unit rumah peserta. Kini seramai 80 ketua isi rumah miskin tegar bakal menerima faedah projek yang melibatkan kos sejumlah RM13.62 juta.  Projek tersebut dijangka bakal menjadi pemangkin kepada lonjakan untuk sektor pembangunan di kawasan Temerloh dan sekitarnya.  Antara kejayaan yang boleh dibanggakan di bawah Projek TPM ini ialah tanaman nanas yang mencatat jualan iaitu berjumlah RM40,000. Malahan produk nanas Hibrid N36 iaitu kacukan gandul dan sarawak yang dihasilkan di projek ini dijangka dieksport ke negara-negara Arab pada tahun hadapan. Pengurus Projek TKPM En Lokman dalam pada itu menyatakan telah ujud perbincangan dengan Iran untuk memasarkan nanas keluaran negara dan sampel juga telah dihantar bagi pemasaran. Nanas yang ditanam ialah jenis Hibrid N36 iaitu benih terbaik yang istimewa dan mempunyai nilai eksport yang tinggi selain rasanya yang manis. Selain memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi bagi pasaran domestik, buah nanas N36 sesuai untuk tujuan dieksport. Apa pun nanas N36 yang ditanam di TKPM Lanchang ini berjaya mengekalkan varieti nanas N36 walau pun kin lebih ramai penanam nanas menanam nanas MD2 sebagai nanas premium. Artikel ini diharap memberikan info  berguna kepada pembaca blog anim agro technology. Wasallam!!
NANAS KASAK.... KUNING MERAH WARNA....
VARIETI N36... PALING SESUAI RAWATNYA...
DICELUP PANGKAL... CEPAT MASAKNYA...
STRATEGI PASARAN...IA AMAT BERJAYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Laman Tiba 1, Gerai Jualan GBBF,
MAHA 2018, MAEPS, Serdang,
Selangor, Malaysia.
(25 Rabiulawak 1440H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.