Tuesday, August 7, 2018

IKAN LOMA - SUNGAI PERAK

IKAN LOMA (Thynnichthys thynnoides) adalah merupakan ikan air tawar yang terdapat didalam beberapa batang sungai dinegara kita dan ia selalunya bergerak dalam kumpulan yang besar. Ikan ini juga terdapat pada tasik-tasik dan dalam lombong dimana ia mempunyai diet atau makanan utamanya dikenalpasti dari jenis plakton dan tumbuh-tumbuhan air. Penulis blog memeng tidak asing dengan ikan jeni ini kerana sering menjumpainya di kawasan kampong dahulu. Bentuk ikan ini seperti ikan Tongsan atau pun ikan Temelian malah ada beberapa penduduk tempatan yang memanggil ikan ini sebagai Ikan Tongsan Loma. Saiz ikan ini berbagai bentuk dan ia boleh menjadi panjang sehingga 0.6 meter jika diukur. Bagaimana pun di Malaysia didapati ikan ini boleh ditemui dengan banyak sekitar Sungai Perak. Walau pun ada yang mengatakan rasanyanya tidaklah begitu sedap sebab ia ada banyak tulang halus dan bersisik kecil kemerahan tetapi ramai juga yang minat memakannya. Daripada penelitian lazimnya dulu ikan ini dijual dengan harga yang agak murah tetapi kini telah agak mahal dan apabila diproses menjadi ikan pekasam dan ikan kering mempunyai nilai tambah. Dalam beberapa lawatan, penulis dapati hasil tangkapan ikan loma pada musim tertentu mendapati jika hasil yang banyak boleh menjadi sumber rezeki lumayan untuk ahli masyarakat sekitar dan mereka yang gemarkan ikan darat. Tidak sukar untuk menjual ikan loma segar kerana pembeli sentiasa ada. Harganya boleh sampai mencecah sehingga RM5 sekilogram. Selain itu ada yang menjual ikan loma dalam bentuk ikan pekasam untuk meraih harga jualan yang lebih tinggi. Ada yang menjual dalam paket, ada yang menjual dalam balang. Ikan loma pekasam boleh mencecah sehingga RM20 sekilogram atau lebih. Lazimnya satu paket mengandungi dua atau tiga ekor sahaja ikan loma ini boleh mencecah sehingga RM5 atau lebih. Bagaimana pun semasa musim ikan ini banyak dan bagi yang tidak berhasrat untuk menjual sebaiknya ikan loma dibawa pulang untuk keperluan sendiri dan keluarga dan selebihnya dijual. Selain dimasak terus sebagai lauk biasanya ada diantara mereka yang rajin membuat pekasam untuk keperluan keluarga. Tujauan diproses pekasam ini adalah untuk pastikan dimana mereka ada bekalan ikan untuk dimakan. Artikel subuh ini say amenulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai Ikan Loma yang popular di sungai Perak dan beberapa lokasi lain. 

Pernah dibincangkan dalam akhbar tempatan mengenai ikan loma ini tentang untung nasib ikan loma Sungai Perak ini yang semakin terancam dan menghadapi kepupusan jika tidak dikawal dengan baik. Foto disebelah menunjukkan aktiviti seorang penangkap ikan loma menggunakan penyauk dari tebing tanpa perlu turun ke sungai ketika pesta ikan loma di Sungai Rui, Gerik sebagai usaha untuk menangkap ikan ini. Aktiviti menangkap ikan loma di hulu Sungai Perak telah dilakukan sejak 30 tahun dahulu oleh penduduk tempatan. Lazimnya aktiviti penangkapan ikan loma dilakukan semasa musim tengkujuh untuk mereka mendapatkan ikan dan juga telurnya. Pada masa ini dilaporkan ikan loma diproses untuk dijadikan Pekasam Ikan Loma dimana ia merupakan produk istimewa di kawasan Gerik, Lenggong dan Chenderoh yang berjaya menaikan nilai ekonomi kepada penduduk tempatan. Sekarang pekasam ikan loma sudah popular dimana produk ikan ini telah dijual sehingga ke Lembah Klang dan dalam talian. Cerita tentang ikan loma di Kuala Sungai Rui juga telah lama diketahui dan heboh di media cetak dan elektronik sejak lebih 10 tahun dahulu. Pada musim hujan antara iaitu antara bulan Oktober hingga Disember selalunya akan hadir ramai penduduk tempatan dan pelancong luar yang asal dai kawasan berdekatan datang ke Kuala Sungai Rui untuk mereka menangkap ikan loma. Mereka menangkap dengan cara menggunakan sauk dan ada yang menggunakan jaring (Sila lihat foto disebelah). Selalunya pada musim puncak diadakan aktiviti yang dapat lihat seolah-olah ada pesta menangkap ikan loma di Kuala Sungai Rui, hulu Sungai Perak dan diiktiraf oleh Jabatan Kerajaan. Aktiviti ini telah mendapat kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan menjadikan aktiviti menangkap ikan loma ini sebagai satu tarikan kepada pelancongan sejak beberapa tahun lepas. Kini walaupun nampak banyak ikan loma ditangkap tetapi sebenarnya sekarang ikan loma tidak lagi sebanyak dahulu ketika musim hujan antara bulan September sehingga bulan Disember setiap tahun.

Diatas minat orang ramai dan setelah dihebohkan dalam media massa maka pesta ikan loma ini telah menarik sama perhatian PBT dengan mengaturkan agar lebih ramai lagi pengunjung iaitu yang bermusim melihat pesta ikan loma. Persoalannya adalah apakah sambutan pihak yang bertanggung jawab berkaitan perikanan sungai dan ahli sains tempatan bagi menangani isu menangkap ikan loma secara berlebihan dan kemungkinan berlaku berkurangan populasi ikan berkenaan pada masa hadapan?. Kajian menunjukkan dimana kawasan utama menjadi tumpuan menyauk ikan loma ialah di Kuala Sungai Rui cabang daripada Sungai Perak (Sila lihat foto disebelah). Sungai Perak adalah salah satu sungai kedua terpanjang di Semenanjung Malaysia selepas Sungai Pahang yang mana panjangmya 459 km dan mempunyai sejarah serta sejarah kepentingannya yang tersendiri. Info menyatakan Sungai Perak sepanjang 400 km mengalir dari pergunungan Hulu Perak bersempadan dengan Thailand dan Kelantan melalui Hutan Simpan Belum yang popular sekarang hingga ke Beting Beras Basah di Bagan Datuk ke Selat Melaka. Sudah tentu Sungai Perak selama ini telah memainkan peranan penting dalam kepelbagaian biologi dan sosioekonomi negeri Perak. Sungai Perak mempunyai banyak sungai cawangan. Antaranya ialah Sungai Bidor, Sungai Kinta dan Sungai Pelus. Sungai Kinta dan Sungai Bidor terkenal sebagai tempat perlombongan bijih timah utama sekitar tahun 1850-1980 dan ia memainkan peranan yang penting dalam sejarah negeri Perak. Penempatan manusia sekitar sungai Perak juga bermula pada abad ke-19 apabila bijih timah ditemukan. Di Sungai Perak terdapat beberapa empangan hidroelektrik iaitu Empangan Bersia, Empangan Kenering dan Empangan Temenggor. Kewujudan empangan ini menjadikan penghijrahan ikan loma lebih menarik untuk dikaji.

Dalam pada itu penulis blog yang juga beberapa kali ke lokasi ikan loma pada musimnya dimaklumkan dimana ramai mengetahui ikan loma ini berhijrah dari hilir ke hulu Sungai Perak semasa musim hujan secara berkumpulan dan ramai berpesta menangkap ikan loma yang mempunyai banyak telur, tetapi tidak ramai yang mengetahui bahawa ikan ini bermula di hilir, corak penghijrahan mereka dan lokasi mana mereka bertelur di hulu sungai. Kini dengan adanya Empangan Kenering dan Bersia maka penghijrahan ikan ini mungkin terhad. Mungkin penghijrahan ikan ini bermula dari Tasik Kenering hingga ke hulu Sungai Perak. Oles sebab itulah kita dapat melihat setiap tahun di Kuala Sungai Rui banyak ikan loma yang berhijrah menuju ke hulu sungai. Walau pun masih tidak banyak artikel tentang ikan loma di Perak yang menerangkan tentang biologi dan ekologinya tetapi tulisan ini adalah salah satu tulisan yang sesuai dibaca. Maklumat menunjukkan diantara kajian yang telah dijalankan adalah laporan yang diterbitkan dalam Jurnal Hydrobiologia 1996, Malayan Nature Journal 2015 dan Tropical Natural History Journal 2015. Walau pun kajian ini masih sangat terhad tetapi sehingga kini masih tidak ada info yang mempunyai data yang mencukupi bagi menerangkan dengan lengkap tentang biologi dan ekologi ikan loma keseluruhannya. Pihak berkaitan bolehlah menggembleng tenaga mendapatkan dana yang mencukupi bagi memahami biologi dan ekologi ikan loma ini yang berpotensi dalam industri ikan pekasam dan pelancongan. Kefahaman tentang biologi dan ekologi penting bagi tujuan membantu pengurusan, perlindungan dan pemuliharaan ikan loma di Sungai Perak.

Dalam kes lain dilaporkan dimana Tasik Kenering mungkin merupakan habitat penting untuk ikan loma membesar. Di kawasan Kuala Sungai Rui dan Sungai Kerunai menarik minat penduduk tempatan menangkap kan loma semasa mereka berhijrah bermula pada bulan Oktober hingga Disember setiap tahun. Antara bulan Oktober hingga Disember kawasan ini mengalami musim hujan yang menyebabkan paras air tasik dan sungai meningkat. Hasil tinjauan mendapati apabila paras air tasik dan sungai meningkat, ikan-ikan loma berduyun-duyun berhijrah ke hulu untuk membiak. Berdasarkan rekod Jabatan Meterologi Malaysia (JMM), curahan hujan maksimum kawasan Gerik, Perak adalah pada bulan Oktober-November. Hujan paling kurang dalam bulan Februari dengan 80mm manakala pada bulan Oktober paling tinggi dengan curahan hujan sebanyak 340mm dan November 280mm. Kini diketahui umum dimana aktiviti menangkap ikan loma menjadi tarikan pelancong. Walau pun banyak kajian lagi perlu dijalankan untuk mendapat maklumat sebenar ikan loma. Tambahan pula, ia menjadi tarikan pelancong tempatan untuk memancing ikan tersebut. Setakat ini Kesatuan Antarabangsa Mengenai Pemuliharaan Sumber Alam dan Semula jadi (IUCN), ikan loma masih tiada ancaman yang dilaporkan tetapi aktiviti penangkapan yang berlebihan dan gangguan habitat terutama semasa berhijrah boleh mengancam populasi ikan loma. Tambahan pula, terdapat gangguan permukaan tanah di kawasan hulu Sungai Perak dan kawasan sekitar Sungai Perak. Hakisan permukaan tanah boleh menghasilkan kelodak dalam sungai dan memberikan kesan kepada pembiakan dan penghijrahan ikan loma. Terdapat juga laporan media massa tentang aktiviti perlombongan di hulu Sungai Perak yang menyebabkan pencemaran kelodak dan bahan kimia. Pencemaran kelodak dan bahan kimia boleh menyebabkan kematian ikan.

Aktiviti memancing atau menangkap ikan loma ketika waktu puncak semakin meningkat. Pemancing boleh mendapat lebih daripada 20 kg dengan kaedah tangkapan menggunakan pancing dan pada musim puncak mereka boleh memperoleh RM100 sehari atau sekitar RM1,000 sebulan. Ikan dijual dengan harga RM2 sekilogram di lokasi tangkapan, manakala RM4 sekilogram di pasar. Ikan boleh dibuat pekasam dan dijual dengan harga RM10 sekilogram. Kini dengan pendapatan yang baik dan promosi pesta menangkap ikan loma setiap tahun pada bulan Oktober hingga Disember, ia boleh memberi kesan kepada populasi ikan loma secara amnya. Perhatian segera perlu diberikan di kawasan berkenaan bagi mengawal populasinya daripada kepupusan. Kawasan utama ikan bertelur tidak patut diganggu dan mungkin pemancing perlu mendapatkan lesen khas dan menggunakan alat yang dibenarkan sahaja. Sekiranya pemancing tidak dikawal di sekitar Sungai Rui dan menangkap ikan semasa berhijrah secara berlebihan, maka populasi ikan loma mungkin terjejas. Kajian tentang ikan loma perlu dijalankan sepanjang tahun bagi memahami biologi dan ekologi nya. Mungkin dalam hal ini kajian terperinci tentang Tasik Kenering perlu dijalankan bukan sahaja terhad kepada ikan loma malah untuk ikan lain juga. Ikan Toman (Channa micropeltes) misalnya adalah merupakan ikan yang menarik di Tasik Kenering. Mungkin terdapat percanggahan pendapat apabila memperkenal aktiviti ternakan ikan dalam sangkar di tasik air tawar di hulu sungai. Aktiviti penternakan ikan dalam sangkar akan mencemar ekosistem tasik dari segi makanan ikan, antibiotik dan bahan-bahan kimia lain di samping ia adalah usaha memperkenal spesies dari luar. Bahan kimia ini boleh memberikan kesan kepada ikan tempatan. Adalah lebih baik kita mengkaji secara menyeluruh tentang ikan-ikan tempatan di Tasik Kenering, Bersia dan Temenggor. Maklumat yang didapati daripada hasil kajian kita boleh menguruskan habitat dan spesies ikan tempatan untuk aktiviti perikanan, rekreasi dan pelancongan. Di samping kajian tentang ikan di Tasik Kenering dan kawasan hulu Sungai Perak, pemantauan kualiti air sepanjang tahun perlu dilakukan. Terdapat-aktiviti penerokaan hutan, pertanian dan pelombongan yang sedang berlaku sekitar hulu Sungai Perak. Pembangunan hingga ke tebing sungai juga tidak wajar dan akan memberikan kesan kepada kualiti air sungai terutama apabila musim hujan. Zon penampan atau rizab sungai mestilah diamalkan terutama di kawasan hulu Sungai Perak yang penting untuk tujuan pemuliharaan sumber hutan yang tinggi kepelbagaian biologinya, hidupan liar dan pelancongan.

Ada kajian mendapati dimana ikan loma perlu berhijrah ke persekitaran yang berbeza kualiti airnya bagi tujuan melengkapkan kitaran hidup mereka. Dalam kitaran hidupnya, ikan melalui peringkat membesar, kematangan seksual, bertelur dan menghasilkan juvenil. Ikan ini perlu berhijrah ke persekitaran yang lain demi untuk kemandirian mereka. Kita mesti memahami kitaran hidup mereka bagi mengurusan kepelbagaian ikan dalam sungai yang berhadapan perubahan kualiti air dan kemungkinan pencemaran. Ahli sains berkaitan dan pihak bertanggungjawab mestilah saling bekerjasama bagi menjamin kelestarian ikan seperti ikan loma ini. Aktiviti untuk menyauk Ikan Loma Di Sg Rui dijalankan setiap tahun iaitu sekitar antara bulan September hingga November. Di sungai inilah penduduk tempatan serta kawasan berdekatan malah ada juga dari jauh datang untuk menyauk ikan loma yang banyak terdapat dalam sungai tersebut ketika itu. Ikan loma yang berkeliaran ini sebenarnya dalam perjalanan mudik ke hulu Sungai Rui dari Sungai Perak untuk bertelur. Justeru ia juga dikenali sebagai musim ikan loma bertelur. Ketika ini memang banyak ikan tersebut bergerak di sungai secara berkumpulan. Sewaktu melalui Sungai Rui inilah orang ramai mengambil kesempatan untuk menyauk. Sauk bersaiz besar untuk menaikkan lebih banyak ikan loma dalam satu masa. Selain penduduk tempatan dan berdekatan seperti Felda Bersia, ada yang datang dari Ipoh dan Baling. Bagi sebahagian mereka, datang menyauk sudah jadi rutin tahunan. Mereka akan sampai apabila sahaja mendapat maklumat ikan sudah mula berkeliaran di Sungai Rui. Sungai Rui terletak di Kampung Kuala Rui, kira-kira lima kilometer dari pekan Gerik. Satu ketika dahulu, Kuala Rui merupakan laluan utama untuk ke Felda Bersia dari Gerik dan sebaliknya, sebelum siap Lebuhraya Timur Barat dibuka pada Julai 1982. Selepas lebuh raya dibuka, ia menjadi laluan pilihan utama para peneroka kerana lebih lurus dan selesa. Dari lebuh raya itu ada simpang ke Felda Bersia dan Kuala Rui itu sendiri. Laluan lama melalui Kuala Rui masih tetap digunakan serta menjadi laluan utama penduduk tempatan berulang alik ke Gerik atau kawasan sekitar.

Ikan loma biasanya ‘berkumpul’ di Sungai Rui apabila hujan lebat, khususnya antara bulan September hingga November. Namun selalunya kedatangannya secara ‘berduyun-duyun’ ialah apabila hujan terlalu lebat sehingga air sungai naik dan menjadi keruh. Air keruh memang sesuai untuk ikan loma bertelur. Selain ikan loma, ikan sebarau pun ada juga bertandang ke Sungai Rui. Lazimnya hujan lebat di awal November baru-baru ini menyaksikan ikan loma kembali memenuhi Sungai Rui. Penduduk sekitar sudah sedia maklum, biasanya hujan lebat sehingga menjadikan air sungai keruh sudah pasti akan membawa bersamanya ikan loma dan sebarau. Masa yang ditunggu untuk menyauk ikan sudah tiba. Sungai Rui sekali lagi menjadi tumpuan ramai. Untuk kemudahan orang ramai berkumpul sambil menyauk ikan, sebuah dataran dikenali sebagai ‘Dataran Ikan Loma’ dibina di tebing Sungai Rui. Dataran ini juga menjadi tempat penduduk tempatan bersantai pada hari-hari biasa. Istilah `menyauk’ digunakan kerana sauk adalah kaedah yang digunakan untuk menangkap ikan-ikan ini. Sauk ialah jaring yang diikat kepada buluh panjang sebagai pemegang. Sauk ini pula ada yang besar dan ada yang sederhana besar. Dengan pemegang panjang, sauk membolehkan pemegangnya menyauk ikan dari tebing tanpa perlu turun ke dalam sungai. memang tidak sukar menyauk ikan. Hanya masukkan sauk ke dalam air untuk beberapa ketika dan angkat. Setiap kali sauk diangkat tentu ada hasilnya. Seronok melihat ikan loma melompat-lompat dalam sauk apabila diangkat.

Ikan loma memang sedap, baik yang dimasak terus atau dijadikan pekasam. Jika digoreng dan dimakan dengan nasi lagi lah sedap hingga mendorong seseorang untuk menambah nasi berkali-kali. Cuma cabarannya ialah menyiang ikan loma, terutama jika dalam kuantiti yang banyak. Ini kerana ikan loma adalah jenis ikan bersisik banyak dan halus, seperti ikan selangat. Namun kepenatan dan kesusahan ini berbaloi apabila merasai keenakan ikan tersebut. Setahu penulis blog dimana ikan loma hanya terdapat di Sungai Perak. Nama saintifiknya ialah `Thynnichthys thynnoides’. Bentuk badannya seperti ikan Tongsan atau Tomelian. Malah ia juga dipanggil sebagai Tongsan Lama. Makanan utama ikan ini adalah plankton dan tumbuhan air. Terdapat perbezaan ikan loma (kecil) dan ikan sebarau (besar). Ikan loma selalu bergerak dalam kumpulan yang besar. Kerana itulah apabila tiba musim bergerak mudik ke hulu Sungai Rui jumlahnya sangat banyak, membolehkan orang ramai memperolehi hasil tangkapan yang lumayan. Aktiviti menyauk ikan loma memang menyeronokkan. Bagi penduduk setempat atau dari jauh, menyauk sudah menjadi aktiviti rutin setiap tahun. Memang geram melihat ikan bermain di dalam sungai dengan setiap kali sauk diangkat, banyak ikan yang terperangkap. Salah seorang ‘pengunjung tetap’ Sungai Rui, Shaheeza Shakmi dari Ipoh ketika ditemui memberitahu, setiap tahun pada musim loma bertelur ini dia pasti akan datang ke Sungai Rui untuk menyauk. Kebetulan memang dia ada saudara mara sebagai peneroka di Felda Bersia, Gerik. Jadi ada tempat berehat atau menumpang tidur. Shahezaa atau dikenali sebagai Jija yang datang bersama suami dan anak ke Sungai Rui menambah, sewaktu turun ke tebing dan meletakkan sauk dalam sungai, sudah terasa debarannya.

Foto disebelah menunjukkan Jija sudah bersiap sedia untuk menyauk ikan loma di Sg Rui, Perak. "Terasa ikan menerjah sauk, mungkin mahu melepaskan diri apabila terperangkap. Lebih teruja apabila mengangkat sauk dan melihat ikan loma melompat-lompat beradadi dalamnya. Jija menyauk ikan untuk keperluan keluarga sendiri. Katanya, sebahagian ikan tersebut untuk dimasak dan selebihnya dibuat pekasam. Bagi Jija, menyauk ikan sangat menyeronokkan. Hanya mereka yang pernah merasainya sahaja akan memahami keseronokan itu. Oleh kerana musim ikan loma mudik ke hulu Sungai Rui adalah untuk bertelur, ikan betina yang disauk tentunya berisi telur. Inilah yang disukai para penyauk. Selain ikan, telurnya juga dalam kuantiti yang agak banyak. Telur ikan loma sedap digoreng atau dijadikan masakan lain yang bersesuaian. Telur ikan loma yang digaul dengan rencah sebelum digoreng. Menyauk ikan di Sungai Rui memberi pengalaman yang sukar dilupa. Bagi mereka yang belum pernah berbuat demikian pasti ingin merasainya. Datanglah bila ada kelapangan. Tidak sempat musim ini, datang pada musim depan. Kalau belum bersedia hendak menyauk pun boleh sekadar jadi pemerhati dan menyaksikan sendiri untuk dapatkan keseronokan dan gelagat penyauk. Sungai Rui menunggu anda. Semuga tulisan ini memberi info berguna untuk bahan bacaan anda. Wasallam!...
IKAN AIR TAWAR... JENIS IKAN LOMA...
SUNGAI PERAK...BANYAKNYA DISANA...
BOLEH DISAUK... KUMPULKAN HASILNYA...
DIBUAT PEKASAM... ENAKNYA RASANYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 530, Hotel Dorsett,
Putrajaya, WP,
Malaysia.
(21 Zulkaedah 1438H)

Posted from:
Hostel Anggerik, INTAN BUkit Kiara,
Kuala Lumpur, Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.