Saturday, July 21, 2018

IKAN BAUNG - APA HEBATNYA

IKAN BAUNG (Mystus spp) merupakan sejenis ikan air tawar yang semakin popular dan mendapat permintaan yang tinggi di negara kita. Ikan dari keluarga Bagridae ini juga tergolong dalam ikan airtawar yang terdapat di negara-negara ASEAN lain dimana ia menjadi hidangan istimewa mengikut resepi untuk masakan. Ikan baung ini adalah synonim dengan 4 nama saintifik genus lain iaitu jenis Aspidobagrus (Bleeker, 1862), Hypselobagrus (Bleeker, 1862), Heterobagrus (Bleeker, 1864) dan juga Prajadhipokia (Fowler, 1934). Dari laporan wikipedia terdapat 35 spesis ikan baung yang telah dikenalpasti itu Mystus alasensis, Mystus albolineatus, Mystus ankutta, Mystus armatus, Mystus armiger, Mystus atrifasciatus, Mystus bimaculatus, Mystus bleekeri, Mystus bocourti, Mystus castaneus, Mystus cavasius, Mystus falcarius, Mystus dalungshanensis , Mystus gulio (Thai), Mystus horai, Mystus impluviatus, Mystus leucophasis, Mystus malabaricus, Mystus micracanthus, Mystus montanus, Mystus multiradiatus, Mystus mysticetus, Mystus nigriceps, Mystus oculatus, Mystus pelusius, Mystus pulcher, Mystus punctifer, Mystus rhegma, Mystus rufescens, Mystus seengtee, M. singaringan, M. spinipectoralis , M. tengara, Mystus vittatus dan Mystus wolffii. Ikan baung juga terdapat dalam sungai termasuk sungai di Johor, Perak, Pahang dan banyak sungai-sungai lain yang masih belum tercemar. Dalam beberapa laporan menunjukkan ikan ini berukuran diantara 12 - 15 cm panjang tetapi ada juga ia dilaporkan dimana ikan baung ini ukurannya mampu juga mencapai sehingga 20 kg seekor walau pun jarang dijumpai saiz besar ini dinegara kita. Ikan ini merupakan jenis ikan liar semulajadi disungai-sungai dan ditangkap melalui pelbagai cara. Ikan ini diburu nelayan sungai dengan cara seperti memancing, menjaring, memasang lukah, menjala dan beberapa cara tradisional atau moden lagi. Bagi mereka yang memancing lazimnya jenis umpan yang digunakan untuk memancing ikan ini adalah induk semut (rangrang) yang berwarna hijau terang. Teknik memancing ikan baung ini lazimnya pemancing akan menggunakan satu mata kail yang dipasang dengan 5 - 10 ekor induk semut tersebut. Bagi penulis blog bagaimana pun sering menggunakan umpan cacing tanah yang besar atau boleh juga gunakan umpan jenis usus ayam. Ada juga rekod dimana pada masa dulu nelayan sungai ada menggunakan umpan daripada 'bahan sabun' yang pelik bunyinya. Walau pun ikan ini semakin sukar didapati tetapi beberapa nelayan sungai yang mahir mampu mendapatkan ikan baung ini untuk dijual kepada restoren yang menyediakan makanan berasaskan ikan sungai seperti di Temerloh, Segamat dan beberapa bandar tepi sungai yang lain. Harga ikan baung ini adalah agak mahal pada masa luar musim tetapi ianya dijual dengan harga berpatutan pada musim biasa. Penulis blog amat suka masakan ikan baung masak lemak cili api yang dijadikan hidangan utama di Restoren RZ yang popular di Segamat, Johor. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai info ikan baung dan beberapa resepi masakan ikan baung masak lemak cili api yang enak dan lazat. Artikel ini merupakan satu usaha berkongsi infi selepas menikmati masakan ikan baung di Segamat.


Ikan baung ini mempunyai bentuk badan yang menyerupai ikan keli dimana pada penulis blog dapati ia mempunyai bentuk kepala yang pipih atau mendatar dengan bahagian tengkorak yang kasar diatas kepala yang dilitupi oleh kulit (Sila lihat foto disebelah). Bahagian badannya berbentuk bulat diatas dan pipih dibawahnya dengan ada bentuk berketak dibahagian tengah. Ikan Baung ini mempunyai sirip atas dan sepasang sirip sisi yang tajam dan merbahaya jika tertusuk kepada tangan. Apa pun ikan ini mempunyai sirip lemak yang berukuran sedang berada di belakang sirip punggung (dorsal) dan merbahaya jika duri berbisa (patil) ini jika ia menusuk kita. Ada laporan dimana orang yang terkena duri ikan ini dan tidak dirawat dengan segera dengan baik boleh menyebabkan maut. Sepasang sesengut yang panjang dibahagian kepala ikan ini berfungsi sebagai organ deria untuk jadi sebagai radar. Ikan baung mempunyai badan yang licin tanpa sisik. Bahagian ekornya mempunyai ekor yang besar disokong dengan sirip sisi dan sirip dorsal untuk berenang. Namun pergerakan ini tidaklah selaju ikan seluang dan ikan jenis lain didalam air. Warna ikan baung ini banyak bergantung kepada warna air sungai tetapi umumnya adalah kelabu kekuningan pucat. Ikan ini selalu berada dibahagian tengah dan atas sungai dan memakan apa juga bahan makana sedia ada dalam sungai. Ikan baung adalah jenis ikan air tawar yang dapat hidup dikawasan perairan di muara sungai sampai ke bahagian hulu sungai. Sebagai contoh penelitian penulis dapati ikan baung di Sungai Muar terdapat dua jenis baung iaitu Ikan Baung Muara (berwarna kelabu) dan Ikan Baung Hulu sungai berwarna kekuningan. Pelanggan dan peminat ikan baung lebih menyukai ikan baung daripda bahagian hulu Sungai Muar, Johor. Apa pun dari pemerhatian penulis blog dimana sepanjang Sungai Muar mendapati ikan baung yang ditemui sehingga sampai ke muara sungai di lokasi dimana berlaku air pasang surut yang berair dengan sedikit air payau. Didapati ikan baung juga banyak ditemui di lokasi sungai yang letaknya di kawasan yang sering kena banjir. Secara umum penulis blog dapati dimana ikan baung ada didakwa sebagai sejenis ikan yang hidup di perairan awam seperti sungai, Anak Sungai, Tasek dan sebagainya.

Daripada beberapa rujukkan mendapati dimana ikan baung merupakan jenis IKAN NOKTURAL (Noctural Fish). Lazimnya ikan jenis ini aktif atau melakukan kegiatan hidupnya seperti mencari makan lebih banyak dilakukan pada malam hari. Selain didakwa memang ikan baung juga memiliki sifat suka bersembunyi di dalam liang-liang di tepi sungai tempat habitat hidupnya. Dalam cara lain ikan baung adalah termasuk didalam jenis ikan makan segala sumber makanan (omnivora). Namun ada juga saintis ikan yang mengkelaskannya sebagai ikan carnivora disebabkan ia adalah lebih dominan memakan haiwan kecil seperti anak-anak ikan serta serangga anai-anai. Makanan utama ikan baung antaranya seperti ikan-ikan kecil, udang-udang kecil, remis, insekta, molusca, dan rumput. Di kawasan Asia Tenggara ikan baung memang merupakan jenis ikan air tawar iaiyu ia kegemaran penduduk tempatan yang penting. Ini disebebkan ikan ini mempunyai jenis tekstur dagingnya yang lembut, putih, tebal tanpa duri halus dimana ciri ini sangat digemari orang ramai. Terdapat pelbagai jenis resepi masakan ikan baung yang terkenal enak di antaranya seperti Ikan Baung Lemak Cili Padi, Ikan Baung Pindang, Ikan Baung Masak Sambal, Ikan baung Sup dan beberapa lagi. Ada dikalangan nelayan sungai yang memproses ikan baung untuk dijadikan sebagai Ikan Salai (Smoked Fish). Di negara kita bukan selalu dapat membeli ikan baung dipasar basah. Selalunya kepada mereka yang teringin membeli dan ikan baung segar perlu mencari nelayan sungai disepanjang sungai yang ada habitat ikan baung.

Antara kehebatan ikan baung tempatan adalah kerana kandungan zat permakanan yang berkhasiat (Sila lihat foto disebelah). Terdapat kajian dimana antara khasiat ikan ini adalah dapat mencegah serangan penyakit Anoreksia iaitu penyakit yang menyebabkan kehilangan nafsu makan. Kandungan zat protein dalam ikan ini didakwa sangat baik untuk menjaga kesihatan tubuh sebab ia adalah protin terbaik. Ia membekalkan sumber tenaga yang banyak untuk keperluan individu. Memakan ikan baung mampu didalam menambahkan tenaga kepada mereka yang ada masalah makan. Apa pun didakwa ikan baung mengandungi bahan Lemak HDL yang diperlukan untuk mengawal bahan Lemak LDL. Ini kerana lemak HDL adalah lemak yang baik untuk menjaga kesihatan tubuh. Lemak ni juga siftnya tidak larut sehingga tidak melekat di dinding pembuluh darah. Lemak HDL juga memiliki fungsi sebagai penyapu lemak jahat LDL. Ketika lemak LDL menbuang dari tubuh Anda maka anda akan terhindar dari berbagai macam penyakit seperti penyakit jantung dan kolesterol. Ikan baung membolehkan pemakannya mempunyai kulit yang lembut dan cantik. Ini kerana ia mengandungi banyak vitamin B dan vitamin C yang sangat bagus untuk kulit. Bagi mencegah Penyakit Asma ikan baung melegakan sistem pernafasan yang sempit sebab semput. Ikan baung didakwa mencegah masaalah kanser usus. Sama dengan ikan haruan didakwa ikan baung mempercepatkan proses penyembuhan luka.

Penulis blog memang suka makan Ikan Baung Masak Lemak Cili Padi. Ia juga merupakan menu yang paling enak dimakan dengan nasi putih dan ulam-ulaman pada waktu tengahari. Bahan-bahan yang perlu disediakan untuk masak resepi hebat ini seperti beberapa ekor ikan baung segar (dibersihkan), 25 tangkai cili padi, 1 cm kunyit hidup, 3 keping asam gelugur, 10 biji belimbing buluh, 2 biji kelapa yang diambil ambil santannya, sedikit asam Jawa untuk diguna membasuh ikan, 3 tangkai daun kesum dan garam secukup rasa. Cara memasaknya dengan membersihkan ikan baung dan dicuci dengan air garam dan asam jawa untuk menghilangkan bau hanyir ikan. Selain itu biasanya boleh juga dicuci dengan limau nipis dan diketepikan. Kemudian perlu mengisar atau tumbuk cili padi, kunyit hidup sehingga lumat. Kemudian masukkan ke dalam periuk dan seterusnya dimasukkan ikan baung dan asam gelugur dan juga dididihkan seketika. Selepas itu perlu dimasukkan santan dan reneh dengan api yang sederhana kecil. Kacau kuah di bahagian atas perlahan-lahan. Apabila mendidih masukkan belimbing buluh dan daun kesum serta garam. Sebatikan rasa pedas, masin dan masamnya. Masakan ini sedia untuk dimakan dengan nasi putih yang suam panas. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
IKAN BAUNG... AIR TAWAR ASALNYA...
CARA TANGKAP...MEMANCING JUGA...
MASAK LEMAK PEDAS.. BOLEH CUBA...
MEMBACA ARTIKEL...MEMANG BERGUNA...


By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 411, Hotel VIP,
Jalan Buloh Kasap, Segamat,
Johor, Malaysia.
(15 Muharam 1439H).
Posted from ;
Blok Anggerik, Intan Bukit Kiara,
INTAN, Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.