Thursday, July 19, 2018

BAJA CHITOSAN - BAJA ORGANIK

BAJA CHITOSAN merupakan sejenis bahan biopolimer semulajadi diperbuat dari kulit udang, ketam dan kerang yang mengandungi keajaiban untuk semua jenis tanaman. Apa yang hendak dinyatakan adalah dimana Chitosan bukan BAJA atau bahan TOXIC atau bahan KIMIA sebeliknya merupakan bahan terbaik untuk digunakan petani untuk menyuburkan tanah dan tanaman. Bagaimana baja bertindak adalah berasaskan kepada 5 kaedah untuk diperjelaskan. Pertama baja Chitosan didakwa boleh menjadi Perangsang Pembesaran Tumbuhan Untuk tanaman, Chitosan berfungsi sebagai perangsang untuk tumbuhan menyerap nutrien dan baja dengan semula jadi dan sempurna. Baja ini juga dikatakan akan meningkatkan daya tahan atau imuniti tanaman itu sendiri. Kesan Chitosan pada tanaman boleh dilihat selepas penggunaan kali kedua (atau 10 hari) sahaja digunakan. Pada peringkat permulaan biasanya akan dilihat dimana daun tanaman akan menjadi hijau terang, segar dan putik atau bunga akan mula bercambah dengan banyak. Yang Kedua dimana baja Chitosan akan membantu dalam proses pembajaan tanah dengan cara membantu mikrob menguraikan nutrisi bukan organik kepada bentuk organik agar boleh diambil oleh tanaman. Ia membantu membaiki keberkesanan sistem akar untuk lebih cekap menyerap zat makanan dalam tanah untuk dihantar kebahagian lain pada tanaman. Ia juga bekalkan kalium dan unsur zat-mikro dalam tanah yang sering kekurangan. Ketiga adalah dimana baja Chitosan menjadi Anti Fungal dengan menghalang serangan oleh kulat dan ia juga membentuk lapisan kompoun fenolic yang menghalang sebarang kemasukan (penetration) oleh sebarang patogen kulat. Chitosan menghalang reproduksi patogen termasuk menghalang gene yang akan cuba untuk mengeluarkan ‘protease inhibators’ yang mana ia akan menghalang serangan serangga pada tanaman. Keempat adalah dimana baja Chitosan bertindak sebagai Bio Pesticide Apabila apabila ia dibubuh pada tanah dimana ia akan dapat membantu membentuk persekitaran sesuai bagi tujuan mengaktifkan bakteria pemakan chitin untuk ianya dapat menghapuskan kulat (fungus),  telur nematod dan organisma mengandungi chitin yang lain. Kulit kerang juga didapati akan menggalakan pengeluaran (secretion) enzim chitonase yang akan menguraikan chitin pada telur kuutu daun, telur-telur nematod dan patogen lain. Kahadiran chitin pada keliling tumbuhan ini sebagai biopestide asli (natural biopesticide) menyebabkan ia tidak memberi kesan toksik kepada haiwan lain seperti ikan, burung, tumbuhan lain dan organisma berfaedah. Kelimat dimana baja Chitosan ini menjadi unsur bahan Preservatif Lapisan membran dimana ia didakwa akan dapat mengawal buah-buahan dan bunga-bunga ornamental daripada menjadi kuning atau coklat Ini memberikan buah-buahan terjamin kualiti dengan cara menahan kandungan antosianin, flavonoid dan semua polifenol dalam semua jenis buah-buahan dari meningkat. Kajian membuktikan bahawa kitosan filem segar penyimpanan boleh mengelakkan buah-buahan dan sayur-sayuran (termasuk pic, pear, gooseberry Cina, timun, lada, anggur, strawberi, mangga, tomato, dan lain-lain) daripada mendapat reput dan rosak. Ia membantu memanjangkan masa penyimpanan dan jangka hayat produk tanaman. Cara ia berfungsi dimana membran Chitosan boleh menghalang kedua-dua penyerapan oksigen dan limpahan Karbon yang disebabkan oleh respirasi buah-buahan. Tetapi ia mendorong gas etilena yang mungkin bocor keluar dimana perkara ini akan menghasilkan buah-buahan selepas ianya menjadi masak. Melalui cara ini lazimnya ia menghalang untuk kulat dari membiak dan menangguhkan buah-buahan daripada ianya  masak. Artikel subuh ini saya mengupas lagi mengenai baja Chitosan dalam blog pertanian ''Anim Agro Technology'' untu dijadikan bahan rujukkan anda semua.


BAJA DARI KRUSTACEA (Crustacean fertilizer) merupakan produk baja yang sangat berkesan untuk pertumbuhan tanaman berasaskan dari kulit udang, ketam dan kerang-kerangan. Baja ini mengandungi bahan  chitin atau  pun  chitosan yang sangat berkesan mengaktifkan bakteria pemakan chitin dalam tanah seterusnya menyebabkan tanaman kurang diserang dengan perosak dan penyakit. Badan Serangga dan kulit telur nematod mengandungi banyak chitin pada skeleton yang akan dimusnahkan oleh bakteria pemakan chitin akibat baja ini. Baja ini telah dikomersilkan dibeberapa negara maju yang banyak sumber perikanan dan dijadikan produk baja yang bernilai tinggi. Produk ini dieksport kepada negara pertanian pengguna untuk yang menghasilkan bahan makanan terutama untuk jenis sayuran dan buah-buahan. Baja ini ada dijual dalam bentuk asal (raw) dan bentuk proses (cecair) dengan kaedah penggunaan berbeza-beza. Maklumat baja ini agak kurang diketahui oleh kebanyakan petani komersil di Malaysia kerana kos untuk membelinya agak tinggi selain daripada agak sukar mendapatkan bekalan berterusan. Ia boleh dibeli dan dibungkus dalam bentuk pepejal tetapi lebih banyak dalam bentuk cecair. Petani kita sering berfikir dua kali kerana jika membeli baja campuran yang biasa dipasaran harganya murah dan mudah didapati. Dalam beberapa penyataan pada pembungkusan didapati baja mengandungi chitin atau chitosan ini mempunyai banyak kelebihan daripada baja-baja komersil lain.  

Diantara beberapa lelebihan baja produk krustacea ini adalah dimana baja ini adalah merupakan 100% bahan organik yang memang sah selamat digunakan. Ia diproses daripada bahan semulajadi dari laut yang memang tidak mengandungi bahan toksik yang membahayakan kepada tanaman, alam sekitar dan manusia. Baja jenis ini juga membantu tanaman menyerap nutrien secara semulajadi di dalam tanah dengan cekap dan berkesan. Unsur baja lain mudah diambil dari tanah kerana aktiviti mikrob yang berlaku dengan adanya chitin ini. Apabila petani telah memilih baja ini, maka ia akan mengurangkan penggunaan baja organik lain dan baja kimia pada tanaman sehingga lebih daripada 50% daripada kos penggunaan biasa. Dalam banyak kajian, baja ini didakwa mampu meningkatkan hasil tanaman sekurang-kurangnya 20 - 30% pada setiap pokok jika ia digunakan dengan betul seperti disyorkan. Baja ini mampu juga meningkatkan kualiti hasil tanaman, hasil tanaman lebih segar, besar dan bebas bahan kimia. Apa yang hebat mengenainya ialah dimana ia akan dapat membantu menghalang serangan serangga perosak. Seterusnya ia akan membina ketahanan tanaman terhadap serangan penyakit (kulat, virus, bakteria). Ia juga boleh digunakan untuk semua jenis tanaman sayur, buah, bunga dan lain lain. Akhirnya ia boleh digunakan bersama sama semua jenis baja, vitamin, hormon, ubatan lain tanpa menjejaskan fungsi dan keberkesanan bahan-bahan tersebut. Secara beransur ansur, penggunaan bahan bahan tersebut akan berkurangan kerana tanaman menjadi lebih sihat dan tidak lagi bergantung kepadanya.

Cara Penggunaan baja Chitosan ini adalah mengikut jenis tanaman dan juga beberapa faktor lain. Penggunaan pada peringkat sebelum menanam iaitu bagi rawatan untuk biji benih boleh dilakukan dengan kadar 20 - 40 ml baja Chitosan dicampur dengan 20 liter air kosong  dan dikacau sehingga sebati. kemudian biji benih perlu di rendam sekurang kurang 30 minit sebelum biji benih di tanam dan kemudian ditoskan sebelum ditanam. Lazimnya baja chitosan akan melekat pada biji benih yang akan dimasukkan kedalam tanah. Ia mempercepatkan kadar percambahan dan mengurangkan serangan penyakit yang sering menyerang anakbenih. Bagi tanaman sayuran adalah disyorkan untuk mencampurkan sebanyak 20 -  40 ml baja Chitosan dengan 20 liter air kosong dimana cecair ini akan disemburkan dengan kekerapan setiap 5 - 7 hari sekali pada bahagian daun tanaman. Pastikan menyiram dengan kadar sesuai dan tidak terlalu berlebihan sehingga boleh berlaku pembaziran. Jika hujan elakkan membuat penyemburan kerana ia merugikan. Pada tanaman bunga-bungaan (ornamental) maka campuran 20 - 40 ml baja Chitosan dengan 20 liter air kosong adalah sesuai dimana kemudaian cecair ini perlu di sembur setiap 5 - 7 hari pada daun dan bunga yang mekar. Pastikan membuat semburan dengan jadual disediakan dan elakkan pembaziran dengan teliti. Bagi semua jenis buah buahan campurkan sebanyak 20 - 40 ml baja Chitosan dengan 20 liter air kosong dan kemudian ia disembur setiap 5 - 7 hari pada daun dan bahagian batang atau permukaan tanah jika pokok telah dewasa dan tinggi. Kajian pasaran mendapati harga jualan baja ini secara runcit sekitar RM37.00 bagi pembungkusan 500 ml dan jika masuk kos penghantaran menjadi RM41.00 satu unit. Anda boleh bertanya kepada kedai penjual bahan input pertanian terdekat atau google dilamanweb mana-mana sumber bekalan baja ini.  Wasallam!...
BAJA CITOSAN... PRODUK TERKINI..
SIAPA PEMBEKAL.. KEKEDAI DI CARI...
HARGA MAHAL... JAMINAN DIPASTI...
BOLEH MENCUBA...KALAU BERANI...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Jalan Padi Ria,
Taman Bandar Baru UDA,
Johor Bahru, Johor
Malaysia.
(2 Zulkaedah 1439H) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.