Sunday, April 8, 2018

PROJEK NANAS KG BUJAL, KIJAL

PROJEK KELOMPOK NANAS MD2  di Kg Bujal, Kijal, Kemaman, Terengganu merupakan lokasi ke 3 di Negeri Terengganu yang menanam nanas MD2 secara komersil. Dua lokasi lain yang menanam nanas MD2 sebelum ini secara komersil telah mula berhasil dan sedang pengusaha diperluaskan. Projek tanaman nanas MD2 di Kg Bujal, Kemaman, Terengganu diatas tanah kerajaan negeri yang diberikan status TOL untuk tanaman kontan seluas 25 ekar (10 hektar) melibatkan 6 orang peserta. Kini hanya seorang peserta yang telah selesaikan status tanah dimana dia mula menanam semenjak Oktober 2017 iaitu seorang pemuda dengan nama Encik Suffian. Benih sebanyak 90,000 telah diterima dan kini ditanam secara berperingkat-peringkat sebagai salah satu strategi untuk jadual penanaman dan pengeluaran yang terancang. Tanah dikawasan projek adalah dari jenis tanah mineral iaitu dari jenis tanah liat berpasir yang mempunyai cerun yang sesuai untuk tanaman nanas jenis hibrid ini. LPNM telah berusaha memberikan bantuan dari segi khidmat nasihat teknikal dan bantuan input pertanian terutamanya benih nanas MD2 sebagai peserta dibawah projek nanas premium. Semua peserta kelompok juga telah diberikan kursus asas penanaman nanas sebagai salah satu syarat untuk mendapat bantuan skim tanaman nanas. Kursus ini dilaksanakan selama 3 - 4 hari yang telah memberikan maklumat mengenai pengurusan agronomi penanaman nanas serta latihan amali diladang nanas MD2 komersil sedia ada. Encik Suffian telah menghadiri kursus ini bersama 5 orang ahli kelompok pada sessi latihan lepas. Projek ini telah menerima lawatan pemantauan oleh Ketua Pengarah LPNM dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang melihat akan status perlaksnaan projek. Artikel petang Sabtu ini saya menulis dalam ''Anim Agro Technology" status penanaman nanas MD2 di Kelompok Nanas Kg Bukit Bujal, Kemaman, Terengganu untuk makluman semua.


Benih nanas MD2 merupakan perkara asas terpenting didalam pembangunan nanas MD2 di negara kita. Ini kerana input benih nanas MD2 merupakan komponen paling tinggi didalam penanaman nanas ini kerana pada masa blog ini ditulis purata harga benih nans MD2 adalah sekitar RM1.50 satu sulur yang iaitu benih yang mengikut piawaian SIRIM. Jika satu ekar keperluan benih adalah sebanyak 20,000 sulur bermakna kos benih sahaja adalah sekitar RM 30,000 dan jika 7 ekar diperlukan sebanyak 140,000 benih sulur dengan jumlah kos benih sebanyak RM210,000. Ia membebankan pengusaha kerana modal yang tinggi perlu dicari dalam mulakan tanaman nanas MD2 selain daripada kos pembangunan dan kos untuk penyediaan ladang. Benih MD2 juga tidak mudah untuk mendapatkannya kerana hanya ladang nanas MD2 yang ada sijil Skim Pengesahan Bahan Tanaman (SPBT) sahaja yang boleh dijadikan sumber benih nanas MD2. Penggunaan benih kultur tisu untuk nanas MD2 memang tidak digalakkan penanamannya kerasa masaalah variasi somaklonal. Variasi somaklonal (somaclonal variation) ini daripada pengamatan LPNM dan Jabatan Pertanian menyebabkan ada berlaku kelainan pokok dan buah apabila pokok dewasa yang beoleh menjejaskan keseluruhan industri nanas premium MD2. Ianya seperti bentuk buah tidak silindrical, lidas, tidak manis dan daun pokok berduri serta lain ciri-ciri MD2 yang tidak dikehendakki. Benih untuk projek ini dibekalkan oleh LPNM darii pembekal yang berdaftar dan ada sijil SBT secara berperingkat-peringat untuk penanaman. KSU dan KP nanas memeriksa kualiti benih nanas MD2 diladang ini yang diuruskan dengan baik sebelum ditanam (Sila lihat foto disebelah). Benih yang baru diterima disusun dengan baik dan dibuang akar serabut untuk memudahkan penanaman nanas terus diatas batas. 


Kerja menyediakan batas tanaman nanas dikeun ini dilakukan mengikut slope atau kecerunan kontour tanah. Ini penting agar semua air akan dapat mengalir keluar semasa musim hujan dengan cepat dan tidak bertakung. Nanas MD2 amat sensitif jika tanah disekelilingnya terendam dengan air (water logging) dimana boleh berlaku akar reput atau serangan reput bakteria perdu (BHR). Tanah dibajak dan dirotor 2 - 3 kali sehingga gembur dan dinaikkan batas. Kemudian batas ini akan direntang dengan plastik penutup batas Silvershine disepanjang batas dan dilekatkan pada tepi batas dengan pin dawai khas. Dalam teknologi penanaman nanas MD2 diatas batas tanah mineral sebaiknya elakkan daripada menebuk lubang dan masukkan benih seperti amalan biasa. Kini sebaliknya benih MD2 dicucuk terus kepada plastik penutup batas. KSU MoA dan KP Nanas ada akktiviti menanam nanas MD2 dikebun ini dimana sulur dicucuk rapat terus dipermukaan plastik dan tiada air akan bertakung pada musim hujan (Sila lihat foto disebelah). Walau pun kerja menanam nanas ini kelihatan mudah tetapi ia memerlukan kemahiran juga kerana jumlah benih sulur yang hendak ditanam banyak jumlahnya. Kini beberapa teknologi kaedah penanaman nanas MD2 sedang disesuaikan semula untuk penusaha nanas ditanah mineral oleh LPNM dengan kerjasama Jabatan Pertanian dan usahawan sedia ada.


Penanaman nanas premium MD2 pada tanah mineral berbeza pengurusan amalan agronomi dengan penanaman nanas MD2 pada kawasan tanah gambut. Selain dari kawalan rumpai yang cepat tumbuh dias tanah mineral dan perlu dikawal denga bahan kimia atau plastik penutup batas. Kini didakwa nanas dari kawasan tanah mineral lazimnya lebih manis dan adat berbanding dengan nanas dari tanah gambut. Tanaman nanas En Suffian di Fasa 1 yang berumur 7 bulan kelihatan subur dan bersedia untuk diberikan bahan penggalak bunga (hormon) pada bulan depan secara berperingkat-peringkat. Pembajaan diberikan dengan kadar 20 gram sepokok dengan menggunakan sesalur polipaip diubahsuai. Buah dijangka akan mula dihasilkan seawal bulan Oktober 2018 dan seterusnya secara berperingkat-peringkat. KSU dan KP Nanas semasa tinjauan ladang berpusahati dengan kesuburan tanaman dikebun ini dan diharap kelak akan menghasilkan buah yang diterima dipasaran (Sila lihat foto disebelah). Lazimnya nanas MD2 dijual dengan harga runcit tidak kurang RM5.00 sekilogram termasuk berat jambul. Jika sebiji purata berat sekitar 1.5 kg - 2 kg sebiji bermakna sebiji buah boleh dibeli dengan harga termurah sekitar RM7.50 sehingga RM10.00 sebiji. Penanaman nanas kini dikelaskan sebagai tanaman Sumber Kekayaan Baru selain daripada Kulinari, Jagung Bijian, Durian Musang King dan juga Kelapa. Semuga projek ini akan mencapai penanaman keseluruhan 25 ekar secara berperingkat dan mampu membekalkan nanas MD2 segar berkualiti dimasa akan datang. Diharp artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
TANAM NANAS MD2... OLEH PEMUDA....
BENIH DIBANTU... LPNM MENYEDIA....
DIBUAT PEMANTAUAN...PIHAK MEDIA...
DILAPORKAN KHAS...AGAR BERJAYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Bukit Kijal, Kemaman,
Terengganu, Malaysia.
(21 Rejab 1439H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.