Friday, December 22, 2017

KAJIAN PENYAKIT TANAMAN NANAS

AKTIVITI KAJIAN PENYAKIT TANAMAN NANAS adalah merupakan kerja penyelidikan berkaitan bermacam jenis penyakit dan perosak tanaman nanas yang dijalankan sejak lama oleh Instutusi Penyelidikan, Universiti dan pelbagai pihak lagi. Nanas (Ananas comosus) merupakan sejenis tanaman dari keluarga Bromaliaceae dimana ia adalah jenis buah-buahan tropika yang telah lama diusahakan di negara kita Malaysia terutama di Negeri Johor. Pada masa awal dahuli Jabatan Pertanian merupakan pihak yang memajukan tanaman nanas sebelum penubuhan Lembaga Perusahaan Nanas Tanah Melayu pada tahun 1957. Jabatan Pertanian yang diujudkan semenjak 1905 menjalankan program pembangunan tanaman nanas disekitar kawasan tanah gambut di Johor sehingga Malaya menjadi pengeksport nanas kaleng (nanas dalam tin) terbesar didunia pada zaman itu. Kini terdapat seluas 25,774 hektar kawasan fizikal kebun nanas dimana hanya 13,148 hektar sahaja di tanam pada 2016. Daripada jumlah tersebut seluas 10,354 hektar mengeluarkan hasil sebanyak 391,714 metrik tan bernilai sekitar RM515.48 juta (Sumber: Laporan Statisk Industri Nanas, LPNM 2016). Varieti nanas N36 mendominasi penanaman nanas dengan keluasan 2,462 hektar (18.7%) diikuti dengan nanas Josapine seluas 1,960 hektar (14.9%) dan Nanas MD2 seluas 1,547 hektar (11.7%). Nanas Moris yang dahulu paling luas ditanam hanya ada seluas 1,659 hektar sahaja (12.6%). Negeri Johor yang masih merupakan paling luas menanam nanas dengan jumlah keluasan 8,934 hektar (68%) menghasilkan sebanyak 273,949 metrik tan buah nanas yang bernilai sekitar RM350.2 juta pada tahun 2016. Industri tanaman nanas negara terus berkembang saban tahun apabila nanas MD2 mendapat permintaan baik dikalangan pengguna tempatan dan pasaran eskport untuk dimakan segar. Bagaimana pun penulis blog "Anim Agro Technology" mendapati banyak cabaran dalam amalan agronomi penanaman nanas terutama untuk varieti nanas premium MD2 dan jenis nanas lain. Banyak kajian dijalankan mengenai tanaman nanas termasuk kajisn mengenai penyakit oleh para saintis seperti yang ditulis dalam artikel kali ini. 


Didalam penulisan saya sebelum ini terdapat 4 jenis penyakit tanaman nanas dan 3 perosak utama tanaman nanas yang lazim dijumpai di Malaysia. Serangan penyakit dan tanda serangan serta kaedah kawalah yang dijalankan juga amat umum didalam banyak rujukkan. Penyakit Nanas yang pertama dikenalpasti sebagai Penyakit Reput Pangkal yang disebabkan oleh patogen dikenali dengan Thielariopsis paradoxa. Diantara sebab serangan penyakit ini adalah jika bahan tanaman berlaku dan kejadian reput di pangkal adalah kerana berlaku apabila sistem penyimpanan tidak teratur. Tanda serangan penyakit dimana terdalat 'lesion' yang akan  bertukar ke hitam. Kaedah kawalan dengan memperbaiki sistem penyimpanan dan pembungkusan bahan tanaman. Rawatan anakbenih dengan mencelup bahan tanaman dalam captofol atau benomyl atau bordeaux mixture mampu kurangkan serangan. Jenis penyakit nanas ke 2 adalah apa yang dinamakan 'Buah Collapse' yang disebabkan oleh patogen (Erwinia chrysanthemi) dengan tanda dimana buah menjadi lembut dan busuk. Ia bermula dengan kulit bertukar dari ungu ke hijau pekat. Kaedah kawalan dengan cara membuang semua pokok yang berpenyakit dan disembur vektor dengan racun jenis heptachlor. Penyakit ke 3 adalah Penyakit Mata Dalam yang disebabkan oleh Penicillium funiculosum dimana ia menyebabkan dinding ovari menjadi keras seterusnya ke bahagian teras. Kawal perosak kutu (mite) dengan semburan racun serangga atau sembur dengan campuran bordeaux. Cara lain adalah dengan mengurangkan baja nitrogen. Penyakit nanas ke 4 adalah Penyakit Reput Teras disebabkan patogen Erwinia chrysanthemi. Tanda serangan dimana daun-daun menjadi lembut dan busuk. Daun-daun biasanya bergelembung gas. kaedah kawalan dengan mengamalkan amalan kultura yang baik dan membaiki saliran. Sementara itu dua jenis perosak yang menyerang tanaman nanas adalah (1) KOYA  (Dysmicoccus brevipes) dimana serangga ini memakan daun, akar dan buah nanas. Kemudian daun bertukar merah bermula dari hujung daun dan akhirnya menyebabkan pokok layu. Bahan kimia seperti Methyl Engenol sebagai promar sebagai umpan dengan Malathion (0.1% a.i). Serangga ke (2) pula adalah TERITIP (Diaspis bromeliae) yang mana ia memakan daun, buah dan batang (Sila lihat foto disebelah). Lazimnya tompok-tompok kloronik terbentuk di daun. Kawalan adalah dengan kaedah menyembur dengan racun malathion 0.15% a.i atau minyak putih 2.0% a.i. Serangga ke 3 yang menyerang tanaman nanas adalah (3) HAMA MERAH (Stigmacus floridanus) Makan pada daun tua sebabkan lekuk-lekuk coklat di bahagian yang diserang. Sembur dengan dicofal atau amitraz atau hexythiazox 0.1% a.i.. Semburan dilakukan mengikut label.


Dalam pada itu kajian penyakit tanaman nanas telah bermula pada September 2014 melalui kerjasama diantara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia dengan tujuan utama untuk mengenalpasti punca penyakit yang menyerang tanaman nanas dan cadangan untuk merawat dan mengawal penyakit-penyakit ini secara racun kimia dan juga biologi. Beberapa penyakit yang ada menyerang tanaman nanas telah dikenalpasti berdasarkan sampel-sampel penyakit yang diperolehi daripada lapangan, Antara penyakit yang kerap berlaku terutamanya ketika musim hujan dan kawasan tanaman yang tidak mempunyai saliran air yang sempurna adalah penyakit reput teras dan buah hantu yang disebabkan oleh patogen bakteria Erwinia chrysanthemi (juga dikenali sebagai Dickeya sp). Bakteria ini akan menyerang pada teras pokok yang dapat dikenalpasti dengan simptom reput berair dan berbau busuk dan kebiasaannya semua teras boleh dicabut dengan mudah daripada pokok. Patogen bakteria ini juga dapat menyebabkan penyakit pada buah yang dikenali sebagai buah hantu. Penyakit yang dapat dikenalpasti dengan symptom penyakit yang kelihatan 2-3 minggu sebelum buah dijangka masak. Buah yang dijangkiti akan mengeluarkan cecair berserta gelembung-gelembung gas melalui celah-celah mata pada buah nanas. Buah yang dijangkiti tidak boleh dimakan kerana buah ini hanya mempunyi serabut-serabut rangka sahaja. Selain penyakit yang disebabkan bakteria, terdapat juga penyakit disebabkan kulat seperti penyakit reput mata hitam yang kerap berlaku ketika cuaca yang panas terik yang memberi kesan selaran matahari pada kulit buah. Patogen kulat ini hanya akan menyerang pada buah apabila terdapat kesan luka pada buah yang membuatkan reput hitam pada mata dan terusnya pada isi nanas. 


Tanaman nanas juga sering diserang oleh penyakit layu kekuningan yang mana ia disebabkan oleh virus. Virus ini hanya dapat dipindahkan ke dalam pokok nanas melalui koya yang menghisap cairan sap daripada bahagian daun, buah dan juga akar nanas. Populasi koya yang tinggi selalunya dilindungi oleh semut hitam menjadikan koya juga mudah dipindahkan daripada satu pokok nanas ke pokok yang lain. Penyakit Layu Virus boleh dikenalpasti dengan simptom hujung daun akan layu, kering dan sedikit bergulung. Jangkitan yang serius akan menyebabkan buah yang dihasilkan mempunyai bentuk yang tidak sempurna atau mempunyai rasa yang tidak manis. Kawalan penyakit amat penting bagi memastikan tanaman nanas tidak rosak dan mampu menghasilkan buah yang berkualiti tinggi. Rawatan racun boleh dilakukan pada bahan tanaman seperti sulur dengan mengunakan racun yang diluluskan. Kajian di UiTM diperingkat makmal menunjukkan racun kimia yang mempunyi bahan aktif Difenoconazole berpotensi untuk merencat pertumbuhan bakteria Erwinia. Walau bagaimana pun hasil kajian ini perlu diuji di lapangan. Kajian biologi juga turut dijalankan bagi mengawal penyakit reput mata hitam dan koya di makmal dan akan diuji diperingkat lapangan pada masa akan datang. Semuga tulisan ini memberikan info berguna kepada pembaca blog anim agro technology diluar sana. Wasallam!!!.
TANAM NANAS... ADA PENYAKITNYA...
PEROSAK NANAS... TIGA SEMUANYA...
PERLU DIKAJI... CARA SERANGANYA...
BUAT KAWALAN... BUAH NANAS DIJAGA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 2305, Pullman Hotel & Resorts,
Putrajaya Lakeside,
Precint 5, Putrajaya, WP,
Malaysia.
(21 Disember 2017)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.