Friday, November 24, 2017

CERITA TANAM SERAI - APAKAH DIA

TANAMAN SERAI (Cymbopogon citratus) merupakan satu aktiviti dan bidangusaha tanaman yang mudah dilakukan. Nama lain bagi serai adalah ''Lemon Grass'' iaitu sejenis tumbuhan daripada keluarga Poaceae (jenis rumput) yang meluas ditanam di kawasan tropika untuk pelbagai kegunaan dan diproses. Paling banyak ditanam adalah jenis serai makan dan ada juga serai wangi yang ditanam untuk tujuan mendapatkan minyak patinya. Serai mudah ditanam di mana-mana jenis tanah kecuali kawasan berair atau berpaya. Di Malaysia khususnya jenis serai makan banyak di tanam sebagai tanaman kegunaan dapur. Batang serai dituai untuk kegunaan segar sebagai perisa dalam masakan. Serai makan ialah sejenis tanaman rumput yang beraroma dan mempunyai rimbunan daun yang lebat. Pada setiap rumpun terdapat banyak batang yang tumbuh daripada rizom. Batangnya berwarna putih keunguan atau kemerahan. Daunnya tirus, melampai, panjangnya 60 - 100 cm dan lebar 1.0 -1.5 cm. Ia berwarna hijau muda, kesat dengan urat yang selari. Serai makan jarang didapati berbunga di Malaysia kecuali dalam keadaan stress atau faktur lain. Tumbuhan ini mempunyai perasa lemon dan boleh dikeringkan untuk menjadi tepung atau digunakan segar. Digunakan dalam teh, sup, dan masakan kari, serai juga sesuai digunakan dalam masakan ayam, ikan dan makanan laut. Penulis blog telah merujuk dari lamanweb dimana dilaporkan terdapat lebih 50 spesies Cymbopogon. Antaranya  Serai India Timur (Cymbopogon flexuosus) natif  tempatan di India, Sri Lanka, Burma dan Thailand sementara Serai India Barat (Cymbopogon citratus) dipercayai berasal dari Malaysia. Sementara itu kajian menunjukkan dimana kedua-dua jenis serai ini boleh digunakan walau pun di Malaysia hanya jenis C. citratus lebih sesuai untuk memasak. Jenis serai ini juga digunakan untuk herba perubatan dan wangi-wangian. Sementara itu jenis lain sering digunakan dalam industri minyak wangi adalah jenis Cymbopogon martini dimana ekstraknya disuling menjadi ''minyak palmarosa'' dan jenis seperti Rumput Citronella (Cymbopogon winterianus Jowitt) dari mana minyak citronella didapati. Lilin atau gaharu diperbuat dengan minyak citronella pekat boleh digunakan sebagai penghalau nyamuk. Terdapat banyak testimoni dan laporan akhbar tempatan mengenai info mengenai tanaman serai sebagai tanaman yang mampu untuk memberikan pendapatan petani. Artikel malam Khamis ini sempena cuti Deepavali 2017 saya teruskan menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai cerita tentang tanaman serai sekadar dijadikan satu bahan bacaan menarik.


Testimoni yang bertajuk ''Tanam serai hasilkan pendapatan lumayan" adalah antara yang penulis blog kaji. Tanaman serai ini dilakukan oleh En Mokhter Khalid (kiri) dan Md. Zabri Haron di kebun serai peha ayam di Kuala Dipang, Gopeng, Perak. Tanaman serai pada masyarakat biasanya digunakan dalam masakan kerana aroma yang menawan, tetapi bagi penanam-penanam serai di Gopeng mereka telah menjadikan tanaman ini sebagai satu tanaman komersial untuk mengeluarkan pati minyak. Pati minyak serai peha ayam atau 'Cymbopogen citratus' yang berwarna kuning hingga coklat kemerahan dan beraroma limau atau 'lemon' sesuai dibuat sebagai pewangi sabun, bahan pencuci, syampu dan produk lain. Minyak ini terdiri daripada beberapa sebatian dan kandungan utamanya iaitu sitral iaitu sejenis aldehide dengan peratusan sitral yang tinggi iaitu antara 65 peratus hingga 85 peratus dan ia sesuai sebagai pewangi sabun, bahan pencuci, syampu dan produk lain. Selain menghasilkan pati minyak, batangnya jika dituai dalam keadaan segar boleh digunakan sebagai perisa dalam masakan tradisional seperti masakan rendang, tom yam, kerabu, masak lemak cili padi dan asam pedas. Serai peha ayam mudah ditanam di mana-mana jenis tanah kecuali kawasan berair atau berpaya. Pemasaran serai juga tidaklah susah kerana ia boleh dijual di restoran makanan tom yam, kedai-kedai runcit atau di pasar. 'Pemasarannya tidaklah susah dan ia boleh dipasarkan lebih awal sebelum tanaman itu dapat dituai. Penanaman serai ini tidak memerlukan kawasan yang besar, memadai 0.4 hektar kerana ia boleh mengeluarkan sehingga 10,000 hingga 15,000 rumpun dan di kawasan integrasi antara 5,000 - 8,000 rumpun. 'Serai boleh ditanam secara integrasi atau sistem sulaman dengan tanaman lain seperti di kawasan pokok mangga, jadi kurang pergantungan terhadap satu jenis tanaman sahaja, dan kalau hendak ditanam di ladang getah atau pun estet, pastikan tidak di bawah rimbunan pokok. Serumpun serai pula boleh menghasilkan purata tiga kilogram yang siap proses dan kalau tanah subur, baja yang cukup kadang-kala boleh mencapai sembilan kilogram bagi serumpun. Kos untuk menanam atau membuat projek serai ini tidaklah besar dan dengan keluasan 0.4 hektar dan kosnya dalam anggaran RM4,000 hingga RM5,000 sahaja. Mokhter mengusahakan tanaman serai peha ayam tersebut bersama rakannya Md. Zabri Haron di kawasan seluas enam hektar di Kampar.  Hasilnya kalau RM1.00 sekilogram pun boleh dapat paling minimum RM10,000 bagi semusim. Kalau satu ekar dapat ditanam 5,000 rumpun dan hasilnya dua kilogram serumpun dan saya pernah dapat serumpun sembilan kilogram.

Dalam laporan lain bertajuk "Tanam serai di tanah terbiar" yang dipetik di Ipoh, Perak juga menarik laporannya. Kini dilaporkan masaalah tanah lot terbiar yang masih belum didirikan rumah sering menjadi perbincangan hangat penduduk Bukit Meru, Taman Meru, Ipoh, Perak sejak lebih 20 tahun lalu. Tanah terbiar ini dikatakan menjadi sarang binatang berbisa termasuk ular tedung yang kadangkala masuk ke dalam rumah penghuni di situ. Justeru, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sering dipersalahkan apabila kakitangannya gagal memantau atau membersihkan sendiri semak-samun tanah terbiar berkenaan. Bagaimanapun masalah ini dapat diselesaikan dengan praktikal apabila bekas Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Pulau Pinang, Mahfuz Omardi, 59, mengambil inisiatif menanam serai di tapak tanah terbiar terbabit. Pada mulanya dia membersihkan tanah jirannya di hadapan rumahnya dan menanam serai untuk mengisi masa lapang. Usaha itu tidak memerlukan kos yang tinggi kerana tanahnya yang sesuai, subur dan berlereng sesuai menangkis hujan lebat. Hasil serai dijual kepada peniaga restoran tempatan dan pasar borong dengan harga antara RM1.80 dan RM2.00 sekilo. Kini beliau berjaya menanam serai seluas 0.4 hektar di atas lapan lot tanah perumahan di Bukit Meru. Beliau telah bercadang mengambil 12 lot kosong lagi untuk dimajukan setelah berjaya mendapat kebenaran daripada tuan tanah. Kemudian beliau menceritakan pengalamannya dimana beliau yang sudah bersara selepas bekerja di sektor awam selama 37 tahun berkata, pada pertengahan tahun lalu beliau memberitahu jiran yang tinggal di luar kawasan itu supaya membenarkan beliau membersihkan tanah mereka untuk tanaman serai tanpa dikenakan sewa. Langkah itu mengurangkan belanja tuan tanah yang terpaksa mengupah buruh memotong rumput setiap bulan sekali gus dapat juga menyenangkan kerja kakitangan MBI. Cadangan itu telah dipersetujui tuan tanah dan beliau kemudian memulakan kerja membersihkan tanah, menanam dan membaja serai. Kini ternyata usaha berjaya dan berbaloi lalu beliau telah pun melebarkannya ke tanah lot lain yang masih kosong. Setelah mendapat khidmat nasihat rakan-rakan, beliau pergi ke Pejabat Tanah Daerah Kinta untuk mengenalpasti tuan tanah. Hasil penyelidikan itu beliau menemui pemilik sebenar dan mereka bersetuju menyerahkan tanah untuk dimajukan dengan tanaman serai. Dia berjanji akan mengembalikan semula tanah terbabit sekiranya tuannya mahu mendirikan rumah pada bila-bila masa. Setakat ini beliau berpuas hati dengan usahanya membantu penduduk tempatan dan MBI menangani masalah tanah terbiar di Taman Meru. Selain berusaha beliau juga dapat berbakti kepada masyarakat tempatan dalam usia persaraan.

Di Pahang pula lain ceritanya dimana laporan bertajuk "Tanam serai secara kontrak" menjadi tjuk akhbar. Tanaman  jenis herba semakin mendapat sambutan sementalah produk herba kini menjadi rebutan bukan saja di pasaran tempatan tetapi juga di peringkat antarabangsa. Oleh itu seorang pengusaha En Abdul Jabar  menuruti saranan abangnya yang bertugas di Kuala Lumpur supaya menanam serai paha ayam secara tanaman kontrak. Kini beliau mengusahakan tanaman serai yang ditanam seluas 1.2 hektar ekar ini di Kampung Sekandar, Pulau Tawar, Jerantut, Pahang ini menampakkan hasil yang membanggakan. Beliau telah memilih serai kerana tanaman ini amat mudah ditanam dan diuruskan berbanding dengan tanaman lain kerana tidak mudah diserang penyakit atau serangga perosak. Beliau yang mendapat bekalan benih dari agen penanaman kontrak dari Selangor yang menggunakan serai sebagai ramuan utama dalam produk farmaseutikal dan dieksport ke pasaran antarabangsa. Serai mudah ditanam tetapi memerlukan kawasan tanah gembur bagi pergerakan akar dan tumbesarannya. Sebelum mula menanam serai, tanah perlu dibajak dan dirawat bagi meningkatkan tahap kesuburannya dengan menabur baja urea. Biasanya bagi kawasan seluas satu ekar (0.4 hektar) , ia memakan masa dua hari untuk menggemburkan dan menanam serai oleh seorang pekerja. Bagi kawasan seluas satu ekar Abdul Jabar memerlukan 21,000 rumpun serai kerana satu lubang ditanam dengan lima batang serai. Biasanya serai boleh mula dituai selepas enam bulan ditanam dan satu rumpun akan mengeluarkan antara empat hingga 10 kilogram (kg) bergantung kepada penjagaan dan pengurusan. Proses penjagaan serai boleh dikatakan mudah kerana hanya perlu diberikan baja urea selepas dua minggu pertama. Kemudian pembajaan akan dilakukan lagi selepas 30 hari dan 50 hari selepas penanaman. Selepas ditanam pokok serai hanya perlu disiram setiap petang tanpa perlu menyembur racun makhluk perosak. Tetapi masalah timbul apabila hari hujan kerana rumput dan rumpai akan bersaing untuk tujuan mendapatkan baja. Hujan yang lebat dan air bertakung akan menyebabkan akarnya terendam dan pokok akan mati. Beliau telah membina pagar di sekeliling tanaman serai bagi mengelakkan pencerobohan haiwan liar. Cerita mengenai tanaman serai banyak dipaparkan dimana jika seseorang itu dapat memasarkan serai segar dengan konsisten maka penanaman serai mampu menjana pendapatan baik kepada usahawan tempatan. Semuga coretan ini memberikan info terbaik untuk anda semua. Wasallam!!!..
TANAM SERAI... BANYAK CERITA...
SERAI MAKAN...PEHA AYAM ADA...
MUDAH DITANAM... MUAH DIJAGA...
ADA PASARAN...PASTIKAN HARGA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Jalan Istana,
Bandar Medar Melaka,
Melaka, Malaysia.
(18 Oktober 2017)
HAPPY DEEPAVALI......

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.