Friday, October 6, 2017

CILI PASARAYA - PILIHAN PENGGUNA

CILI (Capsicum spp) merupakan satu jenis sayuran buah yang ada dijual dipasaraya, pasar besar, pasar malam, pasar tani, kedai runcit dan juga penjaja. Terdapat berbagai jenis cili yang dijual dipasaran termasuk di pasaraya untuk pilihan pengguna terdiri daripada Cili Segar, Cili Kering, Cili Boh, Cili Jeruk, Cili Serbuk dan sebagainya. Fungsi utama cili adalah untuk memberikan rasa pedas kepada makanan kerana bahan kandungan iaitu rasa pedas seperti Capsaicin. Bahan capsaicin ini merupakan bahan yang mana apabila terkena air liur akan memberikan rasa pedas pada lidah dan mulut kita. Kepedasan cili lazimnya diukur dengan unit pedas yang dinamakan sebagai Scoville Heat Unit (SHU) dengan kiraan ratus ribu unit. Cili Besar jenis Cili Kulai lazimnya mempunyai tahap kepedasan sekitar 150,000 SHU sementara cili api yang lebih pedas mencecah 250,000 SHU. Bagaimana pun penulis ada menuli tettang Cili Granong (di Mexico ia sama dengan Cili Habanero) yang amat pedas dengan tahap kepedasannya mencecah 450,000 SHU. Sila baca tulisan saya mengenai cili Granong (Sila klik disini). Paling selalu dan banyak dibeli oleh setiap keluarga adalah cili kering. Malaysia merupakan net importer bagi cili kering iaitu untuk digunakan dialam masakkan atau diproses menjadi cili boh. Antara makanan yang menggunakan cili kering adalah untuk membuat bermacam jenis sambal. Sambal nasi lemak juga lazimnya mesti menggunakan cili kering yang dikisar sendiri atau ada juga menggunakan cili boh sebagai bahan asasnya. Pada penulis tanpa cili kering rasanya ramai rakyat Malaysia yang akan hilang selera makan. Pengguna akan membeli cili mengikut keperluan menu masakkan sama ada untuk ianya gunakan cili padi, cili besar, cili kering, cili benggala, cili boh dan juga sebagainya yang mudah diperolehi. Artikel petang Isnin ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai pilihan pengguna cili dan dimana mereka boleh dapatkan bekalan cili tersebut.


CILI BESAR (Capsicum annum) kini juga merupakan jenis cili tempatan yang paling banyak ditanam dalam negara kerana ia mempunyai permintaan paling tinggi dalam segmen cili segar. Penanaman cili besar ini agak luas terutama dibeberapa negeri seperti di Johor, Selangor, Pahang, Perak dan juga beberapa negeri lain untuk produk segar. Antara beberapa varieti cili besar yang banya ditanam seperti Cili Kulai, Cili MC11, Cili MC12, Cili M4, Cili MC 5 dan juga Cili Solok. Anda boleh baca mengenai Varieti Cili dalam tulisan saya sebelum ini (Sila klik disini). Cili besar ditanam dengan komersil diladang dengan persijian MyGAP untuk mempastikan hasil cili ini berkualiti dan paling penting ia selamat dimakan. Harga ladang dan harga borong serta harga runcit cili merah sangat berbeza dengan julat harga yang tinggi kerana ia berkait rapat dengan keadaan cuaca dan bencana alam. Lazimnya harga cili melambong tinggi semasa musim hujan atau kemarau panjang apalagi jika berlaku banjir dikawasan penanaman utama cili besar. Ia akan menjadi paling rendah pula semasa musim panas dan keadaan penanaman yang agak luas sehingga ada berlaku lambakkan. Cili Merah selalu akan digunakan didalam masakkan seperti untuk buat sambal pedas, masak sayuran, dijeruk dan sebagainya. Cili Besar ini lazimnya dijual dalam bentuk Cili Besar Hijau atau Cili Besar Merah. Harga cili hijau lazimnya murah berbanding dengan harga cili merah.


CILI PADI atau CILI API (Capsicum frustecen) pula merupakan sejenis cili yang bersaiz kecil tetapi ianya pedas dan ada dijual dipremis pasaraya atau banyak pusat jualan lain. Jenis cili ini adalah antara jenis cili tempatan yang dijual dengan harga tinggi berbanding dengan cili lain. Cili padi ditanam secara kecil-kecilan atau ada yang menanam dengan komersil. Antara jenis cili ini yang ditanam komersil seperti varieti Cili Centil dan Cili Bangi. Lazimnya cili ini juga ditanam disekeliling rumah sebagai tanaman dalam pasu atau dalam polibeg. Kempen pertanian bandar dan bumi hijau yang dilakukan sangat baik untuk ramai orang terlibat menanam cili ini dengan kaedah fertigasi dirumah. Di Pasaraya ia dijual dengan harga runcit sekitar RM12.00 - RM24.00 sekilogram terutama jenis cili yang berbentuk aagak bulat dan hijau muda (Sila lihat foto disebelah). Ia amat sesuai dimasak untuk sambal belacan atau nasi goreng cili padi.


CILI SIAM (Capsicum spp) merupakan sejenis cili kecil dan lurus panjang berwarna hijau dan sedikit yang merah yang diimport daripada negara Thailand (Sila lihat foto disebelah). Berbanding dengan cili padi tempatan ia kurang pedas dan sesuai untuk dibuat sambal, nasi goreng dan masakkan tomyam. Cili ini dipanggil sebgai 'Hot Green Bird Eye Chili' tetapi berbeza sedikit dengan cili burung tempatan. Cili import ini mendominasi pasaran cili kecil tempatan dan boleh dibeli dari pasaraya, pasar malam, pasar tani, kedai runcit dan pasar basah. Dijual dengan harga runcit RM8.00 - RM16.00 sekilogram ia menjadi pilihan ramai surumah kerana agak kurang pedas dan agak tahan lama disimpan dalam peti ais. Restoren Ala Thai yang menjual tomyam pastinya akan menggunakan cili jenis ini.


CILI KERING (Capsicum spp) juga kini merupakan antara cili yang paling banyak dijual dan dibeli oleh rakyat Malaysia. Cili Kering kebanyakannya adalah diimport dari luar negara seperti dari China, India dan beberapa negara lain. Kualiti dan jenis cili kering yang dijual dipasaran Malaysia ada banyak jenis dengan julat harga yang juga berbeza. Ada jenis cili kering yang murah tetapi ada juga yang agak mahal. Cili Kering dibuat dengan proses Mencelur (Blanching) ini penting dijalankan dimana cili segar perlu dicelupkan dalam larutan sulfit panas. Cili perlu dicelupkan ke dalam larutan sulfit panas dan digaul rata selama 3 minit. Setiap 1 kg cili segar lazimnya memerlukan sebanyak 2 liter larutan sulfit. Setelah itu maka cili ini akan diangkat dan ditoskan. Biji dari cili yang telah dibelah banyak yang terlepas pada semasa proses pencelupan. Biji yang terlepas juga perlu diangkat dan ditoskan. Larutan ini boleh digunakan berulang-ulang kali. Seterusnya adalah proses Pengeringan. Setelah proses celur ini atau blanching maka cili tersebut beserta bijinya segera dijemur atau dikeringkan jemur dibawah natahari atau sebaiknya mengguna alat pengering (Oven). Lazimnya suhu pengeringan tidak boleh lebih dari 750C dan suhu terbaik adalah 700C. Pengeringan ini perlu dilakukan sampai kadar air dalam cili menjadi kurang dari 9%. Cili yang kadar air telah mencapai 9% akan terasa kering jika diramas dengan telapak tangan kita dapat meraskannya. Cili kering yang siap ini perlu dibungkus dengan pembungkus plastik yang tertutup rapat. Karung plastik yang dilapisi plastik tipis untuk tujuan menahan wap air dari luar masuk kedalam. Plastik ini juga dapat digunakan untuk menyimpanan cili kering dalam jumlah besar. Cili kering ini sesuai disimpan di tempat kering dan tidak panas. Anda boleh baca artikel tulisan saya mengenai cili kering (Sila klik disini). Dipasaraya ia selalu dijual dalam satu bungkusan yang sudah siap ditimbang dan ditampal harga. 
Kalau dahulu cili hanya dianggap sebagai produk untuk dijual dipasar basah tetapi kini ia sudah memasukki pasaraya untuk memudahkan pengguna. Semuga tulisan ini rencana memberikan info berguna kepada pembaca blog anim agro technology. Wasallam!!!...
PRODUK CILI...ADA DIPASARAYA...
DISUSUN MOLEK...PILIH YANG MANA...
DIJAMIN KUALITI... MYGAP PERIKSA...
PENGGUNA BELI...BEKALAN ADA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pasaaraya Hero, Precint 4,
Putrajaya, WP,
Malaysia.
(12 Muharam 1439H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.