Saturday, May 20, 2017

SISTEM KITARAN ANGIN UNTUK SPH

SISTEM STRUKTUR PELINDUNG HUJAN (SPH) kini merupakan satu kaedah pertanian yang kini semakin popular di Malaysia. Kalau berpuluh tahun dahulu petani di kawasan tanah tinggi Cameroon Highland tidak percaya dengan kaedah ini tetapi kini penggunaan SPH merupakan satu kaedah lazim untuk penanaman sayuran dan bungaan, malahan jika ada petani yang masih menanam tidak menggunakan SPH hanya untuk tanaman tertentu sahaja yang perlukan kawasan terbuka dikawasan tanah tinggi ini. Rekod dari Jabatan Pertanian Negeri Pahang menyatakan daripada seluas 3,491 hektar kawasan sayuran dilaporkan seluas 1,142 hektar adalah dibawah SPH semantara seluas 2,799 hektar sayuran ditanam secara terbuka (Sumber: Jabatan Pertanian negeri Pahang, 2017). Kawasan SPH ini melibatkan sebanyak 2,049 lokasi sementara kawasan penanaman sayuran dikawasan terbuka pula melibatkan sebanyak 3,888 lokasi berdasarkan kepada fakta yang diambil menggunakan 'aerial fotography' dan semakan pengesahan oleh pegawai dikawasan. Umumnya terdapat seluas 3,491 hektar kawasan tanaman sayuran, 603.57 hektar tanaman bunga, 22.4 hektar kawasan tanaman strawberri, 43.9 hektar kawasan tanaman buah-buahan dan 1,616 hektar kawasan ladang teh di Cameroon Highland pada tahun 2017. Apa pun sektor pertanian di Cameroon Highland semakin maju selain daripada sektor pelancongan yang masih menarik ramai pelancong domestik dan juga peringkat antarabangsa. Bagaimana pun bukan itu yang penulis hendak paparkan dalam artikel subuh ini sebaliknya berkaitan dengan sistem kitaran angin yang perlu dilakukan didalam Struktur Pelindung Hujan atau Green House. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology' satu teknologi bagaimana sistem kitaran ini perlu dilakukan untuk menghasilkan keadaan sesuai bagi pertumbuhan dan penghasilan tanaman tomato di Benom Height Hydroponic Sdn Bhd yang terletak di banjaran Gunung Benom, Raub, Pahang untuk dikongsi dengan pembaca. 


Suhu yang tinggi pada tengahari dan awal petang dalam rumah SPH menyebabkan keadaan tidak selesa kepada pekerja dan juga menyebabkan tanaman akan sedikit layu. Keadaan ini lebih ketara semasa musim kemarau atau musim panas sekitar bulan Januari sehingga Mac setiap tahun, Ianya amat terkesan pada tahun 2016 apabila El-Nino berlaku selama 4.5 bulan dikawasan ini dan menjadikan penghasilan tomoto dari syarikat ini berkurangan sehingga 50% pada tahun tersebut. Selain daripada suhu tinggi ini menyebabkan tidak selesa untuk pekerja menjalankan tugas, ia menyebabkan kerap berlaku serangan musuh tanaman iaitu serangga 'white fly' yang membiak cepat dengan suhu panas ini. Kehadiran serangga white fly ini yang juga pembawa kepada masaalah serangan virus menjadikan pemilik ladang pernah mengalami kerugian berbanding dengan musim biasa. Menurut pemilik kebun En Yew, kitaran angin dalam rumah SPH sangat perlu dilakukan dengan sistem betul agar suhu didalam rumah SPH terkawal. Perkara ini amat penting diketahui kerana ianya menentukan kutipan hasil tomato yang ditanam. Oleh itu kaedah pemasangan KIPAS ANGIN GERGASI dilakukan untuk mempastikan ianya mampu memberikan persekitaran baik untuk penanaman tomato (Sila anda lihat foto diselah). Sebanyak 5-8 unit akan dipasang dalam setiap SPH bergantung kepada saiz SPH dan kedudukan SPH. Kipas akan dihidupkan mengikut jangkasuhu yang dipasang dalam SPH dan disambung dengan alat automatik disiang hari.


Setiap rumah SPH akan dipasang dengan beberapa kipas angin dengan satu kipas dipasang untuk menyedut udara luar kedalam SPH dan beberapa unit lagi didalam SPH mengikut arah angin yang hendak dipusingkan. Bagaimana pun memang perlu untuk udara panas di kitar dalam SPH untk mempastikan suhu didalam rumah green house ini adalah sama untuk pertumbuhan pokok tomato. Udara panas yang lazimnya adalah bersifat ringan dimana ianya akan dapat dilepaskan keluar melalui bumbung SPH yang terbuka luas sekitar 1 meter. Ruang Udara dibumbung SPH ini menyebabkan udara panas keluar sendiri. Bagaimana pun jaring netting akan membolehkan udara sejuk yang ditapis sahaja mampu dibawa masuk untuk langkah-langkah penjagaan. Kitaran angin sebaiknya dalam aturan atau kitaran 'ZIG - ZAG' dimana kedudukkan kipas disusun agar akhirnya udara panas dalam SPH dikawasan 600 meter dari paras laut memberikan kondisi terbaik pertumbuhan tomato agar menghasilkan buah tinggi kuantiti dan kualiti hasil. Pusingan udara dalam SPH ini dilalukan dibahagian atas struktur SPH kerana udara panas selalunya naik keatas. Tanaman tomato fertigasi lazimnya akan menunjukkan seakan 'layu' dalam keadaan suhu panas dan memerlukan lebih banyak air berbanding dengan keadaan biasa. Kitaran angin dalam SPH yang sekata membolehkan penghasilan buah tomato lebih seragam dari segi kualitinya (Sila lihat foto disebelah). Oleh kerana kawasan kebun ini terpencil, maka bekalan eletrik hanya menggunakan generator yang beroperasi hanya waktu siang sahaja.


Pengusaha telah lama membuat penelitian mengenai SPH dan sistem kitaran udara hampir 20 tahun. Bagi SPH yang berada paling tepi lazimnya menerima tiupan angin lebih baik berbanding dengan SPH yang berada ditengah-tengah kebun. Oleh itu susunan kipas diatur mengikut arah tiupan angin bagi mengelakkan berlakunya angin songsang. Penelitian penulis mendapati kipas yang digantung tinggi ini berselelahan dengan sistem micro-jet sprinkler dimana ianya akan menyejukkan lagi udara dalam SPH pada musim panas. Air yang keluar dari sprinkler ini juga akan mampu untuk mengawal populasi serangga white fly sebagai satu kaedah kawalan. Bagaimana pun didapati penggunaan kipas kitar udara ini kurang dilakukan semasa musim sejuk atau sepanjang musim hujan kerana udara didalamnya adalah sejuk dan sesuai untuk pertumbuhan tanaman tomato. SPH yang bersaia besar sekitar 4-5 ekar memang memerlukan sistem kitaran udara yang sempurna berbanding dengan SPH yang bersaiz kecil. Penggunaan netting halus 50 mesh oleh syarikat ini juga menyebabkan suhu didalamnya selalu tinggi berbanding dengan petani di Cameroon Highland yang hanya gunakan netting halus 32 mesh. Semuga penulisan pada subuh ini dalam anim agro technology memberi info berguna kepada semua pembaca. Wasallam!... 


MENANAM TOMATO...SPH DISANA...
KELILING DITUTUP...PANAS DALAMNYA...
UDARA DIKITAR... KIPAS BESAR DIGUNA...
HASIL BERKUALITI... TEKNOLOGI ADA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Syarikat Benom Height Hydroponic Sdn Bhd,
Gunung Benom, Raub,
Pahang, Malaysia.
(2 Syaaban 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.