Friday, March 3, 2017

PERIA - TEKNOLOGI TANAMAN (Part 2)

PERIA (Momordica charantia) merupakan sejenis tanaman menjalar dari keluarga Cucurbitaceae yang ditanam oleh petani untuk pasaran domestik. Keluasan tanaman peria di Malaysia sekitar 850 hektar pada tahun 2012 (Rujukkan dari Laporan Statistik Jabatan Pertanian). Negeri Johor antara negeri yang merupakan pengeluar utama peria di Malaysia diikuti dengan Perak dan Selangor. Peria adalah sejenis tanaman yang menjalar dan memerlukan para atau kayu sokongan untuk tanaman peria menghasilkan bunga dan buah. Peria memerlukan cuaca panas dengan suhu antara 20-35 celsius dan kawasan dengan sinaran matahari cukup. Tanah dengan pH5.5-6.5 sesuai untuk  dan mempunyai sistem saliran baik. Terdapat banyak varieti peria yang ada dipasaran tetapi yang banyak ditanam adalah jenis peria tempatan dan peria katak (Anda boleh baca artikel mengenai peria katak - (Sila klik Disini). Benih peria lazimnya dijual dalam bungkusan pek kertas atau dalam tin dengan pelbagai jenama dan nombor untuk ditanam. Kaedah penanaman peria secara konvensional adalah dengan menanam diatas batas tanaman tetapi kin ia telah berubah kepada sistem penanaman peria secara Fertigasi iaitu dikenali dengan nama Fertigasi Gantung. Teknologi Fertigasi Gantung amat popular dibeberapa negeri dipantai timur Semenanjung Malaysia terutama dikawasan rendah yang mana ia mudah ditenggelami air. Penanaman peria menjadi pilihan ramai petani secara komersil di beberapa TKPM dengan bergilir bersama tanaman lain seperti Timun, Petola, Kacang Panjang dan sebagainya.  Artikel pagi ini sambil melihat air panas di FELDA Hotspring Resort, Sungkai, Perak saya menulis dalam "Anim Agro Technology" satu tajuk mengenai teknologi tanaman peria kaedah konvensional berdasarkan buku dan pengalaman penulis untuk rujukkan anda.


Pada Part 2 ini penulis menyambung lagi tentang amalan agronomi tanaman peria dipetik daripada buku Pakej Manual Tanaman Peria Jabatan Pertanian Malaysia dan pemerhatian penulis dengan beberapa penanam peria komersil yang ditemui. Faktur pembajaan tanaman peria amat perlu dititikberatkan. Pembajaan amat penting dalam penanaman peria dimana ia juga bergantung kepada aspek beberapa faktur seperti umur pokok, varieti peria ditanam dan juga kepada jenis tanah. Bagi tanah mineral baja organik (tahi ayam) diberikan seminggu sebelum menanam dengan kadar sebanyak 5.0 mt sehektar. Seterusnya baja sebatian NPK 12:12:17:2 diberikan pada minggu ke 2, minggu ke 5 dan minggu ke 8 dengan kadar 0.8 metrik tan sehektar. Bubuh baja tersebut didalam lubang pada plastik silvershine yang dibuat diantara barisan tanaman. Penulis blog dapati ramai juga petani yang memberikan tambahan jenis baja foliar yang disembur pada daun  (foliar spraying) untuk ia meningkatkan hasil dan meningkatkan kualiti buah. Ramai petani tidak membalut buah peria jika kawasan penanaman luas dan kawalan lalat buah (Bactocera carambolae) atau Daucus spp diuruskan dengan baik. Dibeberapa lokasi lain ada petani yang menyembur racun serangga pada putik bunga buah peria. Bagaimana pun ada petani yang suka membalut untuk mengelakkan serangan Lalat Buah menggunakan kertas suratkhabar lama terutama dikawasan penanaman peria ada serangan lalat buah. Bagaimana pun amalan untuk sistem penanaman peria cara Fertigasi bagi tanaman peria amat berbeza dengan cara yang diterangkan diatas. Ini kerana pembajaan bagi sistem fertigasi akan mencampurkan baja Set A dan Aet B dalam tangki sebelum disalurkan kepada polibeg dan diambil terus oleh akar peria.


Terdapat dua jenis serangga perosak untuk tanaman peria yang lazim dijumpai dan perlu dikawal. Perosak tersebut adalah Kumbang Daun (Aulacophora flavomarginata) yang menyerang bahagian daun dan akar pada semua peringkat pertumbuhan peria (Lihat foto kumbang sebelah). Kumbang ini akan makan daun dan menyebabkan daun berlubang-lubang terutama dibahagian tengah daun dan daun menjadi perang kemudian mati. Larva kumbang ini yang berada dalam tanah akan memakan akar peria dan menyebabkan pokok akan layu. Cara kawalan adalah dengan membuat semburan racun serannga seperti Carbaryl jika serangan serius. Serangga kedua yang menyerang peria adalah Lalat Buah (Bactocera spp) yang akan menyerang putik buah peria. Buah yang diserang akan menjadi bengkok, berlubang dan menjadi busuk dan tidak boleh dimakan. Kaedah mengatasi masaalah ini adalah dengan membalut putik buah dan memungut buah-buah yang diserang lalu dimusnahkan. Terdapat beberapa petani yang memasang perangkap feromon dengan bahan methyl eugenol dikeliling kawasan kebun. Pemasangan perangkap lalat buah ini dikatakan praktikal dalam mengawal lalat buah. Lalat buah akan memasuki botol plastik dan akhirnya mati didalam botol tersebut. Bagaimana pun ianya perlu disesuaikan dengan keadaan disekeliling kebun dimana kedudukkan perangkap tersebut penting kedudukannya. Letakkan disekeliling bahagian luar kebun dan bukan ditengah-tengah kebun.


Peria juga diserang dengan beberapa jenis penyakit iaitu Penyakit Kulapok Berdebu dan juga Penyakit Kulapok Downy. Penyakit Kulapok Berdebu disebabkan oleh kulat jenis Erysiphe cichoracerum yang disebarkan melalui angin dan air. Simptom serangan apabia kita lihat terdapat miselium berwarna putih dan berdebu di seluruh permukaan daun (Lihat foto sebelah). Apa yang penulis blog perhatikan, daun akan menjadi kekuningan, kburuk dan akan kering serta berkedut. Akibatnya pokok yang diserang akan menjadi kurang buah atau buah yang dihasilkan menjadi kecil. Kawalan dengan membuang daun yang diserang dan musnahkan (jika peringkat awal) dan jika serangan serius perlu disembur dengan racun seperti Carbendazim atau Thiophanate-methyl dengan ulangan 7-10 kali jika perlu. Pastikan memetik buah peria yang telah bebas dari kesan sisabaki racun. Kaedah penuaian hasil peria memang perlu disesuaikan dengan jadual semburan racun kimia. Bagaimana pun jika semua buah peria dibalut maka kita kurang terdedah dengan kualiti buah yang berada didalamnya.


Penyakit Kulapok Downy disebabkan oleh sejenis kulat yang perlu dikenali petani iaitu kulat Pseudoperomnospora cubensis dimana ia disebarkan oleh angin yang menyerang bahagian daun. Tanda serangan adalah apabila daun diserang terdapat bintik-bintik berbentuk siku yang berwarna pucat kekuningan dibahagian daun. Pemerhatian saya di beberapa projek TKPM seperti di TKPM Pulau Manis, TKPM Inderapura di Kuantan Pahang juga ada mendapati bahagian bawah daun yang diserang diselaputi oleh spora. Daun yang diserang tersebut akan menjadi perang dan akhirnya mati. Keadaan ini menyebabkan pembentukkan buah terencat dan buah peria menjadi kecil dan tidak berkualiti. Kaedah kawalan adalah dengan membuang daun-daun yang diserang (jika ia peringkat awal serangan) atau disembur dengan racun kulat seperti Mancozeb atau Chlorothalonil. Jika perlu ulangi semburan setiap 7-10 hari sekali untuk mempastikan serangan dapat dikawal. Kawalan penyakit dan perosak pada tanaman peria perlukan perhatian serius dalam amalan agronomi tanaman peria. Ini kerana jika tidak dilakukan kawalan denngan baik maka petani akan rugi didalam aktiviti bidangusaha penanaman peria ini, Artikel ini sebenarnya akan bersambung Peria Part 1 dan juga Part 3 yang perlu anda baca. Wasallam!...
TANAM PERIA... PERLUKAN PARA....
POKOK MENJALAR...DIBANTU MULA...
VARIETI TEMPATAN... BENIH DIJAGA...
DIATAS BATAS... JAUH JARAKNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 222, FELDA Residence Hotsprings,
Sungkai, Perak,Malaysia.
(2 JamadilAkhir 1434H)
Kemaskini artikel pada 28 Febuari 2017.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.