Thursday, March 2, 2017

PERIA - TEKNOLOGI TANAMAN (Part 1)

PERIA (Momordica charantia) merupakan sejenis tanaman menjalar dari keluarga Cucurbitaceae yang ditanam oleh petani untuk pasaran domestik dan ada sedikit dieksport ke Singapura. Keluasan tanaman peria di Malaysia sekitar 850 hektar pada tahun 2015 (Sumber rjukkan dari Laporan Statistik Jabatan Pertanian). Negeri Johor kini merupakan pengeluar utama peria di Malaysia diikuti dengan Perak dan Selangor. Peria adalah sejenis tanaman yang menjalar dan memerlukan para atau kayu sokongan untuk tanaman peria menghasilkan bunga dan buah. Peria memerlukan cuaca panas dengan suhu antara 20-35 celsius dan kawasan dengan sinaran matahari cukup. Tanah dengan pH5.5-6.5 sesuai untuk  dan mempunyai sistem saliran baik. Terdapat banyak varieti peria yang ada dipasaran tetapi yang banyak ditanam adalah jenis peria tempatan dan peria katak (Sila baca artikel mengenai peria katak - (Sila klik disini). Benih peria dijual dalam bungkusan kertas atau dalam tin dengan pelbagai jenama dan nombor untuk ditanam. Kebanyakkan petani yang menanam peria akan membeli benihnya daripada kedai pertanian dimana ianya agak mahal juga. Tanaman peria dipilih oleh penanam sayur komersil kerana ia mempunyai nilai harga pasaran yang stabil sepanjang tahun berbanding dengan sayuran lain. Bagaimana pun harga peria akan jatuh jika bekalan terlalu banyak dipasaran.  Peria sesuai dimakan segar sebagai ulam dan juga dimasak sebagai sayuran. Kandungan bahan charantin dalam peria membolehkan ia dianggap sebagai sayuran dimana ia mempunyai rasa pahit sebagai ubat. Artikel pagi ini sambil melihat air panas di Hotspring saya menulis dalam "Anim Agro Technology" satu tajuk mengenai teknologi tanaman peria berdasarkan buku dan pengalaman penulis untuk rujukkan anda.


Pilih kawasan yang sesuai untuk menanam peria iaitu jenis tanah rata dan tidak mudah tenggelam air sewaktu musim hujan. Sebaiknya tanah perlu dibajak serta dinaikkan batas mengikut saiz yang bersesuaian (Sila lihat foto disebelah). Pastikan terdapat sistem saliran sempurna di kawasan yang mudah berlaku air bertakung kerana tanaman peria mudah rosak apabila akarnya tenggelam. Sebaiknya dibuat pengapuran dengan GML atau Kapor yang mudah dibeli bagi kawasan yang pH kurang daripada pH 5.0 dengan kadar 2-5 mt sehektar bergantung kepada jenis tanah. Tanaman peria adalah jenis yang menjalar dengan sulur paut dan perlukan Sistem Junjung yang perlu dinaikkan 2 minggu sebelum penanaman. Bagi petani komersil, mereka akan menggunakan sistem para trellis dengan menggunakan kawat dan tiang kayu kukuh (Sila rujuk mengenai sistem para trellis - (Sila klik disini). Tiang kayu dipacak dengan kukuh dengan jarak 4 meter dan diikat dengan dawai No 10 diantara tiang. Dawai No 14 pula akan menghubungkan antara tiang sebagai sistem para. Para trellis walau pun kos awal agak tinggi tetapi ianya adalah ekonomik untuk jangkamasa lebih lama. Petani kecil-kecilan pula akan menggunakan kayu junjung dari kayu hutan atau buluh yang disilangkan untuk pokok peria menjalar. Tinjauan penulis di sekitar Kuantan, Pahang mendapati kini penanam peria telah mengubah cara menanam menggunakan teknologi Fertigasi Gantung dan Fertigasi Bantal. Anda boleh membaca tulisan saya mengenai Fertigasi Bantal (Sila klik disini) dan Fertigasi Baldi (Sila klik disini) untuk keterangan lanjut. 


Pasangkan plastik silvershine diatas batas sebelum aktiviti penanaman. Plastik ini akan berfungsi untuk mengawal rumpai, mampu mengurangkan kadar serangan perosak dan memberikan sungkupan yang sempurna kepada tanaman. Buat lubang pada plastik penutup batas dengan jarak sesuai untuk tujuan penanaman. Kadar keperluan benih sebanyak 2.5 - 3.0 kg sehektar dan sebaiknya benih perlu dirawat dulu dengan racun kulat jenis Captan (15 gm/10 kg benih sendiri) atau racun kulat lain. Benih yang dibeli dari kedai pertanian dengan bungkusan pek dalam kertas atau dalam tin biasanya telah dirawat. Jarak penanaman peria lazimnya 1.5 m x 0.5 m untuk mendapat jumlah kepadatan sebanyak 7,400 pokok sehektar. Pemeriksaan saya di kebun peria komersil di Johor, Melaka dan Pahang juga mendapati mereka menanam dalam satu baris dengan jarak 1.5 meter dalam barisan dan 2 meter antara baris (Jarak yang jauh). Semasa menanam perlu memasukkan 2 biji benih dalam satu lubang yang ditanam sedalam 2-3 cm. Apabila biji ini bercambah sebaiknya dibuang satu selepas 10 hari ditanam. Apabila pokok telah tumbuh setinggi 20 cm maka pasangkan tali junjung dengan tali rafia atau bahan lain kemudian buat latihan menjalar (Sila baca artikel mengenai tali junjung - (Sila klik disini). Kerja ini perlu dilakukan dengan cermat agar ia berjaya menjalarkan tanaman dengan seragam dan sempurna. Pokok peria yang dilatih menjalar keatas akan teris naik kepada para tanaman.

Pokok peria perlukan cahaya matahari yang mencukupi oleh itu sebaiknya elakkan dari menanam dikawasan yang ada naungan. Penulis dapati tanaman peria yang berada dibahagian tepi kebun yang ada pokok getah atau kelapa sawit kurang subur dan penghasilan yang rendah. Pokok peria perlukan cantasan dari peringkat awal penanaman dengan membuang dahan sisi terutama sekali dibahagian bawah. Daun-daun tua yang ada dibahagian bawah juga perlu dibuang untuk menggelakan terlalu rimbun yang mana akhirnya akan menyebabkan serangan kulat. Tanaman peria memerlukan bekalan air yang konsisten melalui sistem pengairan renjis atau sistem pengairan titis. Bagi setetengah petani mereka memasang sistem pengairan lebih awal sebelum menanam. Bagaimana pun kedudukan penyebar air (sprinkler head) mestilah lebih tinggi daripada para trellis untuk sistem sebaran air yang lebih sekata. Ada dikalangan petani yang kini menanam peria dengan sistem fertigasi sama ada jenis Fertigasi Biasa, Fertigasi Gantung atau Fertigasi Bantal. Pemerhatian saya dibeberapa kebun komersil dan TKPM mendapati kos pemasangan sistem pengairan renjis sekitar RM 8,000 - RM 10,000 sehektar bergantung kepada bahan digunakan. Amalan agronomi yang perlu dilakukan seterusnya adalah kawalan rumpai dari diperingkat awal penanaman. Racun rumpai boleh disembur untuk kawasan lorong diantara batas tanaman. Bagaimana pun masaalah rumpai tidak kritikal apabila pokok menjadi lebih dewasa. Bagi sistem tanaman fertigasi Gantung isu kawalan rumpai tidak menjadi masaalah kritikal kerana semua beg penanaman berada digantung dan tidak terkesan akan kehadiran rumpai. Artikel ini bersambung pada artikel Part 2 dan Part 3. Semuga anda mendapat info berguna membaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
TANAM PERIA... PERLUKAN PARA....
POKOK MENJALAR...DIBANTU MULA...
VARIETI TEMPATAN... BENIH DIJAGA...
DIATAS BATAS... JAUH JARAKNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 222, FELDA Residence Hotsprings,
Sungkai, Perak,
Malaysia.
(2 JamadilAkhir 1434H)
Kemaskini pada 7 Febuari 2017

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.