Thursday, November 10, 2016

TANAH WAKAF UNTUK PERTANIAN?

TANAH WAKAF adalah tanah hakmilik yang telah pun diwakafkan kepada pihak penjaga wakaf. 'Wakaf' ialah perkataan bermaksud apa-apa harta yang ditahan hak pewakaf ke atas harta tersebut daripada sebarang urusan jual beli, pewarisan, hibah dan wasiat di samping usaha mengekalkan sumber fizikalnya bertujuan untuk kebajikan dengan niat untuk mendekatkan diri pewakaf kepada Allah SWT. Penulis merujuk kepada beberapa sumber dimana antaranya mengikut Seksyen 61, Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505] menjelaskan: “Walau apa pun apa-apa peruntukan yang bertentangan yang terkandung dalam mana-mana suratcara atau perisytiharan yang mewujudkan, mengawal atau menyentuh perkara itu, Majlis hendaklah menjadi pemegang amanah tunggal bagi semua wakaf, sama ada wakaf am atau wakaf khas, semua nazr ‘am, dan semua amanah daripada segala perihal yang mewujudkan apa-apa amanah khairat bagi menyokong dan memajukan agama Islam atau bagi faedah orang-orang Islam mengikut Hukum Syarak.” Fungsi badan wakaf seperti MAIWP sebegai pemegang wakaf di Wilayah Persekutuan akan terus mempastikan pengurusan penerimaan wakaf daripada orang ramai. Badan ini sama juga dibeberapa negari lain akan mentadbir dan menjaga harta-harta wakaf agar terpelihara dengan sempurna. Badan wakaf juga memberi kefahaman yang jelas kepada semua orang dalam masyarakat tentang konsep dan amalan wakaf yang sebenar. Ia juga perlu untuk meningkatkan penghayatan amalan wakaf dikalangan ahli dalam masyarakat demi memastikan syiar Islamakan terus unggul. Badan wakaf akan memberi pendedahan yang lebih meluas kepada masyarakat akan kepentingan pembangunan hartanah wakaf. Secara umumnya terdapat 2 jenis wakaf dinegara kita iaitu (1) WAKAF KHAS dimana pewakaf akan mewakafkan hartanya untuk tujuan tertentu seperti membina masjid, sekolah agama dan sebagainya. Jenis wakaf kedua (2) pula adalah WAKAF AM dimana pewakaf mewakafkan harta untuk tujuan kebajikan Islam semata-mata tanpa maksud ditentukan tujuan yang khusus. Tanah-tanah wakaf ini sesuai dimajukan dengan pelbagai bidang daripada untuk pembinaan, pertanian, perumahan dan sebagainya. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai potensi dan pembangunan tanah wakaf untuk pertanian sebagai satu panduan umum.

Negara kita Malaysia kini telah mencapai kemerdekaan hampir 60 tahun. Kemerdekaan telah membawa arus perubahan kepada rakyatnya terutama dalam kaedah perubahan cara berfikir dan cara bekerja. Perubahan dasi aspek mental mampu menentukan dimensi kehidupan yang lebih baik. Sebagai contoh kalau dahulu sebelum merdeka lazimnya rakyat di luar bandar mengamalkan budaya pertanian tradisional tetapi kini cara berfikir dan bekerja mereka sudah berubah kepada pendekatan yang bertambah maju. Sebagai contoh, kira-kira 112,000 peneroka yang menerokai tanah Felda yang kesemua luasnya hampir 500,000 hektar asalnya adalah untuk ditanam dengan kelapa sawit dan getah kini telah pun bertukar kepada kegiatan pelaburan di peringkat dunia atau peringkat antarabangsa dengan wujudnya Felda Global Ventures (FGV). Mereka juga diberikan perumahan sebagai pilihan untuk gene­rasi kedua terus menetap di kawasan tanah rancangan Felda. Mereka kini sudah di­beritahu akan tatacara untuk meng­usahakan ladang yang luas dan juga ternakan yang bersifat komersial. Ada yang mengusahakan ternakan ayam beribu-ribu ekor. Mereka juga sudah mula melibatkan diri dengan ternakan ikan sangkar yang bernilai tinggi. Tidak ketinggalan juga ada yang mula menceburi perniagaan burung walit, ternakan dalam sangkar, tanaman herba, ternakan kelulut dan lebah madu dan sebagainya. Generasi muda ini mula belajar berniaga secara komersial. Ramai juga anak mereka yang berjaya, mendaki tangga menara gading dan akhirnya mendapat pekerjaan yang baik di negara ini. Dilaporkan bahawa negara masih me­­ngimport makanan bernilai RM45.5 bilion. Pada masa ini pengeluaran beras hanya sekadar 72 peratus, daging lembu 28 peratus, daging kambing 28 peratus dan sayur-sayuran 33 peratus. Keadaan ini membimbangkan kita jika dibiarkan berterusan kerana berkemungkinan akan menjadi krisis makanan ­seperti pada 2008 dahulu jika tidak diberikan langkah yang betul. Rekod menunjukkan import bahan makanan ternakan seperti jagung dan kacang soya serta produk berasaskan ternakan seperti susu dan daging menyumbangkan kadar import makanan yang tinggi.


Jadual 1: Luas Tanah Terbiar pada Tahun 2014

Pada masa sama menyentuh mengenai pertanian, terdapat luas juga tanah terbiar di seluruh negara. JAdual diatas menunjukkan pada tahun 2014, Jabatan Pertanian telah mengenalpasti seluas 119,273.38 hektar tanah terbiar yang melibatkan 69,734 lot di Semenanjung Malaysia termasuk di Wilayah Persekutuan Labuan. Negeri Pahang menunjukkan antara negeri yang luas melaporkan kawasan tanah terbiar diikuti dengan Johor dan Perak. Tanah terbiar merupakan tanah bermilik yang tidak diusahakan semala 3 tahun bertutut-turut atau tanah sawah yang tidak diusahakan selama 6 musim. Walau pun terdapat beberapa kementerian dan agensi yang membangunkan kawasan tanah terbiar sebagai kawaan pengeluaran pertanian tetapi masih banyak lagi tanah yang belum dibangunkan. Agensi seperti FELCRA berperanan membangunkan tanah terbiar secara komersil. Dalam pada itu terdapat beberapa agensi kerajaan yang mempunyai tanah-tanah kosong dan masih tidak digunakan sepenuhnya. Berkemungkinan salah satu cara menambah pro­duk­tiviti dan sekuriti makanan ada­lah melalui konsep pembangunan kawasan tanah pertanian dikawasan tanah terbiar oleh kerajaan atau sektor swasta. Antara kaedah yang mungkin boleh dilaksanakan adalah melalui wakaf pertanian. Diberitakan bahawa terdapat seorang petani dinegara Yemen telah mewakafkan hasil gandum daripada ladangnya setiap tahun untuk dihantar ke Mekah bagi memberi makan burung-burung. Maksudnya konsep wakaf pertanian, perladangan dan penternakan boleh diusahakan bagi menjana ekonomi ummah.


Merujuk kepada perkara ini Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) telah mengusahakan wakaf kelapa sawit manakala Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) telah menjayakan wakaf sawah bendang. Sementara itu di Negeri Sembilan telah ada agensi berkaitan yang sedang merancang melaksanakan konsep wakaf ladang herba. Adalah diharap akan wujud wakaf mempelam harumanis di Perlis dan wakaf kebun anggur di sekitar Daerah Sik di Kedah dan sebagainya. Ada juga kemungkinan ujud wakaf tanaman epal di Sarawak dan wakaf tanaman pir dan strawberi di Cameron Highlands. Ada juga kemungkian ujud wakaf kebun kelapa pandan di Perak, wakaf limau tambun di Ipoh dan sebagainya. Bagaimana pun untuk tanaman kurma yang pernah dilaporkan berjaya dijalankan di Kota Bahru, Kelantan dan Pontian, Johor tidak digalakkan kerana ia merupakan gimik penjual benih kurma yang mengelirukan masyarakat. Pokok buah kurma yang didakwa boleh memberikan keuntungan sebaliknya membawa perosak seperti Red Palm Weevil (RPW) yang merosakkan tanaman kelapa. Ia bukanlah sejenis tanaman yang membanggakan seperti didakwa oleh agen yang menjual benih tanaman kurma. Bagaimana pun penulis dapati bagi tanaman buah tin ada yang mendakwaberjaya dijalankan tetapi masih diperingkat awal penyelidikan dan masih sedikit usahawan yang berjaya seperti apa yang dilaporkan di Sabak Bernam, Selangor. Walau pun penemuan ini dianggap sebagai amat mengujakan tetapi masih perlukan penelitian yang lebih lagi. Usaha dan kempen penjual benih pokok tin masa ini amat memberangsangkan sehingga mereka menjual dengan harga tinggi tetapi belum pasti kejayaannya dalam masa jangkapanjang. Alangkah baiknya jikalau tanah-tanah pertanian terbiar dijadikan wakaf pertanian dan perladangan di seluruh negara.


Dalam kes lain berkemungkinan aktiviti wakaf ternakan secara besar-besaran boleh dijalankan dinegara kita. Wakaf ternakan rusa secara besar-besaran mempunyai potensi yang besar seperti projek ternakan ayam, seladang, kerbau, lembu dan kambing yang boleh juga dimajukan di seluruh negara. Aktiviti ternakan lainnya adalah seperti ternakan itek dan burung puyoh. Apa yang perlu dilakukan adalah ianya dijadikan satu bentuk wakaf dalam sektor penternakan yang berdaya maju. Penulis asal rencana ini masih berpendapat tidak ketinggalan juga aktiviti ternakan ayam, ternakan puyuh, itik dan ayam belanda yang mungkin mempunyai potensi sebagai pilihan makanan. Aktiviti ini jika berjaya mungkin bukan setakat dipasarkan untuk kegunaan tempatan malahan ada potensi eksport ke luar negara. Ada kekangan dimana barangkali masalah mendapatkan tanah yang sesuai menjadi kesukaran. Dilaporkan seluas kira-kira 120,000 hektar tanah pertanian yang terbiar di seluruh negara (Rujuk Jadual 1 diatas). Terdapat juga tanah-tanah bekas lombong yang mempunyai potensi untuk dimajukan walaupun ia merupakan tanah tidak subur. Tanah bekas lombong, tanah bris dan tanam gambut adalah jenis tanah yang bermasalah untuk diusahakan tanaman. Menurut Jabatan Pertanian iaitu pada 2014 dianggarkan tanah bekas lombong (terutama bijih timah) terdapat seluas 300,000 hektar tanah bekas lombong di Malaysia terutamanya di negeri Perak dan Sela­ngor. Jumlah keluasan yang begini besar sudah tentu kajian lanjut boleh dijalankan untuk mengetahui potensi sebenar yang ada. Dalam pada itu terdapat beribu-ribu hektar tanah bekas lombong yang dimajukan dengan ­tanaman kontan seperti sengkuang, salad dan kangkung, lobak dan sebagai­nya. Begitu juga dengan aktiviti pertanian seperti ternakan ayam itik, lembu, seladang, rusa, arnab, puyuh dan sebagainya dikawasan tanah bekas lombong ini. Tanah bekas lombong juga kini telah berjaya dibangunkan dengan hartanah perumahan, perindustrian dan kawasan perdagangan. Tema 'Pertanian satu perniagaan' merupakan tema yang boleh menghidupkan program wakaf pertanian dan penternakan. Sudah pasti pertanian dan penternakan memerlukan pakej seperti bekalan baja, makanan dan strategi pemasaran. Biasanya semua pakej berkaitan perlu disesuaikan dengan konsep pembangunan pertanian lestari. Transformasi dalam sektor pertanian mampun untuk megubah status rakyat kearah negara maju. Konsep pembangunan wakaf pertanian dan penternakan mampu untuk menjamin sekuriti makanan bukan sahaja di negara kita malahan boleh dieksport ke luar negara jika dilaksanakan dengan sistemati dan terancang. Wasallam!!!.
SEKTOR PERTANIAN.. PERLU DIJAGA...
PELBAGAI AKTIVITI... TANAMAN ADA...
TERNAKAN PERIKANAN...JANGAN LUPA...
WAKAF PERTANIAN...SATU KONSEP SAJA..

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 112, M Design Hotel,
Seri Kembangan, Selangor,
Malaysia.
(2 Safar 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.