Friday, November 4, 2016

IKAN TILAN - APA DIA?

IKAN TILAN (Mastacembelus erythrotaenia Bleeker) adalah merupakan sejenis ikan yang penulis kurang kenal sehingga penulis berkunjung ke Kg Tilan, Tempoyang, Lipis, Pahang minggu ini untuk sembahyang Jumaat. Ikan Tilan atau pun ikan dikenal dalam keluarga Mastscembelidae adalah ikan yang hidup di air tawar dalam sungai di kawasan tropika. Ia juga merupakan sejenis ikan ivertebrata yang seakan sama dengan 'Belut' tetapi dibahagian belakang ikan tilan ini sebenarnya ia memiliki sirip seperti duri berbaris dan memiliki tubuh yang agak pipih (Sila lihat foto diatas). Dari pemerhatian penulis mendapati anggota seperti sirip yang terdapat dibelakang tubuh ikan tilan ini berfungsi untuk melepaskan diri pada semasa ikan ini terkena pancing. Cara ia melepaskan diri dengan badannya akan menggulung dan berpusing-pusing apabila kena pancing. Ia bertujuan untuk memutuskan tali pancing dimana organ sirip yang ada di bahagian belakang ikan ini memang cukup tajam dan ikan tilan mampu melepaskan diri jika tali pancing terputus. Ikan ini memang selalunya akan makan pancing dengan umpan cacing atau udang sehingga jauh masuk kedalam bahagian perut dan amat sukar untuk terlepas. Bagaimana pun tali yang putus akibat tindakan ikan ini mampu melepaskannya. Dalam beberapa blog yang penulis rujuk tidak banyak yang menceritakan marfologi dan habitat mengenai ikan tilan. Ikan ini memang mendiami kawasan air tawar di sungai dan kolam yang kualiti air tidak tercemar lagi. Ia boleh berenang kepada umpan pancing dan memakannya. Ikan tilan hidup berasingan secara individu dan jarang berkumpulan seperti ikan jenis lain. Artikel subuh ini saya menulis lagi artikel ke 4,212 dalam "Anim Agro Technology" mengenai ikan tilan sebagai satu catitan selepas berkunjung kekampong Tilan di Kuala Lipis, Pahang.

Dalam pada itu ikan tilan ada memanggilnya sebagai 'Ikan Tili' sahaja mengikut bahasa kampong. Ikan ini boleh dipancing dengan mudah menggunakan pancing dengan mata kail, umpan cacing atau udang, tali tangi nylon halus dan joran dari batang buluh sahaja. Boleh gunakan tali tangsi 20 paun dan batu ladung buatan sendiri yang dibuat menggunakan batu jalan atau batu ladong yang dijual dikedai pancing. Bagaimana pun kini kita boleh menggunakan joran moden dengan kekili dan joran lentur yang sesuai. Penulis yang memang minat aktiviti memancing dahulu sering gunakan set pancing jenama Daiwa, Ajiking dan Penn. Alatan pancing ini dibeli disebuah kedai di Kahang, Kluang , Johor masa dulu kerana kedai ini menawarkan pilihan terbaik dengan harga yang berpatutan selain daripada khidmat nasihat yang praktikal dalam pemilihan set pancing. Selain daripada set pancing untuk memancing ikan darat, penjual juga menjual set pancing untuk memancing dilaut. Memancing ikan tilan tidak memerlukan skill hebat seperti memancing ikan lain. Bagaimana pun selalunya pemancing tidak dapat pastikan lubuk ikan tilan secara khusus sebaliknya hanya 'nasib' yang menentukan mereka dapat ikan tilan ketika memancing. Pada penulis memancing ikan tilan ini tidaklah sesukar mana tidak seperti memancing ikan lampan jawa atau ikan haruan. Memadai mata kail saiz no 10 atau 11, batu ladung saiz 2 atau 3 dan tali tangsi utama 15 paun. Batu ladung di ikat pada tali utama dan disambungkan ke perambut sepanjang 2-2.5 kaki. 


Daripada hasil temubual penulis dengan beberapa pemancing ikan air tawar, lazimnya jenis umpan yang didakwa paling efektif untuk memancing ikan tilan adalah cacing tanah. Cacing tanah merupakan sejenis umpan global di dalam arena memancing dalam air tawar sesuai juga untuk memancing ikan lain dan udang galah. Memasang umpan pada mata pancing mudah dilakukan iaitu dengan mencangkuk cacing pada mata kail dengan kuat dan kemudian membalingkan kebahagian tengah sungai. Sebaiknya dibiarkan arus air tersebut akan menghanyutkan umpan dan batu ladung tersebut sehingga kedasar atau sehingga ke tebing. Kecekapan seseorang pemancing mencampakkan mata pancing kelokasi tepat membolehkan ia mudah mendapat ikan. Kemudian apa yang berlaku pemancing perlu menunggu sehingga umpan di ragut ikan. Dalam banyak kes dan pengalaman pada kebiasaannya jika ada anak ikan baung disitu maka ia akan terlebih dahulu menyambar umpan tersebut. Selain itu ikan seluang (dalam bahasa Jawa dipanggil 'ikan wader') sering menyambar mata pancing tetapi jarang mengena kerana ikan ini aktif dan mempunyai mulut yang sangat kecil untuk menelan matakail. Apabila ada tanda mata pancing sudah diragut ikan maka ia ditarik keatas dan jika terkena ikan tilan maka ia sukar terlepas (Sila lihat foto disebelah). Bergantung kepada kedalaman mata kail ditelan, kalau jauh masuk kedalam perut ikan tilan  maka poton sahaja tali tangsinya.


Set pancing ringan biasanya sudah cukup untuk memancing Tilan (Sila lihat foto disebelah). Pemancinf sebenarnya tidak perlu membawa 'multiplier' elektrik kerana berat ikan Tilan hanya sekitar 200-300 gram seekor atau mungkin kecil lagi. Kebiasaannya pemancing akan membawa 2 set joran. Tetapi jika masa itu ikan galak memakan umpan maka lazimnya menggunakan sebatang pancing sudah cukup. Satu pancing ini akan membuat kita sibuk mengarau dan melontar umpan ke dalam sungai. Kecekapan pemancing untuk memilih lokasi dimana ada banyak ikan tilan bukan satu perkara yang dapat dipastikan. Ada beberapa pemancing yang mengenalpasti dimana lubuk ikan tilan berada tetapi tidak akan memberitahu kepada orang lain. Mungkin pekampungan Ikan Tilan ada di kawasan itu untuk dipancing. Ikan Tilan atau Ikan Tili adalah jenis yang selalunya akan merentap umpan dan melarikan diri dan membelit pada reba kayu di dasar sungai. Jadi apabila ada terasa tarikan maka 'strike' dan perlu mengarau tali sepantas mungkin. Ini kerana jika dibiar lama juga membuatkan ikan tilan ini akan menelan umpan jauh ke dalam mulut. Pemancing profesional dan nelayan sungai biasanya ada menyediakan banyak perambut supaya mereka boleh memutuskan mata kail yang ditelan ikan tilan dan seterusnya memasang perambut yang baru. Ini adalah kerana Tilan ini akan mengelupur dan cuba memuutuskan tali pancing dengan barisan duri yang terdapat sirip di atas badannya. Ikan tilan juga mempunyai sebatang duri yang agak panjang di bawah perutnya untuk putuskan tali pancing. Ikan ini walaupun tidak berbisa seperti ikan keli, sembilang atau duri tetapi cukup membuat kita tidak selesa untuk memancing lagi selepas itu. 

Ikan Tilan atau Ikan Tili ini perlu dibawa pulang segera selepas ditangkap. Ia kemudian perlu dibersihkan dan dibuang isi perutnya dan mata pancing jika masih melekat. Ikan Tilan ini sesuai dimasak secara masakkan kampung sahaja mengikut selera masing-masing. Pada penulis ikan tilan ini sedap jika dimasak sambal tumis atau kari bersama ubi kemili seperti masak Ikan Baung. Walau pun Ikan ini tidak bersisik dan licin tetapi mudah untuk disiang dan dipotong-potong mengikut kesesuaiannya. Dala kes lain penulis dapati ikan tilan juga sesuai dibakar sedikit dan dikikis kulitnya. Ramai dikalangan penduduk desa yang lebih suka pilihan yang ke-2 iaitu dengan membakar dan mengikis kulitnya kerana kaedah ini akan memberikan rasa yang lebih enak dan tidak hanyir. Apa yang umum perlu tahu adalah ikan tilan ini mempuntai tekstur isinya sedikit kenyal dan mirip daging ayam tetapi lebih halus. Penulis dahulu pernah cuba merasa masakan paprik Ikan Tilan dirumah kawan di Perak. Mungkin ada dikalangan orang muda atau golongan kanak-kanak yang mana pada mulanya tidak mahu merasa isi ikan ini. Tetapi apabila mereka mencuba sedikit mereka menghabiskannya. Ini kerana rasa lembut dan lemak yang ada ikan tilan memang sedap. Ada pula selepas itu akan bertanya apakan ikan tersebut dan dimana mereka boleh membelinya. Ini merupakan satu soalan yang susah untuk dijawab kerana ikan tilan tidak mudah mencarinya. Dalam pada itu antara resepi yang penulis paling suka adalah masakan Rendang Pedas Ikan Tilan yang dimakan dengan nasi panas (Sila lihat foto dibawah). Semuga rencana ini memberi info berguna kepada pembaca semua. Wasallam!!!.
IKAN TILAN... MENGENALI DIA...
IKAN AIR TAWAR..ADA DIMANA...
BOLEH DIPANCING..BAGAIMANA...
DIMASAK PEDAS...ADUH ENAKNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Tilan, Tempoyang,
Kuala Lipis, Pahang,
Malaysia.
(29 Muharam 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.