Mungkin kita semua sedar bahawa pertanian adalah satu aktiviti utama negara pada suatu ketika dahulu. Namun hari ini sumbangan sektor pertanian sudah berkurangan dalam pertumbuhan ekonomi negara disebabkan sektor lain seperti pembuatan dan perkhidmatan terus melonjak dengan cepat. Kini ada isu dimana golongan pekerja pertanian sudah berkurangan dalam sektor pengeluaran makanan, perikanan, perladangan dan penternakan. Penulis dapati semasa membuat tinjauan kebanyak lokasi projek pertanian mendapati memang tidak ramai anak muda yang terlibat dalam sektor pertanian. Ini juga berkait dengan kaedah menarik minat pelajar sekolah untuk aktif dalam kelab pertanian sekolah (Sila lihat foto disebelah). Pengusaha pertanian tradisional sedia di luar bandar sudah mencecah umur 50an. Dalam pada itu semakin ramai generasi muda yang berhijrah ke bandar mencari rezeki di kilang-kilang, di sektor peruncitan dan sektor perkhidmatan lain. Mereka yang tinggal dikawasan desa hanya sedikit bilangannya untuk terlibat dengan sektor pertanian. Fenomena seperti ini bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi beberapa negara lain didunia dimana kadar migrasi dari luar bandar kebandar amat ketara. Kerajaan pernah menguar-uarkan sehingga dijadikan slogan 'Pertanian adalah Perniagaan' sebagai satu usaha menarik minat golongan muda untuk kembali kesektor pertanian. Persoalannya mungkin kita kena fikir sejauh mana sambutan golongan muda terhadap hasrat ini?. Daripada perangkaan didapati ramai lepasan sekolah menengah lebih rela bekerja di kilang dan dipremis perniagaan daripada bekerja di ladang di mana kerjanya adalah lebih lasak dan memenatkan dengan panas dan memerlukan minat yang tinggi.
Dalam menganalisa mengenai isu ini ada kemungkinan perkara ini berlaku kerana sikap negatif golongan muda dan juga orang dewasa terhadap sektor ini. Pertanian juga ada yang mengkatakan sebagai 'sunset industry' walau pun ianya disangkal oleh pihak lain. Pekerjaan didalam bidang pertanian dianggap sebagai pekerjaan khusus untuk luar bandar dan tidak menyeronokkan. Pada saya memang ujud stigma, persepsi, sikap, pandangan negatif yang menyelubungi kita menjadikan pertanian tidak mampu menarik golongan muda ke dalam sektor ini. Inilah akibatnya apabila sikap positif terhadapnya tidak dibentuk sejak dari bangku sekolah. Banyak sekolah di Malaysia tidak menawarkan mata pelajar Sains Pertanian pada peringkat menengah atas. Pada 2014 sahaja sebagai contoh jumlah pelajar di peringkat menengah atas adalah sekitar 800,000 orang. Bagaimana pun daripada jumlah ini berapa ramai pula yang didedahkan dengan mata pelajaran Sains Pertanian?. Tanggapan ini selaras dengan pengeluaran guru pertanian. Misal-
nya Universiti Putra Malaysia (UPM) dimana hanya menghasilkan antara 35-40 orang guru pertanian setiap tahun. Dalam empat tahun yang akan datang iaitu tahun 2020 tidak ada guru pertanian yang dikeluarkan kerana tiada dibuat unjuran keperluan guru pertanian daripada pihak Kementerian Pendidikan. Kalau benar guru pertanian tidak diperlukan cuba fikirkan apa akan jadi dengan penawaran mata pelajaran ini di sekolah-sekolah dan hasrat kerajaan untuk meningkat peranan pertanian dalam pembangunan ekonomi negara?. Sekiranya mata pelajaran pertanian ingin ditawarkan kepada pelajar yang ramai supaya lebih banyak generasi muda cintakan pertanian, maka lebih ramai guru pertanian perlu dihasilkan. Persoalannya pula adakah Kementerian Pendidikan berhasrat meningkatkan kecintaan pelajar sekolah kepada pertanian?. Ini melibatkan dasar dan polisi yang jelas. Walau pun ujud beberapa institusi seperti Institut Pertanian, NATC, Kolej RISDA dan beberapa institusi lain tetali ianya dianggap masih belum mencukupi.
Menyetuh mengenai pakar mendidik dalam pertanian, berkemungkinan ada dalam kalangan warga pendidik khususnya para pentadbir sekolah yang tidak menganggap pertanian sebagai satu mata pelajaran yang boleh membina sikap positif golongan muda kepada bidang pertanian (Sila lihat foto disebelah). Mungkin ada juga dalam kalangan pentadbir sekolah yang merasakan pertanian adalah untuk golongan pelajar tertentu sahaja. Ini mungkin berlaku kerana ketidakfahaman bahawa pertanian adalah satu bidang yang penuh dengan aplikasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Pengetahuan sains dan teknologi berperanan penting jika pertanian hendak difahami dengan mendalam. Pada masa kini banyak ada teknologi baru sudah diperkenalkan oleh saintis pertanian. Sekolah-sekolah di bandar boleh memperkenalkan pertanian bandaran secara hidroponik atau secara sistem fertigasi. Kawasan berkebun bukan lagi menjadi halangan untuk sekolah tidak menawarkan mata pelajaran Sains Pertanian. Mungkinkah tiada penawaran disebabkan oleh kekurangan guru pertanian? atau mungkinkah tiada penawaran disebabkan tiada keinginan oleh pihak sekolah untuk berbuat demikian?. Sebenarnya selagi pertanian masih dianggap sebagai penanaman dan pemeliharaan ternakan semata-mata, maka pertanian tidak akan maju. Selagi pertanian tidak dianggap sebagai satu jenis keusahawanan maka selagi itu pertanian tidak mendapat tempat di hati golongan muda. Memang menjadi tanggungjawab pihak sekolah, kementerian berkenaan dan masyarakat untuk memberikan tumpuan serius terhadap sektor ini. Difikirkan memang perlu ada kerjasama di antara agensi pertanian dan sekolah untuk memberi suntikan baru kepada pengajaran dan proses pembelajaran pertanian di sekolah bagi menimbulkan minat golongan muda menceburi bidang ini.
Sebaiknya pihak sekolah perlu menawarkan subjek pertanian kepada pelajarnya tanpa mengira kemampuan akademik. Sekolah tidak boleh lagi mengatakan sains pertanian sesuai untuk golongan pelajar yang rendah kebolehan akademik mereka iaitu tanggapan yang ada sebelum ini. Sebaiknya untuk menggalakkan kecintaan golongan muda kepada bidang pertanian dimana perlu diwujudkan Kelab Usahawan Tani di setiap sekolah di negara ini dan juga di peringkat nasional. Antara langkah ini boleh memberi suntikan baru kepada bidang pertanian apabila anak-anak yang masih di bangku sekolah didedahkan dengan ilmu pertanian dan terlibat aktif dalam Kelab Usahawan Tani. Sebenarnya memang perlu satu bentuk kerjasama antara tiga kementerian utama iaitu Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Kerjasama erat dan terancang ini adalah amat diperlukan kerana masing-masing mempunyai peranan yang tersendiri. Pada penulis diharap dengan wujudnya kerjasama yang erat antara ketiga-tiga kementerian maka usaha memperkasakan pertanian dapat dicapai. Semoga dengan kerjasama ini negara dapat menghasilkan generasi yang cintakan pertanian. Artikel asal disesuaikan dari laporan akhbar oleh pensyarah daripada Fakulti Pengajian Pendidikan UPM yang ditulis semula. Semuga anda mendapat info berguna daripada rencana kali ini. Wasallam!!..
GULONGAN MUDA... APA MINATNYA...
SEKTOR PERTANIAN...AMAT KURANGNYA...PENDIDIKAN DISEKOLAH...BAGAIMANA...
ARTIKEL DITULIS... DIKONGSI SAMA...
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Sekolah Pendidikan Khas,
Jalan Sg Lembing, Kuantan,
Malaysia.
(1 Safar 1438H).
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.