Friday, September 30, 2016

FAEDAH RACUN PEROSAK BIOLOGI

SERANGAN SERANGGA DAN PENYAKIT tanaman perlu dikawal untuk menghasilkan produk makanan yang dijamin berkualiti, selamat dimakan dan bersih. Dalam pertanian secara konvensional penggunaan bahan racun seperti racun makhluk perosak sering digunakan atau ringkasnya racun perosak ialah sebarang bahan atau sebatian bertujuan untuk mengawal, mencegah, memusnah, melemah, menghalau, melegakan atau mengurangkan jumlah makhluk perosak. Racun perosak mungkin terdapat dalam bentuk bahan kimia, agen biologi (seperti virus atau bakteria), antimikrob, bahan penyahjangkit atau alatan digunakan terhadap apa-apa jenis makhluk perosak. Makhluk perosak termasuklah serangga, patogen tumbuhan, rumpai, moluska, burung, mamalia, ikan, nematod dan mikrob yang merosakkan benda, menyebarkan penyakit atau menjadi vektor untuk penyakit. Walaupun ada kebaikan dalam menggunakan racun perosak bagaimana pun ia tetap ada keburukannya seperti potensi kesan pada keracunan terhadap manusia dan haiwan lain. Mengikut Konvensyen Stockholm Mengenai Pencemar Organik Berterusan, 9 daripada 12 bahan kimia organik yang berbahaya dan bersifat kekal (berterusan) ialah racun perosak. Racun perosak boleh dikategorikan kepada empat peganti kimia iaitu Racun Rumpai (Weedicide), Racun Kulat (Fimgicide), Racun Serangga (Pesticide) dan Racun Bakteria. Pilihan alternatif untuk racin kimia adalah dengan amalan Intergrated Pest Management (IPM) dimana cara penggunaan racun perosak biologi dapat mengurangkan penggunaan racun perosak kimia. Sejak dulu telah banyak diperkatakan mengenai kaedah kawalan perosak tanaman sama ada secara konvensional secara biologi dibincangkan. Artikel sempena curi Hari Raya Aidil Adha 1437H (2016) ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa faedah dan apakah dia racun perosak biologi sekadar dijadikan bahan rujukkan.

Dalam menjalankan kawalan biologi lebih baik penulis terangkan perkara ini. Kaedah kawalan biologi merupakan suatu alternatif kepada kelemahan penggunaan bahan kimia untuk menghapuskan serangga dan makhluk perosak dalam sektor pertanian. Mengikut sejarah, bahan kimia telah lama digunakan untuk mengatasi masalah serangan atau makhluk perosak dalam sektor pertanian. Bagaimana pun pada masa ini kaedah kawalan biologi kian meluas. Ini kerana antara beberapa kelebihan kawalan biologi adalah seperti ia mampu untuk mengurangkan pencemaran alam dengan cara seperti menggunakan pemangsa seperti burung hantu untuk mengawal tikus di sawah padi, ular di ladang sawit. Kaedah ini tidak menggunakan bahan kimia dan kesannya tidak akan berlaku pencemaran air, tanah dan udara. Kebaikan lain ialah mampu untuk menjamin tahap kesihatan manusia kerana bahan kimia tidak digunakan untuk mengawal serangga dan makhluk perosak tumbuhan dan pertanian iaitu hasil sayur-sayuran dan buah-buahan yang bersih dan juga selamat dimakan. Kaedah ini mampu mengekalkan akan keseimbangan kitaran ekologi diantara serangga dan juga makhluk pemangsa membunuh mangsa tanpa menjejaskan ekologi. Akibatnya habitat semulajadi serangga dan mikro- organisma tidak terjejas. Serangga lain yang penting dalam pendebungaan tidak terganggu dan keseimbangan rantaian makanan tidak terjejas. Walau pun ada dikalangan petani yang masih kurang percaya mengenai kelebihan ini tetapi krsedaran dan permintaan dari pengguna kini semakin meningkat. Skim persijilan MyGAP dan Skim MyOrganic mengukuhkan kualiti produk pertanian.


Berbanding dengan kaedah pertanian konvensional yang mementingkan hasil tinggi dan menggunakan banyak racun kimia, ia masih dilakukan oleh pertani komersil yang pentingan keuntugan sahaja. Antara kesan negatif penggunaan bahan kimia seperti tracun adalah menjejaskan kesihatan petani. Ini kerana jika semburan dilakukan ia mengandungi bahan kimia beracun dimana ini akan menjejaskan sistem pernafasan. Ia juga boleh menyebabkan penyakit kanser paru-paru dan penyakit kulit jika penggunaan tidak mengikuti peraturan yang betul. Terdapat juga kes-kes keracunan makanan oleh pengendali racun. Terdapat juga kes dimana kandungan bahan kimia tidak mengikut sukatan yang dibenarkan pada label. Ini akan mengakibatkan produk sayur-sayuran dan buah-buahan tercemar dengan bahan kimia dan memudaratkan pengguna. Terdapat kejadian seperti berlakunya cirit-birit, muntah dan membawa maut. Kesan racun kimi juga mencemarkan air bila semburan mengandungi bahan beracun akan larut dalam air dalam tanah dan air larian permukaan seterusnya masuk dalam air yang menyebabkan air sungai tercemar. Apa yang kurang diketahui petani apabila berlaku dimana serangga dan makhluk perosak imun (Kebal) jika berlaku kekerapan menggunakan racun pestisid. Sebarang semburan dengan dos dan jenama sama tidak memberi kesan dengan semburan dan walau pun dos semburan akan ditambah ia tetap tidak memberi kesan kepada serangga sebaliknya kesan negatif kepada manusia dan ini menjejaskan kesihatan. Penggunaan kaedah biologi seharusnya digalakkan kerana lebih menguntungkan dan menjamin keseimbangan ekologi alam.

Penggunaan racun perosak biologi sangat digalakkan dalam amalan pertanian baik dan merupakan satu komponen yang penting dalam pengurusan perosak bersepadu (IPM). Antara perkara yang ditekankan oleh IPM ialah keselamatan petani dan alam sekitar serta menganggap penggunaan racun makhluk perosak kimia adalah langkah terakhir selepas tiada langkah lain yang sesuai. Racun perosak biologi boleh memberikan kesan yang sama baik dengan racun kimia jika digunakan dengan betul. Cara penggunaan racun perosak biologi juga berbeza dengan racun kimia. Petani perlu dilatih mengetahui waktu yang paling sesuai untuk menggunakannya. Sebagai contoh, racun perosak biologi lebih berkesan apabila digunakan pada peringkat awal kitaran hidup perosak serta bilangan populasi perosak yang masih sedikit. Penggunaan racun perosak biologi dapat mengurangkan penggunaan racun perosak kimia. Racun perosak biologi mempunyai cara tindakan yang pelbagai dan kompleks. Kebarangkalian untuk terjadinya kerintangan serangga perosak, patogen dan rumpai terhadap racun perosak biologi adalah rendah. Racun perosak biologi boleh digunakan sebagai satu kaedah yang penting dalam pengurusan kerintangan sama ada digunakan secara berasingan atau campuran dengan racun kimia atau secara berselang-seli. Ia juga membantu memanjangkan jangka hayat sesuatu racun kimia daripada berlaku kerintangan. Kini kebanyakan racun perosak biologi diluluskan teknik-teknik penggunaannya dalam amalan pertanian organik. Ini kerana ia dihasilkan secara mesra alam dengan proses pengeluaran yang lestari.

Racun perosak biologi terdiri daripada mikroorganisma hidup seperti bakteria, kulat dan virus yang dihasilkan melalui proses fermentasi mikroorganisma tertentu seperti aktinomiset untuk menghasilkan racun perosak biologi seperti abamectin dan spinosadRacun perosak biologi bersifat mudah terurai secara semula jadi dalam masa yang singkat menyebabkan tiada risiko pencemaran alam sekitar dan sumber air sama ada air permukaan atau bawah tanah. Di samping itu, ia tidak meninggalkan kesan residu bila digunakan pada tanaman. Waktu mengutip hasil pertanian selepas semburan atau tempoh dilarang mengutip hasil (PHI) adalah singkat. Racun perosak biologi juga mempunyai kesan bertindak yang khusus untuk perosak tertentu. Hanya perosak yang disasarkan sahaja akan terjejas, seterusnya mengekalkan serangga berfaedah dan lain-lain organisma bukan sasaran seperti burung, ikan, lebah, serangga berfaedah dan mamalia. Sebagai contoh, bakteria Bacillus thuringiensis subspecies kurstaki berkesan terhadap serangga perosak daripada keluarga rama-rama dan kupu-kupu sahaja. Bacillus thuringiensis subspecies israelensis pula berkesan untuk membunuh nyamuk sahaja. Bakteria ini tidak memberi kesan terhadap kumbang dan lain-lain kumpulan serangga. Kulat Metarhizium anisopliea berkesan terhadap kumbang dan digunakan dengan meluas untuk menghapuskan kumbang tanduk di ladang-ladang sawit. Racun perosak biologi mempunyai kesan toksik yang sangat rendah. Justeru, risiko keracunan terhadap pekerja dan orang sekeliling akibat pendedahan racun biologi ini adalah terlalu rendah dan keselamatan petani atau pengguna adalah terjamin.  Disebabkan itu, penggunaan racun perosak biologi adalah selamat untuk pengguna di samping mesra alam. Bagi mendapatkan maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Pertanian Malaysia di talian 03-8870 3038/3050 atau faksimile di 03-8888 5069 atau melayari portal Jabatan Pertanian Malaysia di alamat lamanweb iaitu www.doa.gov.my. Semuga anda mendapat info berguna dalam blog Anim Agro Technology kali ini. Wasallam!!!.

MENANAM POKOK... PERLU DIJAGA...
SERANGAN PEROSAK... ADA BAHAYA...
SEMBUR RACUN... BIOLOGI CARANYA...
PERLU DIAMALKAN... SELAMAT SEMUA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Jalan Istana,
Bandar Melaka, Bukit Beruang,
Melaka, Malaysia.
(10 Zulhijjah 1437H)

Thursday, September 29, 2016

PENGGUNAAN PERKAPITA MAKANAN

PENGGUNAAN PERKAPITA MAKANAN merupakan satu indikator yang digunakan dalam menentukan tanda aras ekonomi sesuatu negara. Merujuk kepada Laporan Agro Makanan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia pada 2012 (Laporan yang telah disahkan) terdapat beberapa perubahan yang agak nyata untuk status Tahap Sara Diri Makanan Negara (Self Sufficient Level) yang dinilai pada tahun 2005 dengan 2010. Penduduk Malaysia yang berjumlah 31.7 juta orang dengan merangkumi 91.8 peratus warganegara dan 8.2 peratus bukan warganegara. Daripada jumlah tersebut dilaporkan seramai 67.4% merupakan kaum bumiputera dengan komposisi 56.4% terdiri daripada Bumiputera Melayu dan 11% dari kalangan Bumiputera Lain di Sabah dan Sarawak menjadikan jumlah kaum bumiputra seramai 78.4%. Bakinya seramai 21.6% adalah dari kaum Bukan Bumiputra. Dari segi Bumiputera Lain adalah terdiri daripada Orang Asli, Siam, Serani, Baba, Iban, Melanau, Dusun, Nyonya (Peranakan), Kayan dan minoriti lain. Terdapat hampir sejuta pendatang asing yang bekerja di Malaysiadalam beberapa sektor seperti pembinaan, perladangan, perkilangan dan perkhidmatan. Mereka kini telah menjadi salah satu faktur penyumbang sektor tenagakerja dalam bidang pengeluaran makanan dalam negara. Walau pun negara kita mempunyai aktiviti pertanian yang mampu menghasilkan bahan makanan untuk penduduknya, sebahagian daripada bahan-bahan makanan tersebut juga diimport dari luar negara. Malaysia mengimport banyak makanan asas seperti tepung, daging, jagung bijirin, bawang merah, cili kering, makanan dalam tin, buah-buahan temperate, susu, kacang soya, gula pasir, biji kopi mentah dan beberapa jenis lagi. Bagaimana pun negara kita hebat dalam mengeksport produk hasilan kelapa sawit keseluruh dunia dan mengimbangi jumlah import. Kadar mengimport beberapa komoditi tertentu bagaimana pun menyumbang kepada 'Balance of Trade' menjadi semakin tidak seimbang semenjak beberapa tahun kebelakangan ini. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai kadar kecukupan makanan (SSL) dan penggunaan per kapita makanan di Malaysia sebagai satu daripada aspek perbincangan untuk anda jadikan bahan renungan dan juga bahan rujukkan.

Jadual 1: Kadar Tahap SaraDiri Makanan di Malaysia 2010
Rajah diatas menunjukkan perubahan tahap sara diri beberapa jenis makanan utama di Malaysia semanjak tahun 2005 sehingga tahun 2010. Kemungkinan data ini sudah berubah pada tahun 2016 tetapi data yang ada masih belum disahkan penggunaannya. Terdapat perubahan agak ketara dalan tahap SSL untuk beras dimana berlaku penurunan daripada sekitar 80.6% pada tahun 2005 kepada hanya 71.4% pada tahun 2010. Melihat kepada angka ini mungkin dikatakan pengeluaran penanaman padi atau pengeluaran beras negara berkurangan atau pun berlaku pertambahan penduduk yang nyata yang memerlukan makanan. Walau pun penanaman padi mempunyai keluasan sata dan hasilnya meningkat tetapi jika jumlah penduduk meningkat akan jelas menunjukkan tahap SSL bagi beras. Rajah 2 dibawah menunjukkan tahap penggunaan beras dikalangan rakyat Malaysia pada 2010 adalah sebanyak 79.5 kg seorang setahun. Jika berlaku sebarang kenaikan dan penurunan kadar penggunaan beras ini maka ianya akan mengubah tahap SSL kecukupan beras dalam negara. Bekalan beras di Malaysia adalah daripada 8 buah kawasan Jelpang Padi Utama, 4 Kawasan IADA Baru dan beberapa kawasan luar Jelapang Padi. Malaysia juga mengimport beras daripada negara jiran dengan kadar sekitar 30% daripada keperluan domestik. Terdapat ramai dikalangan rakyat Malaysia yang hanya makan BERAS WANGI (Jasmine rice) yang tidak ditanam dalam negara. Sebut sahaja Beras Basmati, Beras Wangi Siam dan beberapa lagi tentunya anda mudah membelinya dipasaran.


Jadual 2: Penggunaan Perkapita Makanan di Malaysia 2010

Kadar kecukupan SSL untuk sayuran juga ada penurunan daripada sekitar 46.2% (2005) kepada 42.2% (2010) iaitu julat yang tidak berapa besar. Kajian menunjukkan kadari penggunaan sayuran bagi setiap orang adalah sebanyak 54.7 kg seorang setahun. Ini bermakna sebahagian daripada sayuran yang dimakan oleh rakyat Malaysia lebih separuh daripadanya adalah sayuran yang diimport. Sebagai contoh bawang merah, bawang besar, kentang, celeri, lobak merah, tomato, kacang tanah, cili kering, cili siam dan banyak lagi adalah diimport dari luar negara.  Bagi buah-buahan pula kadar SSL juga menurun daripada 74.1% (2005) kepada 65.8% (2010) dimana kadar penggunaan buah-buahan di Malaysia adalah sebanyak 93.0 kg seorang setahun. Walau pun negara mengeluarkan beberapa jenis buah-buahan untuk kegunaan tempatan dan eksport tetapi berlaku juga pengimportan buah dari luar yang banyak jumlahnya. Malaysia mengeksport buah nenas, buah tembikai, betik, durian, pisang, belimbing dan beberapa lagi kebeberapa pasaran antarabangsa. Bagaimana pun buah temperate juga banyak dibawa masuk seperti epal, anggur, lai, limau (terutama musim perayaan Tahun Baru Cina), Laichi, Durian Siam dan banyak lagi. Kini beberapa jenis buah seperti Nangka, Mesta, Jambu Batu dan Durian Belanda mula menarik minat petani untuk menanamnya dan berpotensi untuk dikembangkan untuk pasaran domestik dan eskport.

Kadar SSL untuk daging lembu di Malaysia juga didapati meningkat daripada sekitar 21.2% (2005) kepada 28.6% (2010) dan ini mungkin hasil daripada kadar pengeluaran daging tempatan yang meningkat. Begitu juga dengan kadar SSL untuk daging Ayam meningkat daripada 124.7% (2005) kepada sekitar 127.9% (2010). Kadar penggunaan daging lembu di Malaysia adalah sebanyak 5.6 kg seorang setahun dan daging ayam sebanyak 35 kg seorang setahun. Walau pun negara mampu mengeluarkan daging ayam melebihi keperluan namun kos bahan makanan ayam daging dan ayam telur merupakan beban kerana ianya diimport dari luar negara dengan anggaran sekitar RM3.6 billion setahun. Ini juga berlaku kepada pengeluaran telur ayam yang melebihi SSL daripada 108.7% (2005) kepada 115.4% (2010) dengan kadar penggunaan perkapita telur ayam sebanyak 295 biji seorang setahun. Rakyat Malaysia antara mereka yang banyak makan telur sehari berdasarkan kepada Jadual 2 diatas. Angka ini seakan-akan kita hampir makan telur ayam dengan kadar sebiji seorang sehari!. Tahap SSL untuk susu memang masih rendah iaitu daripada 4.6% (2005) kepada 4.9% (2010) dan bakinya adalah diimport dari luar. Bagai mana pun kadar penggunaan susu adalah sebanyak 47.5 liter seorang setahun. Susu merupakan bahan import utama daripada New Zealand, Australia dan beberapa negara lain yang mana pengelaran susu tempatan masih jauh dari sasaran SSL negara yang dikehendakki. Penternakan lembu susu masih banyak cabaran dengan keadaan baka, cuaca, makanan dan pengurusan dalam negara yang perlu dilihat. Bagi ikan (ikan laut dan ikan air tawar) didapati kadar SSL negara meningkat daripada 90.5% (2005) kepada 101.7% (2015) iaitu mencukupi. Kadar penggunaan perikanan pula sekitar 45.5 kg seorang setahun termasuk ikan laut, ikan air tawar, keran-kerangan, udang dan sebagainya. Malaysia yang mempunyai kawasan laut luas dan tanah sesuai untuk projek ternakan akuakultur mampu meningkatkan lagi produk berasaskan ikan dimasa akan datang. Semuga coretan ini membantu pembaca dalam menganalisa akan kadar SSL dan perkapita penggunaan makanan. Wasallam!!!...

MAKANAN ASAS... ADA DIKELUARKAN...
TIDAK MENCUKUPI... IMPORT DIALUKAN...
PERLU DIANALISA... IKUT PENGELUARAN...
BACA ARTIKAL... BANYAK DIFIKIRKAN...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pusat PLP Inderapura,
Jalan Pekan, Kuantan,
Pahang, Malaysia.
(26 Zulhijjah 1437H) 

Wednesday, September 28, 2016

HALIA - TANAM DALAM POLIBEG

HALIA (Zingiber officinale) dari keluarga Zingiberaceae juga merupakan sejenis tanaman umbisi yang diketegorikan sebagai tanaman jenis Umbisi dan sejenis Herba. Tanaman ini dipercayai berasal dari Asia Selatan dan kemudian di sebarkan penanamannya keseluroh dunia. Tanaman halia adalah satu komoditi yang dianggap penting di Malaysia kerana pasaran domestik dan juga ekspot. Dalam tinjauan penulis mengenai penanaman halia, penulis juga dapati kos bahan tanaman atau kos pembelian anak benih merupakan kos yang paling tinggi sehingga mencecah lebih separuh dari seluruh jumlah kos penanaman. Pemilihan varieti halia yang hendak ditanam oleh petani yang baru hendak mencebur diri dalam penanaman halia adalah penting. Hanya dua varieti halia yang popular ditanam di Malaysia iaitu Varieti Halia Bentong atau Varieti Halia Sabah. Varieti Bentong adalah hasil biakbaka melalui 'farm selection' semenjak beberapa tahun oleh penanam halia di kawasan Janda Baik, Pahang. Kini halia Bentong telah menerima status GI atau pun Geogriphical Indication. Dalam kamus apa yang penulis rujuk apa dimaksudkan dengan GI adalah "A geographical indication (GI) is a sign used on products that have a specific geographical origin and possess qualities or a reputation that are due to that origin. In order to function as a GI, a sign must identify a product as originating in a given place". Varieti Sabah pula luas ditanam di Sabah untuk pasaran domestik dan diekspot. Artikel kali ini penulis berkongsi maklumat dengan pembaca dalam "Anim Agro Technology" mengenai penanaman halia didalam polibeg atau bekas dikawasan keliling rumah atau dikawasan kebun berdasarkan kepada pengalaman penulis dan membuat rujukkan dalam banyak buku teknikal, lamanweb dan pengalaman penulis sendiri ketika melawat kawasan tanah tinggi Dieng di Kabupaten Wonosobo, Jogjakarta, Jawa Tengah, Indonesia baru-baru ini. 


Penanaman Halia didalam Polibeg atau dalam bekas dikawasan keliling rumah boleh dijalankan bagi menghasilkan halia untuk kegunaan sendiri atau pun untuk dijual secara komersil. Pengalaman kedua penulia melawat Kebun Highland Sprout di Kg Janda Baik, Bentong yang menanam lebih daripada 3,000 polibeg halia secara organik. Mungkin tidak ramai diantara kita terutamanya mereka penduduk dikawasan bandar atau pun mereka yang tinggal dikawasan perumahan sama ada rumah teres atau rumah pangsa menanam halia sendiri. Penulis dapati kita boleh menanam halia didalam polibeg dengan mudah dan semua orang boleh buat. Penulis sendiri menanam 5 polibeg halia dikawasan rumah. Sebaiknya anda menggunakan polibeg bersaiz sederhana atau bersaiz besar sama ada berwarna hitam atau putih. Isikan tanah campuran 3:2:1 (Tanah: Pasir: Baja Organik) atau media 'peatmoss' kedalam polibeg sehingga paras penoh (Lihat foto sebelah). Pastikan polibeg tersebut boleh berdiri dan susun mengikut jarak agak sesuai untuk penanaman benih halia. Dapatkan benih halia yang berkualiti daripada pembekal (Mungkin halia yang dibeli dipasar boleh digunakan jika masih segar dan dirawat dengan racun kulat dahulu). Benih halia tua yang berumur lebuh 12-14 bulan, sihat, tiada penyakit dan saiz sesuai digunakan. Saiz benih adalah sekitar 5-10 cm panjang dan sebaiknya ia mempunyai tunas. Elakkan menggunakan benih halia muda kerana ia tidak sesuai dijadikan benih tanaman.


Penanaman anakbenih halia dalam polibeg dengan meletakkan benih dibahagian tengah polibeg pada kedalaman 3-6 cm. Pastikan mata tunas benih halia mesti dihalakan kebahagian atas dengan teratur. Susun polibeg pada jarak 30 cm untuk peringkat awal penanaman dan boleh dijarakkan melebihi 60 cm apabila tanaman halia membesar (Lihat foto sebelah). Jalankan penyiraman jika cuaca sangat kering kedalam polibeg tersebut. Jika tanah dalam polibeg sangat kering boleh menyebabkan pokok mati. Jika berlaku air bertakung dalam polibeg, dengan segera air perlu dibuang untuk mengelakkan berlaku kereputan pada anakbenih halia. Pastikan polybeg tersebut disusun mengikut susunan Tmur ke Barat agar pokok mendapat sinaran matahari yang cukup. Adalah dinasihatkan untuk anda dari mengelakkan meletak dibawah naungan kerana ia mungkin melambatkan proses pertumbuhan. Aktiviti menyulam unyuk semula polybeg yang mana benihnya tidak bercambah atau mati akibat beberapa sebab. Anak benih halia dalam polibeg lazimnya akan tumbuh dengan mengeluarkan tunas setelah seminggu ianya ditanam bergantung kepada pengurusan agronomi dan juga varieti yang ditanam. Pemantauan awal perlu dilakukan selepas menanam terutama untuk pastikan semua anakbenih hali menghasilkan tunas baru dan tumbuh dengan sihat.


Tanaman halia dalam polibeg perlu disiram selalu kerana ia akan layu dan kering jika tidak diberikan air terutama jika polibag tersebut disusun diatas lantai kebal seperti simen, lantai kayu, zink dan sebagainya. Penyiraman dibuat setiap hari tetapi jika cuaca panas atau musim kemarau sebaiknya siram 2 kali sehari. Setelah berusia 2-4 minggu lakukan program pembajaan (sebaiknya dengan baja organik). Baja sebatian juga boleh digunakan dengan diberikan sedikit demi sedikit. Jika umbisi halia kelihatan tersembol keluar pada permukaan tanah dalam polibeg, perlu ditambah tanah agar ia berada didalam tanah. Pembajaan dengan baja sebatian dan baja organik perlu diulang setiap 2-3 bulan sehingga halia berumur 8 bulan. Sentiasa menambah tanah campuran dalam polibeg jika ia berkurangan. Cara ini akan mempastikan umbisi atau rizom halia yang terbentuk didalam polibeg akan membesar sehingga mampu menghasilkan umbisi halia sebanyak hampir 1 kilogram (bergantung kepada saiz polibeg digunakan). Hasil boleh dituai dalam 8 - 10 bulan selepas menanam dengan diuruskan secara baik. Teknologi menanam halia dalam polibeg memang mudah dilakukan dan mampu memberikan kepuasan kepada sesiapa yang suka menanamnya. Penulis rasa sesiapa yang ingin mencuba dikeliling rumah boleh mencuba. Wasallam!...
Penulis ketika memeriksa pokok halia dalam polibeg di Kg Janda Baik, Bentong.
DALAM POLIBEG...TANAM HALIA...
DISIKAN TANAH...DISUSUN PULA...
MASUKAN BENIH...PERLU DIJAGA...
LEPAS 8-9 BULAN... HASIL DITERIMA...

By, 
M Anem
Senior Agronomist,
Ladang Highland Sprout, Janda Baik,
Bentong, Pahang,
Malaysia
(12 JamadilAkhir 1434H)

Tuesday, September 27, 2016

MELADA PAHIT - HERBA BERGUNA

MELADA PAHIT (Brucea javanica) merupakan sejenis tumbuhan jenis herba yang berkhasiat dan mudah ditanam dikawasan keliling rumah. Tumbuhan yang juga dipanggil sebagai'Lada Pahit' atau pun 'Makassar Kernel' ini adalah jenis renek daripada keluarga Simaroubaceae. Penulis kali pertama menganali dan makan hasil herba berkhasiat ini semasa kunjungan di Pejabat Pertanian Daerah Rompin, Pahang yang mana ia ditanam disekeliling pejabat untuk dijadikan koleksi beberapa jenis herba. Pokok ini ialah sejenis tumbuhan herba yang batangnya berkayu yang mengeluarkan buah sebesar biji lada. Habitatnya pula adalah kawasan yang menerima matahari banyak secara terus. Jika dibiarkan tanpa dicantas ia mampu tumbuh sehingga ketinggian 5 meter (20 kaki) dengan mempunyai banyak ranting dan dahan dari jenis kayu tidak berapa keras. Ia boleh didapati secara semulajadi tumbuh daripada Sri Lanka merentasi Malaysia, Indonesia, India, China, New Guinea sehingga ke Australia. Walau pun ia kurang diendahkan oleh penduduk tempatan tetapi sebenarnya tumbuhan ini kini dikenalpasti sebagai pokok herba berkhasiat yang mudah ditanam dan digunakan. Tumbuhan ini mudah ditanam dengan menggunakan biji benih yang banyak didapati daripada buah matang. Buahnya yang banyak ini berwarna hijau dengan bentuk 'berries' apabila masak menjadi warna merah dan akhirnya menjadi hitam kemerahan. Apabila dikunyah penulis dapati sesuai dengan nama 'Melada Pahit' memang memberikan rasa pahit. Bagaimana pun kandungan pahit ini masih boleh diterima penulis untuk 2-3 biji yang dikunyah. Menurut rujukkan didapati semua bahagian tumbuhan unu adalah pahit dimana yang paling pahit ialah biji diikuti bahagian akarnya. Kalau anda yang boleh kunyah biji ni terus saya fikir mereka adalah boleh menerima herba ini sebagai alternatif perubatan baru. Artikel subuh ini dalam "Anim Agro Technology" saya menulis mengenai tumbuhan herba berkhasiat iaitu Melada Pahit untuk dijadikan bahan rujukkan dan bacaan anda semua.


Dalam beberapa jurnal dinyatakan biji Melada Pahir merupakan bahagian yang boleh dikomersilkan. Laporan makmal mendapati bijinya mempunyai 50% minyak tetap dimana bahan dalam bijinya memang mengandungi bahan dikenali dengan nama Yatanin dan Yatanosid. Bahan kimia ini dipercayai merupakan sejenis Bahan Anti-oksidan yang didakwa mampu untuk melawan radikal bebas yang menjadi punca permulaan penyakit didalam badan kita. Lada pahit bernilai tinggi dari segi perubatan dan merupakan penawar untuk mengubati pelbagai jenis penyakit secara semulajadi antaranya ialah tekanan darah tinggi, diabetes atau kencing manis, sakit jantung, gout dan lain-lain lagi. Buah melada pahit yang kecil berbentuk 'berries' ini mudah dijumpai dibahagian hujung ranting pokok dan akan masak secara berperingkat-peringkat (Sila lihat foto disebelah). Buah masak ini mudah dipetik dan dilihat apabila masak dengan mudah. Ia kemudian boleh diproses dan diumpulkan untuk dijemur sehingga kering untuk tujuan jualan dan penyimpanan. Dalam pada itu telah dibuktikan bahawa pokok melada pahit ini juga didapati amat berkesan sebagai pencegah penyakit kanser dan juga batu karang. Kajian juga sedang giat dijalankan di Thailand, Indonesia dan juga Hong Kong untuk mengekstrak bahan antikanser dari pokok Melada Pahit ini sebagai satu bahan produk herba berguna dalam dunia perubatan.


Antara beberapa sumber yang penulis rujuk menyatakan bahawa tumbuhan melada pahit ini boleh merawat berapa penyakit. Apa penyakit yang boleh dirawati oleh lada pahit ini?. Dinyatakan dalam beberapa jurnal menyatakan melada pahit didapati telah berhasil merawati penyakit-penyakit seperti Kencing manis atau diabetes, Darah tinggi, Sakit jantung, Lelah (asthma), Sakit sendi, Gout, masaalah penglihatan, Resdung, Mencegah pembentukan batu karang, Tiriod dan Sembelit atau buasir. Bagi wanita pula ia didakwa mengelakkan senggugut bagi wanita dan mampu untuk melancarkan perjalanan darah serta mengawal kolestrol. Akhir sekali ia didakwa mampu untuk tujuan menambah tenaga dan juga sebagai bahan anti-kanser. Sama ada bijinya, daunnya atau akarnya yang diambil sebagai bahan rawatan, semuanya bergantung kepada kaedah aplikasi. Paling mudah dan mujarab adalah dengan memakan bijinya yang segar atau bijinya yang telah dikeringkan dahulu (Sila lihat foto disebelah). Biji melada pahit yang dikeringkan ini boleh disimpan lama atau dikisar menjadi serbuk untuk diambil secara berjadual bagi mendapatkankan khasiatnya.

Menanam pokok melada pahit amat mudah dilakukan sendiri dikeliling rumah atau didalam kebun. Benih melada pahit yang matang diambil dan disemai dalam tapak semaian atau dalam polibeg (Sila lihat foto disebelah). Jika pokok ini dewasa biasanya akan ada anakbenih yang tumbuh berhampiran dan boleh diambil untuk dijadikan benih tanaman. Jika menanam dalam pasi sebaiknya disediakan pasu atau polibeg besar yang diiisi dengan media tanah campuran atau cocopeat. Ia mudah tumbuh dan jarang diserang penyakit atau serangga perosak. Sesuai dibaja dengan baja organik dan perlu disiram jika ditanam dalam pasu. Ia akan berhasil setelah 2 tahun ditanam atau lebih cepat bergantung kepada penjagaan. Penuli merujuk kepada testimoni dan laporan daripada Akhbar Utusan Malaysia pada 8 Julai 2000 dengan tajuk "Melada pahit sesuai untuk penyakit kulit dan cirit-birit". Ia dimulakan dengan kenyataan dimana kehidupan pelbagai jenis spesies tumbuhan yang terdapat dinegara kita dan hidup subur dan menghijau sebenarnya merupakan herba berkhasiat. Ini termasuk tumbuhan herba yang dikenali sebagai 'Melada Pahit" atau nama saintifiknya Brucea amarissinaIa merupakan tumbuhan herba jenis pokok renek dan berkayu. Paling tinggi ia boleh membesar antara lima sehingga enam kaki. Habitatnya pula adalah kawasan yang menerima cahaya matahari secara terus. Daun melada pahit berbentuk halus dan bergerigi di bahagian tepi. Daun ini berwarna hijau muda dan berbulu halus tetapi bila sudah matang, warnanya berubah menjadi kekuningan.


Bagaimanapun maklumat daripada Ketua Institut Sains Biologi Universiti Malaya, Prof. Mohamed Abdul Majid nyatakan pokok ini sememangnya mempunyai khasiat tersendiri dari segi perubatan herba, khususnya dalam merawat cirit-birit, demam, penyakit kulit, sakit sendi dan merawat gigitan serangga berbisa.  Tumbuhan ini digunakan secara meluas oleh masyarakat Cina khususnya untuk merawat penyakit cirit- birit. Caranya ialah dengan mengambil beberapa biji melada pahit yang sudah dikeringkan dan tumbuk sehingga lumat. Bahan itu dibancuh dengan segelas air masak dan kemudian diminum. Tetapi rasanya amat pahit sehinggakan ada pepatah Melayu berkaitan perkara ini iaitu "Yang Pahit Itu Ubat". Penggunaan bahan dari pokok Melada Pahit ini cukup berkesan sebagaimana yang telah dibuktikan melalui kajian saintifik yang dilakukan oleh sebuah syarikat Jerman, Merck pada tahun 1901. Kajian di Institut Penyelidikan Perubatan di Taiwan menunjukkan bahawa terdapat beberapa bahan yang membunuh kuman yang menyebabkan cirit-birit (amoebic dysentery). Saintin tersebut menemui beberapa bahan yang boleh merawat penyakit cirit-birit pada biji dan kulit kayu. Kini apa yang terbaru sekali adalah kajian sedang dijalankan di Hong Kong dan Thailand untuk mengekstrak bahan antikanser dari melada pahit. Bagi tujuan merawat penyakit kulit dan gigitan serangga berbisa, Prof. Mohamed berkata, kaedah rawatan ini yang menggunakan daunnya banyak dilakukan oleh masyarakat Melayu dan Jawa. Sebaiknya ambil beberapa helai daun melada pahit yang segar dan tumbuk sehingga lumat. Setelah itu perlu dicampurkan sedikit kapur dan sapu di tempat yang terkena penyakit kulit atau gigitan serangga berbisa itu. Walau pun kini penulis belum jumps kawasan kebun yang ditanam secara komersil dan monokrop tetapi ada beberapa rakan yang menanamnya disekeliling rumah sebagai koleksi tanaman herba. semuga artikel dalam Anim Agro Technology kali ini memberi info berguna kepada semua. Wasallam!!!...
MELADA PAHIT.. TUMBUHAN HERBA...
MUDAH DITANAM...SENANG DIJAGA...
BUAHNYA BANYAK,...MUDAH PETIKNYA...
MERAWAT PENYAKIT..BUKTI SUDAH ADA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room No 7, Hotel Seri Rompin,
Jalan Besar Kuala Rompin,
Rompin, Pahang, Malaysia,
(27 Zulhijjah 1437H)

Monday, September 26, 2016

NEKTAR - SATU PENGENALAN

NEKTAR (Nectar) adalah cecair manisan yang dihasilkan oleh bunga, daun atau buah-buahan tertentu yang manis dan sering diambil oleh haiwan lain sebagai sumber tenaga dan juga sumber makanan. Nektar Bunga dihasilkan pada kebanyakan bunga daripada organ dikenali sebagai 'Nectaris' yang terdapat pada bunga. Nectaris adalah sejenis organ di bawah petal bunga yang mengeluarkan cecair manisan tersebut pada pangkal dalam bunga. Mungkin ramai diantara kita yang panggil nektar sebagai 'Madu Bunga' kerana rasa manis tetapi sebenarnya ia perlu melalui beberapa proses dimana apabila kepekatannya sekitar 18-20% kandungan air barulan disimpan oleh lebah dan kelulut sebagai Madu Lebah (Honey Bee). Semua proses ini yang dijalankan oleh koloni lebah dan kelulut serta beberapa serangga lain akhirnya akan menjadi Madu Lebah. Madu Lebah dihasilkan selepas melalui beberapa proses alam semulajadi. Terdapat juga jenis nektar yang dihasilkan bukan pada bunga tetapi pada pangkal daun atau tangkai daun seperti pada Daun Getah Muda (Hevea brazilliensis), Daun Pokok Akasia (Acacia mangium) dan juga Daun Pokok Stinkwood (Prunus africana). Pengalaman penulis membuat pene;itian dari pokok akasia mendapati nektar sering dititiskan pada waktu pagi hari dan dikutip oleh serangga seperti lebah, kelulut dan serannga kecil lain seperti semut dan kerengga.  Sebenarnya bahan nektar adalah sumber makanan yang amat penting kepada beberapa jenis haiwan seperti Lebah Madu (Honey Bees), Kupu-kupu (Moths), Rama-rama (Butterfly), Burung Madu (Hummingbirds), Kelawar (Bats) dan juga sesetengah Semut (Ants). Artikel pada subuh ini saya dapat idea menulis dalam 'Anim Agro Technology' mengenai apa itu nektar bunga untuk rujukkan anda berdasarkan pengetahuan, pengalaman dan rujukkan yang saya kumpulkan dari beberapa buah buku.

Nektar adalah cecair manis hasil daripada tumbuhan dikotilidon yang mampu menarik serangga pendebunga. Kandungan bahan asas dalam nektar berbeza-beza diantara jenis-jenis bunga pada tumbuhan dan sering terhasil semasa peringkat bunga keluar sebingga proses pendebungaan selesai. Selepas berlaku proses pendebungaan (Pollination) lazimnya kadar pengeluaran nektar akan berkurangan (resorbed). Kajian para saintis menunjukkan jumlah nektar yang dikeluarkan (secretion) akan menjadi lebih aktif atau banyak apabila terdapat seranagga yang datang menyedutnya. Ini berbeza dengan bunga yang kurang dikunjungi serangga seperti lebah, kupu-kupu atau semut untuk datang mengambil nektar dari bunga. Bunga Rumput Israel (Asystasia gigantica) sebagai contoh akan mengeluarkan nektar pada waktu pagi hingga kepetang dan berhenti pada sebelah malam. Pokok getah yang baru mengeluarkan daun muda selepas semua daunnya luruh juga mampu mengeluarkan (secretion) nektar pada kawasan yangkai daun (petiol) dimana nektar ini boleh dikunjungi lebah dan kelulut untuk mendapatkannya. Begitu juga dengan kawasan akasia yang banyak tumbuh liar dibeberapa kawasan diseluruh negara. Penelitian penulis dibeberapa lokasi di Pahang, Terengganu dan Kelandan dikawasan akasia mendapati ada dua jenis warna bunga yang sesuai dikunjungi oleh kelulut dan lebah madu sebagai sumber nektar. 

Apakah kandungan yang terdapat didalam nektar sebelum ianya dikutip oleh lebah madu dan diproses menjadi MADU LEBAH (Honey Bee)?.  Pembacaan daripada beberapa buku saya dapati, nektar mengandungi bahan Karbohiderat, Asid Amino, Ion Metal, Protin Nektar dan substance lain. Karbohiderat adalah komponen terbanyak didalam nektar dari segi komposisi berat. Ini termasuk bahan seperti Arabinose, Galaktose, Mannose, Gentiobiose, Lactose, Maltose, Melibiose, Trehelose, Melezitose, Raffinose dan juga kandungan Stchyose. Memang sukar hendak menyebut bahan tersebut yang semuanya adalah jenis gula yang manis. Asasnya ada 3 jenis gula dalam nektar iaitu Sukros, Fruktos dan Glukos. Kepekatan gula ini bergantung kepada jenis bunga dan lokasi kedudukan nektar dalam bunga. Kepekatan ini juga berkait dengan jenis vaskular dalam bunga sama ada Phloem atau Zylem. Jika banyak Phloem maka kandungan gula setinggi 50% tetapi jika banyak vaskular xylem kandungan gula cuma 8% sahaja. 


Kandungan Asid Amino dalam nektar juga berbeza mengikut jenis bunga. Terdapat lebih dari 20 jenis asid amino dalam nektar dimana antaranya adalah seperti jenis asidanine, arginine, serine, proline, glycine, isoleucine, threonine dan valine yang paling banyak dikesan. Asid amino ini memberikan kesihatan kepada serangga yang mengambilnya dan juga sebagai sumber tenaga yang hebat. Foto sebelah menunjukkan titisan nektar yang dikeluarkan oleh Daun Pokok Akasia (Acacia mangium) yang penulis ambil daari kawasan ternakan Lebah Madu Pahang Bee Park di Sungai Miang, Pekan, Pahang tidak lama dulu. Pada bulatan foto tersebut ada dapat lihat dengan jelas titisan nektar yang banyak. Ia akan kering dibawah sinaran matahari dan menjadi kilat jika tidak dikutip oleh serangga lebah dan kelulut atau cair jika terkena air hujan. Kandungan bahan lain dalam nektar adalah seperti Terpens, Alkoloids, Flavonoids, Glycosides, Vitamin, Phenolic dan juga Sedikit Minyak. Nektar juga mengandungi bahan ion metal jika diuji dengan kaedah 'mass-spectroscospic microanalysis'. Antaranya adalah seperti bahan  K+, yang membentuk 35 - 74% daripada jumlah kation dalam nektar. Purata kation lain dalam nektar direkodkan sebanyak Na+ (17.9%), Ca2+ (12.8%), Mg2+ (5.9%), Al3+ (4.6%), Fe3+ (1.2%), dan Mn2+ (0.8%). Ini memang maklumat yang saya jarang jumpa daripada banyak pembacaan. Memang bagus sekali bacan saya kali ini mengenai kandungan nektar bunga.

Nektar yang dihasilkan oleh bunga juga dikenakpasti merupakan satu hasil yang amat berfaedah kepada kestabilan alam sekitar. Lebah Madu jenis Lebah Import (Apis mellifera), Lebah Keran (Apis cerana), Lebah Tualang (Apis dorsata), Tebuan (Vespa tropica) dan beberapa serangga lain dihasilkan dengan proses yang sama. Nektar pada bunga dan daun lazimnya mengandungi air yang tinggi diantara 60 -70% dan disedut oleh lebah. Ia kemudian akan disalurkan kepada lebah pekerja lain dan berlaku proses penurunan kandungan air secara berperingkat sehingga kandungan air menurun kepada sekitar 20% sahaja. Kemudian lebah pekerja dalam koloni lebah akan menyimpan madu tersebut didalam lubang simpanan madu (Bagi lebah) atau Kantung Madu (Bagi Kelulut) dan menuutupnya apabila penoh (Sila lihat foto disebelah). Madu Asli yang dikumpulkan daripada nektar tumbuhan melalui proses yang unik untuk disediakan oleh lebah madu dan kelulut. Pelbagai jenis bunga tumbuhan yang dikunjungi oleh beribu-ribu lebah pekerja dan Kelulut Pekerja menyebabkan banyak jenis bahan berkhasiat yang dihasilkan didalam madu lebah. Sumber makanan nektar dan debunga (pollen) yang dibawa balik oleh lebah akan menentukan warna, aroma, bau, khasiat dan keunikan ciri madu lebah dihasilkan. Semuga anda mendapat info berguna daripada bloh Anim Agro Technology kali ini. Sekian dan selamat membaca!...

NAMANYA NEKTAR... MANIS SEKALI...
BERBAGAI BUNGA... BERBEZA KUALITI...
KARBOHIDERAT... ZAT YANG TERTINGGI..
ADA PROTIN PULA ... AMAT DIYAKINI...

By,
M Anem
Senior Agrologist,
Taman Bee Park Pahang,
KM15, Sg Miang, Pekan,
Pahang, Malaysia
(19 Syaaban 1434H)
Ditulis semula pada 25 September 2016.





  

Sunday, September 25, 2016

MIKROB DARI PAKIS TANDUK RUSA

MIKROB DARI PAKIS TANDUK RUSA (Platycerum spp) merupakan satu penemuan baru didalam dunia pertanian organik. Penulis kali ini mempaparkan satu temuan yang belum didedahkan lagi dalam banyak tulisan saintifik mengenai pengumpulan, pembiakan, pemprosesan dan penggunaan yang diperolehi dari tumbuhan pakis tanduk rusa sebagai punca mikrob berfaedah (Beneficial microbes) yang cekap. Temuan ini hasil daripada kunjungan penulis kesebuah Ladang Organik yang telah mendapat persijilan MyOrganic daripada Jabatan Pertanian dan mengamalkan amalan pertanian organik. Terdapat berbagai produk organik daripada ladang ini seperti Buah Durian Organik, Ayam Kampong Organik, Sayuran Organik, Ikan Organik dan beberapa produk lagi. Syarikat yang dekenali dengan nama DQ Organic Farm ini terletak di Jalan Lama, Bentong-Gombak seluas 45 ekar. Mereka telah lama mengamalkan sistem perladangan organik tanpa menggunakan bahan-bahan kimia sebagai input pertanian sebaliknya membuat baja dan input lain secara organik. Ada proses membuat baja kompos, bokashi, vermikultur, Pekatan Larutan Baja dan banyak lagi. Durian varieti D24 yang dihasilkan juga jenis durian organik yang mendapat harga agakk baik berbanding dengan durian konvensional biasa. Bagaimana pun apa yang menarik perhatian saya apabila dijelaskan bagaimana usahawan ini menggunakan pakis tanduk rusa sebagai sumber untuk mengunpulkan sejenis mikrob berfaedah yang cekap dan amat praktikal. Lazimnya kaedah untuk mengumpul mikrob berfaedah dengan cara meletakkan nasi dibawah pokok buluh selama 2-3 hari sebelum dijadikan bahan untuk proses selajutnya. Artikel malam Jumaat ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai temuan penulis dari penerangan yang diberikan oleh DQ Farm mengenai teknik menggunakan mikrob dari pakis tanduk rusa untuk info bersama.


Tumbuhan Pakis Tanduk Rusa merupakan sejenis paku pakis yang selalu hidup dengan menumpang dibatang atau dahan pokok basar bagi mendapatkan cahaya matahari. Pakis Tanduk Rusa merupakan sejenis paku pakis yang menumpang di dahan pokok basar bagi mendapatkan cahaya matahari. Batangnya berupa rizom dengan sisik-sisik yang tebal, mendukung daun dwimorf. Daun pakis ini adalah tebal dan berwarna hijau. Sorusnya menutupi hujung-hujung daun fertil, dan sporanya halus seperti serbuk. Terdapat 21 spesis tumbuhan ini diseluruh dunia. Pakis Tanduk Rusa dapat digunakan untuk mengubati bengkak-bengkak pada anggota badan, iaitu daunnya dihaluskan bersama campuran "adus, pulasari" serta bawang merah, dan kemudian terus ditampalkan pada bahagian yang bengkak. Batangnya yang berupa rizom dengan sisik-sisik yang tebal lebih dikenali dengan sifat mendokong daun jenis dwimorf. Daun pakis ini adalah selalunya tebal dan berwarna hijau terang atau hijau gelap bergantung kepada habitatnya (Sila lihat foto disebelah). Daun pakis tanduk rusa membentuk seakan bulatan diperdunya tetapi dibahagian hujungnya membentuk bentuk bercabang seperti tanduk rusa. Bentuk ini yang sebenarnya penulis fikir ia diberikan nama sebagai Pakis Tanduk Rusa (Deer Fern). Ia melekat pada batang atau dahan tumbuhan dari akarnya yang melekap pada kulit pokok. Sebagai pokok pakis ianya akan menghasilkan sporanya yang sangat halus seperti serbuk dan boleh diterbangkan oleh angin sebagai kaedah pembiakan kepada kawasan atau tumbuhan lain. Pokok ini lazimnya tumbuh pada pokok besar dalam hutan atau belukar dengan melekat pada batang atau dahan utama. Bagaimana pun pokok ini boleh dipotong dan kemudian dibawa balik untuk diletakkan pada pokok besar seperti durian, rambutan, nangka dimana kemudian jika sesuai ia akan tumbuh. Pokok ini ditanam diladang DQ organik pada beberapa pokok durian, rambutan dan sebagainya serta dilekatkan pada tiang rumah dan tiang simen. Pokok ini yang menghasilkan komps dibahagian tengahnya akan diambil dan dijadikan sumber mikrob berfaedah untuk kegunaan perladangan organik.


Daripada pemerharian dan rujukkan penulis didapati pokok ini banyak dikutip daripada hutan untuk dijadikan tanaman hiasan (Ornamental fern). Harga satu pasu pakis ini juga tidak murah dimana ia mencecah lebih daripada RM50.00 satu pasu yang siap digantung. Harga ini akan lebih tinggi lagi mengikut keunikan bentuk daun yang seperti tanduk rusa. Terdapat beberapa jenis daun dengan bentuk cabang berbeza untuk membentuk tanduk rusa. Beberapa nurseri ada menjual pakis ini. Kalau anda melalui jalan lama Tapah Ke Cameroon Highland kadang-kadang ada gerai orang asli tempatan yang menjual pakis tanduk rusa ditepi jalan. Bergantung kepada bentuk dan keunikan mereka menjual dengan harga berpatutan. Dari segi perubatan belm banyak kajian dijalankan terhadap pakis tanduk rusa. Bagaimana pun ada dakwaan dimana pakis Tanduk Rusa dapat digunakan untuk mengubati masaalah seperti bengkak-bengkak pada anggota badan. Dalam penulis mencari info, pernah ketika ada tugasan rasmi di Kg Orang Asli Kg Peta, Mersing, Johor dahulu dimana Tok Batin nyatakan sebauknya ambil daunnya dihaluskan atau dilumatkan kemudian dicampur dengan jintan manis serta bawang merah dan kemudian terus ditampalkan pada mana bahagian yang bengkak. Tunggu beberapa minit atau jam sehingga semua bengkak tersebut hilang. Kegunaan lain pakis tanduk rusa ini dari segi khasiat perubatan atau sebagai makanan nutrisi masih belum dibuat kajian lanjut oleh saintis tempatan. Apa pun pakis yang menumpang pokok lain ini bukan menjadi masaalah kepada petani kerana ia tidak mengurangkan jumlah hasil atau kualiti buah dengan signifikan.


Bahan kompos reput yang terdapat dalam mangkuk pakis tanduk rusa ini akan di ambil apabila ia terkumpul. Kompos atau akar atau daun mereput ini akan dihancurkan dimana kemudian ianya dijadikan bahan campuran didalam menyediakan larutan baja organik (Sila lihat foto disebelah). Baja cecair organik ini akan diberikan kepada semua pokok-pokok buah-buahan diladang ini sebagai baja dan juga untuk rawatan penyakit dan perosak. Walau pun kajian saintifik tidak direkodkan oleh usahawan ini, penulis berpendapat kaedah ini sesuai untuk mmendapatkan sumber baja organik yang cekap dan berkesan. Adalah lebih baik jika sekiranya ada saintis tempatan membuat penyelidikkan akan kaedah pengurusan agronomi tanaman ini, khasiat perubatan. khasiat permakanan, kaedah pembiakan sempurna, pendaftaran varieti dan seterusnya dijadikan satu komoditi yang mendatangkan pendapatan kepada usahawan nurseri. Penulis perlu dapatkan info lebuh tepat mengenai penggunaan kompos dsripada pokok tanduk rusa amat berkesan didalam menyediakan baia cecair organik dan juga aktiviti perladangan organik yang lain dikebun ini. Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada pembaca blog "Anim Agro Technology" ini. SELAMAT MENYAMBUT HARI MERDEKA KE 59 TAHUN. MERDEKA!, MERDEKA!. MERDEKA!...
APAKAH DIA ...PAKIS TANDUK RUSA...
TUMBUH MELEKAP.. DAHAN UTAMA...
POKOK HIASAN... CANTIK BENTUKNYA...
SUMBER MIKROB.... ADA YANG BERJAYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Conference Hall 1, Sama-Sama Hotel,
KLIA, Sepang, Selangor,
Malaysia.
(31 Ogos 1437H)