Friday, September 30, 2016

FAEDAH RACUN PEROSAK BIOLOGI

SERANGAN SERANGGA DAN PENYAKIT tanaman perlu dikawal untuk menghasilkan produk makanan yang dijamin berkualiti, selamat dimakan dan bersih. Dalam pertanian secara konvensional penggunaan bahan racun seperti racun makhluk perosak sering digunakan atau ringkasnya racun perosak ialah sebarang bahan atau sebatian bertujuan untuk mengawal, mencegah, memusnah, melemah, menghalau, melegakan atau mengurangkan jumlah makhluk perosak. Racun perosak mungkin terdapat dalam bentuk bahan kimia, agen biologi (seperti virus atau bakteria), antimikrob, bahan penyahjangkit atau alatan digunakan terhadap apa-apa jenis makhluk perosak. Makhluk perosak termasuklah serangga, patogen tumbuhan, rumpai, moluska, burung, mamalia, ikan, nematod dan mikrob yang merosakkan benda, menyebarkan penyakit atau menjadi vektor untuk penyakit. Walaupun ada kebaikan dalam menggunakan racun perosak bagaimana pun ia tetap ada keburukannya seperti potensi kesan pada keracunan terhadap manusia dan haiwan lain. Mengikut Konvensyen Stockholm Mengenai Pencemar Organik Berterusan, 9 daripada 12 bahan kimia organik yang berbahaya dan bersifat kekal (berterusan) ialah racun perosak. Racun perosak boleh dikategorikan kepada empat peganti kimia iaitu Racun Rumpai (Weedicide), Racun Kulat (Fimgicide), Racun Serangga (Pesticide) dan Racun Bakteria. Pilihan alternatif untuk racin kimia adalah dengan amalan Intergrated Pest Management (IPM) dimana cara penggunaan racun perosak biologi dapat mengurangkan penggunaan racun perosak kimia. Sejak dulu telah banyak diperkatakan mengenai kaedah kawalan perosak tanaman sama ada secara konvensional secara biologi dibincangkan. Artikel sempena curi Hari Raya Aidil Adha 1437H (2016) ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa faedah dan apakah dia racun perosak biologi sekadar dijadikan bahan rujukkan.

Dalam menjalankan kawalan biologi lebih baik penulis terangkan perkara ini. Kaedah kawalan biologi merupakan suatu alternatif kepada kelemahan penggunaan bahan kimia untuk menghapuskan serangga dan makhluk perosak dalam sektor pertanian. Mengikut sejarah, bahan kimia telah lama digunakan untuk mengatasi masalah serangan atau makhluk perosak dalam sektor pertanian. Bagaimana pun pada masa ini kaedah kawalan biologi kian meluas. Ini kerana antara beberapa kelebihan kawalan biologi adalah seperti ia mampu untuk mengurangkan pencemaran alam dengan cara seperti menggunakan pemangsa seperti burung hantu untuk mengawal tikus di sawah padi, ular di ladang sawit. Kaedah ini tidak menggunakan bahan kimia dan kesannya tidak akan berlaku pencemaran air, tanah dan udara. Kebaikan lain ialah mampu untuk menjamin tahap kesihatan manusia kerana bahan kimia tidak digunakan untuk mengawal serangga dan makhluk perosak tumbuhan dan pertanian iaitu hasil sayur-sayuran dan buah-buahan yang bersih dan juga selamat dimakan. Kaedah ini mampu mengekalkan akan keseimbangan kitaran ekologi diantara serangga dan juga makhluk pemangsa membunuh mangsa tanpa menjejaskan ekologi. Akibatnya habitat semulajadi serangga dan mikro- organisma tidak terjejas. Serangga lain yang penting dalam pendebungaan tidak terganggu dan keseimbangan rantaian makanan tidak terjejas. Walau pun ada dikalangan petani yang masih kurang percaya mengenai kelebihan ini tetapi krsedaran dan permintaan dari pengguna kini semakin meningkat. Skim persijilan MyGAP dan Skim MyOrganic mengukuhkan kualiti produk pertanian.


Berbanding dengan kaedah pertanian konvensional yang mementingkan hasil tinggi dan menggunakan banyak racun kimia, ia masih dilakukan oleh pertani komersil yang pentingan keuntugan sahaja. Antara kesan negatif penggunaan bahan kimia seperti tracun adalah menjejaskan kesihatan petani. Ini kerana jika semburan dilakukan ia mengandungi bahan kimia beracun dimana ini akan menjejaskan sistem pernafasan. Ia juga boleh menyebabkan penyakit kanser paru-paru dan penyakit kulit jika penggunaan tidak mengikuti peraturan yang betul. Terdapat juga kes-kes keracunan makanan oleh pengendali racun. Terdapat juga kes dimana kandungan bahan kimia tidak mengikut sukatan yang dibenarkan pada label. Ini akan mengakibatkan produk sayur-sayuran dan buah-buahan tercemar dengan bahan kimia dan memudaratkan pengguna. Terdapat kejadian seperti berlakunya cirit-birit, muntah dan membawa maut. Kesan racun kimi juga mencemarkan air bila semburan mengandungi bahan beracun akan larut dalam air dalam tanah dan air larian permukaan seterusnya masuk dalam air yang menyebabkan air sungai tercemar. Apa yang kurang diketahui petani apabila berlaku dimana serangga dan makhluk perosak imun (Kebal) jika berlaku kekerapan menggunakan racun pestisid. Sebarang semburan dengan dos dan jenama sama tidak memberi kesan dengan semburan dan walau pun dos semburan akan ditambah ia tetap tidak memberi kesan kepada serangga sebaliknya kesan negatif kepada manusia dan ini menjejaskan kesihatan. Penggunaan kaedah biologi seharusnya digalakkan kerana lebih menguntungkan dan menjamin keseimbangan ekologi alam.

Penggunaan racun perosak biologi sangat digalakkan dalam amalan pertanian baik dan merupakan satu komponen yang penting dalam pengurusan perosak bersepadu (IPM). Antara perkara yang ditekankan oleh IPM ialah keselamatan petani dan alam sekitar serta menganggap penggunaan racun makhluk perosak kimia adalah langkah terakhir selepas tiada langkah lain yang sesuai. Racun perosak biologi boleh memberikan kesan yang sama baik dengan racun kimia jika digunakan dengan betul. Cara penggunaan racun perosak biologi juga berbeza dengan racun kimia. Petani perlu dilatih mengetahui waktu yang paling sesuai untuk menggunakannya. Sebagai contoh, racun perosak biologi lebih berkesan apabila digunakan pada peringkat awal kitaran hidup perosak serta bilangan populasi perosak yang masih sedikit. Penggunaan racun perosak biologi dapat mengurangkan penggunaan racun perosak kimia. Racun perosak biologi mempunyai cara tindakan yang pelbagai dan kompleks. Kebarangkalian untuk terjadinya kerintangan serangga perosak, patogen dan rumpai terhadap racun perosak biologi adalah rendah. Racun perosak biologi boleh digunakan sebagai satu kaedah yang penting dalam pengurusan kerintangan sama ada digunakan secara berasingan atau campuran dengan racun kimia atau secara berselang-seli. Ia juga membantu memanjangkan jangka hayat sesuatu racun kimia daripada berlaku kerintangan. Kini kebanyakan racun perosak biologi diluluskan teknik-teknik penggunaannya dalam amalan pertanian organik. Ini kerana ia dihasilkan secara mesra alam dengan proses pengeluaran yang lestari.

Racun perosak biologi terdiri daripada mikroorganisma hidup seperti bakteria, kulat dan virus yang dihasilkan melalui proses fermentasi mikroorganisma tertentu seperti aktinomiset untuk menghasilkan racun perosak biologi seperti abamectin dan spinosadRacun perosak biologi bersifat mudah terurai secara semula jadi dalam masa yang singkat menyebabkan tiada risiko pencemaran alam sekitar dan sumber air sama ada air permukaan atau bawah tanah. Di samping itu, ia tidak meninggalkan kesan residu bila digunakan pada tanaman. Waktu mengutip hasil pertanian selepas semburan atau tempoh dilarang mengutip hasil (PHI) adalah singkat. Racun perosak biologi juga mempunyai kesan bertindak yang khusus untuk perosak tertentu. Hanya perosak yang disasarkan sahaja akan terjejas, seterusnya mengekalkan serangga berfaedah dan lain-lain organisma bukan sasaran seperti burung, ikan, lebah, serangga berfaedah dan mamalia. Sebagai contoh, bakteria Bacillus thuringiensis subspecies kurstaki berkesan terhadap serangga perosak daripada keluarga rama-rama dan kupu-kupu sahaja. Bacillus thuringiensis subspecies israelensis pula berkesan untuk membunuh nyamuk sahaja. Bakteria ini tidak memberi kesan terhadap kumbang dan lain-lain kumpulan serangga. Kulat Metarhizium anisopliea berkesan terhadap kumbang dan digunakan dengan meluas untuk menghapuskan kumbang tanduk di ladang-ladang sawit. Racun perosak biologi mempunyai kesan toksik yang sangat rendah. Justeru, risiko keracunan terhadap pekerja dan orang sekeliling akibat pendedahan racun biologi ini adalah terlalu rendah dan keselamatan petani atau pengguna adalah terjamin.  Disebabkan itu, penggunaan racun perosak biologi adalah selamat untuk pengguna di samping mesra alam. Bagi mendapatkan maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Pertanian Malaysia di talian 03-8870 3038/3050 atau faksimile di 03-8888 5069 atau melayari portal Jabatan Pertanian Malaysia di alamat lamanweb iaitu www.doa.gov.my. Semuga anda mendapat info berguna dalam blog Anim Agro Technology kali ini. Wasallam!!!.

MENANAM POKOK... PERLU DIJAGA...
SERANGAN PEROSAK... ADA BAHAYA...
SEMBUR RACUN... BIOLOGI CARANYA...
PERLU DIAMALKAN... SELAMAT SEMUA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Jalan Istana,
Bandar Melaka, Bukit Beruang,
Melaka, Malaysia.
(10 Zulhijjah 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.