Wednesday, September 28, 2016

HALIA - TANAM DALAM POLIBEG

HALIA (Zingiber officinale) dari keluarga Zingiberaceae juga merupakan sejenis tanaman umbisi yang diketegorikan sebagai tanaman jenis Umbisi dan sejenis Herba. Tanaman ini dipercayai berasal dari Asia Selatan dan kemudian di sebarkan penanamannya keseluroh dunia. Tanaman halia adalah satu komoditi yang dianggap penting di Malaysia kerana pasaran domestik dan juga ekspot. Dalam tinjauan penulis mengenai penanaman halia, penulis juga dapati kos bahan tanaman atau kos pembelian anak benih merupakan kos yang paling tinggi sehingga mencecah lebih separuh dari seluruh jumlah kos penanaman. Pemilihan varieti halia yang hendak ditanam oleh petani yang baru hendak mencebur diri dalam penanaman halia adalah penting. Hanya dua varieti halia yang popular ditanam di Malaysia iaitu Varieti Halia Bentong atau Varieti Halia Sabah. Varieti Bentong adalah hasil biakbaka melalui 'farm selection' semenjak beberapa tahun oleh penanam halia di kawasan Janda Baik, Pahang. Kini halia Bentong telah menerima status GI atau pun Geogriphical Indication. Dalam kamus apa yang penulis rujuk apa dimaksudkan dengan GI adalah "A geographical indication (GI) is a sign used on products that have a specific geographical origin and possess qualities or a reputation that are due to that origin. In order to function as a GI, a sign must identify a product as originating in a given place". Varieti Sabah pula luas ditanam di Sabah untuk pasaran domestik dan diekspot. Artikel kali ini penulis berkongsi maklumat dengan pembaca dalam "Anim Agro Technology" mengenai penanaman halia didalam polibeg atau bekas dikawasan keliling rumah atau dikawasan kebun berdasarkan kepada pengalaman penulis dan membuat rujukkan dalam banyak buku teknikal, lamanweb dan pengalaman penulis sendiri ketika melawat kawasan tanah tinggi Dieng di Kabupaten Wonosobo, Jogjakarta, Jawa Tengah, Indonesia baru-baru ini. 


Penanaman Halia didalam Polibeg atau dalam bekas dikawasan keliling rumah boleh dijalankan bagi menghasilkan halia untuk kegunaan sendiri atau pun untuk dijual secara komersil. Pengalaman kedua penulia melawat Kebun Highland Sprout di Kg Janda Baik, Bentong yang menanam lebih daripada 3,000 polibeg halia secara organik. Mungkin tidak ramai diantara kita terutamanya mereka penduduk dikawasan bandar atau pun mereka yang tinggal dikawasan perumahan sama ada rumah teres atau rumah pangsa menanam halia sendiri. Penulis dapati kita boleh menanam halia didalam polibeg dengan mudah dan semua orang boleh buat. Penulis sendiri menanam 5 polibeg halia dikawasan rumah. Sebaiknya anda menggunakan polibeg bersaiz sederhana atau bersaiz besar sama ada berwarna hitam atau putih. Isikan tanah campuran 3:2:1 (Tanah: Pasir: Baja Organik) atau media 'peatmoss' kedalam polibeg sehingga paras penoh (Lihat foto sebelah). Pastikan polibeg tersebut boleh berdiri dan susun mengikut jarak agak sesuai untuk penanaman benih halia. Dapatkan benih halia yang berkualiti daripada pembekal (Mungkin halia yang dibeli dipasar boleh digunakan jika masih segar dan dirawat dengan racun kulat dahulu). Benih halia tua yang berumur lebuh 12-14 bulan, sihat, tiada penyakit dan saiz sesuai digunakan. Saiz benih adalah sekitar 5-10 cm panjang dan sebaiknya ia mempunyai tunas. Elakkan menggunakan benih halia muda kerana ia tidak sesuai dijadikan benih tanaman.


Penanaman anakbenih halia dalam polibeg dengan meletakkan benih dibahagian tengah polibeg pada kedalaman 3-6 cm. Pastikan mata tunas benih halia mesti dihalakan kebahagian atas dengan teratur. Susun polibeg pada jarak 30 cm untuk peringkat awal penanaman dan boleh dijarakkan melebihi 60 cm apabila tanaman halia membesar (Lihat foto sebelah). Jalankan penyiraman jika cuaca sangat kering kedalam polibeg tersebut. Jika tanah dalam polibeg sangat kering boleh menyebabkan pokok mati. Jika berlaku air bertakung dalam polibeg, dengan segera air perlu dibuang untuk mengelakkan berlaku kereputan pada anakbenih halia. Pastikan polybeg tersebut disusun mengikut susunan Tmur ke Barat agar pokok mendapat sinaran matahari yang cukup. Adalah dinasihatkan untuk anda dari mengelakkan meletak dibawah naungan kerana ia mungkin melambatkan proses pertumbuhan. Aktiviti menyulam unyuk semula polybeg yang mana benihnya tidak bercambah atau mati akibat beberapa sebab. Anak benih halia dalam polibeg lazimnya akan tumbuh dengan mengeluarkan tunas setelah seminggu ianya ditanam bergantung kepada pengurusan agronomi dan juga varieti yang ditanam. Pemantauan awal perlu dilakukan selepas menanam terutama untuk pastikan semua anakbenih hali menghasilkan tunas baru dan tumbuh dengan sihat.


Tanaman halia dalam polibeg perlu disiram selalu kerana ia akan layu dan kering jika tidak diberikan air terutama jika polibag tersebut disusun diatas lantai kebal seperti simen, lantai kayu, zink dan sebagainya. Penyiraman dibuat setiap hari tetapi jika cuaca panas atau musim kemarau sebaiknya siram 2 kali sehari. Setelah berusia 2-4 minggu lakukan program pembajaan (sebaiknya dengan baja organik). Baja sebatian juga boleh digunakan dengan diberikan sedikit demi sedikit. Jika umbisi halia kelihatan tersembol keluar pada permukaan tanah dalam polibeg, perlu ditambah tanah agar ia berada didalam tanah. Pembajaan dengan baja sebatian dan baja organik perlu diulang setiap 2-3 bulan sehingga halia berumur 8 bulan. Sentiasa menambah tanah campuran dalam polibeg jika ia berkurangan. Cara ini akan mempastikan umbisi atau rizom halia yang terbentuk didalam polibeg akan membesar sehingga mampu menghasilkan umbisi halia sebanyak hampir 1 kilogram (bergantung kepada saiz polibeg digunakan). Hasil boleh dituai dalam 8 - 10 bulan selepas menanam dengan diuruskan secara baik. Teknologi menanam halia dalam polibeg memang mudah dilakukan dan mampu memberikan kepuasan kepada sesiapa yang suka menanamnya. Penulis rasa sesiapa yang ingin mencuba dikeliling rumah boleh mencuba. Wasallam!...
Penulis ketika memeriksa pokok halia dalam polibeg di Kg Janda Baik, Bentong.
DALAM POLIBEG...TANAM HALIA...
DISIKAN TANAH...DISUSUN PULA...
MASUKAN BENIH...PERLU DIJAGA...
LEPAS 8-9 BULAN... HASIL DITERIMA...

By, 
M Anem
Senior Agronomist,
Ladang Highland Sprout, Janda Baik,
Bentong, Pahang,
Malaysia
(12 JamadilAkhir 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.