Friday, April 22, 2016

RPW - CARA KAWALAN

KUMBANG JALUR MERAH merupakan sejenis kumbang yang menyerang tumbuhan terutama daripada keluarga Arecaceae. Kumbang RPW (Red Palm Weevil) ini mampu merosakkan tanaman seperti Pokok Kurma (Phoenix spp) dan Pokok Kelapa (Cocos nucifera) di Malaysia seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Pertanian dan beberapa akhbar tempatan. Kerajaan melalui Jabatan Pertanian juga telah memperuntukkan sebanyak RM4.0 juta untuk kempen kawalan perosak RPW ini seperti mana yang diumumkan pada Febuari 2015. Beberapa siri penerangan dan kempen telah diadakan diseluruh negara bagi tujuan ini kerana jika RPW menyerang pokok kelapa sawit maka ekonomi negara akan terjejas. Kelapa merupakan tanaman ke 4 terpenting dalam negara selepas Kelapa Sawit, Getah dan Padi. Kelapa yang ditanam untuk pengeluaran buah kelapa dalam negara adalah seluas 87,500 hektar dengan menghasilkan sekitar 650 juta biji setahun bernilai lebih daripada RM500 juta. Jika tanaman ini diserang maka ramai petani akan mengalami kerugian dan negara tidak mempunyai bekalan kelapa yang mencukupi. Dalam sektor tanaman kelapa sawit pula, seluas 5.48 juta hektar ditanam dengan menghasilkan sebanyak RM63 billion setahun dan merupakan komoditi eksport utama dalam negara. Kini kerana kelapa sawit merupakan tanaman yang merangkumi 79% daripada keluasan kesemua jenis tanaman. Kemasukkan pokok kurma hiasan telah didakwa menjadi punca utama merebaknya RPW didalam negara. Ia dibawa masuk dari negara jiran melalui jalan tidak sah atau berlaku salah salah tafsir semasa kemasukan bahan tanaman tersebut. Bagaimana pun dalam akta MAQIS dinyatakan "Pengimportan ke sesuatu kawasan komponen sesuatu tumbuhan atau sesuatu kompos akar atau media tumbuhan lain adalah dilarang kecuali di bawah sesuatu permit, yang dikeluarkan oleh pengarah mengikut peraturan-peraturan ini dan tertakluk kepada syarat-syarat yang dikenakan oleh pengarah, secara mengendoskan Permit". Apa pun artikel petang Sabtu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai cara kawalan dan pemusnahan serangan RPW sebagai satu kaedah dalam kempen 3P (Pengawalan, Pembendungan dan Penghapusan) perosak merbahaya RPW.


Pokok kelapa yang diserang RPW perlu dijalankan proses pemantauan oleh petani dan pegawai terlibat. Mereka perlu mendapatkan informasi daripada Jabatan Pertanian serta pegawai pengembangan kawasan bagi mengetahui dan mengenali RPW dan simptom serangan. Pokok kelapa yang diserang mungkin nampak sihat sahaja sehingga ia kehilangan pucuk, mati dan akhirnya tumbang (Sila lihat foto disebelah). Didalam membuat penerangan kepada pihak terlibat adalah baik jika mereka mampu mengetahui dan mengenali RPW dan kaedah kawalan. Pokok kelapa dikawasan yang diserang perlu diperiksa walau pun ia masih mempunyai buah dan daun. Ini kerana larva RPW yang memakan umbut dalam batang kelapa menyebabkan pokok berlubang ditengahnya. Serangan boleh bermula daripada bahagian pucuk pokok atau pangkal batang pokok dengan menebuk lubang. Aktiviti pemeriksaan pokok kurma dan kelapa dilakukan bersama dengan mereka yang telah menghadiri latihan atau petani melaporkan sahaja kepada pegawai pertanian daerah yang berdekatan untuk pemeriksaan pokok kelapa dikebunnya. Apa pun difahamkan Jabatan Pertanian telah menubuhkan pasukan pemantauan serangan RPW dikawasan tumpuan dimana ada tanaman kelapa yang strategik.


Kaedah memasang perangkap feromon dikawasan tanaman kelapa merupakan teknik yang paling mudah dilakukan. Perangkap ini dibuat khusus untuk diletakkan dalam kebun kelapa dengan bilangan tertentu oleh Jabatan Pertanian (Sila lihat foto disebelah). Bahan kimia khusus yang menarik RPW dewasa diletakkan didalam bekas baldi berlubang dimana apabila RPW dewasa ada dikawasan maka ia akan memasukki perangkap tersebut. Sama ada ia spesis R. vulneratus atau R. ferungineus maka disediakan laporan dan juga kaedah kawalan. Kehadiran spesis yang kini dikatakan lebih merbahaya adalah oleh R. ferungineus dimana ia mampu menyerang dengan cepat dam memusnahkan tanaman lebih teruk berbanding dengan serangan oleh spesis RPW Tempatan (R. vulneratus). Terdapat perbezaan nyata diantara kedua spesis ini kepada mereka yang telah berkursus. Kaedah memasang perangkap feromon ini juga boleh dilakukan sebagai satu kaedah kawalan yang agak berkesan.


Kaedah lain mengawal serangan dan kehadiran RPW adalah dengan membuat semburan racun serangga. Petani digalakkan menyembur bahan kimia yang disyorkan. Bagi pokok kelapa yang masih rendah atau pada peringkat anak pokok racun jenis Cypermethrin atau Dimethoate sesuai digunakan sama ada disiram atau pun di sembur pada pucuk, daun dan batang menggunakan Pam Penyembur (Sila lihat foto disebelah) Seterusnya bagi pokok kelapa yang tinggi dan besar cara meracun dengan menggunakan racun jenis Imidachloprid melalui teknik dikenali sebagai 'soil- drenching' yang dilakukan disekeling pangkal pokok. Racun jenis lain yang sesuai digunakan adalah Dinotefuran yang disembur pada bahagian batang kelapa. 


Teknik yang sesuai untuk mengawal serangan RPW bagi pokok yang telah besar dan tinggi adalah dinamakan "Trunk Injection". Teknik ini telah penulis lakukan dahulu di Mersing untuk mengawal serangan serangga Artona spp. Jenis racun untuk digunakan untuk trunk injection adalah jenis yang kuat iaitu Monocrotophos atau jenis Methamidophos. Kerja mengorek lubang pada pangkal perdu pokok kelapa dilakukan menggunakan gerudi dengan mata sepanjang 1 kaki bergarispusat 1 cm. Gerudi batang pokok dan buat lubang sebelum racun tersebut dimasukkan kedalam libang menggunakan 'injector'. Kemudian lubang perlu ditutup semula dengan tanah liat atau plastercin. Buah kelapa yang telah dibuat trunk injection tidak boleh diambil sebagai makanan kerana racun ini adalah sistemik dan merbahaya kepada manusia. 


Kaedah kawalan secara kultura perlu terus dilakukan terhadap pokok kelapa yang telah diserang RPW. Perlu dilakukan adalah menjalankan sanitasi ladang dengan cara membuang segala kemungkinan mejadi perumah kepada RPW. Sebaiknya perlu di elakkan luka pada bahagian batang pokok kerana RPW akan bertelur pada luka tersebut. Pemeriksaan pokok kelapa dilakukan mengikut jadual untuk melihat jika ada tanda luka atau tebukkan. Jika disahkan berlaku serangan maka dinasihatkan agar pokok tersebut ditebang dan musnahkan pokok yang diserang dengan menanam atau membakar keseluruhan bahagian pokok yang ditebang (Sila lihat foto disebelah). Pembakaran akan memusnahkan larva dan telur yang berada dalam batang kelapa. Semuga artikel ini mampu memberikan info berguna kepada anda pembaca blog Anim Agro Technology yang ke 3,875 ini. Wasllam!.
SERANGAN RPW... IA MERBAHAYA...
PERLU DIKAWAL...BANYAK CARA...
PASANG PERANGKAP...MUDAHNYA...
CARA YANG LAIN...GUNA KIMIA...
POKOK ROSAK...DIBAKAR SEGERA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pusat Latihan Pertanian,
Inderapura, Kuantan,
Pahang, Malaysia.
(2 Rejab 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.